Berhati-hatilah Wanita, Jangan Tersembam, Buruk Padahnya

>> Monday, May 21, 2012


HATI-HATILAH WANITA, JANGAN TESEMBAM, BURUK PADAHNYA



ISLAM memang mengangkat dan meletak darjah wanita ke persada yang tinggi dan mulia. Demi untuk menjamin keunggulan wanita itu supaya tetap utuh buat selama-lamanya, maka digarislah beberapa batasan yang boleh dan tidak boleh dilewati oleh kaum wanita yang dimuliakan itu. Dengan itu, kesucian dan kemuliaan mereka tetap kekal terjamin buat selama-lamanya.



Kita kutip di sini sekadar beberapa firman Allah S.W.T. dan sabda Baginda S.A.W. untuk dijadikan garis panduan itu untuk mengelak daripada mereka mudah terjebak dalam suasana yang boleh menjatuh dan menyebabkan mereka terhumbam ke dalam gaung kemudaratan buat masa kini dan juga masa-masa akan datang yang panjang.



Oleh itu, berhati-hatilah kaum Hawa, dan sentiasalah berwaspada supaya anda tidak terlanggar segala pantang dan larang yang boleh merosakkan kesucian dan kemuliaan anda yang telah ditabalkan oleh Allah dan RasulNya untuk menjamin kebahagian anda di dunia dan akhirat. Berhati-hati dan patuhilah dengan penuh keikhlasan anda.



Ikutilah seterunys dengan fikiran yang tenang.



-Jangan Mendedah



“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan barang apa yang telah tampak daripadanya, dan hendaklah mereka itu menghulurkan tudung kepala mereka atas leher dan dada mereka”. An-Nur: 31.



-Bertudung



“Dan orang-orang perempuan tua yang telah terhenti [dari haidh dan nifas] yang tidak ada harapan kahwin lagi, maka tidak mengapa atas mereka itu meletakkan pakaian [tutup] mereka, dengan tidak memperlihatkan perhiasan-perhiasan mereka; dan jika hendak memelihara [kehormatan] mereka, lebih baik bagi mereka itu [tidak membuka tudung itu]”. An-Nur:60.



-Aurat



“Wanita itu aurat, maka apabila ia keluar berdiri, tegaklah syaitan padanya”. HR:Tirmizi.



-Awas Batas Aurat



a] Pada suatu hari, St. Asmaa’, iaitu saudara perempuan kepada St. Aisyah, yang juga ipar kepada Baginda Rasulullah S.A.W. datang hendak menemui Baginda S.A.W. St. Asmaa’ memakai pakaian yang jarang, menampakkan kulit tubuhnya, maka Baginda S.A.W. berpaling daripadanya sambil bersabda, “Hai Asmaa’! Sesungguhnya orang perempuan itu apabila ia telah sampai dewasa, ia tidak patut jika dia menampakkan sesuatu dari dirinya, melainkan mukanya ini dan ini”. Baginda bersabda sambil menunjukkan muka dan kedua tapak tangannya sendiri”. HR: Abud Daud.



b] Pada suatu hari seorang anak perempuan kepada saudara lelaki St. Aisyah sendiri datang ke rumah St. Aisyah. Dia telah dewasa dan memakai perhiasan yang indah. Kebetulan Baginda S.A.W. datang, dan memalingkan mukanya sambil bersabda, “Apabila seorang perempuan itu telah sampai dewasa [sudah remaja puteri], tidak halal baginya jika menampakkan dirinya, melainkan mukanya dan melainkan apa yang di bawah ini”. Sambil Baginda S..A.W. memegang atas hastanya sendiri”. HR: Abu Daud.



-Memakai Perhiasan



“Dan janganlah mereka [perempuan Islam] itu menampakkan perhiasan mereka, melainkan barang apa yang nampak daripadanya; dan hendaklah mereka hulurkan tudung kepala mereka di atas dada mereka”. An-Nur 31.



-Menunjuk-nunjuk Perhiasan



“Dan janganlah kamu menampakkan keelokan perhiasanmu seperti kelakuan [perempuan] di zaman jahiliah dahulu!”. Al-Ahzab : 32.



-Hentak Kaki



“Janganlan mereka menghentak-hentakkan kaki mereka, agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasan-perhiasan mereka”. An-Nur: 31.



-Masam Muka



Sabda: “Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung hati suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga dia bermanis muka dan tersenyum mesra kepada suaminya”.



-Hak Suami



Sabda: “Ibnu Umar berkata, “Telah datang seorang wanita kepada Rasulullah S.A.W. lalu bertanya, “Apakah hak suami atas isteri?”.



Jawab Baginda, “Tunaikanlah hajatnya sekali pun engkau berada di atas belakang unta. Jangan berpuasa sunat melainkan diizin suami, kalau engkau berpuasa juga , maka pahalanya untuk suami dan dosa untuk engkau. Jangan keluar melain dengan izin suami, jika keluar juga akan dilaknat oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehinggalah dia kembali ke rumahnya”.



-Patuh



Sabda: “Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tapi ditolaknya, hingga marahlah suaminya, maka tidurlah wanita itu dalam laknat malaikat hingga ke pagi”.



-Keluar Rumah



Sabda: “Wanita tidak berhak keluar dari rumahnya, kecuali kerana terpaksa [kerana sesuatu urusan yang penting] dan dia juga tidak berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepinya”.



-Tetap Di rumah



“Dan hendaklah kamu [orang-orang perempuan Mukmin] tetap tinggal di rumahmu, dan jika keluar dari rumah- hendaklah jangan menampakkan keelokan perhiasan seperti kelakuan orang-orang perempuan biadab dahulu”. Al-Ahzab: 32.



-Lari Dari Rumah



“Apabila wanita lari dari rumah suaminya, tidak diterima sembahayangnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya [memohon maaf]. HR: Hasan



-Minta Izin



“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta tanpa izinnya dan tidak boleh seorang isteri memasukkan seorang lelaki ke rumahnya tanpa izin suminya”. HR: Bukhari & Muslim.



-Mencela Suami



Sabda: “Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya, “Tidak pernah aku mendapat dari engkau satu kebajikan pun”. Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun walaupun dia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari” .



-Menyakiti Hati Suami



Sabda: “Wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, maka dia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat, dan juga laknat manusia seluruhnya”.



-Memakai Bau-bauan



a] “Mana-mana wanita memakai bau-bauan [yang harum] lalu keluar [dari tempat kediamannya], maka ia berjalan melalui orang banyak, agar mereka mencium baunya, maka iaitu berzina, dan tiap-tiap mata yang memandang padanya, itu pun berzina”.HR: Ahmad, Nasai & Hakim.



b] “Abu Hurairah berkata beliau pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, “Allah tidak akan menerima solat dari seorang perempuan yang keluar ke masjid dan baunya harum semerbak sehingga ia kembali ke rumahnya lalu mencuci [menghilangkan] bau-bauan itu”. HR: Ibnu Khizaima,



c] ”Siapa pun wanita yang mengenakan haruman, maka janganlah dia ikut solat akhir [Isyak] bersama kami”. HR: Muslim, Abu Daud & Nasai.



-Berdua-duaan



“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah dia bertemu muka, berhadap-hadapan di sesuatu tempat dengan seorang wanita yang tidak ada muhram daripadanya, kerana sesungguhnya yang ketiganya, tentu syaitan”. HR: Ahmad & Jabir r.a.



-Melabuhkan Pakaian



“Wanita yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias [bukan untuk suami dan muhramnya] adalah seumpama gelap gelita pada hari Kiamat, tiada nur baginya”. HR:Tirmizi.



-Laknat Menyerupai Lelaki



a] “Kata Ibnu Abbas r.a., Rasulullah S.A.W. telah melaknat pada orang-orang lelaki yang menyerupai orang-orang perempuan, dan orang-orang perempuan menyerupai orang lelaki”.HR: Bukhari, Abu Daud dan Nasai.



b] Kata Ibnu Abbas r.a., “Sesungguhnya ada seorang perempuan melalui Rasulullah S.A.W. dengan berselempang panah, maka seketika itu Baginda S.A.W. bersabda, “Allah melaknat orang-orang perempuan yang menyerupai orang-orang lelaki, dan orang-orang lelaki yang menyerupai orang-orang perempuan”. HR: Imam Thabarani.



-Mencukur Rambut



“Kata Sd. Ali r.a: “Rasulullah S.A.W. melarang orang perempuan mencukur rambut kepalanya”. HR: Tirmizi & Nasai.



-Menyambung Rambut



a] “Allah telah melaknat orang perempuan yang menyambung rambut kepalanya dan yang meminta disambung rambut kepalanya”. HR: Imama Bukhari.



b] “Manakala seorang perempuan memasukkan di dalam rambut kepalanya daripada rambut lainya, maka tidak lain melainkan memasukkan kedustaan”. HR: Imam Nasai.



-Mentatu Kulit



a]“Kata Abu Hurairah r.a.: “Bahawasanya Nabi S.A.W. pernah bersabda, “Jangan kamu [orang-orang perempuan] mentatu kulitnya dan jangan kamu minta ditatu kulit”. HR: Bukhari & Nasai.



B]“Allah mengutuk wanita-wanita yang mentatu [tangan dan mukanya] dan wanita yang minta ditatu, dan yang memasang gigi palsu untuk kecantikan dirinya, dan yang mengubah ciptaan Allah”. HR: Bukhari & Muslim.



-Mencabut Bulu Kening & Mengikir Gigi



“Kata Ibnu Mas’ud r.a., “Aku pernah dengar Rasulullah S.A.W. melarang orang perempuan mencabut bulu keningnya, yang mengukir giginya yang menyambung rambut kepalanya dan yang mentatu kulitnya”. HR: Ahmad.



-Menggosok Kulit Dahi



“Kata St, Aisyah r.a.: “Adalah Nabi S.A.W. telah melaknat orang perempuan yang menggosok kulit dahinya dan minta digosok kulit dahinya, yang mentatu kulitnya dan yang minta ditatu kulitnya, yang menyambung rambut kepalanya dan yang minta disambung rambut kepalanya”. HR: Ahmad.



-Melembutkan Suara



“Maka janganlah kamu melembutkan [memerdukan] perkataan, maka nanti menarik orang yang dalam hatinya ada penyakit”. Al-Ahzab: 32,



-Membuka Pakaian



“Sesiapa orang perempuan yang melepaskan [membuka] pakaiannya di luar rumahnya, maka Allah pasti merobek tirainya daripadanya”. HR: Ahmad, Ibnu Majah & Hakim.



-Sejahat-jahat Wanita



“Sejahat-jahat orang perempuan itu, ialah mereka yang suka ke luar rumah dengan memakai perhiasan serta suka menipu dirinya sendiri dengan perhiasasn-perhiasan palsu, dan mereka itu adalah perempuan-perempuan munafik dari antara mereka itu tidak akan ada yang masuk syurga seorang pun, melainkan sebagai burung gagak putih”. HR: Baihaqi.



-Ke Neraka



“Wanita yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak, maka haramlah baginya bau syurga”. HR: Abu Daud & Tirmizi.



Demikianlah beberapa perkara yang amat penting diberi perhatian oleh kaum wanita di sepanjang masa, supaya langkah hidup mereka tidak pincang dan tetap terjamin kemuliaan dan kebahagiannya di dunia dan akhirat



Amin.



End.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP