Anda Tension?Bagaimana Mengatasinya?

>> Sunday, March 6, 2011


ANDA TENSION?

BAGAIMANA MENGATASINYA??


Sebagaimana telah diketahui, makhluk Allah yang dinamakan manusia ini terjadi dari dua unsur yang penting yang membentuk seluruh kehidupan mereka, iaitu unsur jasmani dan unsur ruhani. Unsur jasmani ialah unsur yang dapat dilihat dengan mata kasar, sementara unsur ruhani ialah unsur yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tersembunyi dari pengelihatan kerana ianya sesuatu yang ghaib.


Kerana itu bila kita katakan seseorang itu sihat, maka sihat itu mestilah meliputi kedua-dua unsurnya, iaitu unsur jasmani dan nnsur ruhani, atau unsur mental dan unsur fizikalnya, lahir dan batinnya.


Justeru itu menyuburkan jasmani sahaja, dengan memberinya makan, minum dan hiburan tidak memberi erti, andainya ruhaninya tidak diberikan santapan yang sewajar. Memelihara jasmani sahaja tak ubah seperti haiwan yang matlamat hidupnya makan dan minum dan berkelamin semata-mata, sedangkan kepenting ruhaninya diperlekeh atau diabaikan langsung, seolah-olah ia tidak wujud sama sekali.


Tidak guna rambut di kepala diminyaki, disikat rapih, kemas dan kacak, andainya otak dalam kepala yang menjadi wadah minda tidak pula diminyaki dan dijaga dengan sewajarnya.


Tidak guna kopiah atau songkok di kepala dibuat dari bahan yang indah dan mahal harganya, andainya otak dalam kepala tidak diperindahkan dengan ilmu dan pengetahuan.


Lebih tidak berguna lagi kalau kasut pengalas kaki dari harga yang mahal, selalu dicuci dam dikilat indah, tapi otak dalam kepala dibiarkan kotor dan berkarat tanpa digosok dengan pengisian yang sewajarnya.


Dalam mengharungi kehidupan dunia yang tidak menentu kalu ini, manusia akan menempuh berbagai-bagai halangan dan rintangan yang akan menghalang kepada kelancaran kemaraan mereka. Rintangan-rintangan itu ada yang kecil dan ada yang besar, ada yang berat dan ada yang ringan, ada yang mudah dan ada yang susah, ada yang lembut dan yang keras yang menyebabkan kehidupan menjadi genting dan tegang.


Justeru itu hidup ini adalah merupakan medan tempat orang bertarung dan berjuang, kerana sepanjang perjalanan hidup ini dipenuhi dengan rintangan, halanagan, ranjau-ranjau serta ngarai dan jurang yang dalam yang sentiasa ternganga yang akan menelan korban mereka yang alpa dan lalai dalam hidup yang singkat ini.


Malah hidup di dunia ini tidak dapat dipisahkan daripada penderitaan, kekecewaan dan teriakan serta tangisan yang memilukan. Justeru hidup ini bukanlah merupakan hamparan permaidani merah yang bertaburan dengan bunga-bunga mawar yang semerbak mewangi. Sedangkan pokok-pokok bunga ros itu sendiri pun diliputi penuh oleh duri-duri halus yang berkait dan tajam yang memerlukan keperhatinan yang yang sungguh-sungguh ketika memetiknya supaya tangan tidak tersangkuk pada duri-durinya dan kulit tidak terkoyak mmercikkan darah.


Justeru itu kegentingan dan ketegangan memang tidak dapat dielakkan dalam hidup ini. Ia merupakan sebahagian daripda warna-warni kehidupan. Ia menjerut sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan mereka. Tidak ada siapa yang boleh bebas dari ketegangan, baik dia seorang petani, nelayan, buruh, guru, surirumah, doktor, ahli koporat, wakil rakyat, menteri, raja dan sebagainya. Ketegangan ada di mana-mana Ketegangan merupakan nasi makan, air minum dalam kehdiupan.


Faktor Penyakit


Bila berlaku ketegangan, maka yang terlibat ialah kedua-dua unsur penting yang membentuk manusia itu, iaitu fizikal dan mental, inderawi dan spirituali atau ruhani dan jasmaninya. Malah mengikut kajian ia merupakan faktor utama kepada berbagai-bagai jenis penyakit yang dideritai oleh manusia, terutama pada zaman mutakhir ini.


Sebenarnya dalam kehidupan kita sehari-hari ada banyak perkara yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam lubuk ketegangan mental dan fizikal, antaranya berbagai-bagai tekanan, kehampaan, kebimbangan, kegundahan dan juga berpunca daripada sikap buruk seseorang yang suka berdengki, beriri hati, terlampau cemburu, was-was, perungus, ragu-ragu dan sebagainya daripada segala sikap emosi yang negatif semuanya boleh menguggat ketenangan mental dan memusnahkan segala pemikiran yang positif.


Hidup di dunia moden yang serba kalut dan harut-marut ini boleh menyebabkan manusia sentiasa terdedah kepada berbagai-bagai kegentingan dan ketegangan-ketegangan. Manusia hari ini sentiasa hidup dalam terburu-buru dan tergesa-gesa, dan sentiasa diburu oleh rasa kebimbangan yang kadang-kadang tidak berpangkal dan yang pastinya tidak pula berhujung.


Sebagai contohnya, seorang ahli korporat semasa berada di pejabat terlalu sibuk dengan berbagai-bagai perkara, projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan, memikirkan projek-projek yang akan datang, karenah para pekerja, lawan-lawan dalam perniagaan, bagaimana untuk menang dan bagaimana untuk menumpaskan mereka semuanya merupakan ajenda yang bersewang dalam kepala untuk dicari penyelesasian. Setelah balik ke rumah, sepanjang malam sementara menunggu hari siang hatinya terus dirasuk oleh berbagai-bagai kebimbangan tentang perniagaannya dan juga hartanya yang melemparkan dia ke dalam lubuk kegentingan dan ketegangan yang tidak berhujung.


Jadi untuk meredakan ketegangan, orang seperti ini akan mencari pil-pil tidur untuk mengatupkan matanya yang terkebil-kebil tidak dapat dipejamkan itu, ataupun mereka keluar rumah untuk mencari hiburan dengan wanita-wanita GRO atau para pelacur bersama dengan botol-botol arak. Tindakan ini bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan keadaan yang dihadapinya, tapi kian meningkatkan ketegangannya, terutama dalam jangka masa yang panjang.


Atau seorang kerani pejabat yang pendapatannya tidak seberapa, di waktu di pejabat bekerja bertungkus lumus sepanjang hari, dari pagi sampai ke petang, kadang-kadang terlupa untuk solat yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam, bila balik ke rumah di waktu petang, badan sudah letih dan lesu, capet dan bila malam menjelang dia akan diserang oleh keluh-kesah, resah dan gelisah memikirkan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyara isteri dan anak-anak yang kian hari kian membesar dan bertambah ramai bilangannya, terutama dalam keadaan dunia hari ini yang ekonominya kian mengawat.

Malah kerja-kerja rutin yang biasa setiap hari juga boleh mencetuskan ketegangan terhadap seseorang. Umpamanya seorang suri rumah yang merasa cemuh, bosan dan jemu dengan kerja-kerja urusan harian rumahtangga mungkin terhempas dalam lubuk kebosanan dan akhirnya menghanyutkanya ke dalam gelumbang-gelumbang ketegangan yang mengancam.


Perubahan Fizikal


Dalam keadaan yang tegang begitu, sesuatu perubahan yang besar berlaku dalam diri fizikal seseorang. Kelenjer-kelenjer tertentu dalam badan kita terpaksa bekerja keras untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan-perubahan yang berlaku itu. Dalam hal ini kelenjer-kelenjer itu terpaksa mengeluarkan hormon yang berlebihan untuk mempertahankan keutuhan fizikal orang tersebut. Buat jangka masa yang tertentu, kelenjer-kelenjer itu memang mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian, tapi untuk jangka masa yang berpanjangan, kelenjer-kelenjer itu tidak lagi mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian, dan pada akhirnya kelenjer-kelenjer itu akan menjadi lemah dan tidak mampu lagi untuk meneruskan tugasnya dan akhirnya akan rosak dan binasa. Akibatnya pembuluh nadi menjadi kejang, tekanan darah naik meninggi, penyakit jantung mulai bercambah, penyakit sengal-sengal sendi mulai timbul, sakit kepala mulai melanda, penyakit tidak hadam menimpa dan berbagai-bagai jenis penyakit lagi yang berpunca dari ketegangan akan menyerang.


Sejak akhir-akhir ini data-data perubatan menunjukkan bahawa kebimbangan dan ketegangan adalah merupakan sebahagian daripada peyebab utama kematian di seluruh dunia.


Di Amerika Syarikat, perangkaan menunjukkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada kematian di kalangan kaum lelaki yang berusia 50 tahun ke atas adalah berpunca daripada ketegangan hidup yang kian meningkat di negara maju itu. Kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan kecederaan atau sebarang penyakit badani.


Mengikut kajian, mereka adalah terdiri dari kalangan orang yang suka bekerja keras tanpa rihat, dan selalu menggunakan usaha, tenaga dan kekuataannya untuk mencapai cita-citanya. Justeru itu tindakannya itu melorongnya ke hujung jalan ke arah kebinasan dan kemusnahan dirinya sendiri.

Kemampuan


Kemampuan seseorang dalam menghadapi ketegangan adalah berbeza-beza. Ada orang boleh berkepala dingin dan sabar dalam menghadapi berbagai-bagai ketegangan yang melanda, sebaliknya ada pula mereka yang tidak mempunyai kesabaran dan terlalu sensitif dengan ketegangan yang melanda. Demikian juga ada sesetengah orang pandai dan mampu menguraikan problem yang dihadapinya, tapi sebaliknya ada pula mereka yang tidak pandai langsung menyelesaikan problem yang mereka hadapi. Ini menyebabkan perasaan dan fikiran mereka sentiasa berserabut-bunut.


Dr. Hans Selya dari Montreal Amerika Syarikat berkata dalam badan manusia terdapat dua jenis kelenjer seni, iaitu kelenjer pitutari yang terletak di bawah otak dan dua kelenjar lagi, iaitu kelenjer adrenal terletak cotek di atas buah pinggang yang berfungsi menghadapi sebarang ketegangan yang mungkin menyerang, dan menentang sebarang ancaman kepada keselamatan manusia tersebut.


Memang tidak boleh dinafikan lagi, serangan kebimbangan dan ketegangan lebih banyak membunuh manusia hari ini daripada berbagai-bagai jenis penyakit di zaman moden ini. Malah kebimbangan adalah merupakah salah satu pembunuh utama, yang merampas kekuatan, ketenangan dan keharmonian hidup seseorang.


Keadaan ini menyebabkan seseorang tidak berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, menjadi ragu-ragu, mudah meradang, suka memecah-belahkan tali persahabatan, dan memutuskan tali persaudaran yang memang dilarang oleh agama Islam.


Bila kita berada dalam keadaan tertekan, jasmani kita secara otomatik bersiap siaga untuk menghadapi dan menentangnya, atau pun bersiap sedia untuk melepaskan diri daripada stiwasi yang tidak diingini itu, dan pada masa yang sama adrenalin mulai dipum keluar. Dengan itu bererti kita telah bersedia untuk brtindak balas, dan andainya, seperti yang sering berlaku, kita tidak mempunyai jalan untuk bertindak, maka dengan itu ia akan mengubah haluannya merosak dan membakar diri sendiri. Akibatnya urat saraf kita mengalami kemusnahan.


Justeru itu keadaan tersebut menyebabkan kita merasa mudah terganggu, merasa tertekan dan letih lesu, yang boleh membawa keapda serangan jantung, dan bebagai-bagai ragam penyakit lagi, seperti dalam perut atau ulser cerit birit, sakit kerongkong dan muka dinaiki jerawat dan sebagainya.


Seseorang mungkin merasa bimbang, bila dia tidak dapat mencari jalan atau tidak mampu menyelesaikan problem-problem yang melengkari hidupnya. Ketenagan hidupnya akan terganggu, fikirannya akan berserabut dan perasaannya menjadi kacau-bilau.


Apakah yang harus dilakukan oleh seseorang jika dia berada dalam keadaan stiwasi yang gawat seperti itu?


Anda perlu mencatat di atas kertas semua probem yang mengharu anda itu. Semuanya, apa sahaja yang anda fikir menjadi problem kepada anda pada saat dan waktu ini.


Anda hendaklah memulakan cacatatn anda dengan problem-problem yang kecil atau remeh-temeh dahulu, kemudian diikuti dengan problem-problem yang besar, dan seterusnya problem yang lebih besar lagi mengikut pendaat anda.


Kemudian anda hendaklah menganalisanya dengan cermat secara terperinci setiap satu problem yang anda telah catat itu. Mungkin selepas anda selesai membuat catatan tersebut, anda akan merasa apa yang sifatkan problem kecil itu sebenarnya bukan problem langsung, malah problem yang anda rasa besar dan lebih besar itu pun bukanlah problem dalam erti kata yang sebenarnya. Selepas merenung-renung dan mengkajinya dengan teliti anda mungkin mendapati problem yang anda hadapi itu tidaklah bermakna, kerana ada mereka yang menghadapi problem yang jauh lebih besar dan lebih berat daripada apa yang anda hadapi.


Walaupun ketegangan dan kedukacitaan itu menjadi hak milik setiap orang yang hidup di dunia ini, tapi ketenangan dan kebahaigan juga menjadi hak milik setiap orang di dunia ini. Malah setiap orang berhak untuk hidup dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan di dunia ini.


Tapi oleh sebab tidak ada satu apa pun dalam dunia diperolehi tanpa usaha, atau diperolehi dengan percuma, maka kita perlulah berusaha untuk memperolehi sesuatu yang menjadi keperluan kepada kita, malah kita berusaha dan berusaha dengan bersungguh-sungguh sepenuh hati, bukannya main-main ala kadarnya sahaja.


Demikianlah setiap masalah yang kita hadapi, setiap problem yang timbul, kita hendaklah seegera bertindak menyelesaikannya dengan cara yang sebaik-baiknya dan jangan sama sekali membiarkannya berlarut-larutan hingga mencetuskan berbagai-bagai problem jasmani dan ruhani yang membahayakan.


Sejak kebelakangan ini, berbagai-bagai jenis penyakit jiwa telah berkembang dengan pesat selaras dengan kemajuan dunia yang begitu komplikited. Penyakit-penyakit ini telah menimbulkan berbagai-bagai jenis penyakit fizikal yang tidak dapat dikesan oleh doktor-doktor biasa secara klinikal. Ia dengan jelas menunjukkan penyaki-penyakit jiwa boleh mempengarui jasmani seseorang secara langsung dan menimbulkan berbagai-bagai karenah yang sukar untuk difahami.


Dengan jalan ini juga merupakan satu cara yang mudah kepada sihir untuk mempengaruhi manusia. Mula-mula jin atau syaitan yang disuruh mengkhianati seseorang itu akan bertindak menganggu fikiran mangsa menjadi serabut dan tidak keruan, mencetus rasa bimbang, takut, gerun yang tidak menentu dan tidak diketahui sebab musababnya. Daripada keadaan fikiran yang tidak tenteram itu, perasaannya turut terganggu, dan akhirnya ia turut menganggu fizikal mangsa yang boleh menyebabkan mangsa jatuh sakit.


Keadaan menjadi bertambah sulit, kerana ubat-ubat moden hari i ni tidak lagi mampu menyembuhkan semua jenis penyakit yang muncul satu demi satu dari waktu ke waktu, silih berganti, dan sebahagiannya merupakan penyakit yang tidak pernah dikenali atau diketahui oleh manusia.


Dunia perubatan tidaklah boleh dipersalahkan kerana tidak mampu mencipta berbagai-bagai jenis ubat yang dapat menyembuhkan semua jenis penyakit yang diderita oleh manusia. Mereka yang wajar dipersalahkan ialah manusia itu sendiri, yang telah begitu merosakkan moral dan peri budi mereka sendiri, membinasakan moralnya sebegitu buruk, menjalani kehidupan sosial yang begitu keji dan hina yang menjadi lurung mudah kepada berbagai-bagai jenis penyakit, jasmani dan ruhani menyerang mereka.


Terlalu banyak hari ini keadaan-keadaan dan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada kemusnahan dan kehancuran diri manusia, baik sebagai peribadi atau masyarakat, baik jiwa atau pun raganya. Kalau penyakit-penyakit fizikal pun dunia perubatan masih belum mampu memberi rawatan yang memuaskan, bagaimana pula dunia perubatan diharap untuk merawat dan menyembuhkan pengidapan jiwa yang tidak dapat dilihat dengan mata dan disentuh dengan tangan?


Perangkaan dengan jelas menunjukkan bahawa dalam tahun 1990an, kira-kira 50 peratus daripada seluruh kematian di Amerika Syarikat adalah berpunca daripada penyakit jantung, dan sebanyak 20 peatus lagi kerana penyakit kanser.


Di samping itu seramai 25 juta orang pula menderita penyakit darah tinggi yang mempunyai pertalian dengan penyakit jantung.


Mengikut anggaran seramai 25 juta orang rakyat Amerika Syarikat mengidap penyakit tidak dapat tidur [insomania], dan tak kurang daripada 10 juta orang lagi pula terdiri daripada pemabuk-pemabuk, dan berjuta-juta orang lagi rakyat Amerika Syarikat telah musnah akibat dadah.


Mengikut perangkaan sebanyak 20,000 tan aspirin digunakan oleh rakyat Amerika Syarikat setiap tahun, iaitu dengan kadar 225 biji seorang. Namun begitu aspirin tidak dapat mengatasi masalah kesihatan yang menghantui mereka. Malah menambah bilangan doktor atau rumah sakit sekali pun masalah ini tidak juga dapat diselesaikan.


Untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh manusia itu, mereka memerlukan lebih jauh lagi dari benda-benda tersebut untuk menyelesaikan penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang berpunca daripada kehidupan yang tidak bermoral dan telah menyeleweng jauh dari landasan yang benar.


Janganlah anda lupa bahawa para pemimpin dan negarawan dunia terpaksa menghdapi berbagai-bagai problem yang kecil dan yang besar setiap hari, malah juga setiap detik tidak pernah sunyi daripada menghadapi berbagai-bagai problem. Problem-problem itu ada yang perlu diselesaikan dengan serta merta, ada problem yang perlu diselesaikan dengan kadar yang segera dan ada pula problem yang terpaksa ditunda penyelesaiannya kerana sebab-sebab tertentu yang memerlukan pemikiran-pemikiran yang pakar dan handal.

Pemimpin-pemimpin dan negarawan-negaraan itu menghadapi berbagai-bagai problem yang jauh lebih besar dan berat daripada berbagai-bagai problem yang dihadapi oleh kebanyakan kita. Namun begitu mereka tetap mampu menghadapi dan menyelesaikannya walau sebesar mana sekali pun problem yang mereka hadapi.n


Menurut Presiden Amerika yang ke-33, Harry Shippe Truman [1945-1952], beliau menyingkir segala problem yang bersarang dalam kepalanya ketika beliau berihat. Dengan itu beliau dapat tidur dengan nyanyak. Katanya salah satu rahsia kejayaannya berbuat demikian ialah kerana keyakinannya pada diri sendiri. Dengan mempunyai keyakinan kepada diri sendiri itu, maka tidak ada apa lagi perlu dibimbangkan atau dirungsingkannya yang boleh membawanya kepada ketegangan.


Apa yang dilakukan oleh beliau seterusnya ialah berdoa kepada tuhan supaya menganugerahkan pertolongan kepadanya. Kepercayaan kepada diri sendiri yang utuh, dan melaksanakan sesuatu dengan sebaik-baiknya mengikut kemampuan dan percaya bahawa segala-segala-nya akan berlangsung dengan baik merupakan penawar yang mujrab untuk menyingkirkan segala kebimbangan yang mungkin bersarang dalam benak.


Pandang Keliling


Pandang-pandanglah keliling. Lihatlah sekeliling-kelalang anda. Lihatlah segala macam problem yang menimpa orang lain, masalah-maalah yang mereka hadapi, dan bandingkanlah dengan problem yang anda hadapi, niscaya anda akan dapati problem yang anda hadapi sekarang hanya kecil sahaja jika dibandingkan dengan berbagai-bgai problem besar yang dihadapi oleh orang lain itu. Problem yang anda hadapi tidaklah sebesar mana sebagaimana sangka anda.


Anda hendaklah melibatkan diri anda dalam berbagai-bagai aktiviti sosial. Berilah pertolongan kepada orang lain, baik berupa tenaga, harta benda ataupun masa. Berkhidmatlah untuk mesyarat. Hulurkan derma, bantuan atau sedekah dengan ikhlas hati. Dengan berbuat demikan insya-Allah segala problem yang hadapi akan sirna seperti sirnanya embun di hujung rempu disinari cahaya mata hari.


Ziarahlah jiran-jiran anda, keluarga anda, ziarahlah orang-orang yang tinggal bersendirian, tanpa anak, tanpa isteri atau tanpa suami, ziarahlah orang-orang yang sakit baik di rumah atau di rumah-rumah sakit, bantulah orang-orang yang lemah dan cacat dan mereka yang perlu dan berhak mendapat bantuan, dan ziarahlah orang-orang yang meniggal dunia, berdoalah untuk mereka, dan luangkan masa untuk mengiring jenazah ke tanah perkuburan


Semua tindakan-tindakan anda itu akan membawa keinsafan kepada anda, bahawa beban derita yang mereka pikul jauh lebih besar dan berat daripada beban problem yang anda hadapi. Tidak boleh dibanding langsung.


Cara Islam


Islam sebagai satu cara hidup yang unggul dan agama yang syumul mempunyai cara-cara yang tersendiri dalam menyelesaikan berbagai-bagai problem hidup yang melanda umat manusia dari sejak dahulu hingga sekarang, termasuk juga problem-problem ketegangan yang sering melanda mereka. Malah cara-cara yang telah digariskan oleh Islam adalah merupakan sebaik-baik cara untuk menyelesaikan berbagai-bagai problem yang menimpa umat manusia itu.


Metod penting yang digariskan oleh Islam ialah dengan cara mendampingi Allah, mendekat dan mengingati Allah S.W.T., antaranya menerusi solat, zikir dan doa yang merupakan sebahagian daripada syariat Islam itu sendiri. Ini adalah amat wajar kerana manusia adalah hamba Allah, Tuhan Maha Besar seru sekalian alam ini.


Allah berfirman, maksudnya, “Dan Kami turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”.Al-Isra’:82.


Solat ketika menghadapi problem atau ketegangan adalah Sunnah Baginda Rasulullah s.a.w.. Mengikut Huziaifah r.a. bahawa Baginda Rasulllah s.a.w. apabila berdepan dengan sesuatu kesulitan, maka Baginda s.a.w. pun bersolat.


Solat adalah rahmat besar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hambaNya yang beriman. Solat menghadapi sesuatu kesukaran adalah seumpama bersegera mencari rahmat Allah S.W.T., dan apabila rahmat itu tiba, maka pastilah bekas-bekas kesulitan akan sirna.


Allah berfirman, maksudnya, “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang kyusuk”.Al-Baqarah:45.


FirmanNya lagi, maksdunya, “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.Al-Baqarah:153.


Selain dari solat, orang-orang yang menghadapi kesulitan hendaklah memperbanyakkan zikir. Allah Taala telah memberi jaminan orang yang berzikir itu akan mendapat ketenangan hati.


Allah berfirman, maksudnya, “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang”. Ar-Ra’d:28.


Dan orang-orang yang dilanda pancaroba hidup juga hendaklah banyak bersabar, kerana sabar itu merupakan penawar yang mujrab dalam menghadapi sebarang kegawatan diri.


Allah berfirman, maksudya, “Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda [kekuasaan Allah] bagi setiap orang yang penyabar dan banyak bersyukur”.Ibrahim:5.


Memerhati Keindahan Alam

Melihat dan merenung keindahan alam ciptaan Allah ini boleh membuat hati seseorang menjadi lapang dan tenang Berfikir terhadap segala kejadian Allah, alam jagat dan segala isinya, langit bumi, matahari, bulan dan bintang dan segala apa yang ada di antara keduanya juga dapat menghilangkan kebimbangan-kebimbangan yang bergayut di hati seseorang, dan sekali gus dapat mententeramkan jiwa yang resah gelisah.


Allah berfirman mengenai ciptaanNya yang indah dalam firmannya yang bermaksud, “........lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpandangan indah..... S”An-Naml:60.


Allah memang menyuruh manusia memerahti alam buana ini. Allah berfirman, maksudnya, “Perhatikan apa yang ada di langit dan bumi.........”.S.Yunus:101.


Waktu senja berlabuh, pergilah ke tebing sungai. Lihat dan pandanglah jauh di kaki langit sana mata hari sedang masuk ke peraduannya. Menebarkan cahaya yang berwarna-warni bertaburan di ufuk barat. Air sungai berkilauan dan berkocak perlahan dipuput bayu senja yang nyaman, membelai kecapi jiwa anda seiring dengan alunan maya yang begitu harmonis sebelum tabir malam melabuhkan tirainya.......Nescaya anda akan tenggelam dalam keindahan lukisan alam maya yang tidak mampu diukir oleh tangan-tangan seni sekali pun. Wahai Tuhan yang Maha Agong, Maha Pemurah dan Maha Bijaksana.


Seorang penulis barat, George Shinn pernah memberi nasihat kepada mereka yang sedang dilambung kebimbangan supaya melihat dan merenung alam semua jadi bagi menggembalikan ketenteraman jiwanya.


Beliau antara lain menegaskan, “Habiskanlah beberapa waktu anda dengan memerhati alam semula jadi, lihatlah kucup-kucup semasa berkembang nenjadi bunga, nikmatilah perubahan di waktu matahari naik dan di wwaktu matahari terbenam, atau pun mendengar hempas-hempasan air di batu besar”.


Yoseph Cennedy, seorang ahli penyakit jiwa pula menegaskan, “Saya pernah mendengar seorang tukang urut berkata kepada salah seorang pesakitnya yang fikiranya sedang berserbaut hingga hampir menjadi gila,”Anda terlalu membebani diri anda dengan berbagai emosi dan perasaan yang menyebabkan anda menderita penyakit ini. Anda harusnya berfikir mengenai sesuatu di sekeliling anda. Lihatlah burung-burung di langit dan ternakan-tenakan di ladang. Cuba anda fikirkan semuanya itu. Ia memperolehi rezekinya yang banyak tanpa banyak membebankan dirinya dengan perasaan-perasaan dan kekalutan fikiran, tidak banyak mencurah dan memerah otaknya untuk makan sahaja, tapi ia cukup dengan terbang dan brlegar-legar mengikut keyakinannya bahawa Tuhan penciptanya pasti akan memberikan rezeki kepadanya. Maka dengan itu dia mendapat apa yang dpierlukannya”.


Berdoa


Seterusnya sentiasalah berdoa kepada Allah S.W.T. untuk mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Sesiapa yang meminta kepadaNya insya-Allah akan diperkenankanya. Allah berfirman, maksudnya, “........dan Tuhanmu brfirman:”Berdoalah kepadaKu nescaya akan Kuperkenankan permohonan kamu”. S.Al-Mu’min:60


Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, “Barang siapa dibukakan pintu doa untuknya, bererti telah dibukakan pula untuknya segala pintu rahmat....”’


Dalam mencari ketenangan, tegasnya kejernihan jiwa kita mestilah menjauhi setiap perbuatan yang boleh memberi akibat buruk kepada orang lain, perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan jiwa raga mereka. Jangan jadi perosak atau pengkhianat. Sebaliknya setiap perkara yang kita lakukan hendaklah memberi memberi manfat dan berguna kepada manusia lahir dan batin, mental dan fizikalnya.


Penjahat dan para pengkhianat telah dijanjikan dengan kecelakaan di dunia dan juga di akhirat dengan pembalasan-pembalasan kerana menganiya orang lain. Mereka akan hidup dalam kerugian dan penyesalan di dunia dan akhirat yang menyebabkan kehidupan mereka menjadi tidak tenteram dan diselaputi oleh kegelisahan, ketegangan dan dan ketakutan yang akan merampas kebahagain dan ketenangan hidup seseorang. Mereka akan menjalani kehidupan yang penuh kehinaan dan keburukan.


Allah berfirman, maksudnya, “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata”.Al-Ahzab:85.


Allah juga telah mengancam orang-orang demikian sifatnya dengan janji yang malang di akhirat nanti, “Sesnngguhnyan orang yang paling buruk kedudukannyandi sisi Allah pada hari Kiamat ialah orang yang dipisahkan oleh manusia, atau ditinggalkan oleh mereka keranatakut pada perbuatan kejinya”. HR:Bukhari.


Justeru itu anda hendaklah berakhlak yang mulia dan terpuji yang akan melapangkan dada dan hati anda, dan sifat-sifat itu akan menjauhkan anda daripada kegelisahan dan ketegangan yang sudah passti akan menimpakan kesan yang negatif ke atas anda.


Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mahukah kamu aku beritahukan kepada kamu tentang siapa di antara kamu yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya denganku kelak pada hari kiamat? Yakni, orang di antara kamu yang paling baik akhlaknya”Maksud Hadis.


Dan Allah juga amat menyukai orang-orang yang berdoa untuk mendapat afiat. Doa itu memberi manfaat tehadap apa yang telah diturunkan dan juga yang belum diturunkan. Dan tidak ada yang dapat menangkis ketetapan Tuhan melainkan doa. Sebab itu berdoalah kamu sekalian.- Maksud Hadis.


Berdoalah dengan keadaan dan suasana yang kita hadapi kepada Allah yang Maha Pengasih, Pengampun dan Penyayang. Ertinya kalau kita sedang menderita sakit, berdoalah supaya dikurniakan keampunan, kesabaran dan kesembuhan.


Mengikut ulama ada sebuah doa yang patut dipohon ketika berhadapan dengan kesulitan dan ketegangan yang bermaksud, “Ya Allah yang Maha Mencukupi dan sebaik-baiknya melindungiku. Ya Tuhan kami anugerahkan kesabaran dalam hati kami, dan matikanlah kami dalam keadaan beragama Islam”.


Berhubung dengan kesihatan pula, Baginda Rasulullah s.a.w. berpesan dengan sabdanya, “Mintalah kamu sekalian kepada Allah berupa ampunan dan kesihatan serta jauh dari penyakit, kerana tiadalah seseorang dibreri kurnia yang lebih baik dari kurnia kesihatan..........”.


Justeru itu janganlah dibiarkan ketegangan dan kebimbangan bermaharajalela menguasai diri anda, ia boleh membawa bencana kepada anda yang ditimpanya.

xxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP