Dari L.T.. Pg. Chepa Ke L.T. Subang
>> Tuesday, January 1, 2013
Kembara Singkat
DARI L.T. PENGKALAN CHEPA KE L.T. SUBANG
Waktu saya sampai di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, yang dikenali dengan
nama Lapangan Terbang Ismail Petra, pagi tadi [Jumaat 28 Disember] lapangan
terbang itu hampir sunyi. Masih belum ramai orang. Kelihatan sekumpulan pekerja-pekerja lapangan
terbang itu yang berpakaian seragam sedang bersiap sedia menunggu untuk masuk melalui
pusat pemeriksaan untuk memulakan tugas mereka bahagian dalam lapangan terbang tersebut.
Firefly, mengikut jadualnya akan bertolak pada pukul 8.40 pagi untuk menuju ke
Lapangan Terbang Subang yang dikenali dengan nama Lapangan Terbang Sultan Abdul
Aziz Shah. Oleh sebab saya sampai itu lebih awal sedikit, penumpang-penumpang
masih belum ramai yang tiba. Namun begitu bila saya masuk ke tempat menunggu
untuk berlepas sudah ada sekumpulan penumpang sedang menunggu dan berbual-bual
sesama sendiri.
Cuaca pagi itu boleh dikatakan baik, walaupun langit musim tengkujuh masih
kelihatan “masam”, menandakan hujan akan turun bila-bila masa pada hari itu.
Sang mata hari pun masih belum menunjukkan seri wajahnya seperti biasa.
Ketika berada di atas Firefly yang akan membawa saya dan
penumpang-penumpang yang lain ke Subang, beberapa lintasan berhubung dengan lapangan
terbang itu timbul tenggelam dalam lautan ingatan saya yang tidak bertepi.
Kelab Malam
Pada masa-masa yang lalu, iaitu di bangunannya yang lama dahulu lapangan terbang itu merupakan salah sebuah tempat hiburan yang terkenal di negeri Kelantan. Bila malam tiba, bangunan lama lapangan terbang itu bertukar menjadi sebuah kelab malam yang populer, di mana pengunjung-pengunjungnya bersukaria menyanyi dan menari.
Sedangkan di kawasan luar di sekitar bangunan, termasuk tempat parkir adalah tempat pasangan memadu
kasih di waktu malam, mungkin kepada mereka yang bersuka ria selepas menari
atau pun mereka yang senghaja memabwa pasangan mereka ke situ untuk bercengkarama.
Seorang sahabat saya yang pernah terlibat dalam gerakan pencegahan maksiat yang dikenali pada masa itu dikenali dengan panggilan “pegawai maksiat”, menceritakan pasukannya pada suatu malam pernah menahan seorang pegawai kerajaan yang disyaki menjalankan perbuatan yang tidak bermoral dengan pasangan wanita yang ada bersama-samanya telah terkencing-kencing dalam seluar merayu supaya dia tidak diambil sebarang tindakan dan merayu supaya dia dibebaskan. Kasihan katanya.
Pada masa itu ada juga tokoh-tokoh masyarakat tertentu yang terkenal di kalangan orang ramai yang menjadi pelanggan tetap membawa mek-mek pasangan mereka untuk bersukaria di situ.
Kemudiannya, mungkin selepas bangunan lama itu diganti dengan bangunan baru, kelab malam tidak lagi beroperasi di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Tapi saya tidak tahu bila.
Terminal baru lapangan terbang itu pula telah siap dibina pada tahun 2002 atas kawasan seluas 12,000 meter dan mengandungi tiga pemakir pesawat.
Hari ini lapangan terbang itu digunakan oleh Air Asia, Penerbangan Malaysia [MAS] dan juga Firefly untuk memberi khidmat kepada para penumpang, termasuk para pelancong yang kian meningkat dari masa ke masa ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Tiba-tiba saya tersedar dua orang pramugari sedang berjalan ke hadapan dan ke belakang memeriksa penumpang-penumpang adakah sudah memakai tali pinggang keledar atau tidak. Seorang dua yang masih terlupa memakainya disuruh berbuat demikian dengan ditunjukkan isyarat tangan oleh pramugari.
Kena Marah
Saya terkenang pula bagaimana saya telah “dimarahi” oleh seorang menteri wanita, Aisah Ghani ketika saya hendak menemubualnya mengenai suatu topik yang telah saya lupa sekarang. Beliau telah menuduh saya melaga-lagakannya dengan parti pembangkang, Parit Rakyat. Saya ingat sebelum itu saya telah memewancara beliau mengenai suatu topik yang hangat pada waktu itu untuk akhbar Mingguan Kota Bharu. Pendapat beliau itu telah dijawab oleh seorang kuat Parti Rakyat. Kerana itu saya ingin mendapat komen beliau pula.
Peristiwa ini berlaku di hadapan beberapa orang tokoh wanita UMNO. Salah seorang daripadanya ialah Tengku Noor Asiah Tg. Ahmad, kalau tidak silap saya, Ketua Wanita UMNO Negeri Kelantan pada masa itu.
Ke Mekah
Saya juga teringat kepada kedua orang tua saya, ayahanda saya, Saleh bin Hj. Mohammed dan bonda saya, Maimunah Ismail yang berangkat ke Tanah Suci Mekah dengan menaiki kapalterbang di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Ketika duduk-duduk di atas rumput, di luar bangunan lapangan terbang menunggu untuk di panggil menaiki pesawat, ketika berbual-bual tiba-tiba ayahanda saya menghulurkan kepada saya note kertas RM2.00.
Pada mula-mulanya saya simpan note kertas itu beberapa waktu untuk dijadikan tanda ingatan sebelum menggunakannya. Setelah beberapa minggu berada di Mekah kami mendapat berita beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam pakaian ihram di Mekah hampir semasa dengan isteri saya melahirkan anak kami yang ketiga, perempuan Noor Baiti Zaini. Justeru yang kembali ke tanah air selepas musim Haji hanya bonda saya, Maimunah yang meninggal dunia berpuluh-puluh tahun kemudiannya.
Semoga Allah cucuri rahmat yang melimpah-ruah ke atas keduanya yang kami kasihi itu. Dan juga ke atas isteri saya, Asiah yang mengikuti jejak mereka kemudiannya.
Sejarah
Mengikut sejarahnya, Lapangan Terbang Pengkalan Chepa ini pernah dijadikan landasan kapal terbang Tentera Udara British, dan merupakan landasan pertama digunakan oleh Jepun di Tanah Melayu ketika mereka mendudukinya pada tahun 1941.
Kemudian saya mendengar sebagaimana biasa pramugari membuat sesuatu pengumuman yang menandakan Firefly akan memulakan penerbangannya.
Bila saya memandang keluar, cuacha baik, panas mata hari sewaktu-sewaktu menerbus masuk ke dalam Firefly. Walau pun tidak ada hujan, kadang-kadang Firefly terasa begegar kerana bertempuh dengan awan-awan tebal dalam perjalanan dari L.T. Ismail Petra ke L.T. Sultan Abdul Aziz Shah.
Saya menghabiskan hampir seluruh masa dalam perjalanan itu dengan membaca, dan hanya berhenti bila Firefly bergegar merempuh awan yang menganggu penglihatan mata untuk terus membaca.
Alhamduillah, Firefly memijakkan kakinya dengan selamat di Lapangan L.T. Subang setelah menghabiskan masa selama satu jama lebih sedikit selepas meredah angkasa yang luas terbentang.
Allahuakbar.
0 comments:
Post a Comment