Mereka Yang Jadi Hamba Abdi Tabiat
>> Monday, February 4, 2013
Ada dua jenis tabiat atau fill manusia. Pertama tabiat baik yang berguna
atau memberi rahmat dan faedah. Kedua tabiat buruk yang bukan sahaja tidak menelurkan
faedah, malah sebaliknya boleh merugi dan membinasakan mereka yang bertabiat
dengannya.
Sesuatu amalan yang diamalkan terus menerus dalam masa yang berpanjangan,
sudah pasti akhirnya amalan itu akan kekal menjadi tabiat atau fiil seseorang
yang menjadi sebahagian daripada corak dan gaya hidupnya.
Andainya kebiasan itu merupakan tabiat yang baik dan menghasilkan faedah sudah
tentu ia dialu-alukan dan menjadi puji-pujian, tapi andainya kebiasan atau
tabiat itu merupakan amalan buruk yang merugi dan membinasakan, tentulah ianya
tidak dialu-alukan atau tidak dikehendaki untuk terus dikekalkan sebagai pakaian
hidup seseorang.
Amalan bangun tengah malam untuk solat tahajud, adalah tabiat yang mulia,
wajar dikekalkan sepanjang hayat.
Tapi amalan bangun pagi lewat selepas matahari terbit, adalah tabiat yang
keji, patut segera dihentikan.
Amalan pergi ke masjid, lebih awal daripada azan dikemundangkan, adalah
tabiat yang terpuji dan wajar serta patut
dikekalkan sepanjang hidup.
Tapi amalan sampai lewat ke masjid, setelah imam bertakbir atau setelah
iman selesai rakaat pertama, dan berada dalam rakaat kedua, adalah tabiat yang
tidak baik, dan patut dihentikan daripada mewarnai kehidupan seorang Muslim.
Amalan menjauhi rokok dan tidak merokok merupakan tabiat yang dituntut dan dicontohi, patut
terus dipertahankan sebagai corak kehidupan seseorang Muslim.
Tapi amalan mencari rokok dan merokok, merupakan tabiat yang buruk dan membahayakan, dan patut
segera ditamatkan nyalaan apinya dengan apa cara sekali pun daripada terus
mengasapi kehidupan seseorang.
Amalan memabaca al-Quran setiap hari adalah tabiat yang amat terpuji dan
wajib diteruskan oleh semua anggota keluarga untuk melahirkan sebuah generasi
Islam yang baru, iaitu generasi al-Quran
Tapi amalan melupakan al-Quran dan tidak memperdulikannya dan tidak
membacanya, apa lagi cuba memahaminya, adalah tabiat yang keji dan tercela dan
patut dihentikan segera daripada menyelubungi keluarga umat Islam bila-bila
masa dan di mana-mana sekali pun..
Dan demikianah seterusnya di antara timbunan tabiat-tabiat baik dan sepahan
tabiat buruk, antara fiil mulia dan fiil yang keji.
Segala amalan yang telah menjadi tabiat ini sukar untuk ditinggal atau
dihapuskan, terutama tabiat buruk, ianya sukar untuk diubahkan tanpa azan yang
kuat dan semangat yang waja. Ianya telah menjadi sebati dengan darah daging
kita.
Itulah sebabnya, bila tiba waktu dan
sampai tempatnya, amalan yang telah menjadi tabiat itu akan terus kita
kerjakan, samada dengan kesedaran atau tidak dengan kesedaran kita. Ia berlaku
secara spontan.
Kalau kita setiap hari terpaksa menempoh perjalanan yang agak jauh untuk
pergi ke tempat kerja, dan sering berhenti di sesuatu tempat yang sama dalam
perjalanan itu kerana hendak buang air kecil, maka lama-lama, hari demi hari berlalu
ia akan membentuk tabiat dalam diri kita. Sebaik-baik sahaja sampai di tempat itu,
mahu atau tidak mahu, secara spontan kita akan terasa hendak kencing dan
terpakasa berhenti untuk memuaskan tabiat kita itu.
Tidaklah mudah untuk kita memberhentikan tsesuatu tabiat yang telah bertahun-tahun
menjadi amalan kita. Memanglah tidak mudah untuk menentang sesuatu tabiat yang telah
lama dan telah jauh terbentuk dalam diri, hati, dalam perasaan dan dalam jiwa
kita. Jutseru itu kebanyakan dari kita, disedari atau tidak disedari menjadi
hamba abdi kepada tabiat buruk kita. Tapi kalau tabiat itu dari jenis yang
menguntungkan, tidak mengapa, tapi kalau tabiat itu dari jenis tabiat merugikan, bagaimana?
Tabiat inilah yang sering menjadi batu penghalang kepada kita untuk
berubah, untuk bertranformasi. Kalau kita seorang ahli politik yang suka
berdusta, suka menipu, suka memfitnah yang telah merupakan sebahagian daripada
gaya hidup kita, tentulah sukar kepada kita untuk berubah dan berhenti untuk menjadi
seorang yang amanah dan jujur, tanpa ada sesuatu yang faktor yang mendesak atau
memaksa kita untuk berbuat demikian.
Namun begitu, orang-orang yang waras, tidak akan mengizinkan dirinya
terikat dengan segala sepahan amalan yang buruk, dan mengamalkannya terus
menerus sehingga menjadi tabiat buruk yang merosakkan dirinya hingga ke akhir
hayat.
Sebaliknya orang-orang yang bijaksana akan memilih mana-mana amalan yang baik
untuk membinanya menjadi tabiat yang akan memberi keselesaan dan kebahagian
kepadanya, baik untuk jangka waktu yang pendek atau panjang. Dengan itu dia boleh
mengistiyarkan dirinya sebagai seorang insan yang bebas dan merdeka dalam
hidupnya daripada ikatan tabiat buruk.
Sebaliknya seseorang yang memilih tabiat-tabiat yang buruk untuk dijadikan
pakaian hidupnya akan ditimpa oleh kesan negatif yang buruk, penderitaan dan
dan kecelakaan. Dengan itu dia telah menjadi seorang hamba abdi kepada tabiat
buruknya itu.
Seseorang yang mempunyai tekad dan azam yang kukuh sudah tentu dapat membersihkan dirinya dari sebarang
tabiat buruk yang dimilikinya. Tabiat-tabiat buruk itu telah memperhambakannya. Sebaliknya
dia akan menggantikan tabiat yang buruk itu dengan tabiat yang baik dan terpuji yang akan menganugerahkan
kebahagian kepadanya. Dengan itu dia menjadi merdeka dan bebas daripada
perhambaan tabiat buruk yang telah
sekian lama membelenggu dirinya sebagai seorang insan.
Setelah tabiat baik berjaya ditanam dalam dirinya dan dia berjaya menumpaskan
segala tabiat buruk yang bersarang pada dirinya itu, maka tidaklah ada lagi keperluan
kepadanya untuk menukar atau menggantinya dengan tabiat lain lagi. Apa yang
perlu dilakukan lagi ialah menambah yang baik kepada yang lebih baik. Kalau
dahulu dia baca al-Quran hanya tiga muka surat sahaja sehari, tapi hari ini dia
telah meningkatkanya lagi kepada sepuluh muka surat shari.
Mereka yang menyedari dan menganggap serta melayan tabiat buruk itu sebagai
musuh mereka, sudah tentu akan berjuang untuk membunuhnya dan menggantikannya dengan tabiat-tabiat baru yang
baik dan mulia. Dan kejayan dalam hal ini akan memberi lebih kepuasaan
kepadanya.
Hanya orang-orang yang menjadikan tabiat buruk itu sebagai sumber yang memberi kenikmatan kepadanya
sahaja yang enggan berpisah dengan tabiat buruk itu. Tabiat buruk itu telah menjadi
satu kepentingan yang keji kepadanya.
Para perokok sukar untuk berhenti merokok, selagi dia menganggap rokok
memberi suatu kenikmatan yang tidak dapat diberikan oleh benda-benda lain
kepadanya. Tapi bila dia jatuh sakit
akibat merokok, maka sikapnya mungkin berubah daripada sayang kepada
rokok bertukar kepada benci kepada rokok. Masa itu rokok kepadanya bukan lagi
sumber kebahagian, tapi menjadi sumber kepetakaan yang menuntut dia segera
berubah dengan berhenti merokok.
Demikian juga dengan ahli-ahli dadah, selagi mereka beranggapan dadah itu satu-satunya
sumber kebahagian hidupnya, maka adalah sukar kepadanya untuk berhenti berdadah, dan dia hanya berhenti
berdadah setelah dia merasa dadah itu menjadi musuh kepadanya, mengancam
keselamatan dirinya, dan keluarganya, dan juga merasa takut terhadap hukuman
Allah yang akan diterimanya nanti.
Sebahagian daripada tabiat yang kita miliki sekarang bukanlah semuanya
hasil dari usaha kita sendiri. Ia telah lama terbentuk dalam diri kita,
berpanjangan, turun temurun dari nenek moyang kita dahulu lagi. Kebiasaan makan
nasi setiap hari, tiga kali sehari, bukanlah terbentuk dengan usaha kita, tapi
ia telah dipupuk sejak kita masih kecil lagi, oleh orang tua kita yang juga
dibentuk tabiat oleh orang tuanya pula. Demikianlah sambung bersambung dari
sejak dahulu hingga sekarang.
Tapi warisan ini bukanlah alasan untuk kita tidak mahu mengubah tabiat kita
yang buruk kepada tabiat yang baik. Ingatlah walau pun manusia tidak dapat
mengubah alam semula jadi ciptaan Allah S.W.T., tapi manusia mampu hidup damai
seiring dengan alam semula jadi itu dengan melakukan berbabagi-bagai penyesuaiyan
diri yang perlu yang wajar demi survival dan kemuliaan mereka.
Kalau ada tembok tinggi menghalang perjalanan kita, dan kita tidak dapat
meruntuhkannya untuk melepasinya, maka kita perlu berikhtiar mencari tangga
atau sigar untuk melepasinya dan sempai dengan selamat di sebelah sana.
Demikian juga jika dihadapan kita ada sebatang sungai yang luas, airnya dalam
dan deras, kita tidak mampu untuk mengeringkan airnya atau menghaurngnya untuk
sampai ke seberang, maka kita perlu mencari perahu atau kapal untuk menyeberanginya
dengan selamat ke seberang sana. Ertinya kita memilih jalan yang betul dan selamat yang
menguntungkan tanpa perlu berperang dengan rintangan-rintangan itu, yang
memangnya di luar dari kemampaun kita untuk berbuat demikian.
Orang-orang bukan Islam mempunyai tabiat menyembah berhala-berhala. Entah
berapa lama mereka sudah berbuat demikian. Tapi dengan kekuatan azam, tabiat
itu boleh mereka rungkaikan, dan dengan menerima taufik dan hadiah Allah mereka
berjaya berubah meninggalakn segala tabiat sembah-sembahan mereka dan menjadi seorang Muslim. Sememangnya
manusia memang boleh berubah jika mereka
ada kemahuan. Berubah kepada perkara yang lebih baik. Dari kegelapan menuju
kepada cahaya.
Peranan syaitan pula bukanlah kecil dalam memperdayakan manusia supaya terus
kekal berada dalam lautan madu tabiat
mereka yang jahat dan buruk. Para pendosa ingin berubah, ingin segera
bertaubat, meninggalkan segala tabiatnya yang buruk, tapi syaitan memberi
motivasi kepadanya supaya jangan segera berubah, jangan segera berubah, jangan
segera menukar tabiat yang telah sekian
lama memberi kenikmatan kepada anda, jangan segera bertaubat, kerana masa masih
panjang. Hidup selesalah dengan tabiat yang sedia ada pada diri anda, buat apa
bersusah-susah payah meninggalkannya. Teruskan dan teruskan.
Maka dengan motivasai dan hasutan syaitan itu anda pun tidak ingin segera mengubah
tabiat buruk anda, dan ingin hidup kekal di dalamnya, berenang sepuas-puas hati
dalam air yang telah diracuni syaitan.
Oleh itu jika sesiapa sahaja ingin mengubh tabiat buruknya kepada yang baik,
menukar tabiatnya yang keji dan hina kepada tabiat yang mulia dan terpuji,
janganlah teragak-agak, jangan menempoh-nempoh, ayuh, kuatkan tekad, pejalkan
azam, dan teruslah berjuang untuk menyingkirkn tabiat buruk dan menggantikannya
dengan tabiat yang baik, Insayallah anda berjaya. Jangan merelakan diri anda
menjadi kuda tunggangan syaitan, menjadi abdi kepada tabiat yang keji yang di
belakangnya terdapat syaitan yang mengekang tali kekangannya. Ubahlah sekarang
juga. Jangan tunggu masa, kerana masa terus berjalan dan tidak akan mengubah
tabiat anda, dan tidak akan mengubah anda tanpa anda berusha.
Jangan terus menerus merelakan diri anda menjadi hamba abdi sepanjang hayat kepada tabiat buruk anda.
Bebaskan diri anda dan jadikan diri anda seorang insan yang bebas merdeka daripada tabiat
yang buruk dan hamba Allah yang mulia dan diredaiNya.
0 comments:
Post a Comment