Hari Yang Pilu..........

>> Thursday, March 24, 2011



Hari Yang Pilu……

Hari Rabu, malam Khamis, dan hari Khamis malam Jumaat. Petang Rabu dia sakit, malam Khamis dia kembali ke rahmatullah, hari Khamis dia dikebumikan, dan hari Jumaat, hari pertama kami mengunjungi pusaranya selepas beliau dikebumikan. Hari-hari yang akan dikenang sepanjang hayat, kerana perginya seorang yang kami kasihi. Patah tak tumbuh, hilang tak berganti.


Petang Rabu kami berada dalam kereta Avanza yang dipandu oleh menantu Safayi. Kami sekeluaga, isteriku Asiah, empat orang cucu, anak perempuan kami, Noor Baiti Zaini. Dia duduk di bahagian hadapan di sebelah suaminya yang sedang memandu. Aku dan isteri seperti biasa duduk di bahagian tengah Avanza, dan tiga orang cucu lagi duduk di bahagian belakang, sementara seorang cucu perempuan yang berusia tak sampai dua tahun duduk bersama ibunya di bahagian hadapan.


Dalam perjalanan petang itu kami lebih banyak membisu, tak banyak bercakap. Isteriku sekali sekala mengadu dia merasa kesukaran untuk bernafas. Sambil sebelah tangannya mengurut-ngurut perutnya turun ke bawah. Aku mempelawa dia baring di atas ribaku untuk memudahkan aku menolongnya, dia menolak. Kerana katanya, gegaran Avanza itu ketika melalui jalan tar yang tidak rata menambahkan ketidakselesaanya. Dia menyandarkan badannya ke dinding Avanza, dan tubuhnya menghala kepadaku. Dia kelihatan tidak tenteram.


Dari mulutnya seperti biasa terpancar sebutan “Allah-Allah” berulang-ulang kali sepanjang perjalanan itu.


Hari sudah di ambang lewat petang. Jam tanganku menunjukkan pukul enam. Kami dalam perjalanan dari rumah seseorang untuk balik ke rumah kami. Sejauh kira-kira dua puluh kilometer. Bila Avanza itu mendaki kira-kira separuh bukit dalam perjalanan, isteriku tiba-tiba melontar kata-kata berupa pertanyaan, “Rasa nak pergi ke bahagian ke hospital?".


“Ikutlah Yahlah”, balasku spontan. Saya berkata demikian kerana tidak ingin memaksanya pergi ke hospital.


Kemudian aku lontar pertanyaan kepada anak perempuanku Noor Baiti Zaini yang duduk di bahagian hadapan. “Bagaimana Noor, Ma nak pergi hospital.?”. Pada waktu itu bahagian biasa hospital telah ditutup, demikian juga klinik swasta di bandar kecil ini. Pukul lapan malam pula klinik swasta itu baru buka kembali.


Anakku Noor Baiti menoleh ke belakang memandang Mamanya yang duduk di sebelah kanan di belakang tempat duduk pemandu. Masih bersandar di dinding Avanza yang bergerak perlahan itu. Biasanya isteriku tidak pernah duduk di sebelah kanan di belakang pemandu bila menaiki mana-mana kenderaan. Biasanya akulah yang duduk di belakang pemandu untuk perjalanan dekat atau jauh. Dia telah jadi fobia bila mengetahui setiap kali berlaku kemalanagan jalan raya penumpang di belakang pemandulah yang teruk tercedera. Petang itu mungkin kerana keadaannya yang tidak selesa dia duduk di mana sahaja dalam Avanza itu.


Noor Baiti menyokong hasrat Mamanya untuk pergi ke hospital itu, katanya, “Baik juga tu Ma”. Dalam suaranya ada kebimbangan. Tapi kalau tidak ke mana lagi mahu dibawa Mamanya petang itu? Ke K B masih enam puluh kilo meter lagi jauhnya. Ia memerlukan masa memandu lebih dari satu jam untuk sampai. Kalau nasib tak baik, jalan tersumbat sedikit, hampir dua jam baru sampai.


“Tak payah pergilah”, kata isteriku, melahirkan hasratnya untuk menarik balik niatnya untuk pergi ke hospital. Tapi dengan sopan dibantah oleh Noor Baiti, kerana melihat Mamanya mengalami kesukaran untuk bernafas. Dia ingin melihat Mamanya segera sembuh dari keadaannya yang tidak menyelesakan itu. Dan ini dipersetjui oleh isteriku.


Avanza terus bergerak. Walaupun perlahan, tapi lancar, kerana jalan tidak sibuk petang itu. Sekali sekala sahaja Avanza kami berselisih dengan sesebuah atau dua buah keenderaan yang menuju ke K.B atau ke bandar T.M. atau dalam perjalanan ke hala yang lebih jauh, menuju ke utara.


Dalam otakku ramai dengan berbagai-bagai pertanyaan mengenai penyakit isteriku? Kadang-kadang keraguan dan kebimbangan menerjah pintu hati, takut-takut penyakitnya itu berat, walau pun pada pengelihatan mata kasar tidak ada apa yang harus dibimbangkan buat ketika ini. Setahuku masih ramai orang yang menderita penyakit kronik yang berat-berat tapi masih mampu bertahan. Masih boleh bergerak cergas sekadar kemampuannya.


Ketika Avanza betul-betul berada di cabang tiga di mana di sebelah kirinya menuju ke rumah kami, tiba-tiba isteriku berkata, “Kita balik ke rumah dahulu sekejap”.


“Tak payahlah Ma”, kata Noor Baiti dengan lembut, “nanti lambat pula”. Isteriku menyetujui dengan kata-kata anaknya itu. Dia tidak membantah. Saya hanya membisu.


Tapi kemudiannya saya bertanya juga untuk mendapat kepastian, “Nak balik buat apa lagi?”.


“Nak balik makan sedikit oat, supaya gastrik ni tak kuat”. Beliau menjelaskan sambil mengosok-gosok perutnya.


Aku mengangguk-anggukkan kepala. Aku faham. Orang gastrik tak boleh perut kosong. Nanti perutnya meradang.


Sejak ke belakangan ini beliau tak berselera makan. Menyebabkan gastriknya kerap beronar. Namun begitu dia paksa dirinya untuk makan. Kalau tak lalu sangat, dia minta aku tanakkan nasi lembek untuknya supaya senang ditelannya walau pun tak berselera. Pagi tadi dia menjamah sedikit nasi berlauk.

Sejak beberapa hari ini setiap hari dia meminta aku membeli nasi himpit bersambal. Tapi tak ada. Pagi tadi pun dia meminta dibeli nasi himpit, tapi entah bagaimana, tidak ada juga.


Memanglah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, oatlah menjadi sebahagian daripada sarapan utama kami saban pagi selain dari nasi belauk. Biasanya kami makan oat sekali atau dua kali sehari. Pagi dan petang. Oat saya, saya masak dengan camporan beberapa sudu oat, bersama susu atau gula, kismis dan kadang-kadang jika ada, saya campur dengan dua atau tiga biji buah kurma, atau sebiji pisang emas ataupun sehiris dua buah-buhan lain. Tapi isteriku hanya memakan oat tanpa campuran apa-apa lagi selain dari air panas kosong, atau kadang-kadang dicampurkan dengan sedikit garam untuk membangkitkan seleranya. Itu pun oatnya hanya dua atau tiga sudu sahaja.


Tiap-tiap hari sayalah yang membuat oat itu untuk diriku dan juga untuk isteriku. Saya melakukannya dengan penuh kerelaan. Malah saya merasa senang hati menyediakan makanan itu untuk isteriku, walaupun dia seorang yang gemar dan pandai memasak. Sejak saya bersara beberapa tahun yang lalu, saya lebih banyak membantu isteriku menjalankan urusan dapur. Saya berbuat demikian untuk meringankan tugas dan menyenangkan hatinya, terutama ketika menjejaki usia emas ini.


Sedar-sedar Avanza telah sampai di bahagian hadapan pintu masuk ke bahagian kecemasan hospital. Ia terletak di atas bukit yang telah diparas bahagian atasnya untuk menampung bangunan hospital itu. Di situlah terletaknya hospital dan wad pesakitnya sebelum bangunan hospital baru siap dibina. Bangunan ini sekarang hanya digunakan untuk bahagian kecemasan dan wad-wad untuk menempatkan para pesakit sahaja.


Sebenarnya rasa keberatan dan keraguan bergayut di hatiku untuk membawa isteriku ke hospital. Anak lelakiku, Ahmad Faris Zaini yang baru bertukar bertugas di Sabah sudah beberapa kali menalipon kakaknya Noor Baiti supaya tidak membawa Mamanya ke bahagian kecemasan, lebih baik bawa Mama ke hospital swasta.

Katanya dia bimbang mengingatkan pengalaman seorang kawannya yang membawa ibunya ke bahagian kecemasan di sebuah hospital yang tidak dinyatakan di negara mana. Wad kecemasan hospital dalam cerita anakku itu sudah populer di kalangan masyarakat tempatan dengan kata-kata sinis, “Siapa pergi, tak balik”. Tapi dalam keadaan terdesak seperti ini, ke mana kami nak bawa isteriku? Hendak ke hospital swasta di K.B jauh, lebih dari enam puluh kilo meter. Kami merasa keberatan untuk mengambil risiko dalam perjalanan. Tambah membebankan lagi kalau jalan jem. Di trafik light di bandar kecil ini pun terpaksa berjujuk sejauh lebih dua kilo meter untuk menunggu lampu hijau dari kesesakan.


Menantu kami Safayi memberhentikan Avanza di hadapan pintu bahagian kecemasan. Saya turun dulu dari Avanza dan menolong membuka pintu untuk isteriku turun.


“Boleh jalan sendirikah?”. Tanya saya kepada isteriku tanpa sedikit pun merasa kebimbangan menerpa di hati.

“Boleh”, jawabya tenang.


Beliau turun dari Avanza dan berjalan perlahan-lahan. Saya mengekori di belakangnya. Kebetulan ada seorang doktor bertugas yang berdiri di ruang masuk itu, isteriku secara spontan memberitahunya, “Mak Cik sekak ni, tak boleh bernafas”.


Kebimbangan menerjah dalam kepalaku. Aku teringat cerita anakku, Ahmad Faris Zaini tadi yang membawa ibunya ke wad kecemasan di sebuah hospital. Waktu itu katanya ada seorang doktor lelaki yang agaknya berusia tiga puluhan tahun, terus memeriksa ibunya dengan tergesa-gesa sambil berdiri. Dia mengkelebek mata orang tua itu sambil menerjah kata, “Mak Cik ni sakit lama dah kah, mata pucat ni?”. Belum sempat ibunya menjawab, doktor itu menghujani lagi pertanyaan yang serupa beberapa kali.


Saya merasa menerjah soalan-soalan seperti itu secara tergesa-gesa dan bertubi-tubi kepada pesakit sambil berdiri sudah tentu tidak menyenangkan. Ia bukan sahaja mendebarkan pesakit, tapi juga keluarga-keluarga yang mengiringnya.


Saya sendiri pun diserang peluh sejuk mengingatnya. Saya harap perkara seperti itu tidak berlaku ke atas kami di sini. Kalau benar kejadian itu berlaku, entah di neagra mana, tidak adakah perkataan-perkataan dan cara-cara lain yang dapat menenangkan pesakit yang telah pun berada dalam selimut kegawatan seperti itu? . Kata-kata yang dapat mengamankan perasaan pesakit yang telah penuh dadanya dengan kesebakan dan debaran?


Kemudian isteri saya di arah duduk di atas katil yang terletak di tepi dinding untuk menjalani pemeriksaan. Hatiku merasa tenang dan lega sedikit. Kecemasan berangsur menipis dari dada yang masih dilanda kebimbangan.


Setelah duduk di atas katil beliau masih mengatakan, “Sekak ni”, sambil tangannya mengurut-urut hulu hatinya dari atas ke bawah. Namun begitu kami masih belum benar-benar diserang oleh kebimbangan.


Seorang pembantu perubatan menolak sebuah alat pemeriksaan jantung dan meletaknya di tepi katil. Sejenis alat dilekat kepada badan isteriku untuk menjalani pemeriksaan.


Kemudian tanpa ditanya pembantu perubatan itu memberitahu kami, “Jantungnya baik. Darahnya juga baik”. Penjelasan yang membuat kami merasa puas dan lega.


“Alhamdulillah”, kataku.


Beliau diarah pindah ke katil pesakit. Masih mampu berjalan sendiri. Setelah duduk di atas katil, beliau masih mengatakan dia sekak. Aku dan anakku Noor Bati berdiri di sisi katilnya.


Saya teringat lagi kepada cerita anakku. Bila ibu kawannya itu didudukkan di atas katil, tiba-tiba seorang doktor wanita yang berdiri di meja beberapa meter dari katil ibu lelaki itu terbaring itu menjerit kepada ibunya dengan berbagai-bagai pertanyaan. Sedangkan ibunya pada masa itu masih dalam kesukaran untuk bernafas. Katanya lontaran soalannya meninggi dan bertubi-tubi.


“Dah berapa lama sakit?”. Jerit doktor wanita itu macam berdialog dengan orang pekak. “Dah makan ubatkah? Dah makan ubat kampungkah? “. Entah apa yang dijeritkannya lagi secara bertalut-talu aku telah terlupa.


Adakah doktor betina dalam cerita anakku itu tidak diajar cara yang lebih beretika untuk berkomunikasi dengan pesakitnya yang memerlukan kasih sayang dan simpati? Apakah dia tidak diajar bahawa setiap pesakitnya adalah manusia yang mempunyai perasaan dan jiwa yang sedang tertekan? Bergelegak pertanyaan dalam kepalaku


Aku merasa kecut perut mengingat cerita itu. Janganlah isteriku dijerit oleh doktor wanita dalam wad itu sebagaimana yang berlaku keapda ibu kawan anakku dalam cerita itu. Tak rela aku?


Katanya bila melihat pembantu perubatan dan juru rawat bahagian kecemasan itu sibuk memasang alat-alat pembantu pernafasan pada ibunya, lelaki itu dengan berat hati berundur sekejap dari sisi ibunya. Tapi katanya sang doktor perempuan itu dengan suara yang meninggi mengasak lagi berbagai-bagai pertanyaan yang sepatutnya dihentikan dahulu buat sementara waktu menunggu keadaan ibunya kembali tenang.


Kata kawan anakku andainya pelawat yang berbuat demikian, tentu lebih patut, walaupun tidak wajar, kerana mereka mungkin bodoh, tidak tahu etika perubatan. Tapi Iiikan doktor?


Tidak lama kemudian, bila melihat suasana agak tenang aku menghampiri katil isteriku yang dipakaikan dengan alat membantu pernafasan. Melihat keadaannya seperti itu hatiku mulai berkecamuk. Aku belai rambutnya dan dahinya, sambil berbisik, “Sabarlah Yah, sabarlah. Jangan lalai”. Dahinya terasa berpeluh sejuk. Namun begitu waktu itu masih belum ada tanda-tanda yang mencemaskan. Aku berundur sedikti dari situ untuk memberi ruang kepada anaku Noor Baiti mendekati Mamanya.


Secara spontan, Noor Baiti mengingatkan Mamanya, “Mama jangan lalai”, yang dijawab oleh Mamanya, “Tidak .Mama tak lalai”, yang memberi erti beliau sentiasa ingatkan Allah. Alhamdulilah!


Memanglah, sejak akhir-akhir ini isteriku tidak pernah lekang dari melafazkan zikir, di mana sahaja beliau berada. Kadang-kadang dia membawa tasbih angka, untuk mempastikan bilangan zikirnya dalam jumlah yang dikehendakinya.


Saya pernah menasihatinya supaya tidak menggunakan tasbih di hadapan orang lain, takut menjadi riak. Dia hanya mengukir senyum dan menjawab, “Takkanlah begitu”.


Justeru dalam tas tangannya selalu dibekalkan dengan seutas tasbih. Petang itu pun dalam beg duit kecilnya terdapat seutas tasbih yang selalu digunakanya, dan tasbih itu ada dalam simpananku dan aku menggunanya untuk mengganti tasbih lamaku.


Isteriku ada sebab untuk menyayangi tasbih itu. Tasbih itulah yang digunakannya ketika melakukan “baiah” lebih dari sepuluh tahun yang lalu. Dan beliau disayangi oleh gurunya.


Tiba-tiba Noor Baiti disuruh beredar dari sisi Mamanya oleh petugas-petugas itu, untuk melancarkan tugas-tugas mereka. Anakku dengan hati yang berat terpaksa berundur meninggalkan Mamanya dan duduk menunggu di kerusi yang terletak di luar dewan kecemasan itu. Air matanya mulai merembas menuruni pipinya. Dia membisu. Entah apa yang difikirkan tentang Mamanya.


Sebelum itu kami telah berbincang siapa yang akan menemani Mamanya yang akan dimasukkan ke wad nanti. Malam itu anakku kena bertugas mengajar di kelas tambahan di sekolahnya. Kataku tidak perlu kita bincang dahulu. Saya pun boleh tunggu jika dibenarkan oleh pihak hospital. Tidak ada masalah.


Saya telah beberapa kali masuk ke wad untuk menemui isteriku, tapi nampaknya tidak ada peluang langsung, sebab para petugas sedang sibuk menjalankan tugas mereka. Justeru saya hanya mampu mundur-mandir di lorong terbuka untuk masuk ke wad kecemasan, dan dari situ saya dapat melihat isteriku dari kain langsir yang terkuak lebar kerana dihembus angin kipas yang kuat. Aku nampak alat bantuan pernafasan yang telah dipasang pada hidungnya itu.


Kemudian cucuku, Ahmad Syafiq Zaini datang menemuiku bertanya keadaan Wannya. Saya tidak dapat berkata apa-apa, lalu saya pegang sebelah tangannya, dan membawanya mundur-mandir bersamaku.


Kemudian saya bawa cucuku keluar dan duduk di kerusi di sebelah anakku Noor Baiti Zaini. Kami merasa masa amat genting. Kegusaran menerjah hati kami.


Bila menyedari waktu Maghrib telah masuk saya berbincang dengan anakku untuk sembahayang secara bergilir-gilir. Dia pergi sembahayang dahulu, selepas itu saya, kemudian suaminya. Kami keberatan untuk meninggalkan Mamanya sendirian di wad itu walaupun kami tidak dapat mendekatinya. Perasaanku tambah tidak tenteram. Kebimbangan terus menekan. Selepas solat aku segera kembali ke wad dan duduk di kerusi menunggu sebelah anaku. Tidak ramai orang menunggu di luar malam itu, hanya ada seorang sahaja lelaki duduk dikerusi jauh di sana.


“Macam mana Mama?”. Tanyaku, seleaps melabuhkan punggung di kerusi dengan emosi yang bergelora. Suaraku hampir tidak kedengaran. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Air mata mulai membanjiri pipinya. Wajahanya suggul.


Kami terus menunggu. Begitu terseksanya menunggu ini. Hatiku terus dicengkam keharuan. Rasanya masa terlalu pentas berlalu bersama dengan goncangan jantung kami.


Tidak lama kemudian, doktor lelaki itu muncul, menghampiriku dan berkata, “Kami nak bawa dia ke Hospital K.B. Tunggu keadaannya reda sedikit. Sekarang keadaannya masih sukar untuk bernafas”.


Aku merasa lega sedikit, walaupun perpindahan hospital itu menandakan keadaannya kritikal, sebab harapan masih ada, sebab peluang untuk menerima rawatan masih terbuka.


Aku mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Tapi selepas doktor itu meninggalkan kami, dadaku mulai sebak semula. Keharuan terasa menggoncang dadaku. Macam-macam terlintas dalam kepala.


Tapi sejurus kemudian doktor itu datang lagi. Dadaku bertambah kuat goncangannya. Setelah menghampiriku dia berkata, “Masuklah Pak Cik. Ajar dia mengucap. Keadaannya tenat”.


Aku tersentak macam mendengar halilintar di tengah hari. Lidahku kelu. Doktor itu memberitahu, dia dah laku bantuan pernafasan ke atas isteriku, tapi tidak berjaya, “Masuklah”, katanya, “kita nak buat sekali lagi”.


Bila aku sampai ke katil isteriku, aku selak langsir di bahagian kepalanya untuk melihat keadaannya, dadaku terus berdebar kencang. Aku lihat kepalanya telah terkulai ke sebelah kiri dengan alat pembantu pernafasan masih melekat di hidungnya. Nak buat apa lagi. Mama telah kaku. Rasa terkilan menyelinap ke dalam hatiku. Kenapa aku baru dipanggil masuk? Kenapa tidak lebih awal sebelum mereka melakukan bantuan pernafasan, sedangkan mereka tahu kami ada di luar menunggu? Tapi itulah takdir Ilahi. Saya berundur sekejap dari sisi jenazah.


Tapi sejurus kemudian aku masuk semula menghampiri isteriku. Kedudukannya telah dibaiki. Dengan dada sebak, aku merenung wajahnya. Saya kucup dahinya. Saya masih ingat, wajahnya berseri dan tersenyum manis, terus kekal hingga beliau dikebumikan.


Sebuah kandil telah padam di penghujung penghidupan setiap insan, untuk menuju ke alam baru yang kekal dan abadi.


Saya sedang menunggu selesainya prosedur untuk membawa jenazah pulang ke rumah kami, sijil mati dan kereta jenazah. Sementara itu tertanya-tanya juga dalam kepala apakah penyakit yang menjadi punca kepada kematian orang yang kami kasihi itu? Sekuntum mawar merah di taman hati telah gugur....


Namun daripada Allah kita datang, kepada Allah kita tetap akan kembali.


Allah berfirman dalam Surah Al-Fajr, dari ayat 27 hingga 30 yang bermaksud:


“Wahai jiwa yang tenang kdmbalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredaiNya.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu yang berbahgia- dan masuklah ke dalam syurga”.


Jiwa yang tenang ialah jiwa orang Islam yang beriman, yang yakin dan percaya Allah adalah Tuhannya dan dia menyembah-Nya, Muhammad adalah pesuruh-Nya, yang percyakan adanya hari Kebangkitan, adanya syurga, adanya neraka, adanya pahala, dia percaya janji Allah adalah benar dan dia reda dengan segala ketentuan Allah itu. Dia mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangnnya.


Kepada jiwa itulah dikatakan, “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu”. Maksudnya, kembalilah kamu kepada Tuhanmu, kepada pahala Tuhanmu dan kembali kepada Syurga yang Allah janjikan kepada orang yang beriman dan beramal saleh.


Dan, “Dengan hati yang puas,” iaitu dengan kepuasan atau keredaan jiwa itu, “Lagi diredai,” yang bermaksud, jiwa itu reda kepada Allah dan Allah juga reda kepadanya. Saling reda meredakan.


Kata-kata yang terlalu endah itu diucapkan kepada jiwa yang tenang itu ketika jiwa itu terlepas dari jasadnya yang telah kaku, dan akan diucapkan lagi pada Hari Kiamat nanti.


Sayangku telah pergi. Yah telah pergi. Mama telah pergi. Wan telah pergi. Kak Yah telah pergi. Mak Cik Yah telah pergi. Pergi tak akan kembali lagi, dan akan disusuli oleh setiap yang bernyawa. Yang tinggal hanya kenangan.


Perginya pada petang Rabu 1 Julai 2009 bersamaan dengan 8 Rejab 1430 Hijriah. Menambahkan satu hari kepada hari-hari yang pilu dalam hidup kami.


Ya Allah cucurilah rahmat ke atasnya.


xxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP