Menangislah Dia.............
>> Thursday, February 17, 2011
Menangislah Dia..........
SUDAH beberapa hari anak sulung kami, Arham Zaini mengadu sakit perut. Kami sangka sakit perut biasa sahaja akibat tersalah makan, kerana dia baru balik daripada menjalankan aktiviti berkhemah pasukan pengakap sekolahnya.
Beberapa hari sebelum itu dia dan beberapa orang kawan-kawannya pergi berkhemah untuk melengkapkan sayarat sebagai seorang pengakap yang mewajibkan mereka berkelana beberapa kilometer. Dia dan beberapa orang kawan-kawannya itu menaiki keretapi dan berkhemah di suatu kawasan pendalaman di Dabong, Ulu Kelantan waktu itu.
Selama beberapa hari tersebut mereka tinggal di ditebing sungai, dan pernah dikunjungi oleh beberapa Orang Asli yang tinggal di sekitar kawasan tersebut. Katanya Orang-orang Asli itu ramah dan mesra, mengajar mereka beberapa petua untuk masuk dan berkhemah dalam hutan, iaitu perkara-perkara yang patut dibuat dan perkara-perkara yang tidak patut dibuat semasa berada dalam hutan.
Sebaik-baik sampai ke rumah, dia memberitahu sakit perut, dan badannya terasa sedikit panas daripada biasa. Kebetulan masa itu musim cuti penggal persekolahan. Sakitnya walaupun tidak serius, tapi berpanjangan selama beberapa hari.
Kami pernah meminta bantuan seorang pengamal perbatan tradisional yang tinggal berhampiran takut-takut tersembat semasa berkehmah di hutan. Tapi setelah diperiksa katanya tak ada apa-apa, sakit biasa sahaja. Beliau memberi ubat herba untuk diminum.
Tapi setelah beberapa hari berlalu tidak juga baik-baik, sakit perutnya tidak juga berhenti, kami mulai merasa risau, lalu membawa dia ke sebuah klinik swasta di Kota Bharu.
Setelah menjalankan pemeriksaan, dan bertanya berhubung dengan penyakit anak kami beliau mengsyaki anak kami mengidap penyakit apendik.Doktor tersebut mengarahkan kami supaya segera membawa anak kami itu ke rumah sakit besar
untuk merawat appendiks. Tak boleh tunggu lama-lama, nanti membahayakan, katanya.
Beliau yang begitu prihatin dengan keadaan anak kami memberi kami sekeping surat untuk diserahkan kepada doktor di rumah sakit nanti.
Sebaik-baik sahaja keluar dari bilik doktor, isteri saya, Allahyarhmah Asiah Yaacob-[ Ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya], tidak lagi dapat menahan kesedihannya. Air matanya mulai merembas jatuh bercucuran menuruni pipinya.
Kemudian dia tersedu-sedu kerana menahan tangis. Kami menyeberangi jalan di hadapan klinik itu, dan singgah di kedai jahit sepupu beliau betul-betul terletak di sberang jalan, "Azizah Tailor".
Dengan menangis beliau menceritakan hal tersebut kepada sepupunya itu. Sementara itu untuk mendapat lebih kepastian, terlintas di fikiran saya untuk membawa anak kami ke klinik swasta yang lain pula.
Dengan menaiki teksi roda tiga, kami pergi ke Klinik Rosli yang letaknya tidak begitu jauh dari situ. Sebenarnya Klinik Rosli inilah yang selalu kami kunjungi bila keluarga kami ada masalah kesihatan. Kami tidak tahu kenapa hari itu, kami beralih klinik.
Bila giliran kami menemui doktor tiba, kami ceritakan hasil daripada pemeriksaan doktor yang kami temui tadi. Tapi setelah mejalankan pemeriksaan, kata Dr.Rosli mengikut pendapat beliau, ia bukan appendik, tapi gejala-gejala penyakit taipoid.
Pada masa itu penyakit taipoid sedang menjadi wabak di seluruh negeri Kelantan. Ramai pesakit tersebut dimasukkan ke wad kerana pengidapan penyakit tersebut.
Mendengar penjelasan tersebut hati kami menjadi lega, kerana bila disebut appendik, kami terus teringatkan pembedahan, dan ini yang menakut dan membimbangkan kami. Tapi rawatan pengidapan penyakit taipoid tidak ada pembedahan.
Kami terus membawanya ke rumah sakit besar. Dan setelah diperiksa, doktor mengesah anak saya Arham Zaini mengidap penyakit taipoid. Dia ditempatkan dalam wad.
Justeru penyakit tersebut boleh berjangkit, kami tidak dibenar menunggunya di malam hari. Namun begitu setiap malam lebih dari seminggu, saya terpaksa menuggunya di kaki lima, di luar bilik wad, berhampiran dengan katilnya. Di situlah saya tidur beralaskan tikar mengkuang dan bertemankan ubat nyamuk lingkar di hujung kaki.
Bila masa melawat pesakit habis, saya pun keluar dari wad dan menghamparkan tikar dan memasang ubat nyamuk, dan sekali sekala menjenguk menerusi tingkap wad yang sentiasa terbuka untuk menyakin anak kami itu bahawa saya berada di luar menunggunya.
Besoknya saya balik selepas solat subuh, untuk pergi berkerja, dan isteri saya pula datang menunggunya di waktu siang hingga dia dibenarkan keluar dari wad.
Semasa anak kami ditempatkan di wad itu ada satu perkara melucukan berlaku. Pada suatu petang, salah seorang rakan kami datang menzirahi anak kami. Bila melihat nama anak kami pada kad yang tergantung pada katilnya, rakan kami itu secara spontan berkata “Teruknya nama anak awak ini, Zain”. Saya tak menangkap apa maksdunya berkata demikian. Selepas beliau pergi, entah bagaimana saya terpandang nama anak saya yang tertera pada katil itu. “Masya-Allah”, kata saya mengeleng-gelengkan kepala. Di situ tertulis dengan huruf besar namanya “ARAHAN”. Nama yang sudah jauh menyeleweng, bunyi dan maknanya. Nama anak saya bukan “ARAHAN” tapi “ARHAM Zaini”.
Entah bagaimana kami, saya dan isteri saya [semoga Alah limpahi rahmat ke atasnya] tidak berminat untuk membetulkannya, dan membiarkan dalam keadaan begitu sehingga anak kami dibenarkan keluar dari wad beberapa hari kemudiannya.
Demikianlah secebis daripada memori hidup yang pernah kami jalani sebagai suami isteri yang merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan yang tidak dapat kami lupakan hingga ke hari ini.
xxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment