Wanita-Wanita Yang Melanyak-Lanyakkan Kesucian Wanita

>> Tuesday, September 6, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELLOW SAYANG



WANITA YANG MELANYAK-LANYAKKAN KESUCIAN WANITA



Pada umumnya Allah jadikan semua benda dalam keadaan berlainan yang berbeza-beza. Itulah, bila ada besar, ada kecil, bila ada panjang ada pendek, bila ada tinggi, ada rendah, bila ada terang, ada gelap, bila ada cerdik, ada pula bodoh, bila ada cantik, ada hodoh, bila ada basah ada kering, bila ada tawar, ada masin, dan bila ada lelaki, ada pula perempuan; maka demikianlah seterusnya.



Pandangan manusia atau masyarakat terhadap wanita juga berbeza-beza. Ada manusia memandang wanita tinggi, tapi ada pula yang memandangnya rendah, ada manusia memandang mulia terhadap wanita, tapi ada pula yang memandang hina kepada wanita. Ada yang membenci, dan ada yang menyayangi, ada yang menolak, tapi ada pula yang mendakap, demikianlah seterusnya berbeza-beza sikap manusia terhadap wanita.



Ada pandangan terhadap wanita memang patut dan wajar, tapi sebaliknya ada pula pandangan yang tidak patut dan tidak wajar, malah melampau. Ia tergantung kepada sikap atau pandangan masyarakat, pada kebiasan dan tergantung kepada kepercayaan atau agama.



Pandangan Islam Terhadap Wanita


Islam meletak wanita dalam kedudukan yang mulia dan wajar. Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita dianggap dan dilayan dengan begitu hina sekali, iaitu sebagai lubuk tempat memuaskan nafsu buas lelaki sahaja, dan sesudah itu bila madunya dihisap, dan bila bunga layu, mereka dilayan sebagai sampah yang tidak berharga sesen pun lagi.



Malah masyarakat Arab di zaman jahiliah merasa aib dan malu, kiranya mereka mendapat seorang anak perempuan, justeru bila mereka mendapat anak perempuan, mereka terus menguburkan anak-anak perempuan itu hidup-hidup.



Tapi bila agama Islam lahir, maka darjat wanita yang direndah-rendah dan dihina-hinakan itu, telah diangkatkan ke tempatnya yang tinggi dan diberikan perananannya yang wajar sebagai makhluk yang mulia ciptaan Allah.



Banyak ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis-hadis Nabi saw. yang menyebut wanita dalam berbagai-bagai aspek dan jurusan, yang menggambarkan kemuliaan wanita, terutama untuk dijadikan peringatan dan panduan kepada seluruh umat manusia, khususnya umat Islam untuk meletakkan sikap dan tindakan mereka yang betul dan wajar terhadap wanita.



Sama Di sisi Allah


Dari segi kerohanian, dari segi kejiwaan, lelaki dan wanita adalah sama taraf sahaja. Seperti kaum lelaki juga mana-mana wanita Islam yang melaksanakan segala perintah Allah akan menerima ganjaran atau pembalasan yang sewajarnya dengan apa yang mereka laksanakan mengikut ketetapan Allah SWT.



Allah berfirman: “Sesungguhnya orang lelaki Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang lelaki yang beriman, serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang lelaki yang taat, serta orang-orang perempuan yang taat, serta orang-orang lelaki yang benar, serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar, serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri [kepada Allah] serta orang-orang perempuan yang merendah diri [kepada Allah], dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak, serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak- Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”. Al-Ahzab:35.



Dan Allah berfirman lagi: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan seungguhnya Kami akan membalas mereka, akan pahala mereka, dengan balasan yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.An-Nahl: 97



Sebaliknya Allah memberi hukuman yang sama kepada lelaki dan perempuan yang melanggar perintah Allah, menzalami diri sendiri. Justeru itu seperti kaum lelaki, kaum wanita juga mempunyai tanggungjawab moral yang mesti mereka patuhi, untuk menjamin kebahagian hidup mereka di dunia dan di akhirat.



Allah berfirman dalam kitab suci Al-Quran, “ Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu, serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu”.Al-Ahzab:33.



Dan firmanNya lagi: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, seetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mendirikan sembahayang, dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguh Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. At-Taubah:77.



Dan firmanNya, “ Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepda Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu [bermula] daripada diri yang satu [Adam], dan yang menjadikan daripada [Adam] pasangannya [isterinya-Hawa] dan membiakkan dari keduanya-zuriat keturunan-lelaki dan perempuan yang ramai”.An-Nisa:1.



Menjatuhkan Diri


Walau pun masyarakat dunia pada umumnya telah menerima hakikat kemuliaan insan yang dipanggil wanita itu dan meletakkan mereka di tempat yang wajar, tapi ada pula sebahagian wanita yang bertindak menurunkan darjah mereka untuk menjadi sekeji-keji makhluk dengan melakukan usaha-usaha yang hina-dina.



Wanita-wanita ini menjatuhkan mertabat mereka dengan merelakan diri mereka diperalatkan oleh manusia-manusia yang tidak bermoral untuk memburu kemewahan dan kesenangan dunia.



Mereka merelakan diri mereka diperdagangkan batang tubuh mereka untuk memburu upah kesenangan dan kemewahan hidup, walaupun perbuatan mereka itu lebih hina dari haiwan yang tidak berakal dan berfikiran.



Di samping itu ada pula yang rela yang dengan mudah dan murah menyerahkan batang tubuh mereka untuk diganyang oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab dalam mengejar kepuasan nafsu kebinatangan yang tidak pernah bertepi.



Kadang-kadang bukan sahaja kepada seorang lelaki yang mereka serahkan tubuh mereka, malah kepada lebih dari seorang lelaki yang bernafsu haiwan yang tidak takut dosa-dosa yang akan menjerat mereka.



Justeru itulah ramai wanita-wanita kita hari telah berjaya melahirkan anak-anak haram, anak-anak di luar nikah, anak yang dikandung hasil daripada pemuasan nafsu yang haram semata-mata.



Sejak kebelakangan ini bilangan kelahiran anak-anak di luar nikah, iaitu anak-anak zina kian meningkat. Dari tahun 2006 hingga tahun 2010 seramai 235,000 orang anak zina telah dilahirkan daripada 2.48 juta kelahiran. Dan daripada itu seramai 81,000 [34.5 peratus] adalah terdiri daripada orang Islam.



Kasihan! Kemudian si wanita yang dizalimi itu membuang anak-anak itu di merata-rata tempat mengikut suka hati mereka, malah kadang-kakdang bayi-bayi haram itu dibunuhnya dengan cara yang kejam sekali.



Perbuatan yang menyerupai dengan orang-orang zaman jahiliah sebelum Islam membunuh anak-anak perempuan mereka hidup-hidup kerana tidak sukakan anak perempuan yang ditakuti akan memalukan mereka nanti.



Ada sesetengah pula menjadi penghibur yang melampau, menjadi GRO, melayan lelaki, berbual-bual, bermesra-mesra, menjadi teman sosial, dibawa ke hilir ke hulu, dan kemudian berakhir dengan diranjang untuk mencari duit lebih.



Kebanyakan wanita hari ini pula, walaupun berduit, banyak duit, kerana gaji besar atau berpendapatan lumayan, tapi bakhil untuk membeli pakaian yang menutup tubuh badan, lalu dipakainya pakaian yang terdedah di sana di sini.



Kalau dahulu, hanya orang-orang miskin sahaja yang pakaian tidak meliputi badan, ditarik ke atas, terdedah di bawah, dan ditarik ke bawah, terdedah ke atas, tapi hari ini pakaian-pakaian wanita yang berada lebih teruk dari itu, jika ditarik ke atas, terbuka di bawah, jika ditarik ke bawah, semuanya terdedah.



Dengan berpakaian seperti pembungkus nangka atau terkoyak di sana, terkopek di sini, menempel di neno dengan rambut yang terurai dan terburai mereka merayap ke sana, bergegas ke sini macam kucing kehilangan anak.



Tak cukup dengan bermotokar, berjalan kaki, mereka ikut merempit dengan membonceng di belakang mat rempit, menjarah jalan raya mengikut nafsu diri- minah rempit.



Ini adalah wanita-wanita yang telah tersasul bertindak bukan sahaja menjatuhkan darjah dirinya, keluarganya, tapi juga menurunkan darjah seluruh kaum wanita yang telah diangkat tinggi oleh Islam.



Mereka bukan sahaja menghina diri mereka semata-mata, tapi menghina seluruh kaum wanita-memijak-mijak perintah agama yang menuntut mereka menjaga kesopanan dan kehormatan diri.



Hello Sayang! Demikianlah wanita-wanita yang rakus melanyak-lanyak kesucian wanita.



Wahai sayang! Kembalilah ke pangkal jalan, Jangan diturut rasa, nanti binasa, jangan diturut hati, nanti mati.



Ikutilah seruan akal dan fikiran yang waras, nanti memperoleh kelabaan di dunia dan akhirat.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Hormat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP