BERTUDUNGLAH! Kenapa Mesti Bertudung?

>> Friday, February 25, 2011








Bertudunglah! Kenapa Mesti Bertudung?


Persoalan pakaian wanita, khususnya wanita Islam ialah persoalan yang universal, yang hidup di segenap tempat dan masa, dari sejak dahulu hingga sekarang. Dan persoalan ini tidak akan kering-kering dibicarakan di masa-masa akan datang selagi dunia berkembang.


Salah satu topik penting yang sering dibicarakan ialah mengenai pakaian yang menutup aurat wanita, dan salah satu daripadanya ialah pemakaian tudung kepala yang menjadi tajuk mahkota kaum wanita.


Baru-baru ini ketika mengemas-ngemas buku saya terbaca sebuah rencana dalam sebuah fail di rumah saya yang diterbit secara sikolstil. Berdasar kertasnya yang telah lusuh dan berubah warna saya duga usianya telah lebih dari 30 tahun. Rencana itu berjodol “Pakaian Wanita Islam”. Jutseru sebahagian besar daripada kandunganya masih relevan dengan hari ini, maka rencana tersebut saya titipkan dalam Blog ini sebagai gratis kepada pembaca sekalian.


Oleh pada pada rencana tersebut tidak terdapat nama penulisnya, maka tidaklah diketahui hasil karya siapa, yang saya percaya diedar secara percuma pada waktu itu yang telah saya lupa tarikhnya. Didoakan semoga Allah mengurniakan pahala untuk penulisnya. Amin.


Pendedahan Aurat Diharamkan


“Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 55 yang bermaksud,“Apakala kamu memohon sesuatu dari isteri-isteri Rasulullah hendaklah kamu pohon dari sebalik hijab [tabir]”.


Allah berfirman di dalam al-Quran, pada ayat 59, Surah alAhzab yang bermaksud, “Wahai Nabi, suruh isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu, serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuhnya [semasa mereka keluar]:Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal [ sebagai perempuan yang baik-baik] maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan [ingatlah ] Allah adalah amat pengampun lagi amat mengasihani”.


Pengharaman ini bukan bermakna menyempit dan membelenggu wanita Islam dari bergerak bebas di dalam batas-batas yang dibenarkan kepadanya, dan juga tidak bermakna Allah tidak menghargai kejujuran wanita, tapi adalah kerana sifat kemuliaan Allah S.W.T. dan kasih sayangNya kepada kaum wanita itu sendiri supaya tidak dicerobohi oleh anasir yang tidak bertanggungjawab.


Apakah Aurat Menurut Islam?


Allah S.W.T. berfirman dalam Surah An-Nur, ayat 30 dan 31, menjelaskan,”Katakanlah [wahai Muhammad] kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka [daripada memandang yang haram], dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka [daripada memandang yang haram], dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua atau tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.


Pendedahan Aurat Di Malaysia.


Di mana-mana sahaja di Malaysia hari ini kita dapat lihat wanita-wanita Islam kita dengan tidak silu dan malu telah mendedahkan aurat mereka di khalayk ramai. Dengan pakaian-pakaian terbelah di sana sini, dengan fesyen rambut yang berbagai bentuk dengan aneka jenis alat perhiasan di badan, ini menunjukkan seolah-olah larangan Islam tidak dipedulikan langsung.


Pendedahan aurat di kalangan wanita Islam hari ini adalah disebabkan oleh tiga faktur besar yang melingkungi mereka. Faktur-fakur itu ialah kelemahan ibu bapa, tekanan peraturan-peraturan dan pengaruh sekitar.


A]Kelemahan Ibu Bapa


Ini bermakna kurang perhatian ibu bapa dan kurang mengambil berat di kalangan ibu bapa terhadap anak-anaknya. Ini mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan ibu bapa tersebut mengenai aurat dalam Islam, atau kerana cuai dan tidak tegas di kalangan sesetengah ibu bapa yang berpengetahuan agama. Kadang-kadang tokoh-tokoh agama juga tenggelam dalam arus ini.


B]Tekanan Peraturan


Atas alasan untuk menseragamkan pakaian-pakaian pekerja-pekerja di sebuah intitusi atau jabatan, jururawat-jururaat wanita, anggota-anggota pasukan keselamatan dan tentera dan pekerja-pekerja wanita di beberapa badan swasta yang tertentu, kerana tak tahu haram atau tidak haram, terpaksalah mereka melanggar dan tidak mematuhi perintah-perintah Allah dan Rasulnya.

[Di samping itu artis-artis wanita yang bertudung juga mendapat tekanan hebat daripada pengusaha-pengusaha drama atau filem yang menghendaki mereka membuka tudung untuk diselraskan dengan watak-watak dalam cerita mereka. Justeru itu ada di antara mereka yang terpaksa mengikut kehendak pengusaha filem tersebut untuk memperolehi pendapatan, tapi sebaliknya ada pula yang berani bertegas dan rela tidak berlakon atau muncul di kaca tv dengan menelanjangkan kepala yang telah mereka tutup dalam kehidupan sehari-hari.


Pelakon Catriona pernah meluahkan rasa terkilan hatinya kepada wartawan Hartati Hassan Basri terhadap pengusaha-pengusaha drama yang menawar beliau berlakon tapi dengan kepala yang telanjang tidak tertutup. Justeru itu katanya beliau menolak tawaran tersebut.


Katanya, “Saya tegaskan kepada mereka, saya bertudung bukan kerana fesyen tetapi inilah penampilan saya kini selepas diberi hidayah untuk berhijrah ke arah lebih baik. Tapi saya kerana ada pihak yang memperlekehkan penampilan ini dengan meminta saya membuka tudung”


“Bagi saya rezeki daripada Allah dan tidak pernah rasa dengan bertudung saya tidak boleh meneruskan kerjaya lakonan”. Tegasnya.


Kita harap beliau dan juga rakan-rakan artis yang bertudung akan terus dengan sikapnya yang tegas itu untuk bertudung buat selama-lamanya, kerana itu merupakan satu kewajipan wanita-wanita Islam yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.


Selain dari Catrion, pelakon-pelakon lain yang sering kelihatan bertudung ketika di khalayak ialah Shella, dan Aida Khalida, Noor Kumalasari.-TambahanBlogger PR].


C]Pengaruh Sekitar


Pengaruh sekitar ini berasal dari “Dasar Pembebsan Wanita”. Kononnya yang sedang diperjuangkan oleh pertubuhan pembebasan wanita dunia [The Women Lib] dengan hebatnya sekarang di dunia barat. Pengaruh sekitar ini terjelma dalam beberapa upacara, ada yang berselindung di sebalik kata-kata “kebudayaan” dengan mempertunjukkan tarian yang mendedah aurat atau dari sesuatu pesta yang dikenali dengan ratu cantik, ratu sanggul, dan berbagai-bagai ratu lagi dan tidak juga peranan akhbar, majalah dan televisyen yang menyajikan gambar-gambar lucah, yang umumnya mengheret beliawanis Islam ke arah pelanggaran dan pencabulan hukum-hukum Islam.


[Dalam hal ini pemimpin-pemimpin wanita kita yang beragama Islam, di setiap peringkat hendaklah memberi contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dengan tidak sewenang-wenangnya melanggar hukum Islam yang memerintahkan kaum wanitanya menutup aurat, di mana salah satu daripadanya ialah menutup kepala dengan tudung, dan dengan itu mereka akan terselamat dari laknat Allah, Tuhan seru sekalian alam.-Tambahan Blogger Pondok Rahmat.].


Tidak bertudung ertinya menghina agama Islam



Masa Bertindak


Kita percaya bahawa penjelasan yang dipaparkan itu telah menimbulkan kesedaran di kalangan kita orang Islam baik di tingkat mana kita berada, samada sebagai suami, ibu bapa, sebagai penganjur atau pemimpin, bahawa kita adalah bertanggungjawab dalam meluaskan pencabulan ke atas perintah Allah dan RasulNya mengenai pendedahan aurat wanita-wanita ini.


Dan kesedaran ini tidak cukup tanpa usaha-usaha dan tindakan yang segera dan berkesan dapat dilaksanakan. Tindakan ini hendaklah bermula dari dalam diri sendiri, kemudian kepada anak-anak dan seterusnya kepada orang-orang di bawah kekuasan kita, berasaskan di perigkat mana kita berada.


Bagi seorang suami wajib ia menyuruh isteri dan anaknya menutup aurat. Bagi seorang ibu dia harus menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anaknya. Bagi seorang penganjur tidak harus menganjurkan peraduan-peraduan atau pertunjukan-pertunjukan yang mendorong wanita-wanita mendedahkan auratnya, dan seterusnya bagi seorang pemimpin yang berkuasa hendaklah menyesuaikan peraturan-peraturan pakaian seragamnya supaya mencerminkan ajaran Islam yang maha suci.


[Kepada para ibu bapa pula mereka hendaklah bertegas dengan anak-anak mereka dalam soal pakaian, pastikan mereka bukan sahaja bertudung, tapi bertudung dengan sempurna dan berpakaian menutup aurat. Asuhlah anak-anak dari sejak kecil lagi supaya memahamainya. Di samping itu ibu bapa hendaklah memberi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak mereka, bukannya menjadi seperti “ketam menyurh anaknya berjalan betul”. Sedangkan pendidikan menerusi contoh tauladan lebih berkesan daripada kata-kata, lebih-lebih kata-kata kosong”.Tambahan Blogger Pondok Rahmat.]


Selagi kita umat Islam tidak sanggup mengubah sikap dan pandangan kita yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam, maka selagi itu kita akan hanyut, terumbang-ambing dipukul arus “Jahiliah moden” di zaman sains dan teknologi yang sangat-sangat dibanggakan ini. Dan selama itulah kita hidup dalam kemurkaan, dan kutukan Allah di dunia dan di Akhirat seperti yang dirasai oleh Bani Israil, sebagaimana jelas dari firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 85 yang bermaksud:


“.............Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian [dari isi] kitab Taurat dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan [ingatlah] Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”


Kita menaruh kepercayaan penuh bahawa semua orang Islam, terutama mereka yang selalu mendabek dada kononnya mereka yang kuat memperjuangkan Islam, tidak akan lagi mengeluarkan pendapat-pendapat yang bercanggah dengan ajaran Islam mengenai pakaian wanita ini. Malah dengan penuh keinsafan berikhtiar supaya pendedahan aurat di kalangan wanita Islam tidak berleluasa dan akhirnya dapat dihapuskan.


Islam hanya menyuruh wanita-wanitanya menutup aurat mereka dan penutupan aurat itu boleh dibuat dengan fasyion pakaian yang termoden sekali walau pun dari kain sutera yang mahal harganya. Dalam perkara ini pakaian wanita Melayu yang tradisional lengkap dengan kain kelubung kepalanya adalah memadai.


Tulisan itu di akhiri dengan sebuah Hadis dalam tulisan Jawi dan lakaran gambar seorang wanita yang bertundung yang bermaksud,” Wahai anaku Fatimah! Ada pun perempuan-perempuaamn yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup akan rambutnya daripada dilihat oleh lelaki [yang bukan suami dan muhrim]”

[Justeru itu mana-mana wanita Islam yang masih belum bertudung, segeralah bertudung, dan bertudung hendaklah dengan sempurna menutup kepala dengan sebaik-baiknya tidak membiarkan rambut terjueh di sana, terjueh di sini, terjuntai-juntai macam lalang ditiup beliung.


Kalau sekadar bertudung hanya untuk tujuan berfesyen sahaja, tidaklah bererti, kerana bertudungnya nanti tak betul, tak cukup syarat, nanti ada bahaigan kepala itu terbuka di sana, terdedah di sini, atau rambut hanya dibungkus dengan sehelai skuf kecil sahaja sebagai syarat bertudung, dengan rambut bergerbang juga.


Janganlah ikut sesetengah wanitanya memang bertudung elok mengikut syarak, tapi pakaiannya pula tak senonah, terkoyak di sana, terdedah di sini, ketat dan sendat macam pembungkus buah nangka, memaparkan bentuk badan yang berlurah, berliku, dan membengkak serta membayangkan kulit di badan, membuka dada yang seharusnya ditutup.


Berpakaian saeperti ini adalah haram dan dilaknat oleh Allah yang mewajibkan wanita berpakaian sopan dan menutup aurat.


Sebuah Hadis meriwayatkan Rasulullah saw. telah menegur Asma’ Abu Bakar yang waktu itu berpakaian yang nipis, sabda Baginda saw., “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haid [umur baligh]. Tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini....” [sambil] Baginda Rasulullah menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda”.HR:Abu Daud.-Tambahan Blogger Pondok Rahmat.]


xxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP