Rahsia Sebiji Telur?

>> Thursday, April 14, 2011


RAHSIA SEBIJI TELUR?


Anda makan apa setiap pagi?


Anda makan beberapa keping roti dengan jem, atau, atau keju dengan dua biji telur masak separuh dan secawan kopi susu atau segelas milo?


Atau anda makan sekeping roti canai bertelur, dengan kuah kari atau dhal dan segelas teh tarik?


Atau anda makan sebiji martabak telur dan segala kandungan di dalamnya, dan segelas susu lembu?


Atau anda makan sepinggan mi goring dengan telur dan secawan kopi, ataupun makan sepinggan mi goring dan sebiji telur goring masak separuh atau masak penuh dengan segelas susu?


Atau anda makan sekeping kek, yang antara ramuannya ialah telur dan minum segelas jus limau?


Ataupun anda makan sebungkus atau sepinggan nasi dagang berlaukkan ikan tongkol dan sebiji telur masak gulai. Dan minumannya pula mungkin segelas air halia yang dicampur dengan sebiji telur ayam atau beberapa biji telur puyuh?


Atau anda makan sebungkus atau sepinggan nasi lemak berlaukkan ayam goreng, ikan bilis goreng pedas dan sebiji atau separuh telur rebus?


Demikianlah telur merupakan sebahagian daripada makanan yang lumrah kepada manusia, baik di timur mahu pun di barat, di mana jarang ada orang yang tidak pernah makan telur di sepanjang hayat mereka, terutama telur ayam yang begitu mudah diperolehi, dengan rasanya yang sedap, dan mempunyai banyak kegunaan, bukan sahaja sebagai makanan, tapi juga sebagai ramuan dalam perubatan tradisonal.


Sebagai makanan, telur boleh dimasak dengan berbabagi-bagai jenis masakan, ataupun direbus begitu sahaja, atau dimasak separuh untuk sarapan pagi, ataupun dicampur dalam berbagai-bagai masakan lain seperti mi, tomyam, kek dan juga kueh-kueh tradisional.


Sebagai makanan, telur, terutama telur etik, boleh “dijeruk” atau dimasinkan, dengan merendamkannya dalam air garam ataupun membungkusnya dengan abu atau tanah yang dimasinkan untuk selama beberapa hari. Telur itu dipanggil “telur masin” atau “telur jeruk” di negeri-negeri di Pantai Timur.


[Berbicara tentang “telur jeruk” saya terkenangkan Allahyarhmah bonda saya, Allahyarhmah bonda saya, Maimunah Ismail, [semoga Alah cucuri rahmat ke atasnya, suka membuat telur jeruk, terutama menjelang bulan Ramadan], kemudian teluru-telur itu diagih-agih kepada semua anak-anaknya, katanya sebagai pelalu makan, terutama di waktu bersahur.


Demikian juga saya terkenangkan Allahyarhmah isteri saya, Asiah Yaacob [ya Allah limpahilah rhamatMu ke atasnya] yang gemar makan telur jeruk, terutama dalam bulan Ramadan. Tapi bila usianya telah meningkat beliau dapat mengendurkan kegemarannya makan telur jeruk itu. Saya selalu menegurnya bila melihat dia makan telur jeruk agak berlebihan, kerana kemasinan telur jeruk itu dibimbangi boleh menganggu kesihatannya. Dan salah seorang sahabat saya pernah mmberitahu, beliau dan isterinya menghidap penyakit darah tinggi ketika usia mereka masih muda, dan beliau mengaitkan penyakitnya itu dengan kegemaran mereka makan telur jeruk].


Untuk dijadikan obat pula, ia dicampur dengan berbagai-bagai ramuan lain, seperti herba-herba tertetu untuk dimasak sebagai makjun ataupun dijadikan minuman yang berkhasiat.


Ibarat


Oleh sebab telur itu begitu lumrahnya dengan kita, maka ada perbandingan-perbandingan yang dibuat oleh nenek moyang kita tentang kecantikan seseorang dengan mengaitkannya dengan telur, seperti dikatakan, “Wajahnya bujur telur” atau “Kulitnya licin macam telur dikupas”, dan untuk menggambarkan keadaan yang mengancam pula dikatakan, “Macam telur di hujung tanduk”.


Ada pula lagu-lagu daerah yang dikaitkan dengan telur, umpamanya


“Gelap gugup di Pulau Pinang


Tahan racit di hjung galah;


Sedap duduk di rumah tunang


Makan nasi dengan gulai telur”.


Khasiat Telur


Telur adalah salah satu makanan yang banyak mengadungi khasiat. Ia didapati kaya dengan protein dan vitamin, kerana itu ia perlu dimakan oleh orang tua dan juga orang muda, serta juga kanak-kanak yang sedang membesar.


Kekurangan zat putih telur boleh menyebabkan muka seseorang menjadi pucat akibat kekurangan darah, boleh menyebabkan penyakit kanser, terutama kanser hati, menjadi tidak cerdas, lemah tenaga dan buta ayam akibat kekurangan vitamin A yang terdapat dalam telur.


Telur dapat menambah darah, menghilangkan beberapa jenis penyakit yang tertentu, seperti batuk, penyakit paru-paru dan penyakit tenggorokan, ginjal dan penyakit saluran kencing.


Penyelidikan juga menunjukkan bahawa kuning telur dapat dijadikan ubat penyakit jantung, kerana ia berfungsi mempercepatkan pengaliran darah dalam badan kita.


Bahaya Telur


Tapi telur, khususnya kuning telur, banyak mengandungi kolestrol, iaitu sejenis bahan yang terdapat dalam darah seseorang dan mempunyai pertalian yang rapat dengan penyakit jantung, kerana orang yang mendapat serangan jantung biasanya mempunyai aras kolestrol yang tinggi. Justeru itu jika kita makan telur janganlah secara berlebih-lebihan, kerana ada kemungkinan kolestrol darah kita akan tinggi.


Justeru itu adalah wajar kepada kita untuk memperlindungi jantung kita daripada diserang penyakit, dengan mengelak daripada memakan telur secara berebih-lebihan setiap hari, terutama mereka yang telah berusia.


Sungguh pun otak juga kaya dengan kolestrol, tapi oleh sebab penggunaannya sebagai makanan terbatas, tidak seperti telur, maka bahaya kolestrol yang terdapat dalam otak itu, tidaklah begitu membimbangkan, seperti bahaya kolestrol dalam telur.


Kejadian Yang Kompliketed


Pada pengelihatan mata kasar kita, keadaan sebiji telur itu amatlah simpelnya, mengandungi kulit, putih telur dan kuning telur. Itu sahaja. Tapi sebenarnya proses kejadian sebiji telur dalam badan seekor haiwan, seperti burung umpamanya, amatlah kompliketed.


Proses pembentukan telur itu berlaku dalam organ pembiakan dan dalam proses ini kuning telur lebih dahulu terbentuk, kemudian ia mengalir keluar daripada organ pembiakan itu, lalu memasuki bahagian atas sebelah hujung saluran organ tersebut. Di situ kuning telur bercantum dengan putih telur, kemudian ia akan turun ke bahagian bawah organ pembiakan, di mana selaput dan kulit telur akan terbentuk dan membungkus sekeliling putih dan kuning telur itu untuk melengkapkannya sebagai sebiji telur. Bila sampai ke tahap ini, maka bererti telur itu telah matang, untuk ditelurkan oleh ibunya, baik seekor burung, ayam atau etik.


Adakah terlintas dalam otak anda, siapakah yang mengatur segala proses yang begitu sempurna dalam membentuk sebiji telur itu? Allah hebatnya. Ia tak mungkin terjadi dengan sendiri. Mesti ada Penciptanya yang Maha Tinggi. Itulah Allah S.W.T.


Kulit Telur


Keadaan kulit telur itu keras tapi berongga, di mana kandungan cecairan yang terdapat di dalamnya akan disejat keluar, dan udara luar pula masuk menerusinya untuk memberi bekalan oksijan yang segar kepada benih yang sedang membesar yang terdapat dalam telur tersebut. Benih inilah yang akan melahirkan turunan ataupun anak yang baru kepada haiwan itu.


Biasanya kulit telur mempunyai dua warna, putih dan perang. Banyak orang menyangka telur yang berkulit perang lebih baik daripada telur yang kulitnya berwarna putih, kerana dikatakan lebih banyak mengandungi zat daripada telur yang berwarna putih. Sebenarnya sangkaan itu tidak berasas, kerana warna kulit telur tidak menentukan kandungan zat dalam telur itu. Kandungan zat dalam telur yang kulitnya berwara putih adalah sama sahaja dengan telur yang berkulit perang, sebagaimana tidak ada bezanya, manusia yang berkulit hitam atau sawo matang dengan manusia yang berkulit putih, selain daripada sebagai penunjuk rupa bangsa seseorang semata-mata.


Telur Putih Dan Telur Kuning


Putih telur kejadiannya tidak mempunyai rasa, dan seperti jeli atau “belda” yang tidak berbau, dan kebanyakan kandunganya mengandungi air. Dalam putih telur itu terdapat semacam “urat” yang tebal yang berfungsi untuk menjaga kuning telur supaya sentiasa terletak di tengah-tenghanya dan membentengnya daripada mendapat kejutan.


Kuning telur pula keadaannya hampir bulat dan menjadi habuan makanan kepada benih yang terdapat dalam telur itu. Biji benih itu dapat dilihat dengan nyata jika telur itu masih baru dan diletak berhampiran dengan mata.


Namun begitu benih-benih kebanyakan burung amat seni, dan hanya dapat dilihat dengan kanta pembesar sahaja. Seekor anak burung yang dilahirkan buta adalah kerana tidak mendapat cukup makanan semasa dalam kandungan ibunya.


Telur Dalam Peti Sejuk


Satu petua yang patut diingat sekiranya anda menyimpan telur dalam peti sejuk, anda hendaklah mengelurkannya terlebih dahulu, sekurang-kuangnya setengah jam sebelum anda memasaknya, kalau tidak bahagian tenguh telur itu tidak akan cukup masak, kerana tidak tersentuh oleh kepanasan. Ini seperti doktor gigi tidak akan mencabut gigi seseorang yang sedang sakit, kerana ubat penahan sakit yang akan disuntiknya nanti tidak akan tersentuh tempat tersebut, kerana itu kalau dicabut juga, orang itu akan menderita kesakitan akibat giginya dicabut tanpa ubat bius.


Oleh itu untuk lebih praktikal penggunaanya, maka teur-telur yang baru itu lebih baik disimpan di tempat yang sejuk sahaja, dan digunakan dalam masa seminggu sahaja untuk mengelaknya daripada rosak.


Mana Lebih Dahulu Telur Dari Ayam


Kita sering dihujani oleh pertanyaan-pertanyaan yang berupa teka-teki, mana lebih dahulu telur daripada ayam, malah bukan setakat itu sahaja, tapi sering pula menjadi perdebatan yang mengamatkan di kalangan kanak-kanak sekolah.


Kepda pertanyaan tersebut, sains telah memberi jawapan bahawa telur lebih lama wujud di dunia daripada ayam. Menurut sains telur telah ada di dunia tidak kurang daripada beratus-ratus juta tahun lagi. Sedangkan ayam hanya baru wujud di dunia lima puluh juta tahun. Dengan itu telur boleh membangga ia jauh lebih tua dari ayam.



Risepi Tradisional


Di sini saya ingin menukil sebuah petua orang-orang tua kita, iaitu tentang risepi membuat sejenis minuman yang menyegarkan terutama kepda kaum lelaki.


Bahan-bahannya, sebiji telur ayam [kalau boleh telur ayam kampung], dipecahkan dan diambil isinya, dua ruas jari telunjuk halia yang segar, ditumbuk dan diperah, diambil airnya, tujuh biji lada sulah atau lada putih, ditumbuk halus seperti debu, dua sudu besar madu [kalau boleh madu asli], sebiji limau nipis yang besar, diperah dan diambil airnya [biji-bijinya hendaklah dibuang], dan satu sudu besar kicap masin.


Masukkan semua bahan ke dalam sebuah bekas yang tertutup rapat, kemudian digoncang dengan agak kuat hingga semua bahan mejadi sebati dan berbuih. Tapis dan minumlah segera. Amat baik diamalkan menjelang malam.


Telur Ayam Tiruan


Baru-baru ini masyarakat pengguna Malaysia menjadi gempar dengan pendedahan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang [CAP] tentang adanya telur ayam tiruan yang beredar di pasaran negara kita. Kandungan telur tiruan itu diperbuat daripada bahan-bahan kimia yang merbahaya kepada kesihatan.


Mengikut Persatuan Pengguna Pulau Pinang, ciri-ciri telur tiruan itu sebagai berikut:


-Telur tiruan itu bentuknya besar seperti telur gred A.


-Isi tidak mempunyai rasa selepas dimasak.


-Selepas telur tiruan dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur, kelihatan berbuih dan cair.


-Kuning telurnya berwarna kuning pekat.


-Kulit telur tiruan agak berkilat berbanding dengan keadaan kulit telur tulen dan keadaannya kasar.


-Telur tiruan itu jika digoncang ia akan mengeluarkan bunyi, kerana mengandungi air yang berlebihan daripada bahan pepejal.


-Jika digoreng, kuning telur tiruan akan mengembang sendiri tanpa disentuh.


Mencurut CAP telur tiruan itu diperbuat daripada bahan-bahan kimia asid benzoik, iaitu bahan pengawet yang boleh menimpakan kerosakan kepada otak, sel saraf dan penyakit hati.


Telur tiruan itu juga mengandungi kalsium klorida pada kulitnya, Almun yang digunakan sebagai bahan pelembut, dan asid amino dijadikan bahan penambah rasa, semuanya boleh memberi kesan kepada sistem saraf, penyakit hati dan saluran darah.


Tapi kerajaan mengatakan ujian yang dilakukan ke atas protein kulit, putih dan kuning telur-telur yang diambil dari pasaran itu merupakan telur yang tulen. Tidak ada telur tiruan.


Pada tahun 2007 yang lalu kerajaan juga pernah menerima laporan mengenai telur-telur tiruan, tapi bila dibuat kajian tidak ada telur tiruan di pasaran negara kita pada waktu itu.


Sehingga kini Kerajaan Malaysia tidak pernah membenar pengimportan telur-telur dari luar negara, kerana pengeluaran telur dalam negara telah mencukupi, di mana sebanyak 23 juta biji telur dihasilkan setiap hari daripada 340 ladang yang terdapat di seluruh negara. Daripada itu lebih dari 3 juta biji telur diekspot ke Singapura.


Demikian menurut Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr.Abd Aziz Jamaluddin.


Demikian juga menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ujian DNA [Deoxyribonucleic acid] ke atas telur-telur itu menunjukkan telur-telur itu tulen. Tidak ada telur tiruan di pasaran negara.


Marilah kita semua berdoa kepada Allah supaya menyelamatkan kita semua daripada segala rupa bentuk bencana.


Walahu’aklam.


xxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekaluang Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP