Pengalaman Aneh Seorang Doktor
>> Wednesday, February 20, 2013
Mendiang Dr. Silas Weir Mitchell
[1824-1914] dari Philadelphia, Amerika
Syarikat adalah seorang doktor dan penulis yang terkenal dan dihormati sebagai
seorang doktor. Dalam tugasannya yang lama itu beliau pernah menyandang jawatan
Persatuan Doktor-doktor Amerika [1887] dan
Pengerusi Pertubuhan Doktor-doktor Saraf, Amerika [1908-1909], yang merupakan jawatan penghormatan kepada beliau.
Justeru dengan latar belakang
inilah, keganjilan pengalaman yang dialaminnya sukar untuk disangkal.
Pesakit beliau yang terakhir
meninggalkan pejabatnya kira-kira pukul 10.30 malam yang begitu panjang dan
meletihkan beliau. Dengan mengeluh lega doktor yang berumur itu menggantungkan
steteskop, memadamkan lampu gas dalam bilik menunggu, kemudian berjalan
melintasi dewan menuju ke dapur rumahnya untuk meminum segelas susu.
Beberapa detik kemudian, ketika
beliau sedang memeriksa pintu hadapan rumahnya untuk mempastikan pintu itu
benar-benar berkunci, beliau melihat debu-debu salju yang tebal masih
berguguran dan menutupi kiri kanan jalan
di hadapan rumahnya setebal beberapa inci. Doktor Mitchell mengecilkan lampu
gas di dewan hadapan dan berjalan ke bilik tidurnya di tingkat atas.
Setengah jam kemudian, ketika
beliau sedang terbaring membaca buku, loceng hadapan rumahnya berdering dengan
kuat; atau adakah beliau mendengar sesuatu? Sejurus kemudian loceng itu
berdering lagi, kali ini makin kuat. Sesiapa pun orang itu, dia akan pergi,
jika beliau tidak menjawab panggilannya. Tapi apa akan jadi, sekiranya panggilan
itu begitu penting yang melibatkan seorang daripada pesakitnya yang ramai sakit
berat di rumah mereka? Beliau tidak mempunyai pilihan, selain dari menyarung
pakaiannnya dan selipar, kemudian berjalan menuju ke tingkat bawah dengan
gontai.
Bila beliau membuka pintu,
tercegak seorang gadis yang begitu asing kepadanya. Beliau memerhati gadis itu,
pakaiannya begitu nipis dalam malam yang sebegitu rupa tanpa kot dan berkasut
tinggi yang berbutang, berpakaian bulu warna hijau tua dan berkelubung dengan
kain warna kelabu yang disimpulkan di bawah dagunya. Doktor itu dengan segera
menduga, bahwa gadis itu dari golongan miskin di bandar itu yang tinggal di lereng
bukit, tidak berapa jauh daripada rumahnya.
“Silalah masuk”. Kata doktor itu.
Gadis itu melangkah setapak ke dalam rumah. “emak saya sakit tenat”, katanya, “dia
sangat memerlukan tuan. Marilah ikut saya”.
Dr. Mitchell ragu-ragu. Gadis itu
begitu asing kepadanya untuk dia keluar di larut malam, dalam hujan salju
sebegitu rupa. Beliau tidak bersedia untuk pergi.
“Tidakkah anakku mempunyai
seorang doktor keluarga?”. Tanya Dr. Mitchell. Gadis itu mengeleng-gelengkan
kepalanya, dan salju bertaburan dari kelubungnya.
“Tidak doktor. Dan emak saya
sakit teruk benar dan tuan doktor, silalah datang bersama saya. Tolonglah,
marilah kita pergi sekarang”.
Mukanya yang pucat lesi berkerut
dan dengan suaranya yang menunjukkan dia begitu mustahak serta dengan air
matanya mulai berladung, memaksa doktor itu menurutinya.
Doktor Mitchell menyuruh dia duduk,
sementara menunggu beliau memakai pakaian, tapi gadis itu menjawab dia lebih
suka berdiri. Kemudian doktor itu dengan tergesa-gesa ke tingkat atas.
Beberapa detik kemudian dengan
panduan gadis itu mereka menuju ke bukit yang telah diduganya tadi dengan berjalan
dalam hujan salju. Dr. Mitchell mengetahui
jiran-jiran tempat mereka tujui itu terdiri daripada pekerja-pekerja
kilang yang murah gajinya dan hidup dengan kais pagi makan pagi dan kais petang
makan petang. Beliau telah kerap kali berkunjung ke sana sepanjang beliau bertugas,
dan kali ini tentu tidak membahayakannya, malah mungkin dapat menyelamatkan
sebuah nyawa.
Gadis itu tidak bercakap sepatah
pun sejak mereka meninggalkan rumah beliau. Dia mendahulinya dua atau tiga langkah
di hadapan doktor itu dalam salju-salju yang lembut tanpa menoleh ke belakang.
Akhirnya dia berpaling menuju ke arah satu lorong yang sempit antara
rumah-rumah yang usang dan penghuni-penghuninya yang melarat dengan di diekori
oleh doktor itu. Gadis itu meraba-raba tangga yang gelap menuju ke sebuah bilik
yang kotor di mana sebuah pelita minyak kelihatan menyala kekuningan menenrusi
jejaring rumah itu. Gadis itu perlahan-lahan membuka pintu dan memberi jalan
kepada doktor itu untuk masuk.
Kemalaratan menyelubungi rumah
itu. Sehelai hamparan yang koyak rabak hanya menutupi di tengah-tengah lantai
yang usang, ada sebuah almari di sebuah sudut, dan ada sebuah tungku dapur
yang tidak berasap. Dan di atas ranjang di sudut bilik itu, seorang wanita
pertengahan umur sedang berjuang menghadapi maut. Dr. Mitchell pun melaksanakan
tugasnya.
Wanita itu menghidap penyakit radang paru-paru, dan seperti yang dikatakan oleh gadis itu sakitnya begitu tenat. Dalam keadaan begitu, tidak banyak yang dapat dilakukannya, selain daripada memberi pertolongan cemas. Beliau terpaksa datang lagi besok hari. Beliau memerhati wanita itu dan merasa lega, kerana wanita itu masih sedarkan diri- ini berguna.
Dr. Mitchell memandang keliling
mencari gadis tadi yang membawanya ke situ. Sebuah api perlu dihidupkan- wanita
itu tidak mampu menghadapi kesakitan dalam bilik yang dingin itu. Kemudian Dr.
Mitchell teringat bahawa beliau tidak pernah melihat gadis tersebut sejak
beliau masuk ke bilik itu. Beliau memandang sekeliling sekali lagi. Pintu buruk
yang nipis itu masih terbuka. Pakaian yang dipakai oleh gadis tadi beberapa
minit yang lalu tergantung di pintu itu. Bilakah gadis itu menyalin pakaiannya
ketika beliau ada bersama-sama dalam bilik itu?
Beliau mendekati pintu dan
memeriksa pakaian itu dengan diperhati oleh wanita yang sakit itu. Dr. Mitchell
menjamah kasut dan kain kelubung itu, tapi semuanya kering.
“Itu kasut anak gadis saya”, kata
wanita itu dengan termengah-mengah.
“Ya, saya tahu”, jawab Dr.
Mitchell, “Tapi mana anak awak itu? Saya perlu bercakap dengannya”. Sambung
doktor itu lagi.
Kemudian sepi begitu lama.
Perlahan-lahan wanita yang sakit itu berpaling menghadapinya dengan air mata yang
berderaian.
“Bercakap dengannya? Doktor, dia
telah mati dua bulan yang lalu”. Balas wanita itu.
0 comments:
Post a Comment