Mencari Yang Maha Kuasa
>> Wednesday, March 30, 2011
MENCARI
YANG MAHA KUASA
SENJA telah berlabuh, menutup tirai siang, dan menguak tirai malam. Dari kejauhan kelihatan tumpuk-tumpuk merah di kaki langit menghisai langit senja. Gumpalan-gumpalan awan berarak di angkasa bertabur di dada langit yang luas terbentang, tanpa hujungan dan tepian.
Angin dingin mulai mebelai lembut di kawasan perumahan di puncak bukit ini. Suasana berangsur-angsur menyepi. Unggas-unggas telah kembali ke sarang untuk meyambut kunjungan dewi malam yang akan melabuhkan selimutnya ke seluruh permukaan alam. Nyanyian-nyanyian mereka yang biasanya kecoh di dahan-dahan telah menyepi.
Bunyi azan telah bergema di angkasa mengagung kebesaran Ilahi, dan memuliakan Nabi yang mulia yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Bunyinya bergema dayu-mendayu membelah kesepian senja, dan menggetar tangkal hati dalam larutan kesayuan yang menggetarkan jiwa.
Dewi malam telah tiba, menutup jendela siang dan melabuhkan tirai malam yang membawa seribu rahsia bersama-samanya. Ketibaan malam yang disambut oleh para Ambia dan para wali dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran yang akan menguak ruang yang lebar serta semerbak mewangi kepada mereka untuk mendekatkan diri dengan Allah dan berdialog denganNya di keheningan malam.
Allahu Akbar. Allah Maha Besar.
Siapa kita? Siapakah kita yang dikatakan manusia ini? Untuk apa kita dijadikan? Ke manakah arah tuju kita?
Seorang Syikh sufi yang terkenal ketika membicarakan hakikat diri antara lain berkata, “Aku bukan manusia, dan bukan jin, tapi aku adalah rahsia Allah”.
Justeru itu Syikh telah dikeritik, dikecam dan dikutuk, dan dilemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan seperti zindik dan kafir tanpa kasihan belas lagi kerana melafazkan kata-kata yang dianggap telah mendurhakai dan mengotori agama itu.
Pada mula-mulanya Syikh tersebut hanya menyepi, tanpa memberi sebarang jawapan, tapi bila keji-kejian terhadapnya bertambah kencang, barulah beliau membuka mulut, meluah kata, antaranya seabagi jawapan beliau membaca sebuah Hadis Qudsi yang berbunyi,”.......maka apabila aku telah menyintainya, nescaya Aku [akan] menjadikan baginya pendengaran dan pengelihatan, maka denganku dia dapat mendengar dan dengan-Ku dia dapat melihat”.
Apakah kedudukan Hadis Qudis tersebut? Benar atau tidak? Adakah Hadis Qudsi itu palsu? Demikian hujah beliau kepada orang-orang yang mengeritik dan melemparkan berbagai-bagai tuduhan kepadanya.
Lebih jauh lagi Allah berfirman dalam Hadis Qudsi, “Hambaku mendekat kepadaKu sehingga Aku menjadikannya sahabatKu. Aku pun menjadi telinganya, matanya dan lidahnya”.
Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya Allah menciptakan manusia dalam kemiripan dengan diriNya sendiri”.
Cuba perhatikan tentang jiwa manusia. Ia tidak berupa, berbentuk, tidak berwarna dan tidak bertempat. Tidak di kepala, tidak di tubuh, tidak di hati, tidak di kaki, dan tidak di mana-mana organ tubuh manusia, walaupun jasad manusia itu mempunyai roh yang menghidupkannya. Tidak ada roh terkulai seluruh tubuhnya.
Demikian Allah? Di mana Allah? Allah ada di mana-mana. Tapi bukan di langit, bukan di bumi. Bukan di laut, bukan di bukit dan bukan di gunung, kerana wujud Allah itu tidak bertempat dan tidak dibatasi oleh ruang dan masa. Tapi Allah tetap ada. Dan Allah ada di mana-mana. Allah yang Maha Besar dan Maha Bijaksana.
Sebuah dialog singkat antara Nabi Musa as. dengan Robnya:
FirmanNya, “Aku pernah sakit tapi engkau tidak menjengukku!”.
Musa menjawab, “Ya Allah, Engkau adalah Rob langit dan bumi, bagaimana Engkau dapat sakit?”.
Allah berfirman, “Salah seorang hambaKu sakit, dan dengan menjenguknya bererti engkau telah mengunjungiKu”.
Dengan itu nyatalah salah satu anak kunci penting untuk mengenal Allah ialah mengenal diri sendiri. Siapa yang mengenal dirinya, kenallah dia akan Tuhannya. Allahnya. Justeru setiap orang mestilah memeriksa dan meneroka siluk-biluk kejadian dirinya sendiri. Dari mana asalnya, bagaimana bermulanya, bagaimana terjadi, bagaimana perkembangannya dan di mana penghujungnya? Kalau dia mengetahui semua itu, dia akan mengenali siapa dia, dan untuk apa dia dijadikan, kemana hala tujunya?
Pada hakikatnya dalam diri manusia terdapat tiga adunan penting yang perlu diketahui, iaitu sifat kebinatangan, sifat kesyaitanan dan sifat kemalaikatan. Ketiga-tiga sifat itu mempunyai fungsi masing-masing yang tersendiri yang berpengaruh terhadap kita.
Sebagai manusia yang berakal dan berhati nurani, maka sudah tentu anda menyedari sifat kebinatangan yang buruk yang suka makan, minum, tidur, berebut-rebut dan juga suka bergaduh dalam mengejar kehendak masing-masing.
Sifat kesyaitanan suka menggalakkan segala macam kejahatan, keburukan, membuat tipu daya yang amat lecek yang boleh mengelirukan. Semua jenis kejahatan adalah berasal dari nafsu kehaiwanan manusia yang dirangsangkan oleh syaitan.
Sifat kemalaikatan adalah sifat-sifat yang mulia dan terpuji yang memandu kita untuk mengenali Allah S.W.T., mengenal siapa kita dan apa tanggungjwab kita terhadap Maha Pencipta. Semua perbuatan baik adalah datang dari Allah yang Maha Bijaksana. Justeru itu kita tidak boleh mendakwa ianya perbuatan kita, usaha kita dan seumpamanya, kerana tanpa gerak dari Allah dan tanpa izin Allah semunya tak mungkin akan berlaku.
Pada suatu masa diceritakan Sayiddina Ali kw. sedang berbicara dengan tiga orang lagi. Timbul pertanyaan tentang Allah, iaitu bilakah waktunya mereka mengingat Allah?
Orang pertama menjawab,”Saya mengingatkan Allah ketika sesuatu perkara berlaku”.
Orang yang kedua menjwab, “Aku mengingat Allah selepas sesuatu perkara berlaku”.
Orang yang ketiga berkata, “Aku mengingat Allah sebelum perkara itu berlaku”.
Maka berkata pula Sayyidina Ali kw. “Aku sentiasa mengingat Allah sepanjang masa”.
Ada seorang guru bergelar Syeikh mempunyai murid yang ramai. Salah seorang daripada murid itu lebih disayanginya dari yang lain. Syeikh tahu ini menimbukan rasa cemburu dan iri hati kepada murid-muridnya yang lain.
Pada suatu hari Syeikh mengumpulkan semua muridnya dan memberikan kepada setiap mereka seekor burung. Kemudian memerintah mereka supaya pergi ke tempat yang sunyi, terlindung dan tidak dilihat orang untuk membunuh burung itu.
Semua murid-murid itu pergi ke tempat yang tersembunyi dan membunuh burung-burung itu sebagaimana diperintah oleh Syeikh, kecuali seorang murid Syeikh yang paling disayanginya itu.
Murid itu membawa kembali burung yang diberikan oleh Syekih itu dan menyerahkan kepada gurunya, sambil berkata, “Tuan, saya tidak dapat mencari tempat yang tuan katakan itu, kerana Allah sentiasa melihatku di mana-mana sahaja”.
“Lihatlah”, kata Syeikh kepada murid-muridnya, “kawanmu ini telah mencapai makam sentiasa mengingati Allah”.
Dr.Aidh Abdullah Al-Qarni bila berhujah dengan katanya, “Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dahulu mendahului mengingati kita. Kalau Allah tidak gerakkan kita untuk beramal, kita tidak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita”.
Seterusnya beliau mengingatkan, “Jangan kata kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tidak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.”.
Namun begitu untuk berpendapat bahawa Tuhan itu bertempat, tegasnya berada dalam jasad manusia tidaklah benar. Ia bukan begitu, Demikian juga jauh salahnya untuk mengatakan bahawa Tuhan Allah itu serupa dengan manusia, iaitu serupa dengan anda atau pun serupa dengan kita hamba-hambaNya yang serba kekurangan ini.
“Termsuk juga dalam kategori bida’ah ialah pendirian aliran orang-orang Hululi yang menganggap bahwa Zat Al-Haq bertempat tinggal dalam benda-benda ciptaanNya. Pendirian mereka ini didasarkan kepada sebuah Hadis Rasulullah SAW: ....maka apaila Aku telah menyintainya, nescaya aku.............. seterusnya seperti disebut di atas.
Seterusnya beliau berhujah, “Sabda Rasulullah SAW. ini tidak sesuai dijadikan sandaran untuk menguatkan pendirian mereka, kerana Allah S..W.T. tidak berfirman bahawa hamba yang dicintai itu dapat mendengar dengan pendengaranNya dan dapat melihat dengan pengelihatan-Nya, tetapi hanya mengatakan “denganKu” yang bermaksud “dengan pertolongan-Ku” atau “dengan bantuan-Ku”.
Sesungguhnya persoalan keTuhanan adalah satu subjek yang sukar untuk diperbincangkan. Ia mempunyai banyak duri-duri tajam yang mungkin merbahayakan diri sendiri.
Itulah yang dikatakan oleh salah seorang penulis terkenal Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni ketika membicarakan hal keTuhanan beliau antara lain menegaskan, “Memang ini adalah satu masalah yang agak berbahaya untuk diperbincangkan, kerana hal ini berada di sebalik pemahaman orang-orang awam. Seseorang yang cerdas sekalipun dapat tersandung dalam membicarakan soal ini”.
Namun begitu ujar beliau lagi, “Meskipun demikian, “persamaan” yang ada di antara manusia dan Allah menghilangkan keberatan para ahli Ilmu Kalam yang telah disebutkan sebelum ini iaitu manusia tidak mencintai suatu waujud yang bukan dari spesiesnya sendiri. Betapa pun jauh jarak yang memisahkan mereka, manusia dapat mencintai Allah kerana “persamaan” yang disyaratkan di dalam sabda Nabi, “Allah menciptakan manusia dalam kemiripan dengan diriNya sendiri”.
Saya terkenang kepada syair Hamzah Fansuri, seorang ulama, sufi dan penyair yang terkenal di penghujung abad 16, antaranya dalam syair Burung Pingai,berbunyi:
Hamzah Fansuri di dalam Mekah
Mencari Tuhan di Bait Al-Kaabah
Di Barus ke Qudus terlalu payah
Akhirnya dapat dalam rumah
Justeru itu cintailah Allah, adalah menjadi kewajipan kita untuk menyintai Allah, mematuhi segala perintahNya. Untuk mengenal Allah secara murni, kita mestilah benar-benar mengenali diri kita. Siapa kita? Jawapan anda yang ikhlas terhadap pertanyaan-pertanyaan itu akan membuka kunci mengenal Allah, kunci makrifatnya.
Siapa anda? Siapa aku? Siapa kita?
Persoalan menarik yang muncul sepanjang zaman untuk dikongsi bersama dengan anda semua. Jawapan yang bukan sahaja membawa anda kepada kaki Maha Pencipta, tapi juga membuka mata anda kepada hakikat dunia yang fana ini. Tidak ada sedebu pun nilainya di mata Maha Berkusa kalau tidak dibaringi dengan keimanan dan ketakwaan. Dunia ini hanya wakaf sementara di mana mereka yang lalai akan terus leka bermain-main dengan sampah sarat yang bertaburan di sepanjang hayat sehingga roh kembali ke pangkuan Ilahi yang menutup tirai hidup seseorang dengan penuh penyesalan kerana mensia-siakan hidupnya dalam kealpaan dan kelalaian yang merugikan.........Bangkitlah sebelum masa menjadi terlalu gawat dan terlewat, di mana penyesalan tidak berguna lagi.
Siapa kita?
Seorang Habsy dilaporkan mengadap Baginda Rasulullah SAW. dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya telah melakukan banyak dosa. Mungkikah taubat saya diterima Allah”..
Baginda SAW. menjawab, Ya”.
Orang Habsy itu brkata lagi, “Setiap kali saya melakukan dosa, adakah Tuhan benar-benar melihatnya?’.
Jawab Baginda SAW, “Ya”.
Mendengar jawaban Baginda SAW. itu orang Habsy itu pun berpekik, dan terus jatuh pingsan.
Apa sebenarnya yang telah terjadi? Apakah terbanyang dalam fikiran orang Habsy itu? Dan apakah yang dilihatnya menyebabkan dia terpekik dan jatuh pingsan?
xxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Sejambak Kasih. Seuntai Harmoni.
0 comments:
Post a Comment