CINTA:Adakah Anda Menyinta Dan Dicintai?

>> Wednesday, September 28, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG



CINTA: ADAKAH ANDA MENYINTA DAN DICINTAI?



Anda seorang dara, dan anda bertemu dan berkenalan dengan seorang jejaka yang kacak dan tampan, berpendidikan tinggi, petah bercakap dan pandai berhujah, serta tinggi budi bahasanya, maka anda pun memuja dan menghormatinya dengan sewajarnya.



Ketika anda bertemu dan bersama-samanya, anda merasa senang hati, riang dan gembira dan menaruh harapan untuk bertemu dengannya lebih kerap lagi di masa-masa akan datang.



Lumrahnya, pertemuan itu berlangsung dengan penuh kemesraan dan saling faham memahami, tapi pada diri anda tidak ada persentuhan atau pertautan perasaan yang bersumber dari lubuk hati anda yang halus untuk mengikat hati anda kedua sebagai seorang dara dan seorang teruna yang dilamun cinta.



Adakah anda sedang bercinta?



Jawapannya anda tidak bercinta.



Justeru itu, andainya anda berkata, “I Love You” atau “Aku Cinta Padamu”, maka pengakuan anda itu adalah dusta.



Sebab, kesukaan anda pada pemuda itu, lebih banyak mengandungi unsur “penghormatan” atau “persahabatan”, dan anda bertindak sebagaimana seorang sahabat seharusnya menghormati sahabatnya, atau lebih jauh lagi seperti seorang murid menghormati gurunya.



Dan jika anda seorang dara dan bertemu dengan seorang pemuda, lalu berkenalan sedangkan dia seorang yang kacak dan sasa badannya dengan sifat-sifat kelelakian yang menggoda kaum wanita, maka anda pun lalu tergoda dan terpikat dengan kekacakan dan kelelakiannya itu, dan menyebabkan anda ingin berada dalam pelukan dan dakapannya, membiarkan diri anda dipujuk dan dirayunya, digodanya......



Anda merasa seronok dan ghairah untuk berada di sampingya sepanjang masa dan setiap kali bertemu dengannya anda merasa hati anda beredebar-debar kencang membuat dada anda terasa macam hendak meledak.



Adakah anda sedang bercinta?



Jawapannya tidak.



Justeru jika anda berkata “I Love You”, atau “Aku Cinta Padamu”, maka pengakuan anda itu pun dusta juga.



Kerana, hakikat sebenarnya, anda bukan mencintai pemuda yang menggoncangkan hati anda itu, tapi anda hanya bernafsu terhadapnya, untuk menjadikannya sebagai wadah tempat melimpiaskan nafsu anda yang bergelora kencang setiap kali anda terkenang atau melihat wajahnya yang kacak dan menggoda itu.



Apakah Cinta Itu Yang Sebenarnya?



Mengikut pengamatan, pada umumnya hari ini pengertian “cinta” atau “love” yang sebenar telah menjadi begitu kabur. Justeru itu, ramai anak-anak muda hari ini, baik teruna atau dara tidak dapat menyelami erti cinta yang sebenarnya.



Pengertian cinta hari ini telah menjadi begitu romantis dan berbaur dengan nafsu seksual yang rendah, kerana itu nilainya menjadi begitu menurun atau tidak bernilai langsung. Justeru itu cinta hari ini boleh bercambah di kafe-kafe house, di kelab-kelab malam, di pasar-pasar raya, di kopi-kopi house, hotel-hotel bajet dan di rumah-rumah persundalan.



Oleh itu jika anda terdengar pengucapan “ I Love You”, ia mungkin mengandungi maksud yang tersirat yang bererti, “Saya suka bersetubuh dengan anda”, atau kata-kata “I rindu kat you lah sayang”, ia mungkin mengandungi maksud tersirat mengajak untuk memuaskan nafsu seks.



Dan jika anda mendengar jawapannya, “I love you to” atau “I juga rindukan you”, ia mungkin mengandungi maksud tersirat “saya juga sukakan anda”, dan “Saya sentiasa bersedia menunggu anda. Datanglah”.



Maka berakhirlah pertemuan mereka di rumah-rumah tumpangan, di penginapan-penginapan untuk merealisasikan ucapan “I love you” atau “I rindukan you”.



Hari ini, amatlah baik, kiranya perbuatan terkutuk mereka itu terlepas daripada tangkapan anggota-angggota pencegah maksiat yang sentiasa menjalankan tugas mereka.



Pengertian kata-kata cinta yang salah itu telah tersebar luas, meresap ke dalam berbagai-bagai bidang kehidupan.



Kerana kekeliruan tentang pengertian cinta itulah, ada lagu-lagu yang kita dengar hari ini mendendangkan cinta-cinta palsu yang disangkanya benar, demikian juga ada drama-drama dan filem-filem memaparkan kisah-kisah yang mempunyai pengertian yang salah tentang cinta, demikian juga dengan sesetengah puisi-puisi, cerpen dan novel-vovel hari ini mengketengahkan kisah-kisah cinta yang palsu sebagai cinta benar dan suci.



Akibatnya, masyarakat hari ini, terutama anak-anak muda remaja menjadi bertambah kabur tentang pengertian cinta yang sebenarnya.



Malah kebanyakan mereka beranggapan tarikan seksual atau pemujaan seks terhadap seseorang itu sebagai cinta yang tulen dan benar.



Tanda-tanda Cinta


Anda hanya boleh dikatakan mencintai seseorang, bila anda mencintai kaum yang berlawanan jenis dengan anda, ertinya jika anda seorang wanita, maka orang yang anda cintai itu mestilah seorang lelaki, demikianlah pula sebaliknya.



Cinta seorang perempuan kepada seorang wanita, bukan cinta yang sejati, demikian juga cinta seorang lelaki kepada kaum sejenisnya lelaki, pun bukanlah cinta dalam erti kata sebenarnya. Tapi ianya nafsu songsang yang bercanggah dengan kejadian fitrah yang Allah jadikan manusia.



Andainya anda seorang gadis dan mencintai seorang pemuda, maka sudah tentu anda berhasrat untuk memberi keistimewaan kepada pemuda yang anda cintai itu melebihi daripada biasa.



Demikian juga sebaliknya, seorang pemuda yang mencintai seorang gadis, maka sudah tentu menyimpan keinginan untuk memberi keistimewaan kepada gadis yang disukai dan dicintainya itu.



Maka dengan itu sepasang insan yang sedang menjalin cinta kasih, saling utama mengutamakan antara satu sama lain. Kalau sebelah pihak sahaja, ia bukan bererti cinta mencintai, tapi sekadar mencintai, tanpa dicintai. Bertepuk sebelah tangan sahaja, alamat akan meranalah badan.



Sikap mengutamakan orang lain, menghormati orang lain, memuliakan orang lain, mencintai orang lain dan bersikap mahabah terhadap orang lain, dan memberi keutamaan kepada orang lain adalah sejajar dengan ajaran agama Islam.



Rasullah saw. Bersabda, “Tidaklah beriman seorang di antara kamu, hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri”.HR:Anas Ibnu Malik.



Cinta seperti ini, bukan terdiri dari nafsu semata-mata atau terdiri dari penghormatan semata-mata, walau pun nafsu dan hormat itu tidak dapat dipisahkan dari cinta suci yang ingin disemarak ke alam rumah tangga yang harmoni dan bahagia.



Dalam bercinta, sudah tentu anda ingin selalu berada di samping orang yang anda cintai itu, bercakap-cakap dengannya, bermesra-mesra dengannya, berbincang dengannya, merancang dengannya, malah mengkongsikan segala-galanya dengan orang yang ada cintai itu, termasuklah menempoh halangan dan rintangan bersama untuk menyelesaikan segala problem yang dihadapi.



Itulah sebabnya cinta yang murni hanya wujud dalam wadah sebuah perkahwinan yang sah antara seorang lelaki dan wanita yang cinta dan mencintai.



Jika anda seorang gadis, hanya si dia yang anda cintai itu sahaja yang anda ingin jadikan bapa kepda anak-anak anda nanti, dan tidak orang lain.



Dan jika anda seorang lelaki, hanya si dia yang anda cintai itu sahaja yang anda inigin jadikan ibu kepada anak-anak anda nanti. Bukan orang lain.



Jika anda memberi sesuatu kepada orang yang anda cintai itu, maka pemberian itu adalah ikhlas, anda tidak mengharap untuk mendapat apa-apa balasan, baik pemberian material atau spiritual. Semuanya kerana Allah.



Malah anda tidak akan merasa bahagia, selagi si dia yang anda cintai itu tidak merasa bahagia. Anda rela berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan orang yang anda cintai itu.



Itulah ciri-ciri cinta sejati yang terjalin antara suami dan isteri yang hidup dalam sebuah rumah tangga yang harmoni dan bahagia, rela berkorban antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.



Anda hendaklah ingat, dalam kehidupan berumah tangga, walau sesuci mana cinta anda terhadap suami anda, atau pun sebaliknya, anda tidak boleh sama sekali meminggirkan unsur-unsur jasmaniah, tarikan nafsu, kerana ianya merupakan adunan yang penting dalam pembinaan sebuah rumah tangga yang aman dan bahagia.



Malah tanpa nafsu, cinta dalam sebuah rumah tangga yang normal tidak akan berjiwa, dan akan menjadi tempang seperti irama tanpa lagu.



Tapi kalau anda hanya mengutamakan nafsu semata-mata, maka cinta anda itu akan menjadi cinta murahan, gersang dan tidak bermaya, dan tidak mungkin dapat bertahan lama.



Kiranya anda membuat tanggapan bahawa keinginan dan godaan seks sebelum berkahwin antara anda berdua akan membuahkan cinta sejati dan kebahagian rumah tangga bila anda berkahwin nanti, maka tanggapan anda itu salah, malah samalah ertinya anda menempah bencana untuk menyerbu masuk ke dalam rumah tangga yang akan anda bina nanti.



Kerana itulah memilih pasangan hidup berkiblatkan seks semata-mata, adalah merupakan pemilihan yang rendah darjahnya, dan merupakan unsur yang rapuh untuk dijadikan tapak dalam pembinaan sebuah cinta sejati dalam membina sebuah rumah tangga yang bahagia.



Ingatlah objek-objek seks yang dimiliki seseorang itu atau kecantikan yang dimiliki oleh seseoang itu, baik lelaki atau perempuan tidak akan berkekalan, malah ia akan menghilang bersama-sama dengan detik-detik masa yang berlalu, selaras dengan peningkantan usia.



Sebelum Melafaz Cinta


Justeru itu sebelum anda melafazkan kata-kata cinta, “Aku Cinta padamu”. Renung-renungkanlah sejenak, pastikanlah anda benar-benar mencintainya, bukan sekadar memuja atau menghormatinya, atau sekadar untuk untuk memenuhi panggilan nafsu berahi anda semata-mata. Hati-hati, jangan mudah terjerat dengan aneka perasaan yang menyelubungi anda ketika mencari atau menagih cinta.



Ingatlah sayang, sebagai seorang wanita, jangan sama sekali memperalatkan seks untuk memperolehi cinta, dan sebaliknya sebagai seorang pemuda pula, jangalah anda menjual cinta untuk memperolehi seks. Kedua-duanya salah dan menempah bencana.



Cinta itu ibarat sepohon pokok yang mempunyai peluang untuk hidup, subur dan merendang, jika akar-akarnya menunjang jauh ke dalam bumi keimanan, dengan itu ia tidak akan mudah tumbang atau tercabut, walau pun dilanda oleh ribut dan topan dan banjir yang mengganas menyerang rumah tangga anda.



Selamat bercinta, dan selamat berbahagia sebagai kekasih, dan sebagai isteri atau pun sebagai suami dalam sebuah rumah tangga bahagia.



xxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP