Sebuah Perahu & Sebuah Pulau Kehidupan [Untuk Renungan]

>> Tuesday, March 15, 2011


Untuk Renungan: Sebuah Perahu dan Sebuah Pulau Kehidupan


SEMUA kita yang hidup di dunia ini ibarat seorang pelaut. Dari permulaan lagi kita telah diarah supaya belayar ke suatu distinasi yang telah ditetapkan yang menelan masa yang panjang untuk sampai ke puncaknya.


Kita telah diperingatkan: bahawa laut sentiasa bergelora, gelombang besar, berangin dan beribut taufan, dengan batu karang dan jerung-jerung yang kelaparan sentiasa berkeliaran di prmukaan dan di dalam lautan untuk mencari korban.


Kita dianugerahkan sebuah perahu untuk menempuh lautan berbahaya itu untuk menuju ke sebuah pelabuhan abadi yang sentiasa menunggu kita tanpa sebarang pilihan lagi.


Di tengah-tengah lautan yang akan kita lewati itu terdapat sebuah pulau persinggahan. Kita sentiasa diberi amaran supaya kita hanya singgah di pulau itu dalam masa yang sekejap sahaja untuk makan, minum dan mengambil bekalan dan kemudian meneruskan perjalanan yang masih jauh pengkalannya dalam lautan yang bergelombang.


Kita telah berkali-kali diberi ingatan bahawa pulau itu tidak kekal keadaannya. Ia hanya muncul sementara untuk membantu kita mengambil segala keperluan yang kita perlukan bila kita sampai ke pelabuhan abadi nanti.


Kita telah diberi amaran keras supaya hanya memilih bahan-bahan yang baik-baik dan penting kepada kehidupan kita di pelabuhan baru nanti, dan tidak sama sekali membawa beban sampah sarap ataupun barang-barang yang tidak berharga yang bukan sahaja tidak berguna, tapi juga nengancam survival kita di dunia baru itu.


Kita tidak boleh lama tinggal di pulau itu. Masanya telah disetkan sejak abadi lagi. Setelah mengambil bekalan yang perlu, mahu tidak mahu, kita terpaksa meninggalkannya, baik kita suka ataupun tidak kita suka.


Tsunami akan menyerang. Taufan akan menggempur. Ombak besar akan melanda. Gelombang meninggi gunung menghempas pantai. Pulau itu akan segera tenggelam ditelan ombak dan lautan. Musnah tidak bersisa.


Bagi mereka yang bijaksana dan berwawasan akan segera meninggalkan pulau itu dengan bekalan yang wajar, sudah tentu mereka selamat dan sejahtera. Mereka tidak terpedaya dengan keindahan pulau sementara itu. Tidak ada kegundahan dan kebimbangan bagi mereka untuk menuju ke pelabuhan abadi.


Tapi bagi mereka yang bebal, rakus dan tamak haloba akan terpukau dengan keindahan pulau itu dengan aneka hidangan dan bekalan yang tidak terhitung banyaknya, dengan pelayan-pelayan yang cantik jelita dan menggoda. Lalu mereka terleka dengannya.


Lalu dalam keadaan kemabukan, mereka berkelana sesuka hati, ke- seluruh pelosok pulau itu semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu mereka yang gelojoh yang tidak pernah puas-puas.


Dan akhirnya tibalah saat yang dijanjikan itu. Tsunami melanda. Taufan menerpa. Ombak besar bergulung-gulung seperti gunung-ganang.”Dan bahtera itu pun belayar membawa mereka dalam gelombang seperti gunung-gunung”-S.Hud:42. Halalintar dan kilat sabung menyabung memercik bunga api yang panas membakar. Pulau hilang ditelan gelombang. Dan waktu itu kita tidak mampu berbuat apa-apa. Terkapai-kapai kelemasan.


Maka timbullah penyesalan bergunung-gunung melanda pantai hati. Tapi waktunya telah terlewat. Tempohnya telah habis. Tidak berguna lagi.


Timbullah ular dan naga menelan semua mereka yang rakus dan tamak haloba dengan kehidupan pulau yang indah dan permai. Berleka-leka dan berenak-enak dengannya, sehingga lupakan tempat tujuan terakhir dalam hidup yang fana ini.


Hidup Untuk Yg. Arif


Hidup ini hanya untuk orang-orang yang awas dan waspada, yang sentiasa mematuhi segala arahan dan perintah Tuannya demi mencapai pelabuahan abadi yang menjadi distinasi setiap kehidupan di maya pada ini.


Mereka yang arif sedar hidup mereka tercipta dari dua unsur yang penting- dua hakikat, iaitu roh dan jasad yang nyata. Jasad ini makhluk jenis rendah yang hidup dengan memakan bahan-bahan kasar dari bumi. Tapi tidak demikian dengan roh, bahan makanannya dari jenis tinggi yang tidak tercapai oleh indera mata yang kasar. Makanannya berupa ibadat dan zikir-zikir kepada Allah, bukan roti canai dan nasi, buka mi dan nasi himpit bersatei.


Jasad ini justeru dari jenis rendah, ia akan musnah dan hancur, tapi tidak demikian dengan roh, yang tidak akan musnah dan hancur, malah ia akan terus kekal dan abadi buat selama-lamanya.


Kekalannya dalam dua makam; terbenam dalam neraka jahnam atau berbahagia di Surga Ilahi. Derita neraka tidak dapat digambarkan, demikian juga dengan nikmat Surga, tidak dapat digambarkan. Ia berada di luar kemampuan manusia untuk menggambarkannya secara terperinci.


Jasad yang kasar inilah merupakan perahu yang akan membawa roh kita ke distinasi yang telah ditetapkan untuk kita tuju iaitu pelabuhnan akhirat untuk menerima ketentuan nasibnya berdasarkan apa yang dilakukan oleh jasad semasa berada di dunia yang fana ini yang diibaratkan sebuah pulau persinggahan untuk mencari perbekalan dalam missi perjalanan yang panjang itu.


Tapi malangnya kebanyakan insan hanya menghabiskan masa yang amat sedikit untuk berusaha menghidup dan menyuburkan roh yang tinggi makamnya, kerana kebanyakan mereka lebih menumpukan kepada usaha untuk menyenangkan jasad kita yang rendah darjahnya itu.


Telah dihisab secara kasarnya manusia amat sedikit menghabiskan masa hidupnya untuk bersama-ssama Allah jika dibandingkan dengan lain-lain aktiviti yang mereka lakukan sepanjang hayat mereka.


Mengikut perkiraan tersebut, sebagai seorang Islam, jika kita hidup sampai berusia 60 tahun jumlah ibadat solat kita hanya selama 11/2 tahun sahaja.


Sebagai seorang Muslim kita diwajibkan berpuasa, dan untuk selama 60 tahun itu jumlah puasa wajib kita hanya 4 tahun sahaja.


Justeru itu ke manakah lagi kita habiskan tahun-tahun hidup kita untuk selama 60 tahun itu?


Kita menghabiskan masa kanak-kanak kita selama 7 tahun, iaitu masa yang kita tidak dibebani dengan sebarang tanggungjawab.


Kita menghabiskan masa kita untuk belajar di sekolah rendah dan menegah selama 4 tahun.


Masa yang digunakan oleh kita untuk tidur ialah 16 tahun.


Masa yang kita pergunakan untuk memuaskan nafsu makan dan minum kita ialah 7 tahun.


Selepas makan dan minum, kita terpaksa pula mengambil masa untuk membuang segala sisa-sisanya yang tidak diperlukan jasad kita menyebabkan kita terpaksa berada dalam jamban selama 11/2 tahun.


Untuk memenuhi segala keperluan dalam hidup, kita terpaksa bekerja, dan masa yang diambil oleh kita untuk bekerja sepanjang 60 tahun itu ialah 7 tahun, itupun setelah ditolak dengan masa kita ponteng kerja dan mengalamun semasa kita bekerja.


Dan seterusnya masa yang kita pergunakan untuk berihat, berhobi, berhibur, mengelamun dan sebagainya ialah selama 12 tahun.


Demikianlah kebanyakan kita manusia menghabiskan usia 60 tahun kita, di mana hanya beberapa tahun sahaja yang kita pergunakan untuk kebaikan jiwa atau roh kita yang akan kekal dan abadi di alam akhirat nanti.


Mengikut cerita, ada seorang lelaki bergelar wali, berusia 60 tahun. Pada suatu hari dia menghitung dalam 60 tahun usianya itu terdapat 21,600 hari. Dia berfikir, sekiranya setiap hari dalam masa 60 tahun itu dia hanya melakukan satu dosa sahaja, bererti dia telah melakukan sebanyak 21,600 dosa. Bagaimana dia dapat melarikan diri daripada timbunan dosa-dosa yang begitu banyak? Dia merasa ketakutan, lalu memekek, dan terus jatuh terseungkur langsung mati.


Tepatlah dengan kata Allah bahwa dunia ini hanya tempat bermain-main dan berhibur semata-mata.


Justeru itu sudahlah kita menghisab diri kita? Sudahkah kita memperhitungkan diri kita?


Segeralah kita berubah kalau perlu. Jangan kita menunggu masa, kerana masa tidak menunggu kita. Kita hidup di dunia yang fana dan kita akan kembali ke dunia yang abadi. Pastikan yang mana menjadi pilihan kita untuk lebih memperhambakan diri kita dari yang lain? Mencari dunia, jangan lupa mengejar akhirat. Itulah kesudahan kita semua.


Sesungguhnya sesiapa yang mengejar akhirat, nescaya dunia akan mengejarnya dan sesiapa yang memburu dunia, maka akhirat akan meninggalkannya.


Alangkah indahnya ibarat Buya HAMKA bila beliau bermadah, "Belayarlah kita dengan bahtera jisim ini melayari segala kehidupan, kadang-kadang kelihatan pulau yang kecil, laksana diserakkan di hadapan mata kita, kadang-kadang timbullah harapan kerana melihat tanah daratan, dan kadang-kadang tenanglah angin, dan kadang-kadang timbullah gelora. Berhari bermalam tak tentu arah. Tiba-tiba menyingsing fajar, dan teduhlah angin. Dan matahari pun terbit dari sebalik gunung yang hijau, tempat kita akan membongkar sauh. Terloncatlah dari mulut, "Allah".


Kalau kita sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal, dan pintu masih terbuka, selagi nyawa tidak sampai ke halkum.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP