Suamiku,Kasihku,Cintaku

>> Wednesday, September 7, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELLOW SAYANG



SUAMIKU, KASIHKU, CINTAKU



Setiap orang dari kita, baik lelaki atau perempuan, baik dilahirkan di rumah, di hospital, di dalam kereta atau kapal terbang, selepas itu tempat hidupnya adalah di dalam keluarga. Kerana sebagai manusia, dia tidak dapat hidup dan membesar sendirian tanpa dipelihara dan diasuh oleh keluarganya, khususnya ayah dan bondanya.



Yang berbezanya, samada keluarga itu kecil atau besar, iaitu terdiri dari dia, ayah dan bondanya sahaja, atau terdiri dari saudara mara dan datok dan nenek yang tinggal bersama membentuk sebuah keluarga yang lebih besar. Semuanya itu tergantung kepada penentuan keadaan sekeliling mereka.



Setiap keluarga, baik kecil atau besar merupakan salah satu bahagian yang penting dalam sesebuah masyarakat, dan masyarakat ini pula merupakan sebahagian yang penting dalam sesebuah negara, kerana keluarga merupakan faktor penentu dalam mencorak dan mewarnakan nasib sesuatu bangsa dan negara- baik atau buruk.



Andainya sebahagian besar keluarga dalam sesebuah masyarakat itu berada dalam kerosakan, porakperanda, maka ia memberi alamat bangsa dan negara itu berada di ambang kemusnahan; demikian juga sebaliknya, andainya sebahagian besar keluarga dalam sesebuah masyarakat itu berada dalam keadaan aman dan bahagia, maka itulah tandanya bangsa dan negara itu berada dalam keamanan dan kesejahteraan.



Bayangkanlah andainya sebahagian besar keluarga yang rosak itu terdiri daripada penagih-penagih arak dan dadah, apakah yang boleh diharap oleh bangsa dan negara itu terhadap anggota-anggota negaranya sendiri? Tunggulah ketibaan masa keruntuhan dan kehancuran yang pasti akan tiba menimpa negara itu.



Oleh sebab itulah semua bangsa memandang penting institusi keluarga dan meletaknya sebagai satu perkara yyang utama untuk diberikan perhatian dalam kehidupan bangsa mereka. Lebih-lebih agama Islam yang meletak institusi keluagra ditingkat yang teratas dalam susun lapis kehidupan manusia di dunia ini.



Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.Ar-Rum:21



Sesungguhnya cinta dan kasih sayang itu amatlah penting dalam kehidupan kekeluargaan- cinta dan kasih sayang merupakan tali sutera pengikat suami isteri, dan meletakkan diri mereka dalam sakinah aman tenteram sepanjang hayat, dengan penuh kemesraan dan ketenangan menjadi intisari kepada pembentukan sebuah keluarga aman dan bahagia di dunia dan akhirat nanti.



Mencintai Suami


Ya! Rasa cinta dan kasih, gelora rindu lelaki terhadap perempuan, dan sebaliknya gelumbang rindu perempuan terhadap lelaki adalah sesuatu yang mulia dan murni jika dialirkan ke dalam wadah yang suci, kerana ianya merupakan sebahagian daripada saluran untuk melaksanakan tugas-tugas asasi manusia di bumi Allah yang berperanan untuk perlanjutan umat manusia daripa ketandusan dan kepupusan yang menjadi tanda-tanda kepada kebesaran Allah SWT.



Malah dalam kaca mata Islam, pelakasanaan hubungan kelamin yang halal, antara suami dan isteri yang sah dinikahi merupakan suatu ibadah yang memberi erti para pelakunya akan menerima ganjaran pahala yang sewajarnya dari Allah.



Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Seseorang lelaki itu diberi pahala kerana persetubuhan yang dilakukan dengan isterinya”.



“Para sahabat pun kehairanan atas kenyataan itu, lalu bertanya kepada Baginda Rasulullah saw.,”Mengapa pula orang yang memuaskan nafsu seksnya mendapat pahala?”.



“Jawab Rasulullah saw,” Tidakkah kamu fikir, sekiranya dia mencari kepuasan nafsunya secara haram dia akan memikul dosa? Kerana itu, apabila dia mencari kepuasaan nasu secara halal, maka dia diberi pahala”. HR:Muslim.



Kebahagian rumahtangga, amat bergantung kepada anda sebagai seorang wanita dan isteri, kerana lelaki sahaja sebagai suami tidak mampu membina kebahagian rumahtangga tanpa kerjasma dan sokongan padu daripada isteri yang menjadi sayap kiri kepada perjuangannya di rumahtangga. Sesebuah rumahtangga tidak akan berbahagia, jika suami bergerak ke hilir, sedangkan isteri pula bergerak ke hulur.



Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Kebahagian anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhdap anak Adam ada tiga.



“Maka di antara yang membahagiakan anak Adam ialah isteri salih, keenderaan yang baik, serta rumah yang lapang.



“Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga, iaitu tempat yang tidak baik, dan isteri yang tidak baik, serta keenderaan yang tidak baik”.HR:Imam-imam Ahmad, At-Thabarani & Al-Bazzar.



Kalau kita ke hulu, marilah kita bersama-sama mendayung perahu menongkah arus, dan kalau kita ke hilir, marilah kita bersama-sama berdayung menuju ke muara. Kalau saya berdayung, ke hulu, tapi anda pula berdayung ke hilir, perahu kita tidak akan sampai ke mana, malah kita akan bersama-sama keletihan tanpa sampai ke pangkalan yang dituju, dan akan berakhir dengan terdampar di pantai kekecewaan.



Tegasnya, salah satu daripada faktor yang menentukan kebahagian hidup seseorang suami dan sesebuah rumahtangga ialah seorang isteri yang berjurus, mulia budi pekertinya, dan akasnya seorang isteri yang bengkok yang buruk akal budinya akan membawa kecelaan kepada suami dan kebinasaan kepada rumahtangga mereka.



Adalah menjadi tanggung jawab anda sebagai seorang isteri menjaga kententeraman keluarga, dan peranannya yang utama sebagai seorang isteri ialah menjaga perkahwinan anda dengan sebaik-sebaik-baiknya supaya sentiasa berada dalam keadaan aman dan selamat.



Cintaiah suami anda. Jadikan diri anda seorang isteri yang bijaksana untuk mencetuskan kebahagian kepada keluarga. Jadilah seorang isteri yang setia kepada suami anda, untuk menimbulkan kembali kententeraman dan keamanan kepada suami yang dilanda kesusahan, jadilah seorang isteri yang sabar untuk mendinginkan hati suami yang kepanasan, dan jadikanlah diri anda seperti sebuah perigi di kaki bukit yang airnya sejuk dan dingin dan tenang terletak di bawah bayang-bayang pokok yang rendang, di mana suami dapat berteduh dan mandi-manda dengan tenteram, menghilangkan segala keharuan, kesedihan, kebimbangan dan keserabutan yang bergayutan di hatinya, serta mengembalikan keamanan dan kententeraman kepada jiwanya yang telah bergoncangan itu.



Jadilah seorang isteri yang salihah dan bertakwa untuk menjaga diri anda dan kehormatan anda yang tidak ternilai harganya sebagai soerang isteri, ibu dan juga insan, dan akan meletakkan diri anda dalam suasana kebahagian sepanjang masa selagi hayat dikandung badan, selagi rumahtangga bernama rumahtangga di mana anda menjadi permaisurinya yang bijakasana.



Jadilah seorang isteri yang sabar dan hidup memadai dan selaras dengan kemampuan suami anda. Jangan jadi seperti seekor kancil, kerana gajah berak besar, maka dia pun nak berak besar juga. Isteri yang sabar dan memadai akan membawa suami dan keluarganya hidup dalam samudera keredaan Ilahi, mencetuskan keamanan dan kenteraman pada hati dan jiwa suaminya untuk menempuh gelombang hidup yang penuh dengan pancaroba; serta bersama-sama melayari bahtera keluarga ke mercu kebahagian dan keredaan Allah SWT.



Anda meredakan suami anda, dan suami anda pula meredakan anda, maka Allah akan meredakan anda kedua.



Jadilah seorang isteri yang rajin dan bijaksana, kerana kerajinan dan kebijaksanaan itu dapat membawa suami dan keluarga anda hidup dalam suasanan sihat, segar dan cerdas. Hanya dalam suasana yang seperti ini, kehidupan suami dan keluarga menjadi aman damai, bukan kerana kemewahan, tapi kerana kerajinan dan kebijaksanaan anda menguruskan rumahtangga anda.



Justeru itu dengan izin Allah rumahtangga anda akan berada dalam ketenangan dan keamanan, di mana sebuah rumahtangga akan menjadi syurga dunia, tempat suami dan anak-anak berteduh di bawah bayangan pohon kebahgian hidup yang subur dan merendang yang akan sentiasa menjadi kenangan-kenangan manis yang menyegarkan perasaan dan jiwa.



Pada suatu masa seorang sahabat bertanya Rasulullah saw. “Wahai Rasulullah saw, wanita manakah yang baik?”.



Maka jawab Rasulullah, “ Wanita yang terbaik, iaitu bila kamu lihat menyenangkan, bila kamu memerintah mematuhinya, bila kau beri janji diterimanya dengan baik dan bila kamu pergi, dirinya dan hartamu dijaga dengan baik”. HR:Nasai’ & lain-lain sahabat.



Tegasnya seorang wanita yang baik ialah seorang isteri yang dapat menggembirakan hati suaminya bila dilihat, menurut perintah suaminya bila disuruh dan menjaga baik nama suaminya bila suaminya berpergian.



Allah berfirman, “Maka perempuan-perempuan yang salih itu, ialah yang taat [kepada Allah dan suaminya], dan yang memelihara [kehormatan dirinya dan apa jenis jua yang wajib dipelihara] ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharan Allah dan pertolonganNya”. An-Nisa:34.



Dengan itu, tidak ada harta simpanan yang lebih baik kepada seorang suami, selain daripada seorang isteri yang baik budi pekertinya, bijaksana dan salihah.



Kalau sebuah rumahtangga itu diibaratkan kerja nelayanan, maka anda sebagai isteri adalah kapalnya, maka suami anda adalah nelayan yang memegang pengayuh dan kemudinya; dan jika rumahtangga itu diibarat seperti pertanian, maka anda sebagai isteri adalah bumi dan tanahnya, sedangkan suami anda adalah petani yang memegang cangkul dan golok. Kedua-duanya mesti menjalin kerjasama yang padu, tanah mesti subur, dan petani mesti rajin dan usaha, baru mengeluarkan hasil yang memuaskan.



Kalau diibaratkan sebuah kerajaan , suami anda adalalah seorang perdana menteri, iaitu ketua negara dan anda sendiri sebagai seorang isteri adalah seorang menteri dalam negeri, yang bertanggungjawab kepada ketua negara dan kepada setiap rakyat dan warga negaranya, iaitu anak-anaknya. Sebagai menteri dalam negeri, andalah yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara dan seluruh rakyatnya, iaitu rumahtangganya yang telah diamanahkan oleh suaminya sebagaimana dituntut oleh agama.



Justeru sebagai seorang isteri, jadilah kapal yang baik, atau bumi yang subur atau jadilah seorang menteri yang bijaksana yang memberi manfaat kepada semua mereka yang bernaung di bawah panji-panji ketinggian budimu.



Sesungguhnya Allah itu maha luas pengetahuannya, tidak ada sesuatu pun yang terlepas pandang dari sisinya, walaupun setitik embun yang menitis di malam hari, atau pun ribuan titisan hujan yang mencurah di bumi semuanya ada dalam perbendaharaanNya. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas pandang dengan sia-sia, semuanya diperhitungkan dengan saksama untuk diberikan ganjaran yang setempal nanti.



xxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih,Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP