Bercukurlah Alifah Zaini
>> Saturday, February 19, 2011
Bercukurlah Alifah Zaini
“Shalaatullah Salamullaah
Alaa Thaha Rasuulillaah
Shalaatullaah Salaamullaah
‘Ala Yaasin Habi Billaah.”
Maksudnya:
“Shalawat dan Salam dilimpahkan Tuhan
Atas Nabi Muhammad Pesuruh Allah
Shalawat dan salam dilimpahkan Tuhan
Atas Nabi Muhammad Kekasih Allah”.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
“Atok, Alifah botak”, kata cucu saya Nik Syafiya Zaini yang berusia kira-kira tiga tahun.
“Ya?” kata saya,”siapa yang buat dia botak?”.
“Papa”, katanya.
Cucu saya itu menceritakan tentang cucu saya yang baru berusia beberapa hari dicukur kepalanya oleh papanya, iaitu menantu saya, Safiyi Fa. Cucu saya yang baru itu namanya Alifah Zaini anak kepada anak saya Syaibani Zaini dan Amalina.
Bayi Alifah tanggal pusatnya ketika genap berusia tujuh hari, iaitu pada hari Khamis, 10 Februari, 2011 ketika berada di rumah emak saudaranya di Kg. Repek Pasir Mas. Sebaik-baik sahaja tanggal pusat mereka terus mengadakan acara bercukur pada malam itu juga sempena dengan majlis khenduri arwah “Mek” Amalina yang meninggal tiga hari sebelumnya.
Oleh sebab pada malam bercukur itu, seperti biasa Alifah hanya digunting sahaja rambutnya, maka tindakan mencukur rambutnya dilakukan beberapa kemudian oleh menantu Safayi yang begitu mahir dengan kerja mencukur kepala bayi.
Semasa hayat isteri saya [Asiah Yaacob-semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] masih ada, kami telah beberapa kali mengadakan acara beruckur kepala bayi, iaitu beberapa orang cucu-cucu dan juga anak saudara kami.
Biasanya pada hari bercukur itu, selain daripada rambut bayi “dicukur”, dilakukan juga adat “belah mulut”, di mana pada hari itu bayi diberikan merasa ayer zam-zam dan buah tamar yang dilecek sebelum kepalanya dicukur.
Biasanya pusat bayi tanggal dalam masa kira-kira seminggu, atau kadang-kadang ada juga sampai sebelas hari atau lebih.
Pusat bayi yang tanggal itu biasanya disimpan baik-baik. Mengkut petua orang-orang tua , pusat bayi itu itu berguna untuk mengeratkan hubungan dengan adik-adiknya yang mungkin dilahirkan kemudian nanti.
Sebelum pusat tanggal, pusat itu juga dijaga baik-baik supaya tidak tanggal dan terjatuh ke dalam air dalam bensin mandi ketika bayi dimandikan, kerana mengikut kepercayaan orang-orang tua kejadian demikian memberi alamat yang tertentu.
Di tempat-tempat lain pula adat mencukur kepala ini dipanggil adat potong jambul.
Pada hari cukur rambut itu biasanya Allahyarhmah isteri saya akan menyediakan jamuan nasi atau roti jala dengan gulai ayam atau daging kepada para tetamu undangan. Pulut kuning atau nasi kunyit juga disediakan untuk dihidangkan pada majlis tersebut, dan juga diberikan sebungkus kepada setiap tetamu sebagai “sisa” untuk dibawa pulang ke rumah mereka.
Di majlis itu akan dibacakan salawt Nabi beramai-ramai selepas bayi dicukur dan akan ditutup dengan bacaan doa selamat.
Biasanya Imam atau ustaz akan diundang untuk menggendalikan acara tersebut. Beliaulah yang akan memulakan upacara bercukur itu, kemudian akan diikuti oleh beberapa orang lain dalam bilangan yang ganjil, tiga, lima atau tujuh orang yang hadir.
Bayi yang dipakaikan dengan pakian yang cantik dan dletak di atas tilam kecil yang cantik dan meriah akan dibawa ke hadapan imam atau ustaz yang mengendalikan majlis tersebut.
Biasanya pada hari itu kepala bayi tidak terus dicukur, tapi hanya digunting beberapa helai oleh beberapa orang yang berada di majlis tersebut yang diminta berbuat demikian, terutama mereka yang berada sebelah menyebelah imam yang mengetuai acara itu.
Selepas bercukur pada hadirin pun bangun dan bersalawat, di mana bayi itu akan ditampu oleh seseorang, biasanya ayah bayi dengan kedua belah tangannya dan dibawa meneglilingi bulatan mereka yang sedang bersalwat itu, dan biasanya ada di antara mereka menyentuh sedikit kepala bayi itu setiap kali berada di hadapannya sambil mendoakan untuk bayi.
Setelah selesai bersalawat, bayi pun dibawa masuk ke dalam rumah.
Rambut bayi yang digunting itu dimasukan ke dalam sebuah bekas, biasanya sebuah mangkuk kecil yang berisi dengan sedikit air sebagai pembasah tangan.
Pada masa dahulu, mengikut adatnya rambut itu dimasukkan ke dalam buah kelapa muda yang telah diparas bahagian atasnya dan disediakan bersama-sama dengan bahan-bahan yang perlu untuk upacara tersebut.
Alifah Zaini sebelum dicukur
Biasa juga pada hari becukur itu diadakan majlis aqiqah dengan menyembelih kambing, seekor untuk bayi perempuan dan dua ekor untuk bayi lelaki.
Saudara mara dan jiran-jiran akan dijemput makan di majlis tersebut. Untuk menghabiskan dua ekor kambing, ramai juga yang boleh dijemput.
Tapi sejak akhir-akhir ini majlis aqiqah tidak diadakan ssrentak dengan adat bercukur, ia diadakan kemudian, sebulan, setahun atau beberapa tahun kemudian, megikut kemampuan, sebelum anak itu mencapai usia baligh.
Begitulah yang dialami oleh cucuku Alifah Zaini hari itu. Bergunting dan bercukur, aqiqahnya akan menyusul kemudian.
Adat bercukur ini kalau diadakan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. dengan niat yang bersih memanglah baik untuk terus dihidupkan sepanjang masa.
Tidaklah dapat kami bayangkan bagaimanakah gembiranya isteriku kalau dia ada bersama menyambut ketibaan cucu kami ini
Semoga dipanjang umur, dan dikurniakan kebahagan dunia dan akhirat. Amin.
xxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment