Tiba-tiba Saya Terkenangkan Wadi Leta S.A
>> Sunday, January 20, 2013
Pagi ini [Ahad 20 Januari 2013] seperti biasa dari Kota Bharu kami sampai
di rumah di Kuala Krai sebelum azan Subuh bergema.
Bila saya masuk kamar, saya ternampak di atas meja kecil yang saya gunakan untuk bekerja sambil duduk bersela di atas lantai secebis kertas kecil, sebesar tiga jari di sisi timbunan beberapa buah buku.
Saya terus mengambil guntingan kertas hitam itu dan meniliti
tulisan-tulisan putih tertera di atasnya. Ia mungkin guntingan dari sebuah
akhbar atau majalah.
Sewaktu meninggalkan rumah tiga hari yang lepas saya tidak pernah melihat
kertas itu di situ. Mungkin ia tercicir dari salah sebuah daripada buku-buku tersebut
ketika saya membalik-baliknya sebelum saya meninggalkan rumah hari itu.
Lantas saya membacanya sambil
berdiri. Ianya sebuah puisi berjodol KALAU, hasil karya WADI LETA S.A.
Puisi tersebut begini bunyinya:
KALAU
1
Kalau kau bunga
Berikan aku madumu
Kalau kau rama-rama
Berikan aku sayapmu
11
Kalau aku pokok
Akulah peneduhmu
Kalau aku rumput
Akulah permaidanimu.
WADI LETA S.A.,
Kota Bharu,
Kelantan.
Saya lantas terkenangkan beliau. Sebenarnya saya telah lama mengenali
beliau, sejak berpuluh-puluh tahun dahulu lagi. Beliau adalah rakan semasa,
dengan anak saudara saya, Nawi Ibrahim.
Waktu itu, beliau tinggal bersama keluarganya di Kampung Sirih. Rumahnya di
tepi jalan, dulunya dekat “Bulatan Kijang”, dan di belakang warung Mee Isa.
Waktu saya kanak-kanak, di hari-hari sekolah cuti saya selalu menghabiskan
masa di rumah kakak saya, Khadijah Saleh yang terletak di Kampung Bawah Lembah
Kampung Sirih, tidak berapa jauh dari rumah beliau yang terletak di ats
tebingnya. Sejak itulah saya mengenali beliau, walaupun tidak bermain bersama.
Namun begitu saya tidak mengetahui banyak tentang beliau. Kemudian kalau
tidak silap saya, beliau berpindah tinggal di Dusun Muda, dan seterusnya
berpindah ke tempat yang beliau tinggal di Pengkalan Chepa.
Namun begitu saya sering juga membaca hasil-hasil karya WADI LETA S.A. yang terpapar di
akhbar-akhbar dan majalah-majalah tanah air. Wadi memang seorang penyair yang prudaktif.
Setelah bertahun-tahun berpisah, kali terakhir saya bertemu beliau ialah
ketika Wadi berkunjung ke rumah saya bersama dengan pengaran terkenal, Norisyam Mustaffa di Kuala
Krai untuk mengucap takziah di atas kematian isteri saya, seorang aktivitis
masyarakat, Asiah Yaacob, kira-kira dua
tahun yang lebih yang lalu.
Pada masa yang lalu, ketika saya bertugas mengendalikan penerbitan akhbar
MINGGUAN KOTA BHARU, Wadi selalu hadir di majlis-majlis sastera yang sentiasa
kami anjurkan dari masa ke masa. Saya tidak ingat, adakah beliau pernah mengambil
bahagian dalam mana-mana acara deklamasi sajak yang pernah kami anjurkan itu.
Yang pasti, beliau pernah mengirim pusi-puisi untuk MINGGUAN KOTA BHARU dan juga
Majalah DIAN yang diterbitkan oleh Syarikat Dian Sdn Bhd. Dan puisi-puisi
beliau memang mendapat tempat yang sewajarnya.
Banyak perkara yang kami perbualkan dalam pertemuan hari itu, selain daripada mengenaii
keluarga masing-masing, dan sahabat-sahabat penulis, termasuk penulis generasi
muda yang kebanyakannya tidak saya kenali.
WADI LETA S.A. nama penuhnya Wan Adnan bin Wan Daud. Waktu kanak-kanak
dahulu semasa beliau tinggal di Kg. Sirih, saya kenal dengan ayah dan ibunya,
dan biasa dengan neneknya yang dikenali dengan panggilan “Mak Nab”.
Mengikut pengamatan saya nama panggilan yang popular di kalangan
rakan-rakannya ialah WADI, rasanya tidak ada yang memanggilnya “Nan” macam saya
memanggil bila kami bertemu.
Demikianlah sedikit kenangan saya terhadap WADI LETA S.A. sebuah nama yang
terukir indah dalam barisan penyair-penyair tanah air.
Salam untuk beliau dan keluarga, serta pembaca seluruhnya.
0 comments:
Post a Comment