Orang Besar yang istimewa

>> Wednesday, January 30, 2013




ORANG BESAR YANG ISTIMEWA

Gajah [Elephas maximus] adalah haiwan yang paling besar daripada ribuan haiwan daratan. Justeru ia boleh dianggap sejenis haiwan raksaksa. Kerana besarnya gajah itu, maka diperpatahkan orang tua kita, “Gajah mati meninggalkan tulang”,dan “Bangkai gajah mana boleh ditutup dengan nyiru”.


Gajah sejenis binatang yang istimewa, ia gagah dan kuat, mempunyai ingatan yang luar biasa, bijaksana dan memiliki sifat-sifat jasmaniah yang menarik.

Seperti sesetengah haiwan yang lain juga, gajah mempunyai nama jolokannya yang tersendiri. Di kalangan penduduk-penduduk di pendalaman gajah dikenali dengan gelaran “Orang Besar”. Pemberian nama-nama gelaran kepada haiwan-haiwan seperti itu biasanya ada pertalian dengan kepercayaan bahawa binatang-binatang bisa atau merbahaya itu tidak boleh disebut namanya secara langsung, terutama pada waktu malam, kerana itu ular dipanggil “cewer”, dan harimau dipanggil “pak belang”, tikus dipanggil “cik siti”,  takut-takut sebutan nama itu memberi erti menyeru atau memanggil binatang-binatang itu supaya datang.

Surah Al-Fil: Dalam kitab suci al-Quran terdapat sebuah surah yang berhubung dengan gajah. Allah S.W.T. menceritakan dalam Surah “Al-Fil” [Gajah] tentang seorang pengganas yang bernama Abrahah, Gabenor Yaman yang hendak menyerang dan menghancurkan rumah suci Allah, Kaabah. Tapi sebelum pasukan pengganas itu berjaya memasuki kota Mekah, Allah telah mengirim burung-burung yang menyerang tentera-tentera pengganas itu dengan melempari mereka dengan batu-batu kecil yang menyebabkan mereka binasa dalam keadaan yang ngeri.

Ayat itu sepenuhnya bermaksud:
1.“Tidakkah engkau [Muhammad] perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah

2,Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?

3.dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong

4.yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar

5.sehingga mereka dijadikan-Nya seperti daun-daun yang dimakan [ulat]”. Al-Afil: 1.5

Berbagai-bagai Budaya: Gajah juga terdapat dalam berbagai-bagai budaya dunia yang dihubungkaitkan dengan berbagai-bagai tahyul, legenda dan kepercayaan. Ada juga gajah itu dikaitkan dengan sejarah sesebuah kerajaan atau pemerintahan. Dalam kisah ini, gajah dikatakan dapat memilih seorang bakal raja pemerintah dari kalangan rakyat jelata, terutama yang masih kanak-kanak, jika pada  waktu itu tidak ada pewaris takhta kerajaan yang sah yang layak menaiki takhta nanti.

Dalam kepercayaan agama Hindu, terdapat gajah yang bermuka dewa Ganesha yang mereka puja dan sembah.

Gajah Putih: Gajah putih adalah sejenis gajah yang amat istimewa kedudukannya. Untuk memeliharnya pula tidak mudah dan memerlukan perbelanjaan yang amat besar.

Sesetengah suku kaum di negara Thailand dan Burma [Myamar]. pula menyembah gajah putih, kerana mereka percaya gajah putih  mempunyai pertalian tertentu dengan dewa-dewa yang mereka sembah.


Dalam cerita-cerita dari Thailand terdapat sebuah kisah yang menyatakan bila seseorang raja bencikan seseorang dan ingin membinasakannya, maka dikurniakan kepada orang itu gajah putih yang memerlukan perbelanjaan yang amat besar untuk memelihara dan menjaganya yang boleh menyebabkan orang itu terbinasa pada akhirnya. 

Maka orang-orang tua kita memperpatahkannya dengan kata-kata, “Seperti gajah putih ditambat”.

Gajah Mencari Kubur: Menurut kepercayaan umum, seekor gajah yang hendak mati, akan memasuki ke kawasan perkuburan komunal mereka, untuk menunggu kematian di situ. Tapi sampai ke hari ini, para penyiasat masih belum menemui kubur gajah yang mati beramai-ramai di sesuatu tempat seperti kepercayaan tersebut.

Hidung Panjang: Gajah adalah satu-satunya haiwan yang mempunyai hidung yang bukan sahaja panjang, malah paling panjang, dipanggil belalai yang digunakan untuk memegang sesuatu, seumpama tangan, seperti untuk menyuap makanan ke mulut atau menganggkat benda-benda yang ringan dan berat, seperti sebiji kacang atau sebatang kayu balak yang beratnya 270 kilogram.

Di hujung hidung atau belalai gajah  itu dilengkapkan dengan saraf yang amat sensitif, yang dapat mengecami bentuk sesuatu benda, kasar atau licin dan panas atau sejuk. Dengan belalai juga gajah membelai kekasih dan anak-anaknya sebagai tanda kasih dan sayang.

Kulit: Sebagimana diketahui umum, gajah mempunyai kulit yang tebal, iaitu 2.5 sentimeter [1 inci].

Namun begitu gajah mempunyai sistem pemanas badan yang lemah, oleh itu andainya sukatan suhu alam turun ke tahap hampir beku, gajah akan mengalami sakit perut kerana kesejukan.

Telinga Besar: Gajah Afrika mempunyai telinga yang besar yang digunakan untuk melaburkan kepanasan pada keseluruhan badannnya yang besar itu, dan di samping itu telinga yang besar itu juga digunakan sebagai kipas untuk mengipas-ngipas badannya supaya dingin ketika cuaca panas.

Bunyi Gajah: Gajah dapat mengeluarkan bunyi “berdaum” dan bunyi ini keluar dari dalam perutnya. Ia dipercayai kerana makan terlalu banyak tumbuh-tumbuhan. Namun begitu, mengikut pengamatan, gajah dapat mengawal  suara daumannya itu. Justeru bila seekor gajah dalam sesuatu kumpulan mendengar kemunculan bahaya, maka gajah itu pun akan berhenti berdaum yang diterima sebagai amaran kepada gajah-gajah yang lain lagi supaya diam dan bersiap siaga untuk menyambut ketibaan musuh bila-bila masa sahaja.

Gading: Raksaksa daratan ini dilengkapkan dengan sepasang gading yang kuat dan amat berguna kepadanya. Biasanya panjang gading itu ialah 2 meter dan beratnya kira-kira 140 kilogram.

Gading inilah digunakan sebagai senjata bila meletus perkelahian antara seekor gajah dengan gajah yang lain. Dan gading ini juga digunakan sebagai penggali untuk menggorek lubang-lubang bila takungan air kering dalam musim kemarau untuk mencari air.

Di samping gadingnya berguna untuk menjaga kepentingan gajah, tapi dengan gading ini jugalah gajah meraih petaka dan bencana, kerana gading inilah manusia dari sejak dahulu hingga sekarang, berebut-rebut memburu dan membunuh gajah untuk mengambl gadingnya. Sehingga dipepatahkan oleh orang-orang tua “Gajah mati kerana gadingnya”.

Kuat Ingatan: Menurut penyiasatan, seperti kebanyakan binatang-binatang yang lain juga, gajah mempunyai ingatan yang kuat. Oleh itu ia dapat mengingati dengan lama wajah seseorang yang pernah menyakiti atau mencederakannya.

Ketika tinggal di Lebir, sebuah kampung pendalaman Gua Musang, saya mendengar berbagai-bagai kisah menarik berhubung dengan kecerdikan sang gajah yang didakwa cerita yang benar oleh penceritanya kerana mereka terlibat sama di dalam peristiwa tersebut.

Suatu hari seorang daripada peneroka itu amat marah bila melihat anak-anak getahnya yang sedang membesar telah dimusnahkan oleh gajah. Di situ juga dia mengutuk, memaki hamun dan mencabar gajah-gajah itu supaya keluar berlawan dengannya.

Pada waktu itu para peneroka tinggal di rumah panjang, termasuklah peneroka tadi. Dia juga membuka kedai runcit di tempat dia tinggal itu.

Tiba-tiba pada malam itu datang sekumpulan beberapa ekor gajah menyerang rumahnya, merosakbinasakan barang-barangnya, termasuklah barang-barang runcit yang dijualnya. Gajah-gajah yang naik minyak itu menelan botol-botol kicap dan budu di samping memusnahakn barang-barang lain.

Nasib baik dia dan keluarga, sempat lari menyelamatkan diri. Yang menjadi tandatanya, bagaimana gajah-gajah itu dapat mencari rumah peneroka tersebut daripada sederet rumah panjang itu, dan gajah-gajah itu tidak pula sedikit pun menyentuh rumah-rumah orang lain, walaupun terletak di sebelah menyebelah rumah orang itu. Setelah bermaharajalela beberapa ketika, gajah itu pun berundur diri.

Usia Gajah: Sejauh yang diketahui,   gajah mempunyai usia yang paling lanjut, kadang-kadang menjangkau usia lebih dari 70 tahun, seperti Gajah Afrika.

Bantu Manusia: Sejak zaman berzaman lagi, haiwan raksaksa ini telah dipergunakan untuk membantu manusia dalam menjalankan pekerjaan-pekerjaan yang berat, seperti untuk menganggkut dan mengeluarkan balak-balak dari dalam hutan-hutan, terutama sekali di India, Sri Lanka, Burma dan Thailand, yang sampai hari ini pun dipercayai masih lagi menggunakan tenaga gajah untuk menjalankan pekerjaan-pekerjaan tersebut.

Masa Perang: Dalam masa Perang Dunia II dahulu, gajah-gajah telah dipergunakan untuk menganggkut alat-alat senjata melalui kawasan-kawasan hutan di Burma dan India.

Mengikut catatan sejarah juga, seorang jeneral di zaman purbakala, Carthage, iaitu Hannibal membawa pasukan gajah melintasi gunung Alps dan menakluki Itali.

Gajah Sirkas: Selain daripada menjalankan kerja-kerja berat, gajah juga dipergunakan sebagai bahan penghibur, untuk pertunjukkan di dalam sirkas-sirkas, kerana gajah dapat menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang luar biasa, seperti menari, bermain bola tampar, meletakkan kakinya yang berat di atas badan manusia tanpa mencederakannya, dan baring sambil begolek-golek seperti yang dilakukan oleh manusia.

Lemah: Sungguh pun gajah itu termasuk dalam golongan haiwan yang cerdik dan perkasa, tapi ia mempunyai daya cium, daya lihat dan saya dengar yang sangat lemah jika dibandingkan dengan tubuhnya  yang besar itu.

Gajah Dunia: Pada masa-masa yang lalu jumlah gajah di seluruh dunia amatlah banyak, bertaburan di sana sini. Tapi mengikut kajian, pada hari ini bilangannya amat merosot sekali, antara sebabnya kerana gajah selalu terdedah kepada ancaman pemburu-pemburu yang amat berminat untuk merampas gading-gadingnya yang amat berharga kepada manusia, terutama sekali untuk dijadikan perhiasan dan hulu senjata.

Pada hari ini, hanya terdapat dua jenis gajah sahaja yang didapati banyak jumlahnya di dunia ini, iaitu Gajah India dan Gajah Asia yang terdapat di Tenggara Asia, dan Gajah Afrika yang terdapat di kebanyakan tempat di benua itu dan juga di Selatan Padang Pasir Sahara.

Jenis Gajah: Gajah Afrika lebih besar dari Gajah India, dan kadang-kadang ada yang besarnya sampai 3.6 meter jika diukur pada bahagian baunya. Gajah inilah yang biasa kita lihat di zoo-zoo dan juga di dalam sirkas-sirkas.

Selain daripada perbezaan ukuran saisnya,  Gajah  India mempunyai telinga yang lebih kecil, dan mempunyai empat jari pada kaki belakangnya, bukannya tiga jari seperti kebanyakan gajah.

Undang-undang: Untuk mengatasi daripada ancaman kepupupusan gajah di dunia ini, sesetengah negara memperlindunginya dengan undang-undang khusus yang melarang keras sebarang penangkapan, pembunuhan dan pemeliharan gajah tanpa mendapat kebenaran yang khusus daripada pehak yang berwajib. Tanpa sebarang tindakan yang tegas, suatu masa nanti, kita mungkin tidak dapat melihat gajah lagi, kecuali di dalam zoo-zoo sahaja, itu pun dengan jumlah yang amat terbatas.








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP