Ini Nasi Yang Kusuap Dari Keringat Para Petani

>> Sunday, February 17, 2013



INI NASI YANG KUSUAP DARI PELUH PARA PETANI


Setiap hari, kita penduduk Malaysia, Indonesia  dan negara-negara lain di benua Asia makan nasi yang menjadi makanan utama kita. Dalam bahasa Arab, nasi ialah “ruz” atau “aruz’.

Pada umumnya dalam nasi [beras] yang kita makan itu  mengandungi bernaneka zat, seperti protein, lemak, karbohidrat, kalsium, potassium, zat besi, vitamin A, dan lain-lain zat lagi.

Justeru itu beras atau nasi berguna untuk kesihatan badan. Mengenai nasi, Rasulullah SAW. dilaporkan bersabda, “Nasi adalah sebagai ubat penyembuh, dan tidak ada penyakit di dalamnya”.

Nasi yang kita suapkan ke mulut setiap hari itu berasal dari padi, iaitu sejenis tumbuhan berguna yang banyak terdapat di dunia.

Padi mempunyai sejarah hidup yang panjang yang tidak dapat ditentukan dengan tepat sejarah pertumbuhan dan perkembangannya di kalangan sejarah umat manusia.

Adalah dipercayai tanah air tumbuhan padi adalah negara India atau Indochina, dan dipercayai telah dibawa masuk oleh nenek moyang kita ke negara kita dan juga Indonesia  sejak tahun 1500 SM lagi untuk dijadikan makanan utama.

Malah padi yang diproses menjadi beras, merupakan salah satu daripada tiga jenis makanan utama penduduk dunia  hingga ke hari ini, iaitu di samping jagung dan gandum.

Padi adalah sejenis tanaman berbuah  yang diperolehi daripada pohon padi yang banyak ditanam di negara kita. Buah-buah padi itu mengandungi isinya yang dibaluti oleh kulit yang diapanggil sekam bila bercerai dari isinya.

Justeru padi itu tidak boleh terus dimakan seperti kebanyakan buah-buahan lain, seperti buah-buah jambu, buah mempelam, dan sebagainya, maka ia terpaksa melalui memprosesan yang khusus untuk meannggalkan kulit dari isinya. 
Seperti dengan buah-buah yang lain juga. Walau pun dari spises yang sama, ukuran besar kecil buahnya tidaklah sama. Pada umumnya ia dibahagikan kepada dua, iaitu beras panjang dan beras pendek. Beras panjang dianggap beras yang cantik, apa lagi kalau tidak patah-patah bila ditanak. Biasanya beras inilah dijadikan nasi istimewa, seperti nasi beriani atau nasi minyak.

Bila kulit dan isinya telah bercerai, maka namanya pun juga terus bertukar, kulitnya dipanggil sekam, bukan kulit padi, dan isinya pula dipanggil beras, dan bukan lagi isi padi.

Sedangkan kebanyakan buah-buahan lain, setelah diceraikan komponan-komponannya pun masih juga disangkut kepada nama aalnya. Katakanlah buah durian: kulitnya tetap dipanggil kulit durian, demikian juga dengan butirnya- butir durian, isinya- isi durian, kalau dibuat makanan pun masih juga disangkut dengan nama duriannya, seperti jemput-jemput, dipaggil jemput-jemput durian, makan pulut-dikatakan pulut durian, wajek, dikatakan wajek durian, kek, dikatakan kek durian, aiskrim, dikatakan aiskrem durian, makan budu, dikatakan budu durian. Hanya ada satu benda sahaja yang diproses  dari durian, tapi tidak disangkutkan dengan nama asalnya durian- tempoyak, iaitu durian yang dibiarkan masam. Tidak ada orang panggil tempoyak durian.

Secara tradisionalnya, untuk menanggalkan kulit padi dari isinya untuk mendapat bahan yang dipanggil beras, padi-padi itu ditumbuk atau dikisar dengan lesung yang khas, yang diperbuat dari sebatang kayu besar dan keras dan ditebuk lubang, dan menggunakan alu kayu yang panjang yang dijadikan penumbuknya. Demikian juga dengan alat mengisar padi yang dipanggil kisaran.

Tapi hari ini, kedua-dua alat tradisional ini sukar lagi untuk dilihat, kerana telah diganti dengan alat-alat jentera yang menggunakan tenaga elektirik sesuai dengan kemajuan semasa yang begitu pesat.

Secara tradisionalnya ada dua cara untuk mengambil buah-buah padi  daripada pohon-pohonnya yang ditanam dalam sawah atau di tanah-tanah huma.

Pertama dengan cara diketam tangkainya, setangkai demi setangkai dengan menggunakan alat khas yang dipanggil ketam untuk menceraikan tangkai-tangkai padi daripada batangnya. Selepas diketam, batang-batng padi itu tidak lagi dipanggil batang padi, tapi dipanggil jerami.

Cara kedua ialah dengan jalan memotong batang padi dari paras umbinya dengan menggunakan alat yang dipanggil sadat atau sabit. 

Kerja ini dipanggil mengetam padi.

Cara yang kedua ini, iaitu secara memotong  lebih cepat dari cara yang pertama yang begitu kompliketed dan memakan masa yang lebih lama untuk menyelesaikannya. 

Kerja ini dipanggil memotong padi.

Kemudian padi-padi yang telah dipotong atau diketam itu terpaksa dipisahkan dari tangkai-tangkainya.

Padi-padi yang diketam itu dipisah dari dari tangkai-tangkainya dengan jalan dipijak atau diherek dengan kaki setelah diletak di atas pelantaran yang dijalin dari buluh dan diberi berlubang-lubang kecil untuk padi-padi itu jatuh bila bercerai dari tangkainya.

Alatnya berupa sebuah alat tapisan yang khas dibuat secara tinggi dan bertiang di mana di bawahnya padi-padi yang relai daripada tangkainya bila diherek itu jatuh dan berkumpul atas tikar atau apa-apa bendaa yang digunakan untuk menadahnya.

Kerja ini dipanggil mengherek pagi. Kanak-kanak pun boleh melakukan kerja mengherek padi ini.

Tapi kaki-kaki orang-orang yang sensitif, mengherek padi boleh menyebabkan kaki mereka terasa gatal kerana miang padi.

Bagi padi-padi yang dipotong atau dikerat atau dicerut pula, buah-buah padi itu diceraikan daripada batangnya dengan jalan dipukul, atau dibanting iaitu dengan jalan memukulnya di dalam sebuah kotak kayu yang dibuat khas untuk tujuan tersebut. Padi-padi itu dipukul berulang-ulang kali dengan memegang pada bahagian bawah batangnya yang diikat sebesar yang sesuai dengan gengaman pemukulnya, hingga semua padi bercerai daripada tangkainya dan masuk ke dalam tongnya.

Kerja ini dipanggil memukul padi.
Kedua-dua kerja memotong dan mengetam padi ini mungkin sudah tidak digunakan lagi sekarang, kerana telah diganti dengan alat jentera yang kedengaran mengaum di sawah-sawah padi sekarang bila tiba musim menanam.

Kerja-kerja menanam anak-anak padi di sawah ini dipanggil mencedung. Anak-anak padi yang dipindah atau dicedung itu yang dianggil “semai” diambil atau dicabut daripada tapak semaian yang khas tanpa berendam dalam air seperti di sawah.

Kemudian, padi-padi yang telah bercerai dari tangkai itu dijemur terlebih dahulu untuk selama tiga hingga tujuh hari, tergantung kepada cuaca panas matahari.

Selepas itu padi-padi disimpan dalam kembung atau bekas padi yang khas yang disimpan rumah padi yang juga dibina khas berhampiran rumah untuk kegunaan masa-masa yang perlu.

Ataupun sebaliknya padi-padi yang kering itu terus dipisahkan kulit dan isinya sebagaimana diriwayatkan di ats tadi untuk dimakan, dengan jalan ditumbuk ataupun dikisar dengan lesung atau pengisar padi yang khas.

Kerja ini dipanggil menumbuk atau mengisar padi.

Padi-padi itu setelah bercerai daripada isinya tidak dipanggil kulit padi, kerana ia mempunyai panggilan yang khas, iaitu sekam.

Sekam dijadikan baja setelah dibakar menjadi abu.

Selain itu serbuk beras yang hancur itu pula dipanggil dedak. Ia boleh digunakan sebagai makanan haiwan ternakan, seperti ayam dan itik.


Beras yang hancur dan kasar-kasar sedikit pula dikenali dengan nama yang khas melukut. Ia biasanya digunakan untuk makanan ternakan, burung-burung dan ayam itik.

Untuk membolehkan beras-beras itu kita makan, ia perlu melalui proses lagi, di mana ia perlu dimasak atau ditanak, yang dipanggil menanak nasi, di mana beras-berasi itu dimasukkan ke dalm periuk yang berisi air mengikut sukatan  yang tertentu.

Tapi kalau air yang dimasukkan itu terlebih banyak, beras yang ditanak itu menjadi lembek dan tidak pula menjadi nasi seperti sepatutnya, maka dipanggil nasi air atau terus menjadi bubur-bubur nasi atau nasi bubur.

Nasi lemebk ini boleh dicampur dengan susu atau santan kelapa, dan dimakan dengan sambal ikan kering.

Beras-beras yang dimasak itu selain daripada dimakan sebagai nasi biasa sebagaimana yang kita makan hari-hari, ia juga boleh dibuat ketupat beras yang menggunakan daun kelapa sebagai sarang atau prmbungkusnya, atau nasi tumpang yang dibungkus dengan daun pisang berbentuk kon. Atau dijadikan nasi kapit atau nasi himpit untuk dimakan dengan kuah dan satay.

Beras yang dijadikan nasi itu dikenali dengan panggilan beras jemah.

Di samping itu ada lagi sejenis beras yang dipanggil beras pulut yang juga perlu ditanak untuk dimakan, biasanya sebagai makanan tambahan dengan cara-cara tertentu dan mengikut cara-cara tempatan.

Beras pulut itu bila dimasak dengan cara-cara tertentu yang menggunakan santan boleh dibuat ketupat, iaitu ketupat tiga bucu yang tawar dan manis, atau dibuat pulut lepa yang berbentuk bulat panjang dan berinti sambal udang, sambal ikan atau sambal daging, atau diperbuat pulut bakar yang bentuk bulat leper. Boleh juga dibuat pulut dakap dengan membungkusnnya dengan daun pisang dan didakapkan dua-dua biji sedakap dengan menggunakan urat-urat pisang sebegai tali kemudian dimasak atau direbus seperti merebus ketupat tiga bucu.

Sebelum dijerang atau dimasak, biasanya beras itu dibasuh terlebih dahulu, biasanya sebanyak tiga kali. Air basuhan beras itu boleh digunakan untuk menyiram pokok untuk menyuburkannya.

Beras-beras yang ditumbuk atau dikisar halus, dipanggil debu beras atau tepung beras, boleh digunakan untuk membuat aneka kueh, terutama kueh-kueh tradisional, seperti koleh, tepung bokor dan sebagainya.


Demikianlah secebis kisah nasi yang kita suap, dan kita mamah-mamah dan kunyah-kunyahkan dan telan adalah  hasil daripada mandian keringat yang membanjiri sekujur jasad para petani yang berhujan dan berpanas, bukan sehari, bukan sebulan tapi untuk semusim yang berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan hasilnya sebagai beras yang merupakan sebahagian besar daripada budaya hidup manusia sejagat hari ini,





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP