TERUSLAH BERJIHAD MENENTANG NAFSU DAN SYAITAN

>> Sunday, September 4, 2011




SETELAH RAMADAN BERLALU


TERUSLAH BERJIHAD MENENTANG NAFSU DAN SYAITAAN

Hari ini Ahad, 6 Syawal. Ini berserti sudah 6 hari Aidilfitri berlalu meninggalkan kita, iaitu hari kesyukuran kerana kita telah berjaya menunaikan ibadat puasa, sebagaimana di perintah Allah SWT. Hari kita menanam azam untuk terus berhijrah dan berubah, serta mencontohi amalan-amalan kita yang mulia yang kita amalkan di sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak.



Dengan itu kita baru beberapa hari sahaja keluar daripada universiti Ramadan yang amat besar kesannya terhadap jasmani dan rohani kita, terhadap raga dan jiwa kita. Hari Aidilfitri adalah hari kita lulus ujian setelah bertungkus lumus sebulan lamanya menempuh ujian nafsu, terutama nafsu perut dan nafsu seks yang sentiasa menyala dan membakar.



Hendaknya segala amalan baik yang kita amalkan sepanjang bulan Ramadan akan terus kekal bersama kita buat selama-lamanya, dan sebaliknya segala amalan buruk atau amalan yang dipengaruhi oleh syaitan hendaklah kita selamat tinggalkan buat selama-lamanya dari menjadi pakaian basahan diri kita.



Amalan mengekang nafsu perut, supaya tidak makan dengan lahap, amalan mengekang nafsu indera, nafsu mulut, nafsu telinga, nafsu mata, nafsu kemaluan adalah merupakan amalan-amalan yang terpuji dan mulia. Janganlah hendaknya selepas Ramadan ini nafsu-nafsu indera tersebut menjadi raja memerintah kita supaya mengikut desakan dan arahannya.



Amalan maaf bermaafan, ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi, unjuk mengunjuki, tegur sapa, menghidupkan masjid-majid merupakan amalan yang terpuji dan mulia yang wajar dikekalkan untuk mrnghidupkan syiar Islam dan memperteguhkan iman dan memantapkan takwa kepada Yang Maha Pencipta.



Nafsu seks adalah nafsu yang sukar untuk dikawal. Justeru itu syaitan dengan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan mengapi-apikan nafsu seks, untuk menjerumuskan manusia ke lubuk bencana. Ia menggoda orang-orang muda dan orang-orang tua. Ia menggoda kanak-kanak dan datok-datok dan nenek-nenek.



Manusia sendiri sebagai seorang insan tidak mampu untuk membenteng diri daripada godaan nafsu yang telah dirasuk syaitan tanpa pertolongan Allah Yang Maha Pencipta. Mohon lah pertolongan dan perlindungan dari Allah Yang Amat Pengasih dan Penyayang.



Nabi Yusuf as. hampir tumpas di tangan seorang wanita, isteri seorang pembesar yang terpesona dengan wajahnya yang tampan rupawan. Tapi beliau telah terselamat daripada godaan syaitan dengan pertolongan Allah SWT yang ingin menyelamatkannya daripada terlibat dalam perbuatan dosa.



Allah SWT merakamkan peristiwa yang menimpa Nabi Yusuf bin Yaakub as. itu di dalam kitab suci al-Quran, dalam Surah Yusuf [12], ayat 23 dan 24 bermaksud, “



“Dan perempuan yang Yusuf di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pula menutup pintu-pintu dan berkata, “Marilah ke mari! Aku bersedia untukmu”.Yusuf menjawab, “Aku berlindung kepada Allah [dari perbuatan yang keji itu] sesungguhnya tuanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya, sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.



“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula [mungkin timbul] keinginannya kepada perempuan itu, kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya [tentang kejinya perbuatan zina itu] demikianlah [takdir Kami] untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa”. Surah:Yusuf 12] 23-24.Yusuf Yusuf 23-24.



Menerusi ayat tersebut Allah SWT menceritakan tentang rayuan isteri Abdul Aziz kepada Yusuf untuk melakukan perbuatan haram dan terkutuk. Wanita itu, Zulaikha, seorang isteri raja yang cantik dan muda jelita terpesona dengan Yusuf seorang anak muda yang tampan dan gagah. Sewaktu suaminya tiada, dia mengaturkan segala persiapan yang diperlukan untuk memungkinkan mereka melakukan kekejian itu dengan selamat.



Namun begitu, Yusuf dengan pertolongan Allah telah berjaya menepis godaan wanita itu walau keadaan mengizinkan beliau berbuat demikian. Dengan pertolongan Allah, beliau terselamat dari godaan dan tipu daya wanita itu yang cuba memerangkapnya.



Walau bagaimanapun akibat daripada keberanainnya menolak godaan wanita itu telah menyumbatkannya disumbat ke dalam penjara selama bertahun-tahun. Walau bagaimana pun ia mempunyai berbagai-bagai hikmatnya yang tersendiri.



Nabi Yusuf adalah salah seorang daripada tujuh golongan manusia yang bertakwa sebagaimana disebutkan dalam sebuah Hadis Rasulullah saw. yang terdapat dalam Shahih Bukhari-Muslim mengenai pembicaraan mengenai penutup para Nabi, maksudnya:



Hadis itu bermaksud:



“Ada tujuh kelompok yang Allah naungi ketika tak ada teduhan.



-Seseorang yang berzikir kepada Allah dalam kesunyian, lalun menitislah air matanya.



-Seseorang yang hatinya terpaut dengan masjid, manakalah ia keluar darinya, hingga dia kembali lagi ke masjid,



-Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Dia.



-Seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah, lantas disembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.



-Seorang pemuda yang tumbuh mekar dalam ibadah kepada Allah.



-Dan seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita yang berparas cantaik dan mempunyai kedudukan, lalu menanggapinya dengan ucapan, “Saya takut kepada Allah”.



Demikianlah sabda Rasulullah saw untuk dijadikan renunagan.


Sesunguhnya:



Perjuangan menentang nafsu yang rakus wajib diteruskan.



Perjuagan menentang syaitan wajib dipertingkatkan.



Malah berjihad menentang nafsu yang makar dan syaitan wajib diterus dan dipertingkatkan.



Tidak ada genjatan senjata dalam menentang nafsu yang zalim.



Tidak ada perdamaian dalam menentang syaitan.



Tidak ada tolak angsur dalam menentang nafsu dan yaitan.



Teruslah berjuang dan berdoa kepada Allah semoga kita kekal sebagai manusia beriman yang tidak dapat ditunggangi oleh nafsu dan diperkudakan oleh syaitan laknatullah.



Semoga hidup kita berbahagia di dunia dan di akhirat.



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP