Khadijah Terunggul Di Dunia, Terunggul Di Akhirat

>> Monday, September 12, 2011


ASSALAMUALAIKUM,HELLO SAYANG



KHADIJAH TERUNGGUL DI DUNIA, TERUNGGUL DI AKHIRAT



Hello Sayang!

Adakah anda mengenali Khadijah binti Khuwailid?



Sungguh malang jika ada di antara kita yang tidak mengenali siapakah Khadijah? Lebih malang lagi kalau insan itu seorang wanita Islam tidak mengenali siapakah Khadijah binti Khuwailid?



Ayahnya, Khuwailid bin Asad dan isterinya Fatimah bt Za’idah, dari keluarga Abdul-Uzza, dari suku Bani Hashim., Kabilah Quraisy.




Nabi Muhammad saw. mendirikan perkahwinan dengan Khadijah 15 tahun sebelum Baginda diangkat oleh Allah SWT. sebagai Rasul.



Khadijah pada masa itu seorang janda yang jutawan yang tersohor di Kota Mekah, bijaksana dan cantik rupa parasnya, serta luas pandangannya dan berbudi pekerti mulia. Sementara Nabi Muhammad saw pula dilantik oleh Khadijah untuk mengurus perniagaannya.



Khadijah tertarik hati dengan Nabi Muhammad saw. dan bercita-cita untuk menjadi isteri kepada Baginda saw., kerana kejujuran, dedikasi dan kebijaksanaan Baginda saw. mengendalikan perdagangan beliau.. Perniagaan yang dikendalikan oleh Nabi saw, memperolehi keuntungan yang luar biasa.



Akhirnya mereka kedua mendirikan perkahwinan dan menjadi sepasang suami yang unggul. Mereka dinikahkan oleh saudara Khadijah, Amr bin Khuwailid, kerana pada masa itu ayahnya telah meninggal dunia. Perkahwinan mereka direstui oleh kedua-dua belah pihak.



Selepas perkahwinan itu fikiran Baginda saw. menjadi lebih tenang, dan terlepas daripada kerja-kerja berat.



Beliau adalah satu-satunya isteri Nabi saw yang tidak pernah dimadukan dalam masa perkahwinan mereka. Nabi saw. hanya berpoligami bila Baginda saw. berkahwin selepas Khadijah meninggal dunia.



Sebelum itu Khadijah telah berkahwin dengan dua orang suami; suami pertama Atiq bin Abid mendapat dua orang anak, iaitu Abdullah dan Jariyah, sementara dengan suami kedua ialah Abi Halah bin Malik mempunyai dua orang anak, iaitu Hindun dan Zainab.



Perkahwinan beliau dengan Baginda saw. dikurniakan dengan enam orang cahaya mata, iaitu dua putera dan empat puteri.



Putera dan puteri mereka ialah Al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruaqaiyah, Ummu Kalthum dan Fatimah. Semua putera-putera Baginda saw. meninggal ketika masih kecil.



Bila Nabi Muhammad saw. menerima wahyu yang pertama, Baginda saw merasa takut, lalu kembali ke rumah menemui isterinya Khadijah dan memberitahu apa yang telah dialaminya ketika beribdat di Gua Hira’.



Khadijah mententeramkan Nabi saw. dengan kata-katanya yang lemah lembut.



Maka berkatalah Khadijah kepada Baginda saw.” Tidak. Bergembirlah. Demi Allah, Allah sungguh tidak akan menyusahkanmu, kerana engkau telah menyambung tali sillaturahim, berkata jujur, menanggung beban orang yang tidak mampu, membantu orang fakir, menghormati tamu, dan mennolong kebenaran”.



Akhirnya Khadijah membawa Baginda saw menemui sepupunya, seorang pendita Kristian, yang bernama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdil Uzza untuk meminta nasihat. Waraqah ini seorang lelaki yang telah lanjut usia dan buta matanya.



Waraqah memberitahu Baginda saw akan diangkat menjadi Rasul dan menjadi Nabi yang penyudah kepada segala Nabi.



Khadijah terus menyokong dan berjuang bersama dengan Nabi saw. dan terus beriman dengan Baginda walau pun terpaksa menghadapi berbagai-bagai cabaran dan rintangan.



Khadijah mengorbankan seluruh harta benda dan kekayaannya untuk mengembangkan syiar Islam bersama dengan Baginda saw. Dia mempetaruhkah jiwa dan segala hartanya untuk Allah.



Sepanjang hayatnya tidak pernah terbit dari mulutnya sepatah kata pun yang boleh menyakitkan hati Bagnda saw.



Khadijah sentiasa menolong dan membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan dan memerlukan bantuan dan pertolongan.



Beliau menolong orang-orang teraniaya dan memberi makan mereka yang kelaparan. Rumahnya menjadi tempat perlindungan kepada orang yang ditimpa kesusahan dan berada dalam ketakutan.



Hatinya sentiasa terbuka untuk berjihad. Makin besar halangan yang ditempoh, makin riang dan gembira hatinya.



Perjuangannya yang mulia itu sentiasa diberkati Allah.



Jibril pernah datang kepada Rasulullah saw. dan berkata, “Wahai Rasulullah, ini Khadijah datang kepadamu dengan mambawa wadah yang berisi lauk pauk, makanan atau minuman. Bila dia telah datang kepadamu, sampaikan salam untuknya dari Rabbnya dan dariku”.HR:Bukhari & Muslim.



Di waktu yang lain pula Jibril datang kepada Rasulullah saw dan berkata, “Berikanlah khabar gembira kepada Khadijah. Dia akan memperoleh rumah di syurga yang terbuat dari mutiara yang cekung. Di dalamnya tidak ada kebisingan dan kelelahan”:HR:Ahmad.



Justeru itu, kadang-kadang Baginda Rasulullah mengalir mata, menangis mengenangkan pengorbanan Khadijah yang begitu besar dalam mengembang syiar Islam.



Baginda Rasulullah saw. bersabda, “Allah tidak memberikan pengganti yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkariku, dia percaya kepadaku ketika orang-orang menganggapku dusta, dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang mengekangnya, dan dia memberiku anak ketika isteri-isteriku yang lain tidak memberiku anak”.



Sebuah Hadis lagi riwayat Ibnu Abbas menjelaskan tentang kemuliaan Khadijah, “Semulia-mulia wanita di dalam syurga ialah Khadijah binti Khuwalid, Maryam binti Imran dan Asiah isteri Raja Firaun”.



Begitu sayangnya Baginda saw. terhadap Khadijah r.a. sehingga menimbulkan kecemburuan kepada isteri Baginda, Aisyah walau pun waktu itu Khadijah r.a. telah wafat. Aisyah pernah berkata, “Aku tidak pernah cemburu kepda isteri Rasulullah sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, kerana aku mendengar beliau selalu menginggatinya. Beliau tidak menikahiku, kecuali selang tiga tahun dari kematian Khadijah, dan dia memberinya anak. Allah menyuruh beliau memberikan khabar gembira kepadanya dengan sebuah rumah di syurga yang terbuat dari mutiara. Di dalamnya tidak ada kebisingan dan kelelahan”.HR: Bukhari.



Khadijah wafat dalam usia 50 tahun, iaitu kira-kira 3 tahun sebelum Hijrah ke Madinah, setelah hidup sebagai suami isteri yang bahagia bersama Rasulullah saw, selama 25 tahun. Beliau lahir pada tahun 555 M dan meninggal pada 619 M.



Demikianlah mulianya peribadi Khadijah r.a.sebagai seorang isteri yang penuh dengan kesetiaan terhadap suami tercinta. Dia rela menerima ujian dan cabaran walau seberat mana sekali pun yang datang menimpa.



Dia seorang yang sabar, dan sentiasa memberi pertolongan dan bantuan, memberi semangat pendorong keapda suami dalam perjuangannya.



Dia seorang yang cekal dan utuh semangatnya, justeru segala ujian dan halangan merupakan rahmat kepadanya, segala derita dan sangsara merupakan kebahagian kepadanya, segala kesulitan dan halangan merupakan kemudahan kepadanya dan segala sedih dan duka merupakan kelapangan dan kemudahan kepadanya.



Perangainya yang mulia itu membuat suaminya tenang dan bahagia.



Itulah dia, Khadijah binti Khuwailid r.a., isteri pertama Baginda Rasulullah saw. dan wanita pertama yang beriman. langsung daripada Baginda Rasulullah saw. sendiri. Beliau amat besar pengorbanannya untuk mengembangkan syiar Islam lantas beliau dikurniakan oleh Allah tempat yang amat mulia di syurga.



Kaum ibu tidak perlu mencari wanita-wanita lain, terutama di kalangan wanita yang bukan Islam untuk dijadikan idola dan contoh tauladan untuk diikuti dan dicontohi, kerana di hadapan mata anda telah lama ada idola yang terunggul di dunia dan juga terunggul di akhirat, Khadijah Khuwailid, Ibu Orang Mukmin, isteri Baginda saw.



Tidakkah teringin anda sebagai seorang insan mencontohi peribadi agung Khadijah r.a. yang Allah telah janjikan syurga untuknya?



Kenapa anda tidak ingin mencontohinya, Ibu orang beriman yang mendapat penghormatan dari Allah. Kisah-kisahnya semerbak indah dan meninggalkan jejak-jejak mewangi dalam sejarah dengan benih-benih kebajikan dan dan kebaikan yang akan menjadi hiasan murni sepanjang zaman untuk menjadi contoh tauladan keapda generasi terkemudian yang ingin meraih kebahagian dunia dan akhirat.



xxxxxxxx



Bisik Pondok Hormat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP