Selintas Memori T.Guru Hashim Abu Bakar,P.Tumboh

>> Monday, September 19, 2011




Belasungkawa


SELINTAS MEMORI DENGAN TUAN GURU DATO' HASHIM ABU BAKAR, PASIR TUMBOH



Bila mendengar berita kematian Tuan Guru Dato' Haji Hashim Abu Bakar petang itu saya merasa kesedihan mecengkam, pemergian beliau merupakan kehilangan seorang tokoh ulama tanah air yang tersohor, terutama kepada rakyat Kelantan Darulnaim.



Yang mengkhabarkan berita sedih itu ialah anak saya, Ahmad Faris Zaini, dua hari kemudian, ketika beliau menalipon saya dari Gua Musang. Ketika itu saya berada di kediaman kami, berhampiran dengan Pasir Tumboh.



Itulah sebabnya kata beliau, sekitar Pasir Tumboh pada hari itu keadaan menjadi terlalu sesak dengan begitu banyak keenderaan yang ingin menziarahi Allahyarham Tuan Guru Ayah Sin buat kali terakhir.



Terkenang


Saya teringat. Saya pernah mengunjungi Allahyarham di rumah beliau di Pondok Pasir Tumboh, bersama-sama dengan beberapa orang kawan, antaranya saudara Abdul Hamid dan Saudara Khairil. Hari itu bulan Ramadan. Kami hanya berkunjung tanpa maksud yang khusus, sekadar ziarah untuk menemui seorang guru yang dihormati dalam bulan Ramadan.



Setelah bersalam-salaman kami dipersila duduk. Saya masih ingat Tok Guru amat ramah dan mesra, dan suka bercakap dengan kami. Perbualan kami menyentuh berbagai-bagai perkara, termasuk soal-soal pendidikan agama dan sejarah tanah air.



Banyak perkara yang beliau ucapkan kepada kami. Daripada banyak-banyak perkara itu, ada dua perkara yang masih kekal dalam ingatan saya.



Pertama ketika berbicara sejarah tanah air, beliau menyebut sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, semua sekolah-sekolah kerajaan bercuti sepanjang bulan Ramadan, dan hanya dibuka kembali dua atau tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.



Tapi hairannya, kata beliau, selepas kita merdeka, semua sekolah tidak lagi cuti dalam bulan Ramadan. Ia terus dibuka sampai hari ini.



Kata beliau, bila negara merdeka, sekolah sepatutnya bercuti sepanjang bulan Ramadan seperti sebelum merdeka, untuk memberi peluang kepada umat Islam lebih banyak beribadat dalam bulan yang mulia ini.



Hairan katanya, bila merdeka perkara yang sebaliknya telah berlaku.



Memang saya pun masih ingat, ketika berada di bangku sekolah sebelum merdeka dahulu semua sekolah bercuti sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak, dan cuti telah dihapuskan beberapa tahun selepas merdeka pada 31 Ogos, 1957.



Satu perkara lagi yang masih saya ingat, sempena dengan kunjungan ke rumah beliau itu dalam bulan Ramadan, kami perbualan kami menyentuh juga tentang ibadat puasa, dan Malam Laitul Qadar.



Saya langsung bertanya beliau, adakah sebarang tanda yang dapat kita ketahui bila malam itu malam Laitul Qadar?



Beliau mengatakan ada.



Dan bila saya meminta beliau menyatakan tanda-tanda itu beliau kelihatan keberatan untuk menyatakannya.”Tanda-tandanya memang ada”, kata beliau dengan suara yang lembut tapi nyata, “Tapi tak bolehlah nak beritahu……”.


Bila mendengar jawapannya itu saya pun diam, tidak mendesak beliau menjelaskanya. Kemudiannya saya rasa, saya faham kenapa Tuan Guru keberatan untuk menyatakannya kepada kami.



Itulah pertemu saya yang pertama dan terakhir dengan beliau di rumahnya beberapa tahun yang lalu. Masa itu beliau masih sihat. Itulah dia, Tuan Guru Dato’ Hashim Abu Bakar dari Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu yang dikenali dengan panggilah Ayah Sin.



Beliau telah kembali ke rahmatullah pada petang 1 Syawal 1432, hari Selasa bersamaan dengan 30 Ogos, 2011 yang lalu, dalam usia 88 tahun.



Pada masa itu Allahyarham adalah mudir Pondok Pasir Tumboh dan Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad [PPPB] yang telah disandangnya sejak tahun 1995.



Beliau adalah salah seorang pengasas Madrasah Ad-Daniah Bakriah, yang lebih dikenali dengan panggilan Pondok Terosan Pasir Tumboh, atau Pondok Pasir Tumboh sahaja.



Sepanjang beliau menjadi mudir itu berbagai-bagai kemajuan besar telah Berjaya dilakukan, terutama di bidang pasarana, seperti pembesaran masjid dan pembinaan asrama setinggi 5 tingkat.



Beliau dilahirkan pada tahun 1925 di Kampung Pantai Johor, Alor Setar, Kedah daripada keluarga ulama yang terkenal.



Beliau mempunyai 5 orang anak, dua lelaki dan tiga orang perempuan.



Dengan pemergian beliau itu, bukan sahaja masyarakat Pondok Pasir Tumboh telah kehilangan seorang guru yang begitu besar jasanya kepada mereka, malah masyarakat negeri Kelantan, dan Malaysia telah kehilangan seorang tokoh ulama yang luas ilmunya dan begitu besar jasanya dalam bidang dakwah Islamiah. Pemergian yang sukar dicari ganti pada zaman mutakhir ini.



xxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP