BILA HUJAN MERADANG....

>> Thursday, January 3, 2013



HUJAN BILA IA MERADANG


Ketika saya menaip rencana ini, di luar pondok kediaman kami hujan masih berguguran, kadang-kadang lebat, kadang-kadang perlahan, dan kadang-kadang berhenti, dan kemudian hujan kembali. Sudah beberapa hari begitulah keadaan alam di sini. Saya diberitahu ada beberapa kawasasn di negeri Kelantan ini telah ditenggelami banjir, dan penduduk-penduduknya terpakasa berpindah.

Menurut berita, negeri Terengganu dan Pahang, khususnya di bandar Kuantan hujan lebat telah membanjirkannya. Bandar Kuantan ditenggelami air hujan, demikian juga beberapa tempat di Terengganu, khususnya di Setiu yang sering menjadi lubuk takungan air bila hujan mencurah.




Sehingga kini, beribu-ribu orang telah berpindah mencari tempat yang lebih selamat selama air naik membanjiri kawasan mereka kerana hujan lebat turun mencurah-curah dari langit.

Bangau Oh Bangau

“Bangau oh bangau
Kenapa engkau kurus?
Bagaimana aku tak kurus
Perut aku sakit.

Perut oh perut
Kenapa engkau sakit?
Bagaimana aku tak sakit
Makan nasi mentah.

Nasi oh nasi
Kenapa engkau mentah?
Bagaimana aku tak mentah
Kayu api basah.

Kayu oh kayu
Kenapa engkau basah?
Bagimana aku tak basah
Hujan timpa aku.

Hujan oh hujan
Kenapa kau timpa kayu?
Kenapa aku timpa
Katak panggil aku.

Katak oh katak
Kenapa engkau panggil hujan?
Bagaimana aku tak panggil
Ular nak makan aku.

Ular oh ular
Kenapa engkau nak makan katak?
Bagaimana aku tak makan
Katak makanan aku.

Lagu jenaka di atas mengandungi tiga mesej, pertama dalam keadaan tertentu hujan memberi rahmat, sebagaimana katak menjadikan hujan sebagai benteng untuk menyelamatkan dirinya dari dimangsakan oleh ular yang memang gemar memakan katak, dan kedua hujan boleh menimbulkan kesukaran, yang menyebabkan di mana kayu api menjadi basah dan sukar untuk digunakan, dan ketiga menunjukkan bahawa Allah itu Maha Pemurah, mengkabulkan  doa hamba-hambaNya walau pun daripada seekor haiwan seperti seekor katak dengan menurunkan hujan.

Lagu di atas merupakan susunan kata-kata yang populer kepada kanak-kanak sekolah pada suatu ketika dahulu, untuk dilagukan sesama sendiri secara beramai-ramai, khususnya di masa-masa senggang dan ketika bermain beramai-ramai.

Sebagaimana jelas kelihatan, lagu jenaka kanak-kanak itu berkait dengan hujan yang dirangkai dengan beberapa objek lain, burung bangau, kayu api, ular, katak, perut dan penyakit.

Hujan Membawa Bencana

Pada umumnya ada dua kesan hujan terhadap para makhluk, khususnya manusia. Pertama kesan baik dan kedua kesan tidak baik, iaitu kesan positif dan kesan negatif.

Ada beberapa keadaan hujan boleh menjadi ancaman kepada manusia dan juga lain-lain kehidupan, haiwan atau tumbuh-tumbuhan.

Pertama bila hujan menjadi asid, yang dikenali dengan nama hujan asid. Hujan asid berlaku bila terdapat banyaknya bahan sulphur dan nitrogen dalam air hujan yang turun. Bahan-bahan ini pula dikeluarkan oleh setesen jana kuasa, kilang-kilang perindustrian dan enjin-enjin kenderaan yang begitu banyak terdapat di dunia. Bahan-bahan ini merupakan bahan pencemar alam, dan bila ia berbaur dengan wap air, cahaya mata hari dan oksijan dalam atmosfera, ia menciptakan sulphur dan nitrik asid yang lemah. Segala bahan-bahan yang berbaur ini akan gugur ke bumi sebagai hujan yang menyebabkan air sungai dan tasik yang ditimpanya menjadi bertambah berasid.

Biasanya jika perkara seperti ini berlaku, ia boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan akan menjadi mangsa dan terbunuh yang menyebabkan bilangannya menjadi susut.

Bila hujan lebat dan tanpa henti-henti, ia boleh menyebabkan berlakunya bah atau banjir, terutama di tempat-tempat yang lembah. Andainya air banyak dan hujan berpanjangan, maka masa yang akan diambil oleh banjir untuk kering atau surut akan menjadi lebih panjang.

Bandar Kota Bharu, setiap tahun, bila tiba musim hujan akan ditenggelami air, setidak-tidaknya di kawasan-kawasan tertentu yang lembah dan berhampiran dengan sungai. Tapi kebanyakan penduduk bandar Kota Bharu, menyambut kedatangan banjir itu dengan pesta bermain air, terutama di kalangan anak-anak mudanya.

Bila banjir melanda berbagai-bagai perkara boleh berlaku. Ada yang baik, dan pula yang buruk. Yang merugikan ialah tanaman-tanaman seperti pokok-pokok, jagung dan sebagainya, termasuk pokok-pokok yang besar juga mungkin mati bila dtenggelami air dalam kadar waktu lama dan dalam masa tertentu mengikut keadaan semula jadi pokok-pokok itu. Ada sesetengah pokok cepat mati bila tenggelam dalam air, sebaliknya ada yang lambat mati, malah ada pula yang boleh bertahan hidup walau pun telah ditenggelami air selama beberapa hari.

Hujan lebat yang panjang mungkin boleh meruntuhkan tanah-tanah tinggi dan ini boleh mengancam nyawa manusia dan juga makhluk-makhluk yang lain, meruntuhkan rumah-rumah dan bangunan-bangunan, menumbangkan pokok-pokok.

Merosakkan barang-barang dan harta benda yang tidak sempat diselamatkan, seperti kenderaan-kenderaan, perkakas-perkakas rumah, dan sebagainya bila ditenggelami air.

Boleh menyebabkan jalan-jalan terutama di bandar akan menjadi sesak, atau jem dengan kenderaan-kenderaan yang dipandu untuk mencari tempat atau jalan yang selamat.
Kemalanagan jalan raya mungkin mudah berlaku akibat hujan lebat, terutama pandangan pemandu menjadi terganggu, jalan menjadi licin dan juga kerana kesesakan yang tidak dapat dielakkan.

Malah sebagaimana sering berlaku, nyawa manusia juga akan terkorban kerana ditelan banjir, terutama kanak-kanak yang suka bermain air banjir, selain daripada berlaku kerana tidak sengaja seperti terjatuh ke dalam longkang, sungai, tali air dan sebagainya yang airnya telah memenuhi kerana air hujan.

Setiap kali banjir besar yang panjang, dan dalam kawasan yang luas, akan menimpakan kerugian yang besar, beratus-ratus ribu ringgit, atau berjuta-juta ringgit, akibat kerosakan yang ditimpakan oleh banjir itu.

Hujan Bawa Rahmat

Sebaliknya biasanya hujan itu membawa rahmat kepada para makhluk,  khususnya makhluk manusia, baik dari segi jasmani dan juga ruhaninya.


Hujan itu dianggap rahmat, kerana salah satu waktu doa dimakbulkan oleh Allah S.W.T. ialah bila turun hujan, terutama hujan di awal musim, kerana hujan itu pembawa rahmat.

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, “Carilah terkabulnya doa saat bertemu dua pasukan, saat solat  didirikan dan saat turun hujan”.

Justeru itu hendaklah kita semua tidak terlupa bila hujan turun untuk berdoa, semoga doa kita dikabulkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Air hujan juga,  mengandungi  keberkatan, kerana itu mustajab dibuat air penawar untuk merawat penyakit-penyakit tertentu dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, seperti Surah Yassin.

Allah berfirman mengenai keberkatan air hujan, “Kami turunkan dari langit air hujan, yang berkat [bermanfaat], lalu Kami tumbuhkan dengan dia kebun-kebun dan biji [tanaman-tanaman] yang akan dituai”. Qaaf: 9.

Pokok-pokok dan tanaman-tanaman menjadi subur selepas hujan, terutama selepas musim kemarau panjang. Cuba perhatikan pokok-pokok di sekeliling-kelalang kehidupan anda, atau perhatikan pokok-pokok bunga di laman rumah anda selepas hujan turun membasahkan mereka, kelihatan segar dan bermaya, membuat anda turut gembira melihatnya.

Malah selepas hujan biasanya pokok-pokok mengeluarkan semacam aroma yang menyenangkan untuk dihidu. Cubalah rasakan keenakannya.

Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, “[Dia] yang menjadikan bumi untukmu sebagai tikar dan langit sebagai atap [bina] dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu  ditumbuhkanNya dengan air itu  buah-buahan untuk rezeki bagimu; sebab itu janganlah kamu adakan bagi Allah beberapa sekutu, sedangkan kamu mengetahuinya”. Al-Baqarah: 22.

Justeru ada orang-orang yang bukan sahaja gembira, malah berharap akan turun hujan gerimis ketika mereka memulakan perjalanan atau untuk bermusafir kerana dipercayai hujan itu membawa berkah.

Para pesawah juga berharap dan berdoa supaya Allah menurunkan hujan di waktu-waktu tertentu yang boleh memberi manfaat kepada mereka.

Pengantin-pengantin baru, orang-orang muda baru kahwin yang tinggal di desa-desa sukakan hujan di malam hari, kerana hujan itu boleh mempengaruh mood mereka untuk menambahkan kemesraan ketika berdua-duan dalam kamar.

Tempat Yang Kerap Hujan

Kekerapan hujan yang berlaku antara setempat dengan setempat tidak sama, bukan sahaja antara sebuah benua dengan sebuah benua, atau antara sebuah negara dengan sebuah negara, ataupun antara sebuah negeri dengan sebuah negeri, malah antara satu kawasasn dengan kawasan yang lain yang lain dalam sebuah negeri  atau daerah yang sama juga mungkin berbeza.

Setakat yang diketahui satu-satunya tempat yang paling kerap berlaku hujan ialah di Gunung Waialeale yang ketinggian dari paras laut 5,148 kaki [1659 meter] terletak di Pulau Kauai, Hawai Amerika Syarikat.

Air Hujan Bertakung Dempat Terendah 


Sebagaimana diketahui tempat yang sentiasa terancam oleh banjir akibat hujan ialah kawasan-kawasan yang rendah, kerana air bertakung, akibat tidak sempat keluar atau mengalir keluar dalam masa yang sewajarnya.

Negara yang muka bumi rendah yang sering banjir kerana hujan ialah Bangladesh. Beratus-ratus kilometer persegi muka buminya ditenggelami air hujan setiap tahun dalam musim  monsun yang bermula pada bulan Jun dan berakhir pada bulan September setiap tahun.

Banjir Besar

Salah satu peristiwa banjir besar yang pernah belaku dalam sejarah umat manusia ialah banjir dalam masa Nabi Nuh as. yang dikenali dengan nama Taufan Nabi Nuh. Salah satu sebab banjir besar ini berlaku ialah kerana hujan lebat yang turun mencurah-curah dari langit, menenggelamkan permukaan bumi.

Allah banjirkan muka bumi untuk menenggelamkan hamba-hambaNya yang enggan menyembah Allah, sebaliknya bertuhankan berhala-berhala, dan mereka juga mengejek-ngejek Pesuruh-Nya, Nuh as. dan mencabarnya supaya Allah segera menimpakan bala ke atas mereka sebagaimana diperingatkan oleh Nabi Nuh as. kepada mereka jika sekiranya mereka ingkar dengan seruannya supaya mentauhidkan Allah.

Justeru turunlah hujan, dan berlakulah banjir besar yang menelan kaum-kaum Nuh yang tidak beriman kepada Allah termasuk anaknya sendiri yang mati ditelan air kerana enggan mengikutinya menaiki kapal yang dibina oleh Nuh as. atas perintah Allah S.W.T. Nabi Nuh as. berdakwah selama seribu tahun lamanya untuk mengajak umatnya beriman keapda Allah, tapi tidak berjaya, kecuali beberapa orang sahaja yang beriman.

Hujan hanya berhenti mencurah dan banjir hanya surut dengan perintah Allah yang berfirman, “Dan difirmankan, “Wahai bumi! Telanlah airmu dan wahai langit [hujan] berhentilah.”. Dan air pun disurutkan , dan perintah pun diselesaikan, dan kapal itu pun berlabuh di atas Gunung Judi, dan dikatakan, “Binasalah orang-orang yang zalim”.-Hud: 44.

Oleh sebab hujan itu biasa menganggu atau menghalang aktiviti-aktiviti atau rancangan manusia, maka hujan sering menjadi mangsa kutukan dan sumpah seranah manusia yang merasa tidak senang dengan kedatangannya yang tidak diminta atau diharapkan itu oleh mereka yang berkenaan.

Kita tidak patut sama sekali berbuat demikian, kerana hujan itu adalah ciptaan Allah. Mengutuk hujan bererti mengutuk Allah. Apakah kita hendak mengatakan perbuatan Allah tidak baik kerana ia bercanggah dengan kehendak dan nafsu kita? Berhati-hatilah dengan apa yang kita ucapkan, kerana semuanya menjadi perkiraan di akhirat nanti.

Penjual ais krem, air batu, penanam-penanam tembakau, sudah tentu tidak gemarkan hujan lebat, sebab hujan itu akan merosakakn usaha mereka mencari rezeki. Tapi bagi penjual-penjual kacang goreng, air kopi, putu halba dan seumpamanya tentu merasa senang hati dengan hujan, kerana hujan boleh menambahlariskan perdagangan mereka.

Walau apa pun, sekali lagi ditegaskan, kita tidak boleh mencaci maki hujan, mengutuk hujan kerana kedatangan hujan bercanggah dengan kehendak kita yang memerlukan kemarau, kerana bila hujan pergerakan kita menjadi terbatas, oleh itu jika tidak ada keperluan yang benar-benar penting, kita lebih suka melengkar di rumah daripada keluar membasahikan diri dalam hujan.

Bermain Dalam Hujan

Saya terkenang beberapa tahun yang lampau saya pernah mengharung air sedalam paras leher dalam hujan lebat dengan menjujung sedikit pakain yang dimasukkan ke dalam beg plastik sejauh lebih dari satu kilometer untuk mencari perlindungan di pejabat kami kerana air telah mencecah rumah sewa saya di Kubang Pasu. Pejabat saya terletak di tingkat dua di sebuah bangunan di dalam bandar Kota Bharu. Masa itu saya masih bujang.

Walau pun di sesetengah tempat airnya deras, tapi Alhamdulillah saya selamat sampai ke tempat yang dituju. Selain dari saya ada lagi seorang rakan sekerja yang rumahnya juga ditenggelami air pindah ke pejabat. Nasib baik di sebelah pejabat saya, terletak pejabat Utusan Melayu, wartawannya pada masa itu ialah Allahyarham Ustaz Rafie Hj. Taib. Di bahagian belakang pejabat itu beliau sekeluarga tinggal. Dengan beliau kami menumpang makan sepanjang banjir itu, isterinya yang kami panggil “Kak Wan”, dan anak perempuannya yang masih kecil yang sering saya dukung kami panggil “Has”. Budi baik mereka tidak dapat kami lupakan.

Pada suatu masa, saya pernah tolong memayungkan seorang warga Russia yang datang melancung ke Kota Bharu untuk balik ke hotelnya yang tidak begitu jauh dari tempat dia berdiri di sebuah kaki menunggu hujan berhenti. Katanya beliau bertugas di Kedutaan Russia di Kuala Lumpur. Saya sudah lupa namanya, dan beliau merasa hairan bagaimana orang Kelantan seperti saya sanggup memayungi beliau sampai ke hotelnya. Beliau menjemput saya naik ke bilik hotelya, dan kami berbual-bual sedikit, dan di antara lainnya dia mempelawa saya untuk belajar di negaranya. Tidak payah, katanya, minta kebenaran dari kerajaan. Pada akhirnya, sebelum saya meninggalkannya dia memberi sebuah cendera hati berupa ukiran kayu yang kecil sebagai kenangan. Hadiah itu lebih kurang sebesar ibu kaki, bukan berbentuk manusia, bertahun-tahun saya simpan hadiah itu, tapi akhirnya saya rasa sekarang sudah tidak dapat saya temui lagi dalam simpanan, mungkin telah hilang.

Pada masa kanak-kanak, saya suka benar bermain hujan dengan kawan-kawan. Biasanya kami bermain “bola katak” atau “bermain coh” dalam hujan lebat. Atau kadang-kadang beramai-ramai menangkap belalang di sawah selepas dituai. Walau pun mengiggil kesejukan, bibir kebiruan, tapi kami tidak pernah demam atau sakit kerana bermain hujan. Malah menambahkan selera makan.

Tapi tahun kebelakangan ini pantang kena hujan sedikit, dah nak demam selsema, terpaksa telan ubat. Mengikut orang-orang tua dahulu, sebaik-baik selepas basah terkena hujan, hendaklah segera mandi dengan air biasa untuk membasuh bekas-bekas  air hujan yang melekat di badan, terutama di bahagian kepala.

Demikianlah hujan oh hujan. Datanglah membawa rahmat untuk kami semua!



[Rencana ini telah saya poskan ke Blog beberapa hari yang lalu, tapi tiba-tiba didapati hilang, kerana itu diposkan sekali lagi hari ini. Harap selamat]

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP