Dilema Pembeli Buku Hari Ini

>> Thursday, March 31, 2011


DILEMA PEMBELI BUKU HARI INI

Menerusi ruangan ini saya ingin melahirkan pengalaman saya dalam membeli buku di negara kita sejak akhir-akhir ini untuk dikongsikan bersama dengan pembaca sekalian.


Dua tiga hari yang lepas saya membeli sebuah buku karya Buya HAMKA berjodol “Pelajaran Agama Islam” terbitan yang terbaru oleh sebuah penerbit di Kuala Lumpur. Saya merancang untuk membaca dan mengumpulkan semua karya-karya Buya HAMKA seorang tokoh penulisan dan ulama terkenal di seluruh nunsantara itu. Pada masa dahulu sebahagian daripada buku-buku karya beliau saya baca dengan meminjamnya daripada perpustakaan-perpustakaan.


Bila sampai ke rumah, saya membelek-belek buku itu, sambil memerhati tajuk-tajuk di dalamnya, dan setelah diteliti saya merasa terkejut juga kerana sebahagian daripada kandungan buku itu sudah terdapat dalam sebuah buku lain karya Buya HAMKA juga berjodol ”Falsafah Ketuhanan” diterbitkan oleh penerbit yang sama. Buku pertama itu kira-kira tiga kali ganda lebih tebal dari buku yang kedua.


Alangkah indahnya kalau pehak penerbit memaklumkan tentang sebahagian daripada kandungan buku “Pelajaran Agama Islam” itu telah terdapat dalam buku “Falsafah Ketuhanan” dan sebaliknya juga untuk memberi kepuasaan hati kepada pembeli atau pembacanya.


Sebelum dari itu saya membeli sebuah buku berjodol “Sirah Bulan-bulan Hijrah” karya Dr Engku Ahmad Zaki yang diterbitkan oleh penerbit yang lain yang juga merupakan penerbit yang terkenal.


Saya merasa terharu dengan susunan muka-muka surat buku tersebut yang sebahagian daripadanya berulang-ulang, di mana ia mengandungi muka-muka surat yang sama, contohnya bab mengenai “Bulan Ramadan” terdapat dua kali, demikianlah yang lain. Menyebabkan kandungan buku itu menjadi cacat.


Lebih terharu bila saya bawa ke toko buku di mana saya membeli buku itu untuk menukarnya dengan yang baru, tapi mereka tidak menerimanya, dengan alasan buku itu telah lebih dari seminggu saya membelinya, dan sebahagian daripada buku itu telah saya tanda dengan dakwat perwarna untuk memudahkan saya mengulangi membacanya.


Resit pun saya dah buang, kerana telah lebih dari sebulan saya membelinya dan baru sekarang saya membacanya untuk membuat rujukan.


Pada penghujung tahun lepas saya membeli tafsir al-Quran yang berukuran kecil untuk menyenangkan saya membawanya ke sana ke mari. Buku tafsir itu dijadikan beberapa jilid untuk lebih menyenangkan penggunanya membawa ke sana ke mari mana-mana juzuk yang diperlukannya.


Tapi bila saya menggunanya sampai jilid kedua tafsir itu baru-baru ini, keadaannya seperti juga di atas, ada muka surat yang berulang-ulang, yang menyebabkan kandungan buku itu menjadi rosak. Ini menyebabkan saya tawar hati untuk menggunakan buku tersebut seterusnya. Sebagai gantinya saya sedang mencari tafsir yang lain.


Tafsir itu saya beli di salah sebuah toko buku di Wisma YAKIN Kuala Lumpur, dan saya tinggal di Kota Bharu, tentulah menjadi masalah pula keapda saya untuk pergi menukarkan buku itu jika dibenarkan.


Saya juga pernah membeli kitab suci al-Quran dalam bentuk kecil yang dibuat dalam jilid 30 juzuk di sebuah toko buku berhampiran dengan Wisma YAKIN. Tapi bila sampai ke rumah di KB saya dapati salah satu dari sejuzuk al-Quran itu diberikan kepada saya sebanyak dua naskah, menyebabkan al-Quran itu yang diberikan kepada saya tidak lagi cukup 30 juzuk.


Saya tinggal di KB dan toko buku di KL, bagimana saya hendak menyelesaikannya. Justeru saya terpaksa membelinya yang baru, setelah mempastikan mana-mana juzuknya yang diberikan kepada saya sempurna dan tidak lebih dan tidak kurang.


Pada penghujung tahun lepas saya juga pernah membeli sebuah buku agama yang jodolnya menarik saya untuk membeli dan membacanya. Tapi oleh sebab buku itu dibalut dengan plastik yang tidak dapat dibuka sebagaimana dilakukan terhadap sebahagian daripada buku-buku dan majalah-majalah yang terdapat di pasaran hari ini, maka tidaklah dapat saya membuat tinjauan sekilas tentang kandungannya.


Tapi bila saya sampai ke rumah, dan bila pembalutnya dibuka dan melihat tajuk-tajuknya saya dapati buku itu bukan buku baru, tapi sebuah buku lama yang diberi tajuk baru dan oleh penulis yang sama.


Saya juga pernah membeli sebuah majalah agama, di mana di dalamnya terdapat kesilapan terjemahan ayat al-Qurannya bila saya bandingkan dengan beberapa terjemahan-terjemahan al-Quran yang lain, kesilapan itu terlalu jauh. Saya beberapa kali cuba menghubungi penerbit dan pehak redaksinya menerusi internet sebagaimana dinyatakan dalam majalah itu, tapi tidak pernah dapat kerana alamat yang dinyatakan di majalah tersebut kepunyaan orang lain yang tidak ada sangkut paut dengan penerbitan majalah tersebut.


Demikianlah nasib pembeli buku dan majalah sejak kebelakangan ini. Mengikut pengalaman saya pada masa-masa yang lalu perkara seperti itu tidak pernah berlaku, dan ini tidak termasuk lagi kemugkinan terdapatnya faktor-faktor kesalahan yang menonjol sedangkan penerbitnya merupakan penerbit besar.


Saya harap perkara seperti ini tidak akan terus berlanjutan merosakkan imej dunia penerbitan kita yang diharap akan terus berkembang maju dari masa ke masa.


Walau bagaimana pun saya ucapkan syahbas kepada pengarang-pengarang dan penerbit-penerbit kita yang berusaha keras untuk meningkatkan bahan-bahan bacaan dalam berbagai-bagai bidang dalam dunia penulisan kita.


Harap maaf jua. Sekian.


xxxxxx


Bisik Pondok Rahmat


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP