Razali MHO Dan Salina, Dalam Selintas Kenangan

>> Saturday, January 19, 2013




RAZALI MHO DAN SALINA,
[Dalam Selintas Kenangan]


Ketika mengkemas-kemas buku-buku yang masih simpang-siur di pondok kami, beberapa hari yang lalu, saya bertemu dengan SALINA yang telah berpuluh-puluh tahun kami berpisah.

Wajahnya masih baru dan bersih walaupun sejak sekian lama saya tidak melihatnya. Penampilannya masin anggun dan menggoda dalam simpanan saya.

Saya pegang SALINA, saya gengam dia erat-erat dalam tangan dan sedikit rasa keharuan bermain dalam tasik hati. Kenangan saya mulai kembara..

Kenangan saya mengimbau jauh. Ketika itu saya masih berada dalam usia muda yang profesionnya seorang penulis dari muda sampai ke tuanya. Masa itu saya telah beristeri dan mempunyai anak.

Sebelah kanan: Sdra Razali MHO atau Rizalman
 
Saya teringat kepada sahabat saya Razali Hj. Osman yang lebih dikenali dengan nama samarannya Razali MHO atau Rizalman. Beliaulah pencipta SALINA itu dan beliaulah tuan milik SALINA.

Saya mula-mula berkenal dengan Razali ialah ketika beliau bertugas sebagai pelukis di Percetakan DIAN yang pada masa itu beroperasi di Simpang Lidoo, Jalan Tengku Cik, Kota Bharu. Di situlah pejabatnya dan di situlah kilangnya, dan pada suatu ketika di situ juga tempat tinggal tuan punya Syarikat DIAN, iaitu Yusoff Zaky Yaacob sekeluarga yang juga ketua Pengarang Majalah DIAN yang amat popular pada zamannya itu.

Saya masih ingat, kadang-kadang di waktu rihat tengah hari, kami berdua keluar mengambil angin, biasanya berbual-buah di atas bangku batu yang terletak di pinggiri Sungai Kelantan  di Padang Lido tidak jauh daripada pejabat DIAN yang pada waktu itu menjadi tempat orang berniaga makanan-makanan ringan pada waktu malam

Razali bertugas sebagai seorang pelukis. Beliaulah yang melukis kulit-kulit DIAN pada masa itu, dan juga membuat ilustrasi dalamannya. Tapi beliau tidak lama bersama kami di DIAN, malah dalam masa yang amat singkat beliau berpindah kerja ke Kementerian Penerangan Malaysia.

Saya masih ingat lagi, sebelum pergi ke temuduga, beliau dan saya telah berkunjung  ke Pejabat Penerangan Negeri Kelantan yang terletak dalam bandar Kota Bharu [sekarang Pusat Penerangan], bertemu dengan pengarahnya, waktu itu, Encik Abdul Hamid Omar meminta sokongan untuk beliau yang akan menghadiri temuduga itu.

Permohonan Razali yang berasal dari Tumpat ini telah berjaya. Dan selepas itu kami pun berpisah, masing-masing dengan hal dan tujuan masing-masing.


Beliau seorang yang pendiam, tapi mudah mesra dan baik hati. Suaranya tidak pernah meninggi bila bercakap.

Saya hanya mengetahui beliau meninggalkan Kementerian Penerangan bila melihat SALINA sedang beredar di toko-toko buku seluruh negara pada masa itu.

Razali MHO atau Rizalman adalah salah seorang nama besar dalam bidang pelukisan komik tanah air yang masih segar dalam ingatan hingga sekarang, walaupun SALINA sudah lama hilang dari arus penerbitan tanah air.

Pelukis-pelukis besar seangkatan dengan beliau pada waktu itu, antaranya ialah Azman Yusof, Jaafar Taib, dan Zoy.

SALINA sebuah majalah yang dihasilkan di pejabatnya yang dinamakan RAZ Studio, terletak di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur yang juga pada masa itu menghasilkan komik BUJAL.

Saya juga buat beberapa ketika pernah memberi sumbangan yang kecil berupa rencana kepada SALINA dengan menggunakan beberapa  nama samaran, selain daripada Razin M.S. Saya sentiasa berterima kasih kepada beliau kerana memberi ruang kepada saya untuk menulis pada waktu itu.

Saya juga pernah berulang-alik ke RAZ STUIO buat beberapa waktu, ketika tinggal di Keramat Jaya, Kuala Lumpur kerana sesuatu projek yang kemudiannya terbangkalai kerana kelemahan saya. Saya mohon maaf.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba pula saya dimaklumkan bahawa Razali MHO terpakasa menamatkan penerbitan SALINA dan Bujal yang pada satu ketika merupakan sebahagian kecil dari hidup kami. Saya turut bersimpati dengan beliau.

Namun begitu, beliau masih terus berkarya, dan komik dan kartunnya masih mendapat tempat di Mingguan Malaysia hingga ke hari ini. Sebelum itu beliau juga pernah memberi sumbangan kepada Utusan Pelajar yang juga diterbitkan oleh Penerbitan Utusan Melayu.

Hsil-hasil karya beliau banyak bercorak kemasyarakatan dan karya-karya penyiasatan yang menggoda peminat-peminat generasi-generasi muda untuk mengikutinya.

Setahu saya dua orang daripada adik beradik beliau ikut memberi sumbangan kepada penerbitan beliau, iaitu abangnya Mohammad HO sebagai Pengarah Pemasaran dan adiknya Hasanah HO sebagai penolong pengarang bersama-sama dengan Fettie Syame.

Saya telah lama menaruh hasrat untuk bertemu dengan beliau, untuk menghidupkan kembali silaturahim, tapi sampai ke hari ini masih belum kesampaian.

Pada suatu ketika, ketika saya bertandang ke rumah sepupu saya di Subang Jaya, saya pernah mengunjungi  rumah beliau, tapi pada waktu tersebut, beliau tidak ada di rumah.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan adik kepada kawan saya, Sulaiman Mohammad, bekas kakitangan DIAN yang kini tinggal di Wakaf Mek Zainab. Dua orang anak lelaki Razali, difahamkan telah mengikut jejak langkah beliau dalam seni lukisan.

Sekianlah sedikit kenangan terhadap Razali MHO [Rizalman}. Dan SALINA, semoga diberkati Allah.




3 comments:

M Helmi Norman July 5, 2014 at 1:23 PM  

Salam Tuan,
Saya anak Saedah Siraj. Mak saya kawan dengan Hasanah HO dan Zawawi MHO tahun 1979 dan dah lama hilang kontak. Mak saya hendakkan no telefon atau email mereka untuk berhubung semula dengan mereka. Boleh tuan emailkan kepada saya.

Sekian. Terima kasih.

Helmi

Pondok Rahmat July 10, 2014 at 9:55 AM  


Assalamualaikum. Maaf saya pun telah kehilangan kontak.Abang iparnya kawan baik saya, tapi bila saya hubungi nombor telefonnya telah dipotong.Saya juga terasa rindu kat Razali MHO.Insyallah jika saya dapat kontak saya akan beritahu anda. Setahu saya adik beliau Hasanah yg baik dengan Allahyrham Syarifah Aini pun telah meninggal dunia.

Anonymous,  March 7, 2017 at 11:42 AM  

Salam kepada Encik berdua.. kebetulan hari tiba-tiba pulak searching artikel dan terjumpa blog dan komen ini. Saya adalah anak Zawawi HO dan merupakan Anak saudara yang tinggal bersama Hasanah HO sehingga ke akhir hayat. Puan Hasanah HO meninggal dunia kerana kegagalan fungsi buah pinggang di PPUM pd 5 Jun 2012 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Mont Kiara, Kuala Lumpur. Selang 5 buah kubur sahaja dr arwah Datuk Sharifah Aini.
ini nombor telefon anak Rizalman Ho iaitu sepupu saya bernama Fairul Hafiz : 012- 645 6881 atau boleh hubungi saya di email saya : niana_z@yahoo.com.

Rizalman atau dikenali dengan panggilan Ayah Li okleh keluarga masih menetap di Subang Jaya.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP