Bila Dapur Anda Berpindah Ke Pasar
>> Wednesday, September 21, 2011
ASSAMUALAIKUM,HALLO SAYANG
BILA DAPUR ANDA BERPINDAH KE PASAR
Kemajuan dan pembangunan begitu rancak berkembang menembusi masuk ke dalam semua bidang kehidupan. Mungkin tidak ada apa lagi yang tercicir, dari sekecil-kecil perkara, membawa kepada sebesar-besar perkara yang terdapat di dunia ini yang tersisih dari arus pembangunan.
Dengan itu dari hari ke hari hidup kita bertambah kompleks, bertambah aneka ragam, terutama di bandar-bandar dan di kota-kota besar yang begitu ketara dicerobohi oleh aneka warna pembangunan. Ini mengakibatkan manusia sentiasa tekejar-kejar dan tergesa-gesa dalam memburu keduniaan. Ia menimpakan kesan yang besar terhadap manusia, dari segi jasmani dan rohaninya, baik lelaki atau perempuan.
Ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh manusia dalam budaya hidup mereka di zaman moden yang kian kompleks keadaannya, yang sentiasa bergolak dan berubah-ubah hari demi hari kerana dipengaruhi oleh kemajuan yang begitu pesat bercambah itu.
Cuba perhatikan kehidupan anda dan sekitar anda setiap hari.
Para pekerja atau pegawai-pegawai kerajaan atau swasta, baik lelaki atau perempuan yang bertempat di bandar, pada umumnya tidak sempat balik ke rumah di waktu rihat tengah hari kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, antaranya kerana jarak antara tempat tinggal dan tempat kerja tidak mengizinkan untuk pulang, kerana jalan tersumbat atau jem yang melambatkan pergerakan keenderaan atau untuk mengelak daripada kepenatan memandu dalam suasana yang tidak menyelerakan, atau pun mungkin tidak ada sesiapa di rumah untuk menyediakan sarapan tengah hari, kerana suami isteri bekerja. Akibatnya mereka lebih suka memilih tidak pulang ke rumah waktu rihat tengah hari.
Dengan berbuat demikian, bererti kita, khususnya kaum wanita, telah mengubah budaya makan mereka. Daripada kebiasaan makan di rumah kepada amalan makan di kafe-kafe, di gerai-gerai dan di restoran-restoran. Daripada menikmati makanan masakan sendiri, atau masakan isteri, kepada memilih “makan segera” atau ‘instan food” atau snek yang ringkas untuk kemudahan menikmatinya.
Oleh sebab tidak mempunyai banyak pilihan yang sesuai dengan diri, maka makanan seperti itu juga yang sering menjadi pilihan kita, walau pun kita sedar bahawa makanan-makanan seperti itu kurang berkhasiat, atau tidak berkhasiat langsung, malah ada sesetengah makanan itu boleh membahayakan jika kita kerap memakannya dari masa ke masa.
Daripada menikmati masakan isteri yang enak di rumah, para suami terpaksa makan nasi di kantin-kantin atau di gerai-gerai di pinggir jalan yang tidak jauh dari tempat kerja. Walau rasanya mungkin sedap, tapi tidak akan lebih sedap dari masakan isteri sendiri, lagi pun dari segi mutu dan kebersihannya belum juga dipastikan walaupun dari segi pandangan zahir kelihatan menyenangkan.
Dan sekiranya anda, baik lelaki atau perempuan, terpaksa makan di luar setiap hari bekerja, anda patutlah berhati-hati, bukan sahaja memilih tampat makan yang bersih, tapi juga pastikan keselamatan anda dari segi lahiriah dan batiniahnya.
Oleh itu anda, baik lelaki atau perempuan hendaklah mengelak daripada mengulangi gerai atau kedai makan yang sama setiap hari walau pun makanannya sedap dan menyelerakan anda, kerana dibimbangi ada orang, mungkin lelaki kalau anda seorang wanita, dan seorang perempuan jika anda seorang lelaki menaruh hati atau terpikat dengan anda atau cuba menipu daya anda dengan secara langsung atau tidak langsung, antaranya dengan menggunakan ilmu hitam andanya tidak berjaya dengan cara yang biasa.
Jika anda seorang wanita yang sudah bersuami, atau juga seorang lelaki yang sudah beristeri, jangan biasakan pergi ke kantin bersama dengan rakan sekerja lelaki jika anda seorang perempuan, dan rakan sekerja perempuan jika anda seorang lelaki, kerana ia boleh menimbulkan fitnah yang buruk.
Saya pernah mempunyai rakan sekerja yang suka pergi makan bersama di sebuah gerai berhampiran pejabatnya setiap kali untuk minum-minum atau makan tengah hari. Akhirnya timbul bisik-bisik yang tidak baik orang ramai terhadap amalannya itu. Mereka telah difitnah, walau pun hubungan mereka tidak lebih dari rakan sekerja, dan masing-masing mereka telah mempunyai keluarga yang bahagia.
Oleh itu berhati-hatilah, wahai sayang dalam hidup ini, berfikirlah terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu yang mungkin boleh menimbulkan fitnah terhdap diri dan keluarga anda.
Perubahan budaya makan dari rumah ke gerai-gerai ini telah berjaya menggalakkan pertumbuhan industri pemakanan untuk memenuhi keperluan anda-anda sebagai pengguna, seperti perusahaan membuat mi segera, cips, kerpok dan sebagainya yang boleh memberikan keuntungan yang lumayan kepada pengusaha-pengusahanya.
Di samping itu kaum wanita yang telah bersuami dan bekerja secara formal sudah tentu mengalami kesukaran untuk mendapat bekalan-bekalan makanan yang mereka perlukan untuk santapan seisi keluarga mereka setiap hari. Justeru mereka mengalami kesuntukan masa untuk membeli bekalan-bekakalan makanan yang diperlukan itu, dan juga kesuntukan masa untuk memasaknya seperti wanita-wanita rumahan yang tidak bekerja.
Wanita-wanita yang seperti ini, pergi ke pasar atau ke pasar-pasar raya sekali atau dua kali seminggu untuk membeli bahan-bahan makanan yang diperlukan itu, baik lauk pauk, sayur mayur dan sebagainya, dan bila sampai ke rumah menyimpannya dalam freezer atau peti sejuk untuk digunakan masa-masa yang perlu.
Akibatnya, kerana disimpan terlalu lama, bahan-bahan makanan itu kehilangan mutunya yang baik pada asalnya, baik sayur atau pun daging, malah kadang-kadang menjadi lupus tempohnya, terutama makanan dalam tin akibat terlalu lama disimpan, dan hanya baru disedari ketika hendak menggunanya, atau pun langsung tidak menyedari tarikh lupusnya, lalu dimasak dan dimakan sekeluarga. Nasib baik tidak ada apa-apa perkara buruk yang berlaku.
Kebiasaannya makanan-makanan dalam tin lebih menjadi pilihan kaum wanita kerana ia mudah diperolehi dan mudah pula disediakan untuk dimakan. Hari ini, untuk memenuhi keperluan-keperluan tersebut yang kian meningkat, hampir semua jenis makanan telah ditinkan dan terdapat di pasaran, baik berupa lauk-pauk, sayur-mayur buah-ketuah, dan juga jus-jus buah-buahan malah juga air minuman.
Dari industri pemakanan ini, lahir pula perusahaan memasarkan makanan-makanan itu yang bertangungjawab pula melahirkan industri pengiklanan yang memainkan peranan yang penting dalam melariskan jualan sesuatu produk. Bukanlah suatu perkara yang luar biasa, produk yang tidak bermutu pun menjadi laris pemasarannya kerana iklan-iklannya yang begitu hebatnya, malah produk yang mengandungi racun yang merbahaya pun menjadi rebutan di pasaran, dan sebahagian daripada mangsanya ialah kaum wanita.
Kadang-kadang ada iklan yang pernah kita lihat, menggelikan hati, kerana menyebabkan kita merasa telah cuba diperbodoh-bodohkan sebegitu rupa dengan mudahnya oleh kaum-kaum kapitalis. Tentu kita merasa geli hati, bila melihat bagaimana seorang lelaki tiba-tiba menjadi wira yang gagah berani, handal dan mempunyai kuasa magis hanya setelah memakan sejenis makanan ringan?
Oleh itu hati-hatilah, terutama kaum wanita dengan iklan-iklan yang melampau seperti itu yang lahir menerusi berbagai-bagai media yang berpengaruh. Kuasa membeli barang-barang keperluan dapur lebih banyak terletak di tangan wanita, maka janganlah biarkan diri anda terpengaruh dengan segala bentuk iklan murahan itu. Pastikan barang-barang itu benar-benar bermutu barulah anda membelinya.
Dalam bidang pemakanan ini, makanan-makanan bayi juga merupakan industri yang penting diberi perhatian. Berbagai-bagai jenis makanan bayi terdapat di pasaran, baik susu atau makanan-makanan pepejal. Ibu-ibu yang bekerja sudah tentu memilih susu tin untuk bayi mereka, kerana mereka tidak mempunyai peluang yang mencukupi untuk menyusu bayi mereka, sebab masa mereka berada di rumah sangat terhad-turun pagi-pagi pergi bekerja, petang atau malam baru sampai ke rumah.
Yang malangnya, ada juga sesetengah wanita yang tidak bekerja, tapi enggan menyusu bayi mereka, kerana itu mereka membeli susu tin sebagai gantinya. Antara sebab yang mereka berikan ialah untuk menjaga kecantikan badan, kerana kata mereka, menyusu bayi boleh menyebabkan kantung susu mereka menjadi susut, kendur dan mengecut yang akan mengurangkan kecantikan mereka.
Ada sesetengah wanita pula mengharamkan buah epal yang tergantung di dadanya itu, bukan sahaja kepada bayi-bayinya, untuk menyusu, tapi juga diharamkan juga kepada suaminya sendiri dalam hubungan intim mereka dengan alasan untuk menjaga kecantikan bada.. Tapi kita hendak bertanya, untuk apakah pula wanita ini menjaga keindahan badannya, kalau bukan untuk untuk dinikmati dan dikagumi oleh suaminya sendiri? Atau adakah untuk menjadi tontonan lelaki dan wanita-wanita sebagai harta yang boleh dibanggakan?
Walau bagaimana pun, para ibu yang menyedari khasiat susu ibu tetap bersedia menyusu bayi mereka, tanpa mengindahkan tawaran-tawaran hebat yang muncul dalam iklan-iklan yang dipamerkan oleh saudagar-saudagar makanan bayi itu.
Kebanyakan kita pula tidak menyedari adanya dalam sesetengah makanan di pasaran itu mengandungi bahan-bahan yang merbahaya dalam makanan yang diawit, seperti bahan-bahan pewarna atau ubat-ubat penahan yang boleh mengancam kesihatan para penggunanya.
Di samping itu, makanan-makanan seperti itu mungkin pula mengandungi bahan-bahan haram atau syubahat yang tidak boleh dimakan oleh orang-orang Islam. Umpamanya roti yang disapu dengan minyak babi, kek atau biskut yang mengandungi lemak binatang atau gelatin dari sumber haram, seperti babi atau binatang-bintang yang tidak disembelih cara Islamik yang haram dimakan oleh orang Islam.
Memindahkan dapur anda ke pasar-pasar atau ke restoran-restoran kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan tidaklah perlu dikesali, tapi cara-cara anda memilih pasar dan berbelanja di pasar itu patut diberi perhatian supaya tidak menimbulkan fitnah kepada anda, akibat anda berada di tempat yang salah dan memilih makanan yang tidak betul.
Sebagai seorang wanita, sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu, anda hendaklah berhati-hati dalam memilih dan membeli makanan-makanan yang anda perlukan untuk diri dan keluarga anda, termasuk bayi-bayi anda sedndiri. Guna ilmu dan pengalaman anda untuk berbelanja, dan jangan sama sekali menggunakan perasaan dan nafsu anda yang tidak mengenal batas dan sempadan.
Jangan menempah kemusnahan untuk diri anda, suami anda dan keluarga anda ketika anda berbelanja di pasar. Berbelanjalah dengan sebaik-baiknya sebagai seorang yang berpendidikan dan beriman. Insyallah anda selamat.
Amin
xxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni
0 comments:
Post a Comment