Maka Lahirlah Alifah Zaini Yg.Lemah Lembut
>> Friday, February 4, 2011
Maka Lahirlah Alifah Zaini Yg.Lemah Lembut
"Raihanatun nasyummuha,wa rizquha 'alahhahi"-"Dia adalah kembang mekar kita cium. Tentang rezekinya, kita serahkanlah kepada Allah". Sabda Junjungan S.A.W. yang ditujukan kepada anak perempuan.
Hari Khamis malam Jumaat, 1 Rabiul Awal 1432 [4 Febuari 2011] malam yang barkah, menantu kami Nur Amalina Che Yusof, isteri kepada anak kami Ahmad Syaibani Zaini dimasukkan ke rumah bersalin kerana sakit perut untuk melahirkan anak.
Biasanya pada masa-masa yang lalu ketika anak kami, Noorbaiti Zaini hendak bersalin, isteriku Allahyarhamah Asiah Yaacob [ya Allah cucurilah rahmatMu ke atasnya] sentiasa berada di samping anak kami itu dari awal dia merasa sakit perut hendak bersalin hinggalah sampai melahirkan anak di bilik bersalin. Beliau sentiasa ada bersama dengan doktor menemani anak kami itu.
Sepanjang masa tersebut beliau mententeramkannya dengan memberi nasihat kepada anaknya supaya memperbanyakkan sabar, menggosok-gosoknya sambil tidak putus-putus berselawat dan berdoa kepada Allah untuk kesejahteraan dan keselamatan bayi dan juga ibunya.
Antara nasihat yang berguna kepada anaknya yang sedang sakit hendak bersalin itu ialah supaya sentiasa bertenang dan tidak meluahkan perasaan, atau mengeluarkan sebarang perkataan atau perbuatan untuk menyatakan kesakitan ataupun kebosanan. Tegasnya beliau menasihat anaknya supaya sentiasa mengunci mulut dalam saat-saat hendak bersalin itu.
Beliau boleh berada bersama dengan anak kami di bilik bersalin, kerana anak kami itu bersalin diwad bersalin swasta, dan ketiga-tiga anaknya itu bersalin di Rumah Bersalin An-Nuur yang kini terletak di Jalan Cik Gu Hamid, Kubang Kerian, jalan menuju ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian, dan Istana Mahkota.
Mengikut apa yang tertera di pintu pejabat rumah bersalin itu, nama doktornya ialah Dr.Nur Rochmah MD.UNAIR [Universitas Airlingga, Jawa]. Di sini kami merasa selesa, dengan sikap doktor yang bersemangat, ramah, simpati dan secara Islamik, di mana dari mulut beliau tidak pernah lekang daripada berzikir ketika membidani pesakit sehingga sampai bayi dilahirkan.
Kali ini menantu kami Amalina, isteri kepada Ahmad Syaibani Zaini bersalin di tempat yang sama, dan doktor yang sama juga menjadi bidannya, iaitu Dr. Nur Rochmah. Amalina dimasukkan ke rumah bersalin itu kira-kira pada pukul 3.30 petang Khamis, 3 Febuari 2011 atas nasihat doktor tersebut.
Anak kami, Noorbaiti walaupun bersedia dan berazam untuk berbuat seperti Mamanya, tapi dia tidak mempunyai penuh kemampuan sebagaimana Mamanya, kerana beliau seorang yang agak “pengerun” untuk berada di bilik bersalin bersama dengan Amalina. Namun begitu, suami Amalina, Ahmad Syaibani Zaini sentiasa berada di sisinya di sepanjang masa yang gawat itu, hingga sampai melahirkan anak.
Walau bagaimanapun beliau seorang ibu yang pengasih dan penyayang seperti Mamanya yang begitu prihatin dengan kebajikan bayi.
Dua hari sebelum itu Amalina telah menjalani pemeriksaan di situ, dan doktor mendapati anak dalam kandungannya besar dan air ketubannya telah kering yang boleh menjadi ancaman kepada bayi dalam kandungan jika bayi itu tidak lahir dalam masa yang terdekat.
Yang hairannya dua hari sebelum itu, Amalina telah menjalani pemeriksaan di rumah sakit, dan tidak pula dinyatakan air ketubannya telah kering dan bayinya lebih besar, tapi disuruhnya datang menjalani pemeriksaan semula pada 7 Febuari 2011 jika bayi masih belum lahir.
Kira-kira seminggu sebelum itu, Ahmad Syaibani Zaini telah menerima SMS daripada kawannya dan bertanya cara-cara untuk mengatasi kekeringan ketuban. Walaupun pengirim SMS itu diketahui, tapi untuk siapa pertanyaan tiu diajukan tidak pula dinyatakan.
Rupa-rupanya penerimaan SMS itu seolah-olah sebagai pemberi amaran kepadanya bahawa dia akan berdepan dengan problem yang sama, di mana isterinya juga menghadapi kekeringan air ketuban.
Keadaan menjadi bertambah membimbangkan bila bayi tidak dapat keluar kerana saluran penglahirannya tidak terbuka, kerana itu bayi masih tidak “turun”. Untuk mengatasi hal itu doktor memberi Amalina ubat, tanpa “memasukkan” air sebagai biasa bila ketuban kering.
Cara saluran peranakan itu terbuka pun amat perlahan-lahan macam tak ada kemajuan langsung. Ini amat membimbangkan kami. Kalau tidak terbuka juga Amalina terpaksa dibawa ke rumah sakit, kemungkinan terpaksa dibedah untuk mengeluarkan bayi, kerana kalau tidak dikeluarkan bayi mungkin akan mati kelemasan dalam perut ibunya.
Adalah dirasakan semacam ada tangan ghaib yang menyekat bayi itu keluar dari sarangnya yang menyebabkan saluran pengelahirannya tidak terbuka seperti biasa.
Menjelang pukul 1.00 pagi kami masih menunggu-nunggu dan berdoa semoga Allah permudahkan kelahiran anaknya itu, dengan kedua-duanya, iaitu ibu dan anaknya berada dalam keadaan selamat. Ada di antara kami solat hajat, dan melakukan sedikit usaha sebagai untuk mengeluarkan bayi dari kandungan ibunya.
Pihak doktor pula masih boleh bersabar kerana merasa nyawa bayi masih belum terancam, kerana itu kami pun sama-sama menunggu-nunggu saat yang penting itu, kelahiran seorang bayi baru dalam keluarga kami.
Begitu lama kami menunggu, dan kebimbangan kami kian meninggi dan mencetuskan keraguan, tapi setelah menjalankan pemeriksaan terakhir doktor memberitahu bayi akan dilahirkan. Alhamdulillah maka pada pukul 2.07 minit pagi, 1 Rabiul awal 1432 [4 Febuari 2011], Amalina pun selamat melahirkan serang bayi perempuan yang comel, anak sulung kepada pasangan yang berkahwin pada tahun 2009 ini.
Allahu Akbar! Itulah dia Alifah- Alifah Zaini binti Ahmad Syaibani Zaini, menambahkan bilangan dalam keluarga kami. Semoga Allah menjadikan dia seorang anak yang solehah dan bertakwa dalam kelembutannya sebagai seorang Muslimah yang beriman nanti.
Kalau isteriku masih ada tentu beliau merasa amat bertuah dan bersyukur menerima cucu terbarunya yang ke sepuluh ini. Dan tentulah beliau yang akan menjaganya sementara papa dan mamanya menghabiskan pengajian mereka di menara gading. Tapi Allah lebih menyayanginya dan menjemput beliu terlebih dahulu ke pangkuanNya. Amin.
Alahu Akbar
Asyhadu alla ilaha il-llah
Asyhadu anna Muhammadaar Rasulullah
Haiya alal solah
Haiya ala falah
Allahu Akbar
Lailaha illah.
Alhamdulillah.
Xxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
1 comments:
boleh saya dapatkan no telefon rumah bersalin annur tu..terimakasih.
Post a Comment