Mana Dompetnya?

>> Wednesday, April 27, 2011


MANA DOMPETNYA…?


Dompet ialah beg duit kecil berlipat yang digunakan untuk menyimpan wang dan disimpan di dalam poket baju atau seluar untuk di bawa ke mana-mana bila berpergian.


Biasanya di dalam dompet itu bukan sahaja diisikan dengan wang, tapi juga dokumen-dokumen lain yang penting untuk dibawa bersama seperti kad bank, mykad, lesen memandu, foto-foto kekasih dan sebagainya.


Dalam dompet isteri saya, selain dari wang, sentiasa terdapat foto suaminya, keempat-empat foto anaknya dan foto semua cucu-cucunya, dan dompet itu dibawanya ke hulu ke hilir bersama-samanya ke mana dia pergi.


Sebaliknya, siapakah di kalangan pemuda dan pemudi yang sanggup meyimpan foto bonda dan ayahanda mereka, lebih-lebih yang telah meniggal dunia dalam dompet mereka untuk mengingatkan mereka kepada kedua orang tua mereka yang berjasa itu?


Orang Kelantan memanggilnya “beg duit” atau “beg poket”, yang berbeza dengan ‘tas tangan” yang disebut “beg tangan”, khusus dibawa oleh kaum wanita.


Dompet ini dalam bahasa Inggerisnya dipanggil “wallet”, iaitu beg duit berlipat yang digunakan untuk menyimpan wang.


Dalam bahasa Melayu ada ibarat yang berbunyi, “Dompetnya kempis” atau “beg duitnya kosong” yang sama ertinya dengan kata-kata "poketnya kosong" yang bererti orang itu sudah tidak mempunyai wang lagi.


Kebanyakan orang hari ini memakai dompet, temasuk kanak-kanak sekolah, terutama sekali untuk diisikan dengan wang. Justeru itu dompet itu dijaga dan diawasi dengan sebaik-baiknya supaya tidak tercicir atau kehilangan.


Ia biasanya dimasukkan ke dalam poket baju, poket seluar dan tas tangan bagi wanita, iaitu sebagai wadah untuk mengumpul setempat bahan-bahan penting, terutama wang-wang kertas.


Kecurian Dompet


Pagi tadi seorang jemaah solat telah kehilangan dompetnya di masjid selepas solat subuh. Katanya ketika hendak membuang air besar, seperti biasa dia menyangkut jubah di luar pintu bilik tandas. Bila dia keluar tandas, dan memeriksa poket jubahnya, di dapati dompetnya sudah tidak tidak ada lagi, telah dicopet.


Berbagai-bagai peristiwa dan kejadian sedih sering berlaku melibatkan dompet-dompet ini, kerana kehilangan, kecurian dan perompakan.


Sudah beberapa tahun dia berbuat demikian, tapi tidak pernah kecurian, jubahnya tidak pernah diusik, tapi kali ini dompetnya telah lesap. Di dalamnya selain dari wang, ada kad bank, dan mykad. Semuanya dah ghaib.


Memang bila sampai masanya, semua boleh berlaku. Semua boleh terbang.


Baru-baru ini, pada suatu malam, menantu saya, S baru sampai ke rumah selepas mengambil dua anaknya yang belajar agama. Jam sudah pukul 10.00 malam lebih. Sebelum itu, dia juga singgah di sebuah mini market membeli roti. Setelah ketiga-tiga beranak itu berada dalam rumah, tiba-tiba S berkata, “Eh mana beg duit saya?”, lebih dituju kepada dirinya sendiri.


Di meraba-raba kedua-dua kocek baju Melayu yang dipakainya. Tak ada. Dia mencari pada tempat di mana dia sering meletak begnya setiap hari di atas almari buku. Tapi tak ada juga.


“Beg apa? Tanya saya bila melihat dia gelabah.”Beg duitkah? Kan dalam kereta?”.


Dia keluar mencari dalam kereta, kemudian masuk semula dengan tangan kosong.


Katanya, tadi selepas mengambil kedua anaknya dia pergi ke sebuah pasar mini yang tidak begitu jauh dari sekolah agama itu untuk membeli roti……Mungkin beg itu tertinggal di atas meja kaunter di pasar itu.


Dia segera menaiki kereta untuk pergi ke pasar mini itu. Sekejap lagi pasar itu akan ditutup, kerana jam telah pukul 10.00 malam lebih.


Dalam dompet itu selain daripada terdapat wang beberapa ratus ringgit, ada juga kad pengenalan, kad bank, kredit kad dan lain-lain dokumen yang yang bersaiz kecil. Lumayan jugalah siapa yang menjumpai dan mengambilnya.


Kebetulan waktu dia sampai di pasar mini itu, taukeh pasar itu ada di meja kaunter, sedang mengira pendapatan, kerana pasar tak lama lama akan ditutup.


Beliau memberitahu menantu saya, beliau tidak pernah melihat dompet itu. Dan tidak ada siapa pun yang menemui dompet itu menyerahkan kepadanya.


Katanya pada masa-masa yang lepas, jika ada orang yang menemui dompet di di dalam atau di hadapan pasarnya itu mereka akan menyerahkan kepadanya untuk dipulang balik kepada tuannya. Tapi malam itu belum ada lagi. Tak tahulah, katanya.


Tidak lama selepas menantu saya pergi, tiba sebuah motosikal yang ditunggani oleh seorang lelaki. Saya tak pernah melihat, tak kenal lelaki itu. Dia menanya menantu saya S ada di rumah atau tidak, dan bila saya beritahu tak ada, dia menanya pula isterinya, iaitu anak saya, bila mendengar namanya disebut, isteri S muncul di muka pintu.


Lelaki itu turun dari motosikal dan mengambil dompet yang teretak dalam raga basikalnya. Dia pun menceritakan dia telah menemui dompet duit itu di hadapan pasar mini tersebut, dan melihat nama yang terdapat pada lesen memandunya, dia pun terus mencari rumah kami. Dia menyerah kembali dompet itu kepada anak saya N. Tidak ada apa pun yang terusik di dalamnya.


Dia terus bercerita bahwa dia kerap kali menemui dompet-dompet duit dan kad pengenalan orang yang tercicir dan mengembalikan kepada tuannya.


Baru-baru ini pula katanya, dia menemui perhiasan emas yang banyak yang tercicir dari sebuah motokar bila tas tangan yang dimuat dengan barang-barang kemas itu terjatuh dari kereta itu lalu terbuka dan kandungannya bertaburan di atas jalan raya. Tas tangan itu terjatuh bila anaknya yang ada bersama di sebelahnya membuka tingkap motokar dan menghulurkan tas itu keluar tingkap.


Ketika dia sedang mengumpul barang-barang kemas itu katanya, tuan empunyanya, seorang wanita sampai mencari barang-barangnya yang terjatuh itu, dan dia terus memulangkannya.


Alangkah mulia dan jujurnya lelaki ini. Sukar untuk mencari manusia sejujur beliau, lebih-lebih lagi di zaman mutakhir ini.


Saya lalu teringat pada suatu masa dulu dompet duit saya yang saya letak di poket belakang seluar telah tercicir di suatu majlis yang diadakan di Pengkalan Chepa. Di dalamnya ada sedikit wang, lesen memandu, sehelai wang US, dan sehelai wang Brunei.


Duit-duit itu tidaklah sepenting kad pengenalan. Tapi apa nak buat semuanya telah hilang. Namun begitu nasib baiknya, kira-kira seminggu kemudian kad pengenalan saya itu telah dipulangkan melalui seorang kenalan yang kini telah saya lupa siapa dia.


Syukur Alhamduillah! Sejak itu saya tidak pernah menggunakan dompet lagi. Semua wang dan juga kertas-kertas saya masukkan ke dalam poket baju atau seluar sahaja ketika keluar dari rumah.


Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja baru saya mengguna dompet duit, bukan sahaja untuk dimuat dengan wang tapi juga dengan kad-kad perppustakaan kepunyaan saya dan isteri saya, kad pengenalan, lesen memandu, kad-kad bank dan sebagainya. Dompet itu pun bukan saya yang membelinya tapi diberikan oleh anak saya A bila menyedari saya tidak mempunyai dompet untuk diisikan dengan barang-barang saya tadi.


Saya berdoa semoga dompet itu dan isi-isinya akan sentiasa selamat saya gunakan.


Selepas solat Asar petang tadi pula, pehak masjid mengumumkan ada seorang wanita tua telah tercicir dompetnya ketika membeli. Wangnya banyak juga. Beliau meminta sesiapa yang menemui dompet itu segera mengembalikannya.


Ketika menuruni tangga masjid beberapa orang jemaah membuat komen, “Payah tu. Siapa nak hantar kalau menemui beg duit itu. Mencuri lagi rasa. Zaman sekarang”.


Saya segera teringat tentang menantu saya yang kehilangan dompet duit. Seseorang lelaki telah menemuinya, dan menghantarnya kembali ke rumah kami. Nak saya ceritakan kepada mereka, tapi tak jadi. Tidak guna juga diceritakan. Biarkanlah.


Di tengah-tengah dunia yang simpang siur ini, di tengah-tengah dunia yang banyak bernoda, di tengah-tengah dunia yang penuh dengan tipu daya ini, di celah-celahnya masih ada manusia yang jiwanya suci dan murni, yang jujur dan ikhlas.


Sesungguhnya pada zaman ini memang sukar untuk mencari manusia yang begitu jujur, begitu ikhlasnya yang bersedia menggembalikan harta orang yang ditemuinya seperti lelaki malam itu Satu dalam seribu pun mungkin payah nak ditemui.


Kami tak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang..


Allhamdulillahi Waskurillah, Allahamdulillahi Waskurillah………


xxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP