Menarik Emas
>> Tuesday, March 22, 2011
MENARIK EMAS
Baru-baru ini Harian Metro menyiarkan sebuah cerita mengenai kegiatan seorang wanita mengkrut pemuda-pemuda tempatan dalam usia 20an tahun untuk menjadi ejen menarik emas. Wanita Indonesia itu dikenali dengan panggilan Kak Emi atau Ibu oleh para pengikutnya.
Wanita tersebut telah menjalankan operasinya sejak 4 tahun yang lalu di sekitar Lembah Kelang, dan sehingga ini [Januari 2011] telah berjaya mengumpul sermai kira-kira 20 orang pemuda menjadi ejennya. Setiap malam mereka dikehendaki tidur di rumah wanita itu secara berramai-ramai bersama-sama dengan wanita itu.
Setiap orang yang hendak menyertai kumpulan itu dikehendaki menjelaskan bayaran sebanyak RM1,350.00 sebagai perbelanjaan untuk membeli barang-barang pemujaan, seperti sebotol minyak candu hitam, dua botol air mawar dan sebagainya. Di samping itu seks juga terlibat di kalangan mereka, iaitu antara pengikut dan ibu.
Dan kesimpulannya tidak ada emas yang ditarik, dan yang kena tarik ialah anak-anak muda yang tepikat dengan ibu yang melarang mereka berjumpa dengan keluarga mereka sendiri.
Berhubung dengan kisah menarik emas, saya ingin kemukakan dua cerita antara beberapa cerita penarikan harta dari alam ghaib itu untuk dikongsi dan untuk menjadi renungan pembaca, semoga memberi manfaat jua.
Kisah pertama
Kisah pertama ialah tentang seorang kawasan saya yang merupakan salah seorang pemburu emas di alam ghaib. Masa itu dia masih muda, dan merupakan salah seorang daripada satu kumpulan pemburu emas itu.
Katanya pada suatu hari beliau dan beberapa orang kawannya mengikuti suatu expedisi mencari emas di sebuah hutan di negeri Pahang yang diketuai oleh seorang bomoh yang terkenal dalam perkara tersebut.
Setelah meredah hutan kira-kira dua jam mereka pun sampai di satu kawasan agak lapang yang terletak di antara dua buah bukit. Mengikut bomoh tersebut di kawasan ini banyak menyimpan emas yang tersembunyi di alam ghaib.
Sebelum upacara dimulakan, bomoh memperingatkan mereka beberapa pantang yang mesti dipatuhi ketika upacara sedang berjalan, dan kalau pantang itu dilanggar, usaha mereka tidak akan berhasil. Antaranya tidak boleh siapa pun berkata-kata sebelum upacara selesai.
Upacara dimulai dengan sembahayang hajat. Kemudian mereka duduk dalam satu bulatan sambil berzikir dengan sepenuh perhatian sehingga diberi isyarat oleh bomoh supaya berhenti barulah boleh berhenti.
Tidak ada apa-apa yang kedengaran dalam hutan itu. Sepi sekeliling. Hanya sekali sekala bunyi binatang hutan memecah kesunyian. Bunyi zikir mereka walaupun tidak begitu kuat, tapi bergema dalam hutan yang sepi itu.
Setelah beberapa lama bellalu, belum ada tanda-tanda lagi kemunculan emas itu, sedangkan ada anggota kumpulan itu mulai merasa tidak tahan dan tidak sabar, kecuali bomoh itu sahaja terus tenggelam dalam zikirnya.
Tiba-tiba salah seorang daripada mereka dengan tidak sabar-sabar memecahkan kesepian bertanya, “Tak apa-apa lagikah?”.
Mendengar kata-kata itu tok bomoh pun membuka matanya, sambil mengeleng-ngelengkan kepala berkata, “Ah, semuanya dah punah. Saya dah pesan tadi, jangan kata apa-apa sebelum mendapat isyarat dari saya”.
Mereka semua memandang rakan yang bercakap tadi dengan hampa dan kecewa.
“Tadi emas itu dah nak keluar, tapi bila mendengar cakap awak tadi, dia terkejut dan terus lenyap”.
“Habis apa yang harus kita buat sekarang?” Tanya kawan saya itu kepada bomoh.
“Tak ada apa lagi yang boleh kita buat sekarang. Tak guna lagi, Pantang larang dah dilanggar. Mari kita balik sajalah”, Jawab bomoh.
Mereka semua pun balik dengan hati yang sebal dan kecewa. Harapan untuk mendapat harta karun telah musnah.
Kisah Kedua
Cerita yang kedua tentang seorang guru yang terlibat mencri harta karun. Tujuannya memang baik untuk membuat kebajikan, antaranya ialah untuk memajukan sekolah agama yang telah diusahakannya.
Selain daripada meminta bantuan ke sana ke mari dia juga berusaha untuk menarik harta karun. Berbagai-bagai usaha telah dilakukannya, tapi tidak penah berjaya, emas tidak tertarik juga.
Pada suatu hari dia telah pergi menemui seorang tok guru yang mengikut ceritanya terkenal sebagai penarik harta karun.
Setelah dia memberitahu hasratnya itu, maka bekatalah tok guru itu, “Pada masa muda-muda dahulu saya juga berusaha untuk menarik harta karun. Merata-rata tempat telah saya pergi untuk tujuan tersebut”.
Beliau menceritakan tidak jauh dari rumahnya ada sebuah bukit, dan di kawasan kaki bukit banyak tersembunyi emas. Ramai orang cuba menariknya tapi tak berjaya.
“Saya juga pernah berusaha untuk menariknya. Pada suatu malam, saya dan beberapa orang kawan pergi ke kawasan itu dan melakukan upacara menarik emas tersebut dengan berzikir”.
Sudah beberapa lama berzikir, katanya, tidak jauh di hadapannya tiba-tiba tanah terbelah, dan dari celahnya timbul setungkul emas sebesar sebuah kereta, dengan cahaya yang berkilau-kilauanan menerangi kawasan sekitarnya.
“Saya merasa amat gembir melihat tongkolan emas itu. Kawan-kawan juga saya lihat masing-masing tersenyum”. Ceritanya lagi.
Mereka pun serentak bangun untuk menuju ke arah emas itu. Beberapa langkah sahaja mereka berjalan, tiba-tiba emas itu dalam sekelip mata sahaja ditelan bumi semula. Tidak apa lagi yang tinggal. Habuk pun tak ada.
“Sejak itu saya tidak pernah lagi pergi mencari emas”. Katanya, “Tak guna”.
Kemudian dia menyambung lagi, “Kalau nak ikut masihat saya”. Katanya pada tamu yang berkunjung ke rumahnya itu. “Cara yang paling mudah nak cari duit sekarang ialah, pergi ke pejabat agama, ambil resit, minta kebenaran mencari derma dari orang ramai. Itu lebih baik dan mudah”.
Demikian beliau menutup bicaranya. Dengan itu pemuda itu pun berdar dari situ dengan hati yang mendongkol, kerana lain yang diminta, lain yang diperolehi. Nak minta rahsia mencari harta karung, tapi yang dapat nasihat untuk mendapat derma dari orang ramai.
Fikir,fikir,fikirkanlah.
Sekian
xxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment