Kakinya Dipegang Bumi

>> Saturday, March 19, 2011


KAKINYA DIPEGANG BUMI



Kami baru sampai ke rumah dalam perjalanan balik daripada menziarahi perkuburan ibu dan isteri saya. Saya pergi bersama dengan cucu saya Nik Nur Syafiqah Zaini yang dipanggil “kakak”. Lazimnya kami pergi hari Jumaat, tapi oleh sebab hari Jumaat saya masih berada dalam kembara di Kuala Lumpur dan semalam baru balik ke rumah, maka kami pergi ziarah kubur pada hari ini, iaitu hari Sabtu.


Kami menziarahi kubur dengan tujuan untuk bertemu dengan orang-orang yang kami kasihi yang dikebumikan di perkuburan itu, terutama ibu, Maimunah dan isteri, Asiah serta mendoakan untuk mereka [semoga Allah ampunkan dosa mereka], dan menjinakkan hati kami untuk sentiasa megingati Allah. Kadang-kadang kami juga menangis, mengenangkan nasib kami yang akan menyusuli mereka?


Tentang ziarah kubur pada hari Sabtu ini ada sebuah Hadis Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi daripada al-Dihak yang bermaksud, “Barang siapa menziarahi kubur pada hari Sabtu sebelum terbit mata hari, maka orang yang mati mengetahui orang yang menziarahinya”.Ada orang bertanya kepada al-Dihak, “Mengapa pula begitu halnya?”. Jawabnya, “Kerana hampirnya waktu tersebut dengan hari Jumaat”.


Sesampai di rumah saya teringat sebuah kisah yang merupakan sebuah pengalaman pahit sahabat saya sebagaimana diceritakannya kepada saya. Pada masa itu kami hanya berdua sedang bercakap-cakap mengenai rancangan masa hadapannya, termasuklah rancangan-rancangan kebajikan yang dirancangkan oleh beliau.


Beliau terus terang mengaku bahwa pada masa-masa yang lalu beliau telah terlanjur melakukan beberapa kesilapan besar terhadap sesama manusia, walaupun tindakannya itu betul dari segi undang-undang tapi amat tidak betul dari segi moralnya.


Beliau merasa amat menyesal dengan perbuatannya itu, dan telah bertaubat nasuha kepada Allah dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi di masa-masa akan datang. Beliau dengan sepenuh hati berharap permohonan taubatnya itu diterima Allah S.W.T..


Di samping itu beliau juga berazam untuk melaksanakan sebanyak mungkin berbagai-bagai kebajikan yang boleh memberi manfaat kepadanya di masa-masa akan datang, semoga dengan itu dapat mengimbangi kesalahan-kesalahan yangtelah dilakukannya di masa-masa yang lalu itu.


Beliau juga menceritakan suatu pengalaman yang amat menakutkan yang pernah menimpanya yang beliau percaya ada kaitan dengan salah lakunya itu dan sebagai amaran dari Allah kepadanya.


Pada suatu hari katanya, salah seorang daripada keluarganya yang terdekat meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa waktu. Pada hari itu beliau mengambil cuti untuk pergi ke rumah keluarga yang kematian itu bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya.


Selepas menunai solat jenazah beliau ikut sama menghantar jenayah ke tanah perkuburan yang letaknya tidak berapa jauh daripada rumah kematian itu. Mereka semua mengiring jenazah dengan berjalan kaki mengikuti belakang keranda yang dipikul oleh empat orang yang terdiri daripada keluarga terdekat.


Sambil menghayun langkah menuju ke tanah perkuburan, fikiran sahabat saya itu melayang jauh mengenang soal-soal yang berkaitan dengan kematian. Dosa dan pahala. Hukuman-hukuman yang akan diterima oleh seseorang pendosa, dan nikmat-nikmat yang akan diterima oleh mereka yang beriman dan bertakwa.


Beliau merasa amat seram bila mengingati mayat akan terbaring seorang diri dalam kegelapan kubur, kemudian akan didatangi oleh Malaikat Munkar Nakir untuk mengajukan soal jawab, dan hukuman-hukuman berat yang sedia menunggu seseorang gagal memberi jawapan yang betul kepada pertanyaan-pertanyaan itu.


Beliau merasa amat terharu, kesayuan yang menyebabkan air matanya merembas keluar memabasahi pipinya. Ya Allah ampunilah hambaMu ini. Bisiknya dalam hati sambil terus melangkah guntai. Air matanya yang menitis itu disapu dengan lengan baju Melayunya.


Tidak lama berjalan sampailah ke tanah perkuburan. Kubur yang luas itu kelihatan bercerucuk dengan batu-batu nisan seperti kulat pusu yang tumbuh di musim hujan. Lubang kubur yang menjadi rumah jenazah telah beberapa jam siap digali oleh penduduk-penduduk kampong dan menunggu ketibaan penghuninya.


Biasanya tiga orang akan turun ke dalam liang utnuk menyambut jenazah untuk dimasukkan ke dalam liang lahad. Seorang di bahagian kaki, seorang di bahagian tengah badan dan seorang lagi di bahagian kepala supaya jenazah senang diuruskan dan tidak terseksa.


Beliau menawarkan dirinya untuk menjadi salah seorang dari mereka yang turun ke dalam liang. Kerana beliau merupakan orang yang kedua turun ke dalam liang, maka beliau mengambil bahagian tengah badan.


Bila jenazah dihulurkan, orang pertama menyambutnya, dan terus dihulur lagi dan disambut orang di bahagian tengah, iaitu beliau sendiri, dan akhirnya disambut oleh orang di bahagian hujungnya, iaitu kaki jenazah. Kemudian jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, dan lalu ditutup dengan papan supaya tidak terhimpit oleh tanah yang akan ditimbus nanti ke dalam lubang itu.


Tiba-tiba beliau merasa amat takut, sekujur tubunya dibasahai oleh peluh sejuk, matanya terasa berpinar-pinar, beliau merasa seolah-olah beliaulah orang yang dikuburkan itu, selamat tinggal, selamat tinggal.


Sejurus kemudian mereka yang berada di atas liang mulai memasukkan tanah ke dalam liang dan tanah-tanah itu dipijak-pijak oleh mereka bertiga yang berada di dalamnya supaya menjadi kemas.


Kemudian seorang daripada mereka melompat naik dengan bantuan orang yang berada di atas dengan memegang tangannya. Beliau dan seorang lagi masih di dalam liang, memijak-mijak tanah yang dimasukkan untuk menimbusnya. Kemudian seorang lagi yang di bahagian kepala jeanzah pula melompat naik, dan meninggalkan dia seorang dalam liang.


Tiba-tiba dia merasa dirinya amat lemah. Beliau ingin melompat naik. Tapi tidak mampu. Kakiya terasa berat macam dipegang oleh bumi. Beliau mendengar suara orang di atas suruh dia naik, kerana makin banyak tanah yang dimasukkan ke dalam liang, tapi dia tidak dapat naik, kakinya terasa kian kuat melekat di situ.



Beliau mencuba dan mencuba tapi tidak berdaya. Kakinya tidak juga dapat diangkat. Ketakutannya kian membesar. Orang-orang di atas mendesaknya supaya segera naik, kerana mereka tidak henti-henti memasukkan tanah ke dalam liang. Nanti dia akan ikut tertimbus.


Beliau merasa amat panik. Kakinya tidak dapat diangkat, terpaku di situ. Apa akan jadi?



Orang-orang di atas mulai merasa kehairan dan mengaju pertanyaan kenapa beliau masih tidak mahu naik lagi. Tanpa kata beliau menunjuk-nunjukkan ke arah kakinya dengan harapan mereka akan faham.


Tiba-tiba beliau mendapat ilham untuk mengucap dua kalimah syahadah dan beristifghar, memohon keampunan kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Beliau mengucap istighfar berulang-ulang kali sambil berdoa supaya Allah melepaskannya dari ujian yang amat berat itu. Entah berapa banyak istighfar yang diucapkannya, dia tidak tahu, tapi dia yakin jumlahnya banyak, banyak sekali.


Tiba-tiba beliau merasa kedua belah kakinya amat ringan, terlepas dari ikatan dari bumi, beliau lalu menghulurkan sebelah tangannya kepada orang yang berada di atas, di tepi liang supaya me nolong menariknya naik. Dan alangkah mudahnya beliau melompat naik.


Bla berada di atas beliau merasa amat lega dan bersyukur, dan cepat-cepat berundur mencari tempat duduk di bawah sepohon pokok yng terletak berhampiran di situ.


Beliau tidaklah dapat membayangkan andainya beliau tidak dapat naik dari lubang itu, apa akan jadi kepadanya?


Pesitiwa ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan seumur hidupnya, dan merupakan salah satu peristewa yang telah megubah seluruh haluan hidupnya berpaksikan akhirat.


Beliau membuat kesimpulan dosa-dosa yang telah dilakukannya itulah yang telah memakukan kakinya ke bumi hingga tidak dapat naik dari liang lahad, beliau bertambah menyesal dan bertaubat, taubat nasuha.


Beliau yakin, istighfarnya itulah yang menolong membuka ccegkaman bumi kepada kakinya yang menyebabkan dia tidak dapat bergerak.


Semoga Allah mengampunkan dosa beliau, dan juga kita semua, serta dikurniakan taufik, hidayat dan makrifat.


xxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambah Mahabah,Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP