MASA HADAPAN ANDA MENGHALA KE MANA?

>> Saturday, February 23, 2013




MASA DEPAN ANDA MENGHALA KE SYURGA ATAU KE NERAKA?


Kita berada dalam masa. Malah kita hidup dalam masa. Justeru masa amat penting kepada kita, malah kepada setiap yang hidup, khususnya hamba-hamba Allah seperti kita manusia.

Selain daripada masa, kita memerlukan ruang atau tempat untuk hidup. Tapi ruang tidak mungkin wujud tanpa masa yang menjadi salah satu penentu yang penting kepada kewujudan sesuatu di dunia ini.

Pada umumnya masa itu terbahagi kepada tiga babak. Masa lalu, iaitu masa yang telah lepas, masa sekarang, iaitu masa yang sedang dilalui dan masa akan datang, iaitu masa yang masih belum ditempoh.

Ketiga-tiga fasa masa itu saling kait mengait antara satu sama lain, tidak boleh dipisah-pisah, masa yang lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Ia berkait dalam wadah yang amat penting, saling tentu menentukan.

Tidak ada masa kelmarin, kalau tidak ada masa hari ini, tidak ada masa hari ini, kalau tidak ada masa kelmarin; tidak ada masa besok, kalau tidak ada hari ini, tidak ada hari ini kalau tidak ada besok. Ketiga-tiganya terjalin rapat dalam ikatan yang tidak dapat direlai-relaikan.

Masa yang berlalu, telah pergi, dan tidak akan kembali lagi sebagai masa, ia telah keras dan beku yang di dalamnya menyimpan segala natijah hasil daripada segtala tindakan kita hari ini. Kita akan memikul segala risikonya, putih atau hitam, baik atau buruk.

Masa sekarang masih ada dalam tangan kita, dan kita perlu membetuk masa sekrang dengan sebaik-baiknya utnuk memiliki masa depan yang bernilai supaya berada dalam gengaman kita. Hari ini, masa ini adalah masa pembentuk hari depan, hari akan datang kita. Hari ini adalah hari penentunya.

Biasanya masa itu dirujukkan kepada abad, dekad, tahun, bulan, minggu, hari, jam dan detik. Kadang-kadang pula dirujukkan kepada ketika, jam, pukul dan waktu.

Tapi apakah masa depan itu? Kemanakah kita hendak menghalakan masa depan kita itu? Buatlah keputusan dengan baik dan bertindaklah dengan wajar, untuk menjamin masa depann yang cemerlang dan gemilang.

Pastikan kita memiliki “masa depan:, atau “ada masa depan” ataupun cerah masa depan, dan jangan jadikan diri kita tidak ada masa depan, atau mempunyai “gelapa masa depan”.

Tapi tahuah kita di manakah masa depan kita itu hendak kita bawa? Ke mana hendak kita tuju dalam meniti arus kehidupan yang bersimpang siur ini? Kemana dan di mana?

Ketika membicarakan masa depan kepada manusia Islam, guru saya Allahyarham Yusoff Zaky Yacob, semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya berkata kehdiupan abadi yang hakiki  ialah kehidupan di Alam Akhirat.

Sebaliknya kata beliau, kehdiupan di dunia ini merupakan kehidupan yang tidak kekal, yang fana, yang diibaratakanya sebagasi negeri perasinggahan dan tumpanagan sementara untuk mencari bekalan untuk melayakkan kita menjadi calun Syurga di Alam Akhirat.

Justeru itu, katanya kejayaan di alam dunia semata-mata tidak seharusnya dijadikan matlamat hidup seroang manusia, kerana matalamat itu terlalu kecil, terlalu pendek dan terlalu terdedah kepada kemusnahan dan kefanaan yang amat cepat.

Matlamat keduniaan itu juga, katanya tidak sesuasi dengan nilai mertabat  insan yang amat tinggi di sisi Alah sebagai makhluk-Nya yang paling mulia dan istimewa.

Kenapa tidak?

Beliau seterusnya berhujah, “Seluruh alam dengan segala isi dan penghuninya adalah diciptakan Allah untuk kemudahan dan kesmpurnaan hidup mereka. Seluruh Rasul diutus untuk memimpin mereka ke jalan yang diridai Allah. Seluruh Akhirat yang penuh dengan ni’mat-ni’mat hakiki dan abadi dijadikan Allah untuk ganjaran amalan-amalan mereka di dunia”.

Pada hemat kita, hanya makhluk-makhluk kurang sempurna akalnya sahaja yang berani menafikan dengan dakwaan mereka bahawa  dunia yang abadi itu tidak akan ada, dunia hakiki itu tidak ada, alam Akhirat itupun tidak ada, dan ianya merupakan imaginiasi orang-orang tidak siuman sahaja, kerana kata mereka makhluk ini tidak akan dibangkitkan  kembali lagi selepas mereka mati di dunia ini, sebagaimana sering didakwa oleh umat jahiliah dahulu.

Sedangkan menurut beliau, keni’matan hidup dunia semata-mata hanya layak dengan kehidupan makhluk-makhluk haiwan yang tidak berfungsi menjunjung amanah dan khalifah Allah di bumi, dan tidak diberi penghormatan untuk menyambung kehidupan yang kekal abadi di alam Akhirat.

Justeru itu, manusia yang mementingkan dunia dan membelakangkan Akhirat, darjah mereka samalah dengan darjah haiwan yang tidak berakal dan berfikiran- seperti lembu, kambing dan ayam dan itik, malah mungkin lebih hina dari itu lagi.

Oleh itu, kata beliau, dalam Islam apabila disebut msa depan, maksudnya bukanlah masa dalam kehidupan dunia sahaja, malah yang lebih penting dan yang lebih dititkbertakan ialah masa depan di alam Akhirat selepas seseorang itu menamatkan masa hidupnya dalam dunia ini.

Kerana itu, jika seseorang Mukmin kehilangan masa depan kehidupan dunia dalam bentuk kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan duniawi, maka ini belum lagi  bererti  bahawa dia telah kehilangan masa depannya seperti yang dianggapkan menurut penilaian bumi dan menurut kaca mata mereka yang menolak alam Akhirat.

Biasanya masa depan  dalam kehidupan dunia digambarkan sebagai  kejayaan mencapai kedudukan terhormat dalam masyarakat melalui ilmu pengetahuan, kewangan dan pekerjaan di samping menikmati kesihatan dan kententeram jiwa.

Islam tidak pernah menolak dunia, meninggalkan dunia dan mementingkan Akhirat semata-mata. Dunia dan Akhirat sama-sama dijaga, supaya berjalan licin serentak tanpa berlaku sebarang konflik kepentingan yang akan merosakkan usaha yang meletakkannya dalam perimbangannya yang wajar.

Malah ujar beliau, kejayaan-kejayaan ini juga diterima oleh Islam sebagai teras konsep masa depan kehidupan dunia di samping menambahkan lagi satu motif yang luhur, iaitu kejayaan dalam kegamatan amal salih untuk menegak dan melanjutkan syariat Allah di bumi ini.

Justeru itu, tegas beliau, “Dalam Islam, konsep  bekerja untuk masa depan dunia pastilah berterasksn kepada motif yang luhur itu, tanpa teras ini maka kejayaan-kejayaan ini akan hanya hancur berkecai di liang lahad sahaja”.

Sebaliknya, jika konsep bekerja masa depan dunia ini berteraskan kepada motif  yang luhur itu, maka sekaligus itu juga, ia merupakan konsep bekerja untuk masa depan Akhirat.

Seterusnya, beliau menjelaskan, secara khususnya apabila disebut bekerja masa depan Akhirat, maka ia bererti  bekerja untuk persediaan untuk menghadapi pengadilan dan balasan Ilahi yang adil pada hari Akhirat, iaitu hari penentuan yang hakiki bagi masa depan yang abadi di dalam Syurga atau masa depan yang abadi dalam azab keseksaan di alam Akhirat.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia.Hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana mahkamah di dunia ini belum tentu mencapai kesmpurnaan yang mutlak, kerana para hakim yang membuat keputusan hanya berdasarkan apa yang dibentang dan dihujahkan di mahkamah yang kebanyakannya mengikut garis panduan undang-undang dunia. Justeru itulah ada pesalah-pesalah yang terelpas dari hukuman kerana tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mempersalahkannya, dan ada pula para penjenayah yang tidak pernah didakwa di muka pengadilan kerana mereka tidak dapat dikesan. Tapi perakra ini tidak berlaku di Mahkamah Akhirat nanti, di mana Allah Maha Bijaksana dan Adil sendiri yang menjadi Maha Hakimnya.

“Itulah masa depan hakiki yang tidak terbatas yang harus dipertimbangkan oleh setiap manusia yang berakal”. Tegas beliau.

Beliau seterusnya menyarankan dengan katanya, oleh itu perancangaan masa depan yang bijaksana harus diatur dengan hati-hati dan teliti untuk mencapai kejayaan-kejayaan dunia dan dalam waktu yang sama mencapai kejayaan-kejayaan Akhirat, iaitu kejayaan menyelamatkan diri dari azab dan mencapai ni’mat hidup  yang kekal abadi.

“Perancangan masa depan kehidupan dunia tidak seharusnya dipisahkan dari masa depan Akhirat, malah kejayaan dalam kehidupan dunia harus dijadikan alat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan Akhirat. Sebarang rancangan yang terpisah akan berakhir dengan kerugian yang tidak terganti”.

“Sesungguhnya negeri Akhirat itulah alam kehidupan yang sebenar”.

Oleh itu, kita merasa amat kecewa benar, bila ada pemimpin-pemimpin kita, juara-juara politik kita yang berani melepaskan cakap dan juga bertindak seolah-olah mereka tidak mempunyai masa depan yang hakiki itu, masa Akhirat, sedangkan tidak ada siapa pun yang boleh menolakknya, dimana mereka akan  menerima segala konsikwen dari apa yang telah mereka lakukan semasa mereka hidup di dunia yang fana ini.

Di waktu itu segala penyesalan tidak berguna lagi. Sejarah tidak akan berulang lagi. Yang ada ialah kesenangan yang abadi atau kecelakaan yang abadi. Segala pintu telah tertutup-kecuali dua pintu sahaja yang terbuka lebar, iaitu pintu Syurga atau pintu neraka. Ahli Syurga masuk ke Syurga, dan ahli neraka masuk ke neraka. Itulah masa yang dijanjikan oleh Allah Yang Maha Berkuasa kepada hamba-hambaNya ketika mereka meniti masa yang singkat ketika hidup di dunia yang fana ini.

Pilih dan tentukan masa hadapan kita, dan berusahalah dengan penuh kegigihan untuk mendapatkannya dalam ruang masa dunia yang begitu singkat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga dijemput maut untuk menuju ke masa yang abadi di alam yang abadi.

Jangan lupakan masa depan yang kekal abadi, di mana semua makhluk akan dibangkitkan, dan diperiksakan segala apa yang mereka telah lakukan semasa mereka hidup di dunia. Segala perbuatan itu akan diletakkan di atass neraca Allah untuk dinilai dan diberi ganjaran yang setinpal, walaupun sebesar zahrah.

Itulah masa depan hakiki bagi kita umat Islam yang seharusnya dijadikan agenda bertindak dalam mengejar kebahagian hidup dunia yang akan kita tinggalkan nanti bersama-sama dengan masa dunia kita yang akan berakhir bila nyawa tercabuts dari halkum.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP