THE TRUE LOVE

>> Tuesday, September 20, 2011


ASSALAMUALLAIKUM, WAHAI SAYANG



THE TRUE LOVE



Ada seorang pemuda di sebuah perkampungan di Kufah. Pemuda itu seorang yang kacak dan rupawan. Beliau seorang yang ringan tangan, rajin dan usaha, serta seorang yang beriman dan kuat beribadat kepada Allah SWT.


Pada suatu hari kerana sesuatu urusan, pemuda ituu telah sampai di sebuah perkampungan Bani an-Nakh’i. Setelah selesai menjalankan tugasnya, tiba-tiba dalam perjalanan pulang dia bertembung dengan seorang gadis kampung itu yang cantik rupawan.



Dia terpesona dengan gadis ayu itu, bukan sahaja kerana kecantikan rupa parasnya, tapi ada tanda-tanda menunjukkan gadis itu mempunyai sifat-sifat yang terpuji dan mulia.



Melihat ukiran senyum gadis itu membuat dada sang pemuda berdebar kencang dan hatinya bergoncang hebat. Wajahnya menarik dan manis mempesonakan.



Gadis itu juga menunjukkan dia menyimpan perasaan yang sama terhdapnya. Cinta pada pandangan pertama.



Allah telah memutikkan cinta di hati mereka, seorang teruna dan seorang dara yang suci dan bersih, ingin mendirikan sebuah istana impian yang indah untuk melakar hidup bahagia bersama.



Sebaik sahaja tiba di rumah, pemuda itu menghantar seorang wakil untuk melamar gadis impiannya itu, untuk menyunting mawar di laman orang tuanya.



Tapi harapan pemuda itu jatuh tertiarap, kerana ayah gadis itu telah menolaknya, dengan alasan anak gadisnya itu akan dikahwinkan dengan sepupunya.



Namun begitu, cinta mereka tidak pernah padam-padam, malah bertambah segar dan subur di dada dara dan teruna, menghidupkan harapan dan impian-impian indah yang tambah menyemarakkan lagi ikatan kasih dan cinta mereka.



Cinta dan rindu itu merupakan dinamait yang kuat, yang akan menyalakan semangat dan seribu harapan untuk terus menongkah angin ribut dan topan yang membadai.



Cinta dan rindu merupakan kenikmatan dalam penderitaan.



Sang gadis yang tidak tahan dilamun rindu yang membakar hati, lalu mencapai secarik kertas dan sebatang pena lalu melakarkan hasrat hatinya kepada sang pemuda yang disampaikan oleh seorang utusan yang dipercayai.



Antara lain sang gadis menulis kepada kekasih hatinya, “Saya tahu bagaimana cintanya saudara padaku sebagaimana cintanya saya kepada saudara. Saya menyusun jari sepuluh memohon maaf kerana sayalah yang membuat saudara menanggung derita dan sangsara. Untuk mengobat hati yang rindu ini, kalau saudara sudi datanglah menemui saya dan saya bersedia menemui saudara bila-bila masa sahaja. Atau pun kalau sudi datanglah terus ke rumah saya, dan saya akan berusaha untuk memudahkan saudara datang ke rumah saya. Dapatlah kita melepas rindu yang menggelodak di hati dan jiwa kita”.



Alangkah gembiranya sang pemuda membaca warkah dari buah hati pengarang jantungnya itu. Tidaklah terkira lagi, terasa-rasalah terbang rohnya menemui gadis itu.



Tapi sebagai seorang pemuda yang beriman, yang ada harga diri dan maruah, dia tidak mudah mengikut kata hatinya, kehendak jiwa mudanya yang sentiasa menyala dan membakar itu.



Untuk menjawab warkah dari kekasihnya itu, sang pemuda antara lain menulis, Saya tidak dapat menerima tawaran saudari itu. Tidak satu pun tawaran saudari itu yang saya persetujui”.Lalu diselitnya dengan sebaris ayat al-Quran yang bermaksud, “Sesungguhnya aku takut azab hari yang besar [hari kiamat], jika aku mendurhaki Rabb-ku”.An-‘Aam:15.



Serta menambah,”Saya takutkan neraka yang api bakarannya tidak pernah padam”.



Si gadis membaca warkah kiriman orang yang dikasihinya itu dengan rasa hormat dan kagum. Sambil hatinya berkata, “Pemuda ini seorang lelaki yang luar biasa. Walau pun mabuk dilamun cinta, tapi dia tetap takutkan Allah. Sesungguhnya kita manusia ini memang wajar ingat mengingati supaya bersama-sama takutkan Allah S.W.T”.



Si gadis tambah menginsafi dirinya sebagai seorang hamba Allah yang kerdil yang hidup dan mati untuk Allah yang menjadikan manusia dan jin untuk menyembah-Nya. Dia bertambah tekun beribadat dan lalu meninggalkan segala keseronakan dunia yang fana ini.



Namun begitu, cintanya pada sang pemuda tidak pernah berkurangan, malah bertambah semarak juga, membakar hangus dirinya seperti kelkatu yang menerjunkan dirinya ke dalam unggun api yang sedang marak menyala membakar apa sahaja.



Hingga akhirnya, dia menjadi kurus kering dimamah cinta dan rindu yang sentiasa menyala dalam dadanya, dan berkesudahan dengan kematian meragut nyawanya.



Kematian si gadis tidak juga dapat memadamkan cinta di hati sang pemuda, malah terus semarak membakar jiwanya.



Untuk menghilangkan rasa rindu yang membakar jiwanya itu, dia sering mengunjung pusara kekasihnya yang pergi mendahuluinya ke pangkuan Ilahi itu.



Dia menangis dan air mata berembasan membanjiri pipinya yang cengkung itu. Dia meratap dan berdoa semoga Allah melimpahi rahmat ke atas roh kekasihnya itu,



Pada suatu hari kerana keletihan, sang pemuda tertidur kelelahan di sisi pusara kekasihnya. Dan dalam tidurnya itu dia bermimpi bertemu dengan gadis itu dengan penampilan yang terbaik, riang dan gembira dalam keimanan. Senyumannya manis dan indah menawan.



Lalu bertanyalah sang pemuda kepada si gadis, “Apa khabar? Bagaimana anda sekarang? Apa yang anda temui selepas saya?”.



Maka menjawablah sang gadis dengan bait-bait puisi:



“Wahai anda yang bertanya



Sesungguhnya cintamu adalah cinta yang mulia



Memenuhi jiwa dan raga



Menuju keagungan Ilahi



Yang bersih dan suci”.



“Kalau begitu keadaannya”, kata sang pemuda, “ke manakah hala tuju anda sekarang?”.



Maka menjawablah si gadis dalam bait-bait puisi juga:



“Ya, saya sedang menuju ke nikmat yang abadi



Tiada berhujung dan tidak bertepi



Keindahan yang tidak terbayang



Kebahagian yang tidak terluntur



Syurga Ilahi yang kekal abadi”.



Maka bermadah pula sang pemuda, “Kalau anda berada di sana nanti, jangan lupakan saya, kerana saya tidak pernah melupakan anda. Ingatlah daku dalam doamu”.



Maka menjawab pula si gadis, “Wallahi! Sesungguhnya saya pun demikian juga selalu terkenangkan anda. Saya telah memohon kepada Allah, Tuhan kita, supaya Ia memperkenankan pertemuan kita di sana nanti. Tolonglah daku dengan doamu”.



Dengan tidak sabar bertanyalah sang pemuda, “Bilakah saya dapat menemui anda?”.



“Dalam masa yang terdekat”, jawab sang gadis dengan senyum manis terukir di bibirnya.



Dengan mimpi itu pemuda tersebut terus tertidur lena, tidak bangun-bangun lagi. Bila orang menemuinya, badannya telah kaku menjadi mayat, dengan wajah yang terukir seyum, puas dan gembira, bunga-bunga bertabur di atas badannya dan di dada pusara.



Demikianlah sebuah kisah cinta yang saya tulis semula daripada sebuah cerita klasik yang terdapat sastera Arab, iaitu sebuah kisah cinta yang suci dan mulia yang kemurniannya sukar untuk ditemui pada hari ini, kerana apa yang dinamakan cinta hari ini telah berbaur dengan nafsu haiwaniah yang rendah.



Malah kebanyakannya apa yang dinamakan cinta pada hari ini sebenarnya seribu nafsu yang berwajah cinta.



Itulah sebabnya si gadis yang menjadi dewi cinta telah menjadi mangsa pengorbanan sebelum lagi mereka diikat oleh tali sutera perkahwinan yang menghalalkan hubungan mereka jasmani dan rohaninya.



Awaslah wahai sayang, dengan apa yang dinamakan cinta hari ini, kerana yang menghidupkannya adalah nafsu, bukannya keimanan.



Sedangkan cinta kita adalah semata-mata cinta kerana Allah.



Semoga Allah mempertemukan kembali kedua insan seperti ini di akhirat nanti selepas mereka berpisah di dunia yang fana ini.



Demikianlah difahamkan daripada kata-kata Baginda SAW bila beliau bersabda, "Seseorang itu akan dihimpunkan bersama dengan orang yang dicintainya".HR:Bukhari.



That’s the true love, the love for God, the Lord of the entire worlds.



xxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP