Ketawa Membawa Bencana Rohani & Jasmani-dikemaskini pada 26 Februari 2011

>> Wednesday, February 23, 2011


KETAWA menempah bencana rohani & jasmani?


Tanya diri sendiri apakah kita ini jika dibandingkan dengan jagat raya yang begitu besar, tidak diketahui di mana mula dan di mana hujungnya?


Keadaan kita seperti sebutir zahrah yang amat seni yang tidak bererti apa-apa berada di alam semesta. Sebiji zahrah yang berterbangan di sapu angin hingga melayang-layang di segenap ceruk dan rantau, ke hulu ke hilir, ke darat ke laut, ke langit ke bumi, ke lurah dan le jurang, ke sungai dan ke tasik...malah ke mana-mana sahaja.


Kadang-kadang sebahagian daripada zahrah-zaharah itu jatuh ke puncak gunung rahmat, dan sebaliknya ada pula terdampar dalam selut dan lumpur kekotoran yang busuk dan hanyir, dan terus terbenam di situ tanpa terangkat-angkat lagi hingga terlempar di kaki Maha Pencipta dengan keadaan berbalut lumpur kotor yang mengeluarkan bau yang amat busuk.


Dalam keadaan yang kotor berlendir itulah zahrah-zahrah itu akan diletak di atas neraca keadilan yang Maha Adil untuk penentukan nasibnya, ke lubang neraka atau ke tasik syurga yang keadaannya kekal dan abadi buat selama-lamanya?


Hitung-hitungkanlah diri kita sebelum kita dihitung. Timbang-timbangkanlah diri kita, sebelum kita ditimbang. Hisab-hisablah diri kita sebelum kita dihisab.


Biasanya kita memiliki seuntai tasbih untuk membilang zikir dan tahmid yang kita lakukan ke hidarat Allah setiap hari. Dan kita merasa gembira dengannya. Tapi rasanya kita tidak cukup dengan hanya memiliki seuntai tasbih. Kita perlu memiliki seuntai tasbih lagi untuk menghitung-hitung segala kemunkaran-kemunkaran kita terhadap Allah, khususnya berupa perbuatan-perbuatan kita yang tidak comel yang telah kita lakukan setiap hari?


Kalau setiap hari kita hanya melakukan sebuah kemunkaran, dalam setahun kita telah melakukan lebih daripada 363 dosa, bagaimana kalau 10 tahun? Jawabnya 3,630 dosa, dan berapa banyak pula dalam masa 30 tahun, atau dalam usia kita 70 tahun ? Itu baru satu dosa untuk satu hari. Tapi kalau yang kita lakukan itu 10 atau 15 dosa sehari berapa banyak?


Kita mesti sudah tahu apakah perkara-perakara berdosa yang dilarang kita melakukannya? Sebaliknya kita juga sudah tahu perbuatan-perbuatan baik yang boleh mendatangkan pahala, iaitu menunaikan kewajipan-kewajipan yang diperintahkan oleh Allah kepada kita.


Di samping itu ada pula perkara-perkara yang perlu kita jauhi untuk mengelak hati kita daripada gelap berkarat dan tidak dapat mengenali Allah lalu melakukan apa sahaja yang kita sukai, tanpa teringatkan Allah.


Di antara perkara yang merugikan itu ialah KETAWA, iaitu ketawa yang melampaui batas.


Kenapa Ketawa?


Kenapa ketawa? Seseorang ketawa kerana dirangsangkan oleh sesuatu yang datang dari luar dirinya atau sesuatu yang datang dari dalam dirinya sendiri. Kerana itu ketawa itu mencerminkan keadaan hati seseorang, dan keadaan hati itu pula menjadi cermin kepada jiwa seseorang. Bagaimana hatinya, begitulah jiwanya.


Bila seseorang itu ketawa, maka berlakulah perubahan pada fizikalnya yang melibatkan beberapa anggota, seperti muka, jantung dan dada yang meletakkannya dalam tegang dan kendur yang terlibat dalam proses ketawa itu.


Seseorang itu ketawa bila hatinya diselimuti oleh kesenangan, kegembiraan atau kepuasaan kerana kehendak-kehendak peribadinya telah tercapai atau dipenuhi yang menjadi pendorong kepadanya untuk ketawa.


Namun ada juga ketawa seetengah orang yang dapat dijadikan cermin hati atau keadaan jiwanya yang sebenar. Mereka hanya pura-pura ketawa untuk menyembunyikan keadaan hati dan jiwanya yang sebenar. Mereka mendustai diri sendiri untuk menipu orang sekitarnya, kerana waktu mereka sepatutnya bersedih atau menangis tapi sebaliknya mereka ketawa-ketawa terbahak-bahak. Ada perbezaan yang jauh antara ketawa sengoti [sungguh hati] dengan ketawa yang dibuat-buat. Ada seseorang telah terjatuh, lututnya tecedera, menyebabkan dia tak boleh berjalan kesakitan, dan dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba dia ketawa terbahak-bahak, adakah anda fikir ketawanya itu jujur dan dapat menjadi cermin jiwanya?


Kajian


Satu kajian telah dibuat mengenai ketawa dan kesan-kesannya kepada kesihatan seseorang. Yang membuat kajian itu ialah Dr.William A.Fry Jr. Pada masa itu beliau adalah seorang penyiasat sains di Stanford Universiti, California.


Hasil kajian itu beliau telah membuat kesimpulan awal bahawa ketawa boleh menganggu kesihatan seseorang, terutama kepada orang-orang yang mungkin terdedah kepada penyakit-penyakit jantung dan penyakit-penyakit pernafasan.


Ini memanglah wajar kerana ketika seseorang itu ketawa beberapa anggota penting turut terlibat, antaranya jantung dan pembuluh darah, kerana itu ketawa mempunyai kesan terhadap anggota jasmani seseorang. Justeru itu kepada kanak-kanak ketawa itu amat penting sebagai satu cara untuk membina kesihatan jasmani dan ruhani mereka.


Beliau membuat kesimpulan awal itu setelah selesai melakukan penyiasatan terhadap 100 orang sukarelawaan yang telah diperdengarkan dengan rakaman lawak jenaka yang menggelikan hati.


Dalam penyiasatan itu, Dr.William telah mengguna sejenis jentera yang disambungkan kepada sukarelewaan-sukarelewaan itu dengan seurat wayar utuk mengetahui riaksi mereka bila mendengar rakaman lawak jenaka itu.


Walau bagaimana pun menurut beliau kajian-kajian yang lebih lanjut perlu dilakukan untuk mendapat jawapan yang lebih konkrit terhadap ketawa dan hubungannya dengan jasmani dan juga jiwa manusia.


Ada seorang sahaba-t saya menyatakan sudah lama dia tidak boleh ketawa kuat terbahak-bahak, kerana katanya bila dia ketawa seperti itu air matanya akan keluar mencurah-curah dengan banyak dan kerongkongnya akan terasa sakit, dan keadaann ini akan hilang bila dia berhenti ketawa.


Ramai yang Suka Ketawa


Tapi hari ini sebahagian besar daripada manusia suka ketawa.-bukan sekadar ketawa sahaja, tapi ketawa terbahak-bahak. Andainya tidak ada benda yang secara spontan boleh membuat mereka ketawa, maka mereka mencari sesuatu yang boleh membuat mereka ketawa. Itulah antara sebabnya kenapa ramai manusia mencari hiburan untuk membuat mereka riang ria dan ketawa gembira.


Kesukaan kepada hiburan ini telah diambil kesempatan oleh kaum pemodal atau orang-orang yang berkepentingan dengan mengexploitasikan bidang tersebut sebagai satu peluang untuk meraih keuntungan yang lumayan baik berbentuk kebendaan ataupun bukan.


Dalam siaran radio dan tv banyak disediakan ruangan hiburan untuk orang bergelak ketawa.


Dalam siaran tv kita hari ini ada satu rancangan yang populer di kalangan masyarakat, iaitu rancangan yang dikenali dengan nama “Raja Lawak”. Rancangan yang berjalan sekarang adalah merupakan rangkaian daripada program yang lalu dalam usaha untuk mencari tokoh-tokoh lawak yang berbakat untuk diketengahkan. Sudah tentu peminat-peminat rancangan ini terdiri daripada pencari-pencari sesuatu untuk membuat mereka ketawa sebagai salah satu alat hiburan yang populer hari ini.


Saya sentiasa tertanya-tanya kenapa program ini dinamakan raja untuk orang yang pandai berlawak. Saya merasa amat janggalnya memanggil Raja untuk pelawak-pelawak, sedangkan program-program lain yang bertujuan yang sama, pemenangnya tidak dipanggil raja, tapi sebagai juara atau johan sahaja, seperti jura lagu, juara memasak dan sebagainya. Tapi kenapa untuk bidang kelakar ini dipanggil Raja Lawak? Alangkah tingginya penghormatan yang diberikan kepada pelawak- orang yang pandai membuat orang “tak kering gusi” dengan gelak ketawa? Kenapa tidak dipanggil “juara” sahaja atau seumpamanya?


Dilarang Banyak Ketawa


Ingatlah! Kita manusia Islam tidak sama sekali digalakkan untuk banyak ketawa di dunia yang fana ini, kerana dengan banyak ketawa itu boleh menyebabkan kita lupakan diri kita dan seterusnya lupakan Allah kerana dihanyut oleh hati yang riang gembira.


Baginda Rasuullah s.a.w.bersabda, “Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati”.


Kalau dari segi kepentingan jasmani banyak ketawa yang melampau itu boleh mengancam keselamatan, maka dari segi rohani pula ia menimpakan kesan yang jauh lebih buruk lagi, kerana banyak ketawa boleh menyebabkan lampu hati malap dan suram, dan akhirnya akan padam tanpa cahaya lagi. Bila lampu hati telah padam, necaya kehidupan ini akan kehilangan pedoman dan akan membuat manusia meraba-raba dalam kegelapan.


Dalam bergelak ketawa itu sudah tentu kita akan lupa kepada alam barzakh dan alam akhirat yang akan ditempuh oleh setiap orang yang hidup di dunia. Kita tidak dapat mempastikan bagaimana corak kehidupan kita di sana nanti setelah melalui jalan yang panjang untuk sampai ke sana- ke dunia yang kekal abadi. Dunia yang tidak dapat digambarkan bagaimanakah bentuknya yang sebenar yang harus dijadikan matalamat setiap orang dari kita yang bijaksana.


Dunia yang menjadi matlamat kita itu dunia yang kekal abadi yang tidak mempunyai kesudahan lagi, tapi dunia yang kita hidup adalah dunia sementara, dan akan tiba pada penghujungnya nanti. Justeru kesusahan yang kita tanggung di dunia ini hanya buat jangkaan waktu yang tertentu, tapi derita di akhrat nanti adalah derita yang abadi; demikian juga senang di dunia ini hanya buat sementara sahaja dan akan hilang dengan tercabutnya roh dari jasad kita, tapi kesenangan dan kebahagian di akhirat adalah kebahagian yang abadi, tanpa berkesudahan.


Inilah yang menjadi perhitungan setiap orang yang waras. Tapi melibatkan diri dalam ketawa yang melampu boleh membuatkan kita lupakan semua itu- dan yang ada hanya dunia yang sementara, yang Allah gambarkan sebagai tempat bermain-main yang sementara itu.


Kita diberi pilihan untuk memilih akhirat atau dunia? Untuk gembira di dunia, tapi bersedih di akhirat? Pilihlah kerana jalan menuju ke neraka lebih mudah daripada jalan menuju ke syurga yang penuh dengan berbgai-bagai rintangan dan halangan.


Khutbah Jumaat yang saya dengar beberapa hari yang lalu, khatibnya membicara tentang ancaman-ancaman dan bahaya-bahaya syaitan terhadap manusia, dan cara-cara untuk berlindung darinya. Di antara berbagai-bagai cara untuk menutup pintu kemasukan syaitan yang disebut ialah “jangan ketawa berlebihan”.


Saya teringat pada suatu ketika dahulu ketika hadir dalam satu majlis ceramah oleh Allahyarhman Mufti Kerajaan Kelantan, Dato’ Hj. Islamil Yusoff dengan pegawai-pegawai kerajaan di Pejabat SUK, Kota Bharu yang ada kaitannya dengan hiburan. Bila peluang bertanya dibuka, saya turut menyatakan kemusyiklan saya bagaimanakah kedudukan orang-orang yang mencari rezeki dengan membuat orang ketawa? Beliau antara lain dengan tegas menjawab, “Tidak boleh. Islam tidak membenarkannya”.


Andainya setiap satu dosa nerupakan seketul batu, berapa banyak pula dosa yang kita lakukan andainya kita berada dalam usia 60 atau 70 tahun? Dan andainya setiap dosa berupa setongkol batu dilonggokkan semuanya di hadapan kita, kalau tidak jatuh pengsan pun, kita mungkin tidak mampu lagi untuk bangkit, apa lagi untuk berjalan dengan sombong dan angkuh.


Menyedari itu semua bagaimana lagi kita mampu untuk ketawa terbahak-bahak atau berdegar-degar?


Untuk mengakhiri tulisan ini izinkan saya memetik beberapa lagi Hadis yang melarang manusia ketawa.


-“Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur”.


Namun begitu masih ramai lagi orang yang berada dalam masjid, sementara menunggu waktu solat rancak berbual-bual yang membuat mereka ketawa terbahak-bahak. Malah ketika azan masjid dikemudndangkan pun mereka masih lagi berbual-bual dan ketawa sama naik dengan muazim berazan.


-“Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah [Al-Jabbar]. Mereka yang banyak ketawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat”.


Namun begitu kita tidak dilarang untuk menunjukkan kesukaan kita kepada sesuatu yang memang mencuit hati kita. Kita tidak dilarang bergembira melihat telatah anak-anak kecil kita atau cucu-cucu kita yang melucukan. Kita tidak dilarang untuk bergembira bersama-sama dengan isteri kita yang tersayang atau dengan suami kita yang tercita. Apa yang sebenarnya dilarang ialah kita hanyut dalam arus ketawa yang berpanjangan dan berlarutan yang menyebabkan kita lupakan diri kita sedang dalam perjalanan menuju ke suatu destinasi yang tidak dapat kita jangkau dan dalam keadaan yang kekal dan abadi yang memerlukan persiapan yang mencukupi untuk sampai ke sana dengan aman dan bahagia.


Contoh ketawa yang paling baik ialah ketawa Baginda Rasulullah s.a.w. yang hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa mengeluarkan suara yang kuat.


Jangan ketawa seperti syaitan yang tergaelak-gelak dan terbahak-bahak. Ketawa begitulah yang dikatakan “kerasukan syaitan”. Dan ingatlah tempat syaitan ialah neraka jahnam yang telah dijanjikan Allah untuk mereka.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



2 comments:

Unknown May 26, 2016 at 11:34 AM  

terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat..

Unknown May 26, 2016 at 11:35 AM  

terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat..

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP