"Berjuang" Untuk Kemerdekaan Bangsa Dan Tanah Air

>> Monday, February 28, 2011




BERJUANG” Untuk Kemerdekaan Bangsa dan Tanah air


BERJUANG ialah sebuah majalah yang diterbitkan pada tahun 1946. Bilangan pertamanya diterbitkan pada 1 Jun 1946, dalam tulisan rumi, berharga 50 sen tertera pada muka hadapannya.


Sidang Pengarangnya terdiri daripada:


1.Mohd Mustaza


2.Mudasari


3.A.Ghani Ishak


4.A,Ghany Isaqdy


Pembantu Tetap:


1.T.C.Lengkeng


2.Samadi Tan


3.H.A.Nuruddin


Tujuan majalah ini diterbitkan ialah sebagaimana terdapat dalam “Kata Pengarang”nya antara lain ialah, “Sebabnya yang kita pilih nama ‘BERJUANG” yang sudah pun menggemparkan segologan pehak pemerintah, tak lain lagi, ialah kerana kita mahu mengajak dan menunjuk jalan kepada Bangsa kita supaya BERJUANG menentang kuasa-kuasa penjajah [imperialis], pemodal [kapitalis] dan kuasa tangan besi [Fascist] baikpun daripada Barat ataupun Timur dengan berasaskan kedaulatan rakyat [demokrasi].


“Berhubung dengan ini, di dalam tiap-tiap keluaran kita ada muatkan beberapa makalah-makalah dan pesanan-pesanan pemimpin-pemimpin dan ahl-ahli bijak pandai bangsa yang merdeka supaya boleh digunakan sebagai pedoman di dalam melaksanakan cita-cita suci kita.


“Kita mahu Bangsa kita Hidup MERDEKA dan mati BERJASA, MERDEKA dan TETAP MERDEKA”.


Moto BERJUANG ialah “Untuk kemerdekaan bangsa dan tanah air” terletak di bawah tajuk ‘BERJUANG”.


Ia mengandungi 20 muka bersama kulitnya. Di kulit hadapannya dihiasai dengan gambar Presiden Indonesia, Ir. Sukarno, bersama-sama dengan kata hikmatnya buat waktu itu berbunyi, “.......Kasikanlah padaku 1,000, 10,000, 100,000 bahkan 1,000,000 orang tua, maka dengan semilion orang tua itu saya paling banyak bisa memindahkan Gunung Gede dari tempatnya yang sekarang ini, dari sana ke sini, tapi kasikanlah kepadaku 1,000, 100, bahkan 10 orang pemuda, tapi yang hatinya betul-betul berkobar-kobar dengan jiwa pemuda maka saya boleh menggemparkan dunia”.


BERJUANG bilangan pertama itu dimuat dengan beberapa buah rencana, antaranya hasil pena tokoh-tokoh anah air, iaitu Ahmad Boestaman [Ketua A.P.I] dengan tajuk “Berjuang Sampai Hasil Cita-cita”, Ibrahim Ya’akob dengan tulisan berjodol “Terbenam 400 Tahun”.


Ia juga memuat beberapa potongan kata-kata hikmat Dr. Burhanuddin bersama dengan potretnya dan sedikit pengenalan mengenai tokoh tersebut oleh pengarangnya, dengan katanya, “Dr. Burhanuddin ialah seorang putera Melayu yang sangat cinta kepada Bangsa dan Tanah airnya. Beliau telah melawat beberapa negeri asing dan telah memegang Diploma M.D. [Homeo] daripada sebuah sekolah tinggi yang terkenal di India tetapi oleh kerana didorong oleh desakan semangat cinta kepada Bangsa dan Tanah air, beliau pada masa ini mengutamakan “ilmu perubatan” yang dituntutnya itu untuk mengubatkan “penyakit” Bangsa dan Tanah airnya. Beliau juga seorang ahli di dalam Agama Islam dan boleh bertutur beberapa bahasa asing termasuklah Bahasa Arab”.


Ia juga memuat rencana mengenai Bahasa dan puisi yang masing-masing berjodol “Jiwa Bercinta” leh O. Shawli dan “Indonesia Yang Esa” oeh Ghainy Ishaqdy.


Di sini saya petik sebuah rencana oleh seorang tokoh pejuang, Ibrahim Yaacob yang dimuat di muka surat 7, BERJUANG.


“Terbenam Empat Ratus Tahun”.


Angkatan Melayu Muda Wajiblah Bekerja Dengan Segala Tenaga Dan Daya Upaya


“Sungguhnya 10 haribulan 8 adalah menjadi tarikh yang amat menyedihkan kerana pada tarikh itu dalam tahun Masehi 1511 jatuhlah Mahkota Sultan Melaka dikalahkan oleh Pertugis. Daripada hari itu Tanahair dan Bangsa kita porak peranda. Melaka yang menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera, Brunei dan pulau-pulau di Selatan Singapura serta di Laut China Selatan telah jatuh. Dari semenjak itu timbullah dua peperangan yang besar di tanah air kita ini, iaitu:


1]Perjuangan menentang kuasa-kuasa Eropah yang telah bertubi-tubi tibanya kemudian daripada kejatuhan Melaka dan tempat itu jadi tumpuan kuasa Barat, dan


2]Peperangan saudara antara pembesar-pembesar atau wakil-wakil Sultan Melaka yang masing-masing tidak mahu menyembah kepada keturunan Sultan Melaka dan hanya hendak beraja sendiri. Dengan keadaan yang demikian bangkitlah kerajaan-kerajaan kecil di tiap-tiap satu sungai yang besar dan tiap-tiap seorang raja ini keadaannya berperang pula sama sendiri.


Umat Melayu Raya menjadi huruhara, berpecah belah dan tidak bersusun baik oleh sebab terlalu banyak raja dan terlalu banyak kerajaan yang kecil-kecil. Empat ratus tahun lamanya umat kita menderita, menderita kacau, menderita kejatuhan dan menderita kehinaan.


PENJAJAH EROPAH


Dalam hal yang demikian kuasa Barat, khasnya Inggeris dan Belanda telah menggunakan peperangan saudara di kalangan umat Melayu untuk menguasai dan mempengarui negeri kita ini dan mendatangkan dasarya “pecah-pecah dan kemudian perintah”. Kuasa Inggeris di Malaya bukannya saja memecahkan negeri Melayu ini dalam beberapa kerjaan dan puak yang kecil-kecil, tetatpi juga Singapura yang telah diambilnya dengan tipu muslihat telah dijadikannya pelabuhan terbuka untuk menyempurnakan “dasar pintu terbuka” yang dijalankannya. Maka timbullah dua desakan yang besar lagi pada umat Melayu yang sedang berserak dan berpecah-belah itu, iaitu:


1]Desakan orang dagang, dan


2]Desakan modal dan putar belit daripada luar negeri.


TIMBUL ATAU TENGGELAM


Akan tetapi, apa yang telah terjadi itu ialah menjadi pelajaran yang amat baik kepada umat ialah satu soal yang wajib dkaji sekarang. Kiranya kita yang telah terbenam selama 400 tahun itu timbul semula?”. Soal ini menjadi suatu pertanyaan yang satu-satunya wajib dihalusi, wajib difikirkan dengan cermat oleh tiap-tiap seseorang daripada kita, terutamanya gulungan orang-orang yang berpengatahuan tiap-tiap segi, tiap-tiap penjuru dan sudut pertanyaan ini, sehinggalah dapatlah kita suatu pengertian atau susunan yang akan menentukan nasib bangsa kita sama ada timbul atau terbenam selama-lamanya.


Akan tetapi mustahil umat kita boleh timbul lamun jikalau kita sendiri tidak kuasa timbul, kita sendiri tidak mahu menyumbat membetulkan yang pesok dan yang pecah berlubang di antara pergaulan dan kumpulan umat kita, kita sendiri tidak sudi mendengar petunjuk Allah yang telah menunjukkan jalan-jalan yang suci kepada kaum kita untuk bekerjasama dengan sebulat-bulatnya bagi menimbulkan semula kaum kita yang telah rusak binasa. Sebab itu segala-galanya tergantung kepada kita sendiri.


PEMUDA HARAPAN BANGSA

Adapun harapan yang digantungkan bagi pekerjaan umat ini ialah terutamanya pada orang-orang muda, tetapi orang-orang tua wajib jugalah memberi sokongan dan segala tenaganya sama serta menunjukkan jalan yang sempurna dan sayugianya tidaklah hendak memecah-mecahkan keadaan kita.


Tisp-tiap orang kita mesti mempunyai persatuan batin atau persatuan hati menuju kepada satu tujuan iaitu mengumpulkan tenaga dan dayaupayanya bangsa kita untuk kemenangan kita.


Daya upaya dan tenaga yang kuat tidak akan diperolehi melainkan dengan ikatan yang satu, sekurang-kurangnya di antara umat kita yang hampir tiga milion di Malaya, bahkan akan bertambah kuat lagi manakala umat Melayu yang hampir 80 milion di Tenggara Asia ini boleh menyatukan segala tenaga dan daya upayanya


PEMIMPIN BEKERJA DIKEHENDAKI


Adapun kaedah mendapat suatu ikatan yang teguh bagi kaum kita tidak akan diperolehi lamun jikalau umat kita masih terlalu banyak cadangan dan terlalu banyak fikiran, walhal tidak ada yang dikerjakan satu pun daripadanya; hanya yang banyak ketua-ketua cadangan dan pemimpin-pemimpin fikiran, sedangkan yang dikehendak sangat-sangat sekarang- sekarang juga – ialah pemimpin-pemimpin bekerja supaya dapat kita tumpukan segala pekerjaan-pekerjaan kita untuk meneguhkan usaha-usaha yang telah dan sedang kita buat, kerana nasib diri kita seseorang semata-mata bergantung kepada nasib bangsa kita sendiri”.


Sekian”.


Tidaklah dapat dipastikan berapa lamakah majalah ini telah diterbitkan atau sebilangan berapa. Dalam Koleksi saya hanya sebuah itu sahaja.


Semoga pendedahan ini memberi manfaat kepada para pengkaji dan peminat-peminat sastera.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalong Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP