PESTA DAN PERANG POSTER PILIHAN RAYA

>> Saturday, January 5, 2013



PERANG POSTER


Setiap kali pilihan raya, sudah pasti kita dapat melihat berbagai-bagai poster dan sepanduk di mana-mana tempat sahaja kawasan yang terlibat dalam acara yang penting kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan memerintah dan mengendalikan tanah air mereka dalam waktu yang telah ditentukan.

Setiap parti politik yang menyertai pilihan raya itu aka menggunakan poster untuk memperagakan calon yang mewakili parti mereka supaya dipilih oleh para pengundi untuk mewakili mereka nanti. Dalam hal ini gambar-gambar calon, baik untuk untuk peringkat DUN atau Parlimen yang mengambil bahagian dalam pilihan raya itu merupakan sebahagian daripada bahan penting dijadikan poster.

Sebagaimana telah diketahui, mana-mana parti yang ramai terpilih bila keputusan undian diumumkan nanti, baik di peringkat negeri atau parlimen, maka bererti parti itulah yang akan memerintah dan mentadbir negara nanti selama waktu yang telah ditetapkan mengikut perlembangaan negara.

Ada berbagai-bagai cara poster-poster itu diletakkan untuk mendapat perhatian, seperti ditampal, digantung, dipacak, direntang, dibuat berbagai-bagai objek yang menarik dan biasanya menjadi lambang kepada parti mereka.

Poster-poster  itu untuk lebih menarik dihiasi dengan warna-warni dalam berbagai-bagai bentuk dan berbagai-bagai slogan untuk menawan hati penggundi yang berbeza-beza antara satu parti dengan satu parti. Poster Barisan Nasional berbeza dengan poster PAS, dan juga dengan poster DAP.

Poster-poster ini ada yang diperbuat dengan kertas, kayu, kain dan plastik, iaitu dari jenis bahan yang tahan lama, berhujan dan berpanas. Malah ada poster yang dipasang di pinggir-pinggir jalan boleh bertahan bertahun-tahun tanpa rosak.

Menggantung atau menampal poster pilihan raya kadang-kadang satu sumber rezeki yang berkala, terutama kepada para pemuda. Mereka diberi upah atau mengambil upah menampal atau menjaga poster.

Poster-poster itu bukan sahaja dipasang di tempat-tempat yang mudah, malah tidak jarang pula di tempat-tempat yang sukar, seperti di atas pokok-pokok yang tinggi, di kemuncak bukit, di tiang-tiang lampu elektrik yang merbahaya.

Tidak jarang pula berlaku perkelahian kerana poster, terutama kerana berebut tempat untuk memasang poster, atau pun akibat berlaku perbuatan khianat, menurun, merosak atau membuang poster parti lawan.

Tidak jarang pula ada mereka yang tercedera, malah juga mati kerana kemalangan, seperti terkena renjatan elektrik ketika memasang poster atau mengambil upah memasang poster.

Demikianlah setiap kali pilihan raya berlakulah perang poster yang mewarna warni dan merupakan sebahagian daripada kehidupan politik negara kita, dan kadang-kadang menjadi hiburan mata yang mengasyikkan.

Pilihanraya negara kita boleh berlaku bila-bila masa sahaja dari sekarang, ia terletak secara mutlak di tangan Perdana Menteri dan seperti di masa-masa yang lalu juga tradisi perang poster akan berlaku di seluruh negara.

Kita harap dalam kemeriahan dan kefanatikan politik poster pilihan raya ini tidaklah sampai mengorbankan nyawa, baik dengan cara sengaja atau pun tidak sengaja.

Demokrasi mesti dipikul, agama mesti dijunjung, dan tidak ada siapa pun yang boleh mengatasi undang-undang, kecuali para pengkhianat yang berjuang untuk menegakkan kebatilan.

Berposter pun kita memerlukan keadilan, untuk mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingin.

Jangan jadikan pesta poster sebagai alasan untuk bersengketa.

Foto-foto yang beriring dengan tulisan, ialah gambar-gambar lama Susana perang poster di masa-masa yang lalu yang merupakan sebahagian daripada sejarah pergolkan politik tanah air.



 

























0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP