Mawar Berhak Menolak Kumbang

>> Wednesday, September 14, 2011


ASSAMUALAIKUM, HALLO SAYANG



MAWAR BERHAK MENOLAK KUMBANG



Anda seorang isteri, atau bakal menjadi isteri?



Anda telah bersuami dan menjadi isteri orang?



Atau anda bakal bersuami dan bakal menjadi isteri orang?



Dalam Islam, seorang wanita yang mejadi isteri yang sah itu berhak mendapat layanan yang adil daripda lelaki yang menjadi suaminya itu.



Ini adalah perintah Allah S.W.T. kepada hamba-hambaNya, lelaki yang bergelar suami sebagaimana terkandung dalam firman-Nya:



“Maka berkahwinlah [dengan] sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan [lain], dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil [di antara isteri-isteri] kamu, maka [berkahwinlah dengan] seorang sahaja”.An-Nisa’:3.



Menjadi Pakaian


Malah dalam Islam, dua insan, seorang bergelar suami dan seorang bergelar isteri mempunyai hubungan rapat, dianggap seperti pekaian yang fungsinya saling lindung melindungi antara satu sama lain. Menjadi pakaian yang melindungi mereka dari kesejukan, menutup aurat dan menjaga kehormatan mereka daripada ternoda.


.

Perkara ini terkandung dalam firman Allah:



“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka”.Al-Baqarah: 187.



Suami anda itu bukan sahaja berhak untuk mengauli anda, meniduri anda, memeluk dan mendakap anda, tapi juga bertanggungjawab untuk menyara hidup anda, iaitu isterinya dan juga menyara anak-anak anda bersama.



Ini terkandung dalam firman Allah:



“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki [dengan beberapa keistimewaan] atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan [memberi nafkah] sebahagian dari harta mereka”.An-Nisa’: 34.



Cari Lelaki Beriman


Kalau anda masih belum bersuami atau sedang mencari suami, carilah seorang lelaki yang beriman, yang beragama, bukan semata-mata mengejar poketnya yang penuh berisi.




Dan andainya anda telah bersuami, dimiliki oleh seorang lelaki secara sah adalah diharapkan suami anda seorang yang beriman dan bertakwa yang berpegang kepada ajaran agamanya, yang sembahayang dan berpuasa dan beramal salih.


Kalau suami anda kurang beragama berusahalah membentuknya menjadi seorang muslim yang diredai Allah, dan jangan sama sekali anda hanyut bersamanya dalam arus kehidupan yang kehilangan pedoman yang akan berakhir dengan bencana menimpa anda semua.



Seorang lelaki yang beragama, akan mengambil Rasulullah saw. sebagai idolanya, yang dicontohi dan di dikutinya dalam kehidupan berkeluarga, kehidupan bersuami isteri dan beranak pinak.



Dalam kehidupan berkeluarga, berumahtangga Baginda Rasulullah saw. meninggalkan berbagai-bagai permata untuk dipakai oleh para lelaki yang bergelar suami untuk mencapai kebahagian hidup bersuami isteri bagi mencapai kemuliaan di dunia dan akhirat.



Sifat-sifat Baginda saw. yang unggul mulia telah berjaya membentuk rumahtangga yang bahagia dan aman damai. Malah rumahtangga Baginda saw. adalah merupakan rumahtangga yang paling bahagia dan unggul yang sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada umatnya dalam semua lapisan hidup di dunia ini. Itulah ia rahsia kejayaan dan kebahagian rumahtangga yang sebenarnya.



Mengenai kehidupan berumahtangga, Baginda saw. di antara lain pernah bersabda, “Orang yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik kepada isteriku”.



Untuk sekadar menambah pengetahuan, kita utarakan beberapa sikap mulia Rasulullah saw. terhadap ahli-ahli keluarganya yang sewajarnya dicontohi oleh para suami, dan dengan itu diharap boleh mententeramkan hati wanita-wanita yang masih ragu-ragu untuk mendirikan perkahwinan kerana gentar menghadapi lelaki yang akan bersikap buruk terhadap mereka bila telah menjadi suami nanti.



Baginda saw. adalah idola semua lelaki dan semua wanita dalam memburu kebahagian rumah tangga.



Suami Yang Penyayang


Baginda saw. adalah seorang suami yang amat menyayangi isteri-isterinya.

Dalan rumahtangga Baginda saw. bertindak sebagai seorang suami yang penyayang, sebagai seorang ayah dan juga sebagai seorang guru yang pengasih.



Justeru itu Baginda saw. memberi pendidikan kepada isteri-isterinya itu dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan, kemudian isteri-isteri Baginda saw itu pula, menyampaiknnya kepada kaum ibu yang lain.



Tapi hari ini ada suami bukan sahaja tidak memberi pendidikan agama kepada isteri-isteri mereka, tapi tidak juga menggalak mereka untuk menuntut ilmu, malah juga menghalang mereka secara langsung atau langsung untuk menambah ilmu, khususnya ilmu agama.



Sikap Rasulullah saw. amatlah adil kepada isteri-isterinya. Jika Baginda saw. ingin membawa isteri ikut serta bersama Baginda saw. ke medan perang, maka Baginda saw. akan melakukan undian, dan tidak sekali-kali memilih mana-mana isteri yang Bginda saw, sukai sahaja.



Walau pun Rasulullah saw, memikul tugas-tugas yang berat, tapi ketika Baginda saw. bersama isteri Baginda saw., Baginda saw. selalu berwajah ceria, ramah, manis dan mesra serta suka berkelakar dengan isteri Baginda saw.



Berlainan dengan sesetengah suami hari ini, bila balik ke rumah dari kerja akan menunjukkan muka masam bercuka, dan selalu marah-marah kepada isteri dan anak-anak kerana terbawa-bawa dengan problem di tempat kerja yang dirasa berat dan membosankan. Malah kadang-kadang sengaja diada-adakan sahaja untuk mengabui mata keluarga.



Baginda Rasulullah saw, selalu memberi didikan kepada isteri-isterinya supaya hidup dengan sederhana dalam semua segi, baik tempat tinggal, makan minun dan berpakaian.



Baginda sendiri tidak hidup bermewah-mewah, dan merasa gembira hidup secara ala kadarnya.



Tapi berlainan dengan sesetengah kaum lelaki hari ini yang suka hidup bermewah-mewah, dengan rumah besar, kereta besar, pakaian dari jenama tersohor, walaupun di luar kemampuan, hingga terpaksa berhutang bergolok, menagih dari ceti along-along yang memang menghisap darah.



Bila kesedaran timbul, semuanya telah terlambat, hutang kreditkad telah sampai ke paras hidung, hutang bank telah menutup kepala, dan hutang ceti di sekeliling pinggan.



Isteri-isteri Baginda saw. pernah membuat tuntutan belanja rumah, tapi tidak direstui oleh Baginda saw., malah menyebabkan Baginda saw. bersedih hati, dan ini menyebabkan Baginda saw. menyisih diri daripada isteri-isteri dan sahabat-sahabatnya. Sedangkan para sahabat tidak ingin melihat Baginda saw. bersedih kerana perkara tersebut.



Akhrinya turunlah ayat al-Quran, “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah akan Kuberikan kepadamu. Aku akan memberikan apa yang kamu minta dan akan menceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki keredaan Allah dan RasulNya serta kesenangan di akhirat, maka sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar”.Al-Ahzab:28-29.



Maka para isteri Baginda saw. telah memilih Allah dan RasulNya serta kesenangan akhirat daripada dunia.



Tapi ada para isteri hari ini yang suka membuat tuntuan besar kepada suaminya, walau pun dia tahu tuntutannya itu di luar kemampuan suaminya. Namun begitu dia terus menekan dan mendesak, hingga menyebabkan suami terpaksa akur dengan kehendak nafsunya itu, maka suami pun tidak teragak-agak melakukan kerja-kerja kotor, mencari rasuah malah berniaga dadah untuk memenuhi tuntutan-tuntutan isteri yang sentiasa mendesak itu.



Ini semua mengundang fitnah, mencari nahas bukan sahaja untuk suami, tapi juga untuk diri dan keluarga. Kalau sudah tahu suami tidak mampu, kenapa didesak juga? Kenapa kalau jiran baiki rumah, kita pun nak baiki rumah juga, walaupun rumah kita masih baik? Kenapa kalau kawan-kawan atau jiran-jiran beli motokar baru, kita pun nak beli kereta baru yang lebih bergaya, walau pun kereta kita masih baik khidmatnya? Kenapa kalau jiran di sebelah memberl emas dan berlian, maka kita pun sibuk hendak membeli intan dan berlian?



Baginda saw. sebagai seorang lelaki menaruh rasa sangat cemburu kepada isteri-isterinya yang menandakan Baginda saw. amat menyayangi dan mencintai isteri-isterinya. Sifat cemburu ini mestilah dimiliki oleh setiap lelaki yang bernama suami.



Baginda saw. bersabda, “Apakah kamu hairan dengan cemburunya Saad? Padahal aku lebih cemburu dari dia. Dan Allah lebih cemburu dari aku”.


Oleh itu para isteri jangan terkedu hati atau gusar bila suaminya menaruh cemburu terhdapnya sebagai seorang isteri, kerana itulah tanda dia amat menyayangi anda.



Sebaliknya tentulah anih jika seorang suami tidak menyimpan sebarang perasaan cembutu kepada isterinya. Membiarkan isterinya ke sana ke mari dengan bertemankan lelaki lain tidak kira malam atau siang? Akibatnya ada di antara mereka, para isteri itu terdorong melakukan kerja-kerja haram dan terlibat dalam skandel-skandel dengan lelaki lain yang tidak sepatutnya berlaku?



Baginda saw. tidak membebankan isterinya dengan kerja-kerja rumahtangga, kerana itu Baginda melakukan sebahagian daripada kerja-kerja tersebut, seperti menjahit pakaiannya.



Isteri Baginda saw. Sayidatina Aisyah berkata, “Di dalam rumah, Rasulullah bekerja seperti kamu. Baginda menjahit sepatunya dan menampal pakaian yang koyak”.



Cari Suami


Kiranya anda sedang mencari suami, carilah suami yang beragama, suami yang beriman yang memahami tugasnya sebagai hamba Allah dalam mejalani hidup di dunia, mulia akhlaknya dan seorang penyayang.



Andainya anda masih solo, dan anda bertemu dengan lelaki solo dan beriman seperti itu dan menawar cintanya kepada anda, janganglah anda menolaknya dan kalau dia masuk meminang, teruslah menerimanya, jangan ditunggu-tunggu lagi nanti jatuh ke tangan orang lain.



Sebaliknya jika anda mendapati kekasih anda, malah tunang anda sekali pun berperangai buruk, seperti penagih dadah, pemabuk, saudagar dadah, wajarlah ikatan itu segera diputuskan, tanpa memikirkan pangkat atau darjahnya atau harta kekayaannya yang menimbun.



Walau pun anda seorang wanita, baik gadis atau janda, anda berhak memilih bakal suami anda. Kata pemutus dalam memilih jodoh untuk kebahagian dunia dan akhirat anda, adalah terletak di tangan anda, walau pun pada zahirnya anda terletak di bawah ketentuan wali anda, khusunya orang tua anda.



Sekuntum bunga mawar berhak menerima atau menolak mana-mana kumbang yang ingin menyerinya.



Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah dari Ibn Abbas,: “Sesungguhnya telah datang seorang anak perempuan bertemu Rasulullah saw dan mengadu hal bahawa bapanya telah mengahwinkannya secara paksa. Rasulullah saw. telah memberi pilihan kepadanya sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau membatalkannya”.



Berkahwin berdasarkan pautkan hati dan cinta sahaja tidak akan menjamin kebahagian hidup berumahtangga. Kerana cinta seperti itulah ada wanita-wanita yang pada mula-mulanya sanggup menikahi penagih-penagih dadah, pengedar-pengedar dadah, pencuri dan perompak, dan akhirnya berkesudahan dengan peneyesalan yang tidak berguna lagi. Nasi bukan lagi telah menjadi bubur, tapi telah menjadi basi berlendir.



Demikian juga kahwin kerana harta benda dan nilai-nilai kebendaan tidak akan menjamin sebuah kebahagian yang berpanjangan. Cuba perhati sekeliling kelalang anda, cuba buka mata anda luas-luas, pasang telinga anda lebar-lebar, sudah tentu anda akan menemui contoh-contoh tauladan yang menimpa mereka yang mendirikan perkahwinan kerana kemewahan dunia. Lambat bangat, hancur berkecai.



Ingatlah, kebahagian bukan terletak pada kereta mewah, pada istana yang gemilang, pada intan dan berlian membalut badan yang hanya merupakan permainan dunia yang fana ini. Sebuah gobak buruk di tepi sawah, mungkin penuh dengan aura kebahagian daripada sebuah istana kayangan di atas puncak bukit, kerana kebahagian itu terletak di dalam hati insan yang dipancar oleh nur keimanan.



Dengan sopan sentiasalah memperingatkan suami anda supaya sentiasa mencontohi Rasulullah saw. dalam kehidupannya, jadikan Baginda saw sebagai idola suami anda. Baginda saw. yang patut menjadi contoh ikutan dalam semua hal. Mereka yang mengikuti dan menjadikan Baginda saw. sebagai idola tidak akan sesat buat selama-lamanya



Baginda memberi rahmat ke seluruh alam, sebagai sebuah lampu yang terang menerangi sepanjang jalan kehidupan dari dunia menuju ke akhirat.



Berdoalah kepada Allah supaya anda memiliki seorang suami yang beriman, yang idola dan ikutannya adalah Baginda saw. InsyaAllah anda akan selamat di dunia dan akhirat.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP