"DON'T BE SAD"

>> Saturday, September 17, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HALLO SAYANG



“DON’T BE SAD” WAHAI SAYANG



Selepas solat subuh pada suatu pagi, saya membalek-balek beberapa buah buku dan majalah di atas meja kecil dalam bilik kami di tingkat atas tiba-tiba terjatuh sekeping sampul surat yang tertulis beberapa perkataan di atasnya.



Saya perhatikan tulisan pada sampul surat itu, dan pasti ia adalah tulisan arwah isteri saya Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rhmat ke atasnya], yang berbunyi “La-Tahzan”- Jangan Bersedih, dan nama seseorang dengan nombor teliponya.



Kamar kecil kami ini banyak mempunyai kenangan manis yang mengadum warna warni dalam kehidupan kami selama lebih dari setengah dekad kami menetap di sini sehingga isteri saya menghembus nafasnya yang terakhir pada 2009.



Pakaian-pakaian isteri saya yang tersusun dalam almari dan dalam gerabak pakaian masih belum terusik, tidak ada siapa dari kami yang bersedia mengusiknya lagi, sehinggalah kami terpaksa pindah ke rumah baru nanti. Insyallah.



Di tepi tingkap sebelah kanan, tergantung sekeping gambar pengantin kami, berwarna hitam putih, yang telah berusia lebih 40 tahun, masih tersangkut di situ yang menyimpan hikayatnya yang tersendiri dalam kehidupan kami.



Saya segera teringat La-Tahzan itu adalah nama sebuah buku yang beliau minta saya beli. Seminggu dua menjelang pemergian isteri saya ke rahmatullah, pada suatu senja, beliau menyebut nama sebuah buku yang berjodol La-Tahzan itu, pada masa itu baru diterbitkan. Katanya di dalam buku itu banyak terdapat cara-cara untuk mengatasi kesedihan, dan dia lupa nama penulisnya.



Dia mendegar ulasan buku itu menrusi radio, dan meminta saya membelinya. Berturut-turut selama beberapa hari selepas itu dia asyik menanya sudahkah saya beli buku tersebut. Pada masa itu saya masih lagi belum membelinya, kerana belum berkesempatan untuk pergi ke tokoh buku hanya ada dua buah sahaja di bandar K.K ini.



Selepas itu beliau tidak bertanya-tanya lagi, mungkin beliau terlupa untuk bertanya atau mungkin juga dia sengaja tidak mahu menanya.



Saya juga terkenang dalam masa beberapa minggu sebelum pemergiannya, beliau sangat manja dalam sikap dan kata-katanya dan suka mengimbau-imbau kembali kisah-kisah zaman kanak-kanak dan remajanya yang menyayat hati.



Akibatnya ia juga telah mencetuskan ingatan saya kepada zaman kanak-kanak di kampung yang menghidupkan rasa kerinduan yang tidak dapat digambarkan. Pada fikiran saya, beginilah yang dikatakan orang penyakit “home-sick” atau “rindu dendamkan kampung halaman” yang sering dirasakan oleh orang-orang yang berada di perantuan jauh dari sanak keluarga dan kampung laman.



Saya tidak menduga itulah kemanjaan-kemanjaanya yang terakhir dengan saya setelah menjalani hidup berumahtangga selama lebih 40 tahun.



Beberapa hari kemudian waktu saya pergi ke tokoh buku, saya lihat buku La-Tahzan itu ada tiga jilid, sebuah karya terjemahan, yang dihasilkan oleh seorang penulis yang terkenal Dr.Aidh bin Abdullah Al-Qarni.



Hari itu saya hanya beli sebuah daripada buku itu, jilid pertama, dan akan membeli nanti, sebuah lagi bila saya habis membacanya nanti. Saya tidak segera memberitahu isteri saya bahawa saya telah membeli buku tersebut, dan akan memberitahunya nanti bila ketiga-tiga buku itu saya beli dan selesai saya memabcanya.



Hajat hati saya hendak buat kejutan kecil kepada isteri saya bila tiba masa yang sesuai.



Tapi belum sempat saya memberitahunya, beliau telah pergi terlebih dahulu ke pangkuan Ilahi. Itulah kebesaran Ilahi, Tuhan yang menentukan segala-galanya dalam takdirNya yang tidak ada siapa yang dapat memungkirinya.



Kemudiannya saya terfikir, beliau meminta saya membeli buku itu, bukan untuk bacaannya, tapi untuk bacaan saya dan keluarga yang akan menanggung kesedihan dan kehibaan selepas pemergiannya nanti.



Sesungguhnya sekuntum mawar merah telah gugur dari laman hati kesayangan kami meninggalkan bau-baunnya yang semerbak mewangi yang sentiasa segar dalam lipatan hati dan jiwa kami.



Buku La-Tahzan itu mengandungi berbagai-bagai rahsia untuk mengatasi kesedihan yang mencengkam jiwa dan hidup dengan bahagia dalam keimanan dan diredai Allah.



Dalam La-Tahzan itu banyak mengandungi wejengan-wejengan yang berupa ungkapan-ungkapan berlian yang amat berharga untuk dijadikan perisai hidup seseorang yang mencari kebahagian dan keredaan dan menyingkir segala kedukaan yang bersarang di lubuk hati.



Saya petik beberapa ungkapan yang bernilai untuk dikongsi bersama, terutama kepada kaum wanita yang tidak berkesempatan memabca buku tersebut:



-“Bersabarlah! Akan tetapi, ketahuilah bahawa anda tidak mampu bersikap sabar, kecuali atas pertolongan dan taufiq dari Allah.



“Bersabarlah sebagaimana kesabaran orang yang yakin akan datangnya pertolongan Allah, orang yang tahu akan sebaik-baik tempat kembali, orang yang mengharapkan pahala, dan orang yang mengharapkan terhapusnya dosa.



“Bersabarlah, meskipun anda menghadapi pelbagai persoalan hidup dan menghalangi jalan yang akan anda tempuhi. Sesungguhnya pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan”.



-“Jangan bersedih, kerana kesedihan itu akan membuat harta yang tersimpan dalam gudang dan di istana-istana yang indah dan megah, dan di dalam kebun-kebun anda yang menghijau itu hanya akan menambahkan kesedihan, kedukaan dan keputusasaan anda sahaja”.



-“.........anda harus bersikap reda kepada Allah, yang bererti reda dengan semua hukumNya, reda dengan kada’ dan qadarNya baik yang buruk mahupun yang baik, yang pahit ataupun yang manis. Sesungguhnya sikap memilah-milah dalam beriman kepada qada’ dan qadar tidaklah dibenarkan. Memilah-milah maksudnya adalah anda reda terhdap ketentuan-ketentuan qada’ yang sesuai dengan keinginan hati anda, dan tidak menerima apabila tidak sesuai dengan keinginan dan tujuan anda. Sikap seperti ini tentu saja bukan sikap seorang hamba”.



Pada ketiga-tiga buah buku itu, di helai hadapannya terdapat catatan hatiku, walaupun berlainan sedikit kata-katanya tapi membawa maksud hati yang serupa. Pada sebuah buku itu terdapat catatan berikut, yang kutulis selepas pemergianya:



“Kubeli buku ini



Atas permintaan isteriku



Yang dikasihi



Yang telah pergi buat selama-lamanya



Tanpa sempat membacanya



Yang tinggal kenangan sayang



Yang kekal berpanjangan



Meluluh hati dan jiwa s



Rindu dan syahdu



Semoga mendapat



Keampunan dan



Keredaan Allah



Yang melimpah-ruah”.



Saya akhiri kenangan yang singkat ini dengan menukil sekali lagi nasihat daripada Dr.’Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni yang berbunyi, “Jangan bersedih! Kerana anda masih dapat meneguk air yang jernih, dapat menghirup udara yang segar, dapat berjalan di atas kedua kaki yang sihat, dan anda juga masih dapat tidur dengan nyenyak pada malam hari”.



Nasihat ini lebih saya halatujukan kepada diri saya sendiri, daripada kepada anda yang tentunya lebih bijaksana daripada saya yang kerdil dalam segala-galanya ini dalam melayari semudera hidup yang tidak sunyi dari pasang dan surut, turun dan naik seperti sebuah roda yang sentiasa berputar tanpa henti-henti sekejap ke atas sekejap ke bawah.



Hapuskanlah segala kesedihan dari hati. Hapuskanlah segala kedukaan dari wajah. Hapuskan segala gundah gulana dalam jiwa. Bangkitlah dari kejatuhan dengan bergantung kepada tali Allah dalam menuju keabadian.



Ingtalah wahai sayang, demikianlah ketentuan hidup insan di dunia ini, bertemu dan berpisah, bersama dan bercerai, hidup dan mati adalah takdir Ilahi yang azali lagi.



Wahai sayang! Ingatlah ketentuan itu, semoga kita semua terpimpin ke jalan yang benar dan diredaiNya.



Amin!



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP