Rumahtangga Tidak Dapat Dibina Di Awang-awangan

>> Sunday, September 18, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HALLO SAYANG



RUMAH TANGGA TAK DAPAT DIBINA DI AWANG-AWANGAN



Kehidupan kita manusia ini sentiasa berubah-ubah. Tidak ada suatu kejadian pun yang statis dan beku. Ia mungkin berubah secara perlahan-lahan yang dikenali dengan panggilan evolusi, atau ia berlaku secara segera dan mengejut dipanggil revolusi..



Perubahan itu mungkin berlaku secara semula jadi kerana begitulah takdir Ilahi, seperti manusia daripada tiada kepada ada, daripada ada kepada tiada, daripada kecil kepada besar, dan daripada hidup kepada mati.



Perubahan itu mungkin juga berlaku akibat daripada hasil usaha manusia yang mencipta perubahan, umpamanya dalam bidang pertanian manusia pada mula-mulanya menggunakan tenaga tulang empat kerat untuk mengerjakan pertanian, kemudian mereka menggunakan haiwan, kerbau dan lembu untuk menggala tanah, dan akhirnya mereka menggunakan jentera-jentera yang mereka cipta untuk membajak sawah dan ladang mereka dengan lebih mudah dan berkesan.



Pengaruh Perubahan


Salah satu sektor yang begitu hebat pencapaiannya dalam bidang pemodenan dan kemajuan ialah sektor perindustrain dan pendidikan. Ia menimpakan berbagai-bagai kesan secara langsung dan tidak langsung ke atas kita manusia. Kesan-kesan itu ada baik, dan ada pula yang tidak baik dan mengancam keselamatan masyarakat itu sendiri.



Kebanyakan kesan-kesan itu kerana terlalu lumrah atau biasa dengan kita, menyebabkan kita tidak menyedari atau hampir tidak menyedarinya berlakunya walau pun ia berada di sekitar kita, terlalu dekat dengan hidup kita.



Wanita sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat atau warga dunia telah, sedang dan akan menerima berbagai-bagai perubahan yang berlaku di seluruh alam maya ini.



Pada masa-masa yang lalu, kaum wanita kita suka mendirikan rumahtangga dalam usia yang muda belia, maka justeru itu gadis-gadis yang lewat berkahwin dipandang dengan sebelah mata dan tidak digemari, malah dipandang hina.



Tapi sejak kebelakangan ini kemajuan di bidang perindustrian dan pendidikan menyebabkan kegemaran itu telah jauh berubah, di mana kaum wanita dan juga lelakinya sejak tahun-tahun kebelakangan ini lebih suka memilih aliran kahwin lewat dan aliran hidup membujang.



Kalau dahulu andainya anak-anak gadis menjelang usia dua puluhan tahun masih belum dipinang orang, ibu bapa akan merasa amat gusar, kerana bimbang anak mereka tidak laku, dan menjadi andartu. Tapi hari ini anak-anak gadis masih lagi berada di alam dunia pendidikan ketika mereka berada dalam usia lebih dua puluhan tahun.



Adalah menjadi kebiasan hari ini anak-anak gadis baru berumah tangga ketika mereka menjejaki usia hampir tiga puluhan tahun.



Itulah sebabnya ada sesetengah anak-anak gadis mungkin kerana takut ketinggalan kereta api akan mendirikan perkahwinan ketika mereka dalam proses pembelajaran di U lagi, terutama mereka yang belajar di luar negara.



Dalam satu segi, perubahan ini merupakan salah satu harga yang mahal yang harus dibayar oleh masyarakat manusia, hasil daripada kemajuan yang begitu pesat yang dicapai oleh mereka dan menimpakan kesan yang begitu besarnya terhadap kehidupan kekeluargaan dan nasib manusia.



Pada tahun 1985 kaum wanita di negara Malaysia yang masih belum mendirikan perkahwinan dalam usia 15 dan 24 tahun ialah sebanyak 74 peratus, tapi dalam tahun 1992 telah meningkat kepada 82.6 peratus.



Demikian juga corak yang sama berlaku pada wanita kita yang berada dalam lingkungan usia 25 hingga 34 tahun dan juga antara 35 hingga 44 tahun.



Justeru jika anda seorang wanita yang masih belajar atau pun bekerja dan masih belum kahwin tidak perlulah anda bimbang anda akan ketinggalan kereta api.



Lebih-lebih lagi, gadis-gadis, dan juga pemuda-pemuda hari ini masing-masing telah mempunyai teman pilihan hati masing-masing, teman stedi, malah ada juga di antara mereka telah diikat dengan tali pertunangan yang bererti telah mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.



Apa yang perlu diingati, diingati benar-benar ialah supaya anda menjaga tata tertib pergaulan, bukan sahaja sebagai insan yang berpelajaran dan berpendikan tinggi, tapi juga sebagai seorang Islam yang telah meletakkan garis-gaaris tertentu dalam pergaulan untuk menjamin kebahagian manusia di dunia dan di akhirat.



Jauhilah perkara-perkara yang ditegahkan agama, terutama perkara-perkara yang boleh melibatkan diri anda dalam salah laku seksual, perzinaan, atau mukadimah zina yang dinamakan seks bebas hari ini.



Kenali dengan pasti perkara-perkara yang boleh mendorongkan anda terjerumus ke dalam lubuk kedurjanaan yang menimbulkan penyesalan seumur hidup dan akan menimpakan keaiban kepada diri anda dan juga keluarga anda yang begitu mengasihi anda, terutama kedua ibu bapa yang ingin melihat dan sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagian anda, anaknya.



Jangan rosakkan harapan orang tua anda, jangan contengkan arang ke muka orang tua anda dan juga keluarga anda dengan perbuatan-perbuataan anda yang bodoh dan tidak bertanggungjawab dengan teman-teman lelaki anda atau mana-mana lelaki yang Don Juan yang sentiasa berkeliaran mencari mangsa untuk dikorbankan dengan berbagai-bagai tipu daya dan helah.



Sekali anda tersasul langkah, dan anda rebah dan tumbang, maka akan menjadi kesukaran kepada anda untuk bangkit kembali untuk kembali menititi jalan hidup yang benar.



Langkah pertama yang anda ambil itu amat penting, kerana langkah itulah akan menentukan hala tuju hidup anda untuk seterusnya.



Anda pilih neraka atau syurga? Bola di tangan anda, tendanglah ke arah mana anda yang anda pilih yang akan memberi impak yang besar kepada anda dan masa-masa hadapan anda.



Ia menentukan anda seorang juara atau pun pemain yang akan disingkir atau tersingkir dari gelanggang kerana banyak membuat kesilapan yang merugikan.



Selain dari seks bebas, seks haiwaniah, perkara yang merbahaya pada hari ini ialah dadah, dadah bebas yang digunakan untuk mencari keseronakan diri sendiri. Seperti juga dengan seks bebas, dadah bebas bukan sahaja merosakkan diri sendiri tapi dapat meroskan masyarakat, bangsa dan negara.



Penagih dadah adalah sebenar-benarnya bangkai yang bernyawa yang telah kehilangan segala-galanya; maka itulah sebabnya mereka sanggup menzalami dan membunuh kedua ibu bapa mereka sendiri yang enggan memenuhi kehendak mereka yang kurang ajar itu, memaksa minta wang untuk membeli dadah.



Oleh itu berhati-hatilah dalam mencari sahabat dan teman, lebih-lebih lagi dalam mencari buah hati pengarang jantung; jauhilah mereka yang mencurigakan, kerana mencegah jauh lebih baik dari merawat. Kerana sekali anda terjerelus ke lembah yang kotor, maka sukarlah kepada anda untuk mengangkat kembali kaki anda untuk meniti jalan yang luhur bagi menikmati kebahagian dunia dan akhirat.



Berhati-hati jugalah anda dengan mereka yang mencurigakan itu, terutama mereka yang anda kenali melalui Internet, kerana ditakuti nanti akan terjerat leher menjadi lembu dadah tanpa kerelaan anda sendiri.



Berhati-hatilah dengan penagih dan awaslah dengan pengedar kalau anda tidak ingin merana.



Jangan Sisih Ibu Bapa


Ingatkan Allah, ingatkan Rasulullah, dan ingatlah orang-orang yang tersayang, terutama kedua ibu bapa di mana anda menjadi ases yang amat berharga kepada mereka.



Hormatilah ibu bapa anda-junjunglah mereka, dan letakkan mereka di tempat yang wajar sebagai sseorang ibu atau ayah yang amat besar jasanya ke atas anda.



Walau pun keadaan kehidupan kekeluargaan telah jauh berubah, di mana peranan keluarga, khususnya ibu bapa dalam soal perkahwinan telah menjadi sempit, kerana anak-anak generasi muda telah bebas dan tidak terikat lagi kepada sosio budaya, agama dan pilihan orang tua. Dan sebagai generasi muda, anda lebih mengutamakan cita rasa sendiri, termasuklah dalam pemilihan pasangan hidup.



Namun begitu anda tidaklah boleh sama sekali mengenepikan keluarga anda, khususnya kedua ibu bapa anda dalam pencarian jodoh anda. Berilah peluang kepada merka dengan sewajarnya untuk memain peranan mereka dalam perkara mencari jodoh ini, walaupun penetuwannya terletak di tangan anda.



Mengenepi atau meninggalkan ibu bapa atau keluarga, mungkin merupakan salah satu faktur yang menyebabkan tingginya angka penceraian dalam masyarakat kita pada akhir-akhir ini. Kadar penceraian yang tinggi dan perpisahan yang meningkat itu menyebabkan meningkatnya bilangan janda-janda, balu-balu dan ibu-ibu tunggal di negara kita.



Ingatlah anda tidak boleh memilih ibu bapa anda, sebagaimana memilih rumah, memilih keenderaan, memilih suami atau isteri, kerana ia merupakan kurnia Allah. Samada anda suka atau tidak suka, itulah dia ibu anda, dan itulah dia ayah anda. Bersyukurlah kerana merekalah, adanya anda.



Suatu masa, kajian yang pernah dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara [LPPKN] menunjukkan bahawa 94 peratus dari jumlah isi rumah negara kita adalah terdiri dari ibu bapa tunggal, khususnya ibu tunggal.



Malah hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia [JAKIM] pada tahun 2009 menunjukkan perceraian di kalangan umat Islam berlaku setiap 15 minit sekali. Dan kadar itu terus meningkat dari masa ke masa.



Menyusul dengan itu, persatuan ibu tunggal terpaksa ditubuhkan untuk menjaga kepentingan ibu tunggal, iaitu wanita-wanita yang ditinggalkan suami, wanita-wanita yang bercerai dan juga janda-janda yang kematian suami.



Untuk menjauhkan segala mala petaka menimpa diri kita dan kelurga kita, maka kita hendaklah hidup beragama, kemabli kepada agama, kerana pendidikan yang tinggi sahaja tidak mampu membawa kita ke mercu kejayaan dunia dan akhirat. Anataranya jangan tinggalkan solat wajib lima kali sehari. Itulah tapak agama. Meninggalkannya bererti hidup tidak bertapak, maka tanpa tapak di atasn apa rumah akan dibina?



Oleh itu pembangunan kebendaan, hendaklah disertai dengan pembangunan krohanian, pembangunan keagamaan, supaya ianya bergerak serentak memandu manusia ke jalan yang benar. Tanpa pembangunan agama manusia akan pincang, dan akan membawa mala petaka kepada diri dan keluarga.



Wahai sayang, hiduplah dengan seimbang, Jangan biarkan pembangunan dan kemajuan merratah-ratah jasmani dan rohani anda yang menyebabkan anda menjadi kerangka hidup yang tidak bererti lagi di sisi Allah SWT.



Rumah tidak dapat dibina tanpa tapak dan tapak kehidupan ialah agama! Tanpa agama kerangka tidak dapat dibina, justeru bagunan pun tidak dapat ditegakkan. Bolehkah rumah dibina di awang-awangan?


Semoga anda berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP