Bersantun Di Saat Genting

>> Wednesday, March 2, 2011


Bersantun Di Saat Genting


Pagi tadi anak saya menceritakan kisah seorang wanita, ibu kepada salah seorang kawan baiknya. Wanita itu sakit berat, dan masih menerima rawatan dengan harapan dapat dipulihkan ataupun “ditahan” kesakitan yang ditanggungnya.


Doktor yang merawat wanita itu telah memaklumkan kepada pehak keluarganya, tapi bukan kepada wanita itu sendiri, bahawa penyakitnya itu telah berada dalam tahap kritikal, dan harapan untuk sembuh telah tipis. Walau bagaimana pun dia digalakkan untuk berubat.


Seperti biasa, jika ada orang sakit, sanak saudara, jiran tetangga atau jiran sekampung akan datang melawat atau menziarah untuk menengok orang sakit. Betul dan baguslah itu. Itulah sunnah Rasulullah untuk mengunjung orang saskit.


Tapi yang kurang baiknya, mereka yang datang itu bukan sahaja menjenguk orang sakit, bertanya khabar dan membawa sedikit hadiah, tapi mereka membawa mulutnya bersama, bercakap secara terbuka kepada pesakit yang telah pun menghadapi tekanan perasaan yang begitu hebat. Hidup dalam keraguan, kebimbangan dan ketakutan yang tidak dapat digambarkan walaupun penuh reda dengan apa yang berlaku.


Pada umumnya mereka yang datang melawat itu membuat komen-komen yang tidak santun tehadap pesakit. Pada umumnya mereka membuat hukuman “Penyakit ini teruk. Tidak ada harapan akan sembuh lagi. Boleh membawa mati”.


Bayangkanlah kalau anda seorang pesakit yang sedang bertarung dengan maut, di antara hidup dan mati, tiba-tiba ada orang yang mengucapkan perkataan seperti itu? Apa perasaan kita?


Sepatutnya mereka bersikap lebih sopan, bercakap lebih santun kepada pesakit. Berilah nasihat kepada pesakit supaya banyak bersabar, sentiasa berdoa, dan jangan lupa kepada Allah, dan doalah untuk keselamatan pesakit supaya sembuh, diringankan penanggungan, diampunkan dosanya........”.


Ucapan seperti itu atau seumpa itu lebih baik dan memberi manfaat kepada pesakit daripada meluah hukuman-hukuman bunuh terhadap pesakit yang tidak bersalah itu.


Kemudian anak sasya itu, Ahmad Syaibani Zaini, menyarankan kepada saya supaya menulis sedikit tentang adab-adab menziarah orang sakit.


Saya beritahu bahwa saya telah menulis sebuah rencana berjodol Wajarkah Doktor Memberi tahu Pesakit Ajalnya Telah Dekat?”.Bukalah Blog kita”.


“Itu taulah. Baik buat satu lagi khusus berhubung perkara tersebut”, sarannya.


“Baiklah”, kata saya mengiakan.


Saya lalu teringat beberapa peristiwa berhubung dengan perkara seumapama itu.


Saya terkenang kepada salah seorang keluarga saya yang sakit berat. Pada masa itu dia masih boleh mengurus diri sendiri, malah masih boleh memandu kenderaan.


Pada suatu hari kami, saya dan isteri menziarahinya di rumah saudara sasya iitu. Kebetulan pada hari itu, salah seorang anak perempuannya baru balik bercuti untuk menzirahi ayahnya itu.


Dalam perbualan kami pada waktu itu termasuk mengenai penyakit yang dialami oleh saudara saya itu. Tiba-tiba anak perempuan saudara itu dengan selamba berkata, “Ayah kepada kawannya pernah sakit seperti ayah. Dirawat di hodpial.....”.


“Habis, baikkah dia?”, tanya saya memotong.


“Oh”, katanya, “baik apa. Tak sampai lima bulan kemudian dia mati”.


Saya amat terkejut mendengar kata-kata yang begitu daripada anak saudara saya itu di hadapan ayahnya.


Isteri saya secara spontan menjawab, “Kenapa cakap macam tu pada ayah. Tak baik”. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya tanda tak setuju.


Tapi apa nak buat lagi, kata sudah terlepas, macam anak panah beracun.


Saya terkenang kepada salah seorang keluarga Allahyarhmah isteri saya yang sakit teruk. Salah seorang daripada anggota keluarga isterinyanya secara terbuka pernah berkata di hadapan orang sakit, “Tu jiran kita tu, sakit seperti ni juga. Tapi tak sampai setahun dah mati.......”. Katanya dengan sinis.


Saya tersentak mendengar katanya itu. Terharu, tapi tak menjawab. Demikian juga isteri saya terus membungkam. Tak terkata.


Tapi sampai hari ini, lebih lima tahun telah berlalu, usianya masih panjang walaupun dia tidak mampu mengurus dirinya sendiri.


Saya terkenangkan isteri saya yang dikasihi, Asiah [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya]. Pada hari itu beliau dimasukkan ke wad kecemasan. Salah seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan pada hari itu ialah seorang doktor perempuan yang masih muda.


Pada masa itu doktor perempuan itu sedang berada di mejanya. Setelah menjalani pemeriksaan oleh seorang doktor lagi, isteri saya ditempatkan di sebuah katil pesakit.


Tanpa bergerak daripada mejanya doktor tersebut melaungkan beberapa pertanyaan kepada isteri saya yang mengalami kepayahan untuk bernafas itu.


Di antara pertanyaan yang dilaungkanya ialah “Sakit apa? Bila sakit? Dah makan ubatkah belum?”.


Bila isteri saya lambat menjawab pertanyaan dah makan ubatkah belum, dia memekek tanpa bergerak dari mejanya, “Dah makan ubat kampungkah?”.


Saya dan anak perempuan saya, Noorbaiti Zaini terkejut benar mendengar cara layanan yang diberikan oleh doktor itu kepada isteri saya. Adakah dia telah terlupa untuk lebih bertimbang rasa dan bersopan dengan pesakit? Adalah memang begitu layanan doktor terhadap semua pesakit? Bagaimanakah kalau keluarganya sendiri yang dimasukkan ke wad itu?


Isteri saya pun kelihatan gugup mendengar sergahan-sergahan doktor tersebut


“Bengkengnya doktor ini”, kata saya dalam hati.


Kerana takdir telah menentukan, usia manusia tidak dapat dipendek atau dipanjang walaupun sedetik, maka isteri yang saya kasihi menghembus nafas terakhirnya di wad tersebut.


Saya terkenang pula kepada salah seorang sahabat karib Allahyarahmah isteri saya [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] menghidap penyakit yang sama dengan wanita tersebut. Bila mendapat khabar tentang perkara itu, kami telah membuat ketetapan untuk menzirahinya dalam masa terdekat. Tapi pada hari yang dimaksudkan itu, isteri saya memberitahu, “Tak guna kita pergi. “A” tak ingin berjumpa dengan sesiapapun”, katanya.


“Kenapa? Tanya saya.


“Tak tahulah”. Jawab beliau, “Ada orang yang pergi ke rumahnya pun dia tak nak berjumpa. Dia tak benar mereka masuk ke biliknya, dan dia pun tidak keluar menemui mereka”. Beliau menjelaskan.


“Kenapa?”.Tanya saya lagi ingin tahu. Isteri saya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.


Demikianlah hingga sampai ke saat-saat akhir usianya wanita itu, dia hanya bekurung dalam rumah, enggan berjumpa sesiapa. Hanya suami, anak-anak dan keluarganya yang terdekat sahaja yang boleh berjumpa dengannya yang terlantar sakit itu.


Selepas wanita itu kembali ke rahmatullah, barulah saya tahu kenapa wanita itu tidak ingin berjumpa sesiapapun ketika dia sakit, kerana tidak ingin mendengar komen-komen yang mungkin dibuat oleh pelawat-pelawatnya yang kebanyakannya tidak menyenangkan hati sebagaimana dialami oleh wanita tadi. Dia takutkan mulut mereka yan tidak terkawal melepas kata yang boleh menambahkan keserabutan dan ketegangan jiwanya.


Demikian juga dengan seorang kawan saya. Katanya pada suatu hari ketika berada di luar daerah, tiba-tiba dia jatuh pengsan kerana diserang penyakit jantung yang tidak pernah disedarinya.


Dia dibawa ke hospital dan dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan lanjut.


Ramai orang datang melawatnya. Mereka bukan sahaja terdiri dari saudara mara, sanak saudara, tapi juga rakan-rakan dan kenalan-kenalan, jiran-jiran tetangga dan juga jiran-jiran sekampung.


Kebanyakan mereka yang datang itu katanya membuat komen-komen yang tidak menyenangkan, dan menggambarkan seolah-olah penyakitnya tidak ada harapan lagi akan sembuh dan dia akan segera menemui ajalnya.


Dan ketika akan berangkat pulang, mereka akan menghulur tangan untuk bersalam, dengan ucapan mohon ampun dan maaf sebagai salam perpisahan.


Katanya perkara itu membuat dia merasa tidak selesa, gusar, prasaannya menjadi tertekan, fikirannya menjadi serabut, dan boleh menyebabkan dia lebih lama berada di wad.


Tapi bagaimana? Lalu dia meminta doktor yang merawatnya supaya membuat peraturan dia membenarkan siapapun melawatnya. Doktor pun bersetuju dengan perminataannya.


Sampai ke hari ini, setelah sedekad lebih berlalu, dia masih hidup seperti biasa, walaupun masih terus mengambil ubat penyakit jantungnya.


Berhati-hatilah menggunakan lidah ketika bercakap dengan seseorang yang menderita sakit, lebih-lebih sakit tenat- bersopan santunlah dengan mereka, bertimbang rasalah dengan mereka, jangan tambahkan lagi beban yang mereka tanggung dengan kata-kata dan perbuatan-perbuatan anda yang tidak bertimbang rasa. Dan bedoalah untuk mereka, untuk kesembuhan, keselamatan dan keampunan.


Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, maksudnya, "Perkataan yang baik dan pemberian ampun, lebih baik dari sedekah yang diringi celaan [cercaan]. Dan Allah itu Maha Kaya dan Penyantun". Al-Baqarah:263


Klik:


Wajarkah Doktor Memberitahu Pesakit Ajalnya Telah Dekat?

Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP