NEGERI BERTUDUNG

>> Tuesday, February 19, 2013



NEGERI BERTUDUNG


Hari ini kalau kita pergi ke pasaraya-pasaraya, atau ke gedung-gedung perniagaan atau ke mana-mana pasar, tidak mudah lagi kepada kita untuk mencari kaum wanita yang berkepala gondol tanpa tudung. Kalau ada pun merupakan bilangan yang amat ganjil, ibarat  angka "gundal" ketika membilang sesuatu.

Yang bertudung itu pula bukan sahaja wanita-wanita tua, tapi juga anak-anak gadis remaja, wanita-wanita muda, malah  kanak-kanak pun bertudung kepala juga. Walaupun ada di antara mereka yang berpakaian tidak menutup aurat dengan sewajarnya, seperti memakai baju lengan pendek, dan jean  tapi kepala tetap bertudung.

Demikian juga kalau kita pergi ke pejabat-pejabat kerajaan negeri ini, mungkin juga pejabat-pejabat swasta sukar kita hendak melihat pekerja-pekerja wanita negeri ini, dari pegawai atasan ke bawah yang tidak bertudung kepala.

Kalau kita kebetulan melihat ada wanita-wanita yang tidak bertudung muncul di khalayak ramai, maka kebanyakan mereka adalah terdiri daripada wanita-wanita bukan Islam, baik terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan ataupun terdiri daripada warga luar negeri Kelantan atau daripada luar negara yang merupakan sebahagian daripada pengunjung atau pengkelana di negeri yang unik ini.

Inilah suasana yang kita boleh lihat di negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Kelantan Darulnaim, salah sebuah negeri yang menjadi rebutan politik sekarang.

Pada hemat saya, rakyat Negeri Kelantan Darulnaim bukanlah fanatik dalam membuat pemilihan. Sesiapa sahaja yang tidak membelakangkan agama, sesiapa sahaja yang tidak membazir, sesiapa sahaja yang tidak rasuah, sesiapa sahaja yang tidak menipu dan tidak suka membuat fitnah serta mementingkan diri sendiri, itulah yang menjadi pilihan rakyat Kelantan, termasuklah kepada wanita-wanita bertudung.

Sesiapa sahaja yang ingin memenangi hati rakyat Kelantan, untuk dijadikan menantu atau mertua, untuk menjadi ayah dan ibu, untuk dikasih dan mengasihi mestilah membina diri dan menjunjung nilai-nilai yang murni itu yang  senada dengan tuntutan Islam, kalau mereka tidak ingin kecundang dalam pertarungan politik merebut kasih sejati.

Kita menduga pada suatu masa nanti, wanita-wanita bukan Islam di negeri ini, akan turut menyarungkan kepala mereka dengan tudung, untuk lebih menceriakan wajah mereka di khalak ramai. Apa salahnya mereka turut bertudung? Lagi baguskan?

Jika wanita-wanita bukan Islam keluar di khalayak dengan bertudung kepala nanti, ia akan menjadi cabaran dan memalukan mana-mana wanita Islam negara ini yang enggan bertudung, walaupun menutup aurat itu merupakan sebahagian perintah agama mereka yang tidak boleh diabaikan.

Saya terkenangkan isteri saya, Allahyarhamah Asiah Yaacob [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya]. Ketika beliau mula-mula berjinak-jinak dengan kawan-kawan yang tidak bertudung, beliau sering ditegur dan diperli oleh mereka. Tapi beliau tidak pernah menjawab kata-kata mereka kecuali dengan mengulas senyum. Dan yang amat pentingnya, beliau juga tidak terpengaruh dengan gesaan mereka supaya menanggalkan tudung, malah terus juga bertudung yang diterimanya dengan senang hati sebagai salah satu kewajipan kepada seorang Muslimah.

Saya juga teringat kepada kisah  seorang artis yang kelihatan bertudung lingkup di satu majlis  terbuka. Seorang pemuda yang berada di belakang pentas telah menyapa sang artis dan secara ikhlas memuji-mujinya kerana beliau bertudung menyebabkan dia kelihatan lebih sopan dan anggun. Tapi apa jawab si artis itu? “Kakak tidak bermaksud untuk bertudung....Tapi kakak pakai tudung ni, sebab pipi kakak bengkak kerana sakit gigi. Kakak tidak ingin dilihat oleh peminat-peminat kakak”.

Terlompong mulut pemuda itu bila mendengar jawapan sang artis. Dia terus bongkam seribu bahasa.

Sedangkan menutup aurat bukannya atas pilihan atau kehendak diri sendiri, kalau suka dibuat, kalau tidak suka ditinggalkan, atau sekadar untuk main-main, ikut-ikutan atau kerana fesyen, tapi ianya satu kewajipan kepada seluruh wanita Islam yang diperintahkan oleh agamanya supaya mereka menutup aurat.

Allah berfirman, “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukim, “Hendaklah mereka menutupkan jiblabnya [sejenis baju kurung yang lapang dapat menutup kepala, wajah dan dada] ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. Al-Ahzab: 59.

Adalah diharap dan didoakan agar gaya hidup  Islamiah, bertudung dan menutup aurat ini, akan terus subur dan kukuh serta berkembang mewarnai hidup seluruh kaum wanita, bukan sahaja di kalangan wanita negeri ini, tapi juga kepada seluruh wanita warga tanah pusaka ini untuk selama-lamanya selagi dunia berkembang.

Amin!!









0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP