Siapa Idola Pemuda Islam??

>> Tuesday, April 5, 2011



SIAPA IDOLA Pemuda Islam?

Salah satu daripada begitu banyak amalan yang mulia dalam Islam ialah mengasihi atau mencintai cucuanda Baginda Rasulullah s.a.w. iaitu Hasan dan Husain.


Rasulullah s.a.w.besabda, “Kedua anak ini [Hasan dan Husain] adalah dua anakku dan dua anak puteriku. Ya Allah sesungguhnya aku mencintai keduanya, maka cintailah keduanya dan cintailah orang yang mencintai keduanya”. Shahih Sunan Tirmidzi.


Dan sabda Baginda Rasuulullah s.a.w. lagi, “Husain adalah dariku dan akulah darinya, Allah mencintai orang yang mencintai Husain”. Shahih Sunan Tirmidzi.


Siapakah Hasan?


Hasan cucu Rasulullah s.a.w anak kepada puterinya Fatimah dengan suaminya Ali bin Abi Thalib, keturunan Hasyim dari Quraish dan Kinanah. Sementara ibunya Fatimah binti Muhammad binAbdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim.


Pendapat yang kuat mengatakan Hasan dilahirkan pada bulan Ramaddan tahun ketiga Hijriyah.


Wajah Hasan adalah menyerupai wajah Rasulullah s.a.w. Dikatakan, “Tidak ada seorang pun yang lebih menyerupai wajah Nabi Muhammad daripada Hasan bin Ali”.


Baginda Rasulullah s.a.w bersabda lagi tentang Hasan, katanya, “Anaku ini adalah pemimpin, dan semoga Allah akan memperbaiki [hubungan] antara dua kumpulan di antara kaum muslimin melaluinya.-HR:Bukhari.


Dalam episod lain pula ketika mereka masih kanak-kanak. Pada suatu hari, sahabat Nabi s.a.w. Abu Zaar dan para sahabat sedang duduk bersama-sama dengan baginda, tiba-tiba datang cucu baginda Hasan dan Hussain naik ke atas bahu baginda. Baginda tidak menghirau telatah kedua cucunya itu dan terus bercakap-cakap dengan para sahabat.


Selepas baginda bercakap barulah baginda menyuruh kedua-dua cucunya itu turun dari bahunya dengan katanya, “Turunlah wahai cucuku!”.


Kata-kata baginda itu tidak dihiraukan oleh kedua cucunya itu. Bila mereka melihat ayah mereka Ali datang barulah mereka segera turun dari bahu baginda.


Ketika ditanya oleh baginda kenapa mereka berbuat demikian, kedua-duanya menjawab kerana mereka takut kepada ayahnya yang datang itu.


Ali segera mendekati kedua anaknya itu lalu memukul dan mengherdik mereka, “Sopan santun itu lebih baik kepada kamu berdua”.


Bila Rasulullah s.a.w. melihat tindakan Ali itu baginda pun bersabda, “Hai Ali, janganlah engkau herdik Hasan dan Hussin, dia adalah pengelipur hatiku”.


Dalam episod lain lagi, ketika masih kecil, baginda Rasulullah s.a.w.merangkul Hasan bin Ali bersama dengan seorang anak angkat yang amat disayanginya, Usamah anak Zaid bin Haritsah ke dadanya sambil berdoa, “Wahai Tuhan, sasyangilah kedua-dua anak ini, kerana hamba sayang kepada kedua-duanya”.


Hasan Dan Muawiyah


Sewaktu Muawiyah datang ke Kufah, Hasan bin Ali telah menyerahkan pucuk kepimpinan negara Islam kepada Muawiyah dan ikut serta bersama dengan orang ramai membaiatkan Muawiyah agar mahu menegakkan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah.


Sebab utama Hasan berbuat demikian ialah untuk mengelak daripada berlakunya pertumpahan darah umat Islam dengan sia-sia.


Mengenai peristiwa ini Ahmad Sholeh menegaskan, “Hadith ini menyebutkan tentang keutamaan Hasan bin Ali di mana ia telah melepaskan gelaran kepeimpinannya bukan kerana ketidak mampuan dan bukan pula kerana kehinaan, melainkan kerana ia mencintai apa yang ada di sisi Allah dan kerana ia tidak rela melihat darah kaum muslimin tumpah dengan sia-sia. Maka dengan itu ia telah memelihara kemaslahatan umat Islam dalam kehidupan sosial mereka”.


Satu lagi pula berpendapat, Sayidina Hasan tidak menyerah kuasa secara langsung kepada Muawiyah. Bila Khlaifah Osman mati dibunuh, Sayidina Ali telah dilantik menjadi khalifah oleh umat Islam, tapi tidak diterima oleh Muawiyah yang berakhir dengan peperangan saudara yang hebat di Safin. Dalam peperangan ini Muawiyah telah tewas, tapi akhirnya dia menang dalam Perundingan Tahkim.


Setelah Khalifah Ali dibunuh oleh orang-orang Khawarij, orang-orang Madinah dan Kufah melantik anaknya Sayidina Hasan sebagai ganti khalifah yang meninggal itu. Tapi beliau tidak lama memegang jajwatan, malah meletak jawatannya 6 bulan kemudian kerana tidak bersedia untuk menghadapi sitiwasi yang gawat pada waktu itu.


Mengikut ahli-ahli sejarah sekurang-kurangnya ada tiga faktor yang menjadi perhitungan Sayidina Hasan melepas jawatan khalifah itu.


-Beliau meragui kemampuannya untuk menghadapi Muawiyah yang mempunyai peribadi yang lebih kuat dan pengaruh yang luas daripada dirinya. Pada masa itu Muawiyah telah dilantik menjadi khalifah oleh penduduk Syam.


-Sayidina Ali juga merasa beliau tidak mempunyai kemampuan untuk menjadi khalifah umat Islam, sedangkan ayahndanya sendiri seorang jagoh politik dan pentadbiran tidak mempunyai kemampuan untuk mengatasi problem-problem yang muncul ketika menjadi khalifah.


-Beliau mementingkan nasib umat Islam, kerana andainya beliau terus memegang jawatan tersebut, sudah tentu akan meletus pertentangan dengan Muawiyah yang sudah tentu akan menelan korban yang bukan sedikit daripada kedua belah pihak.


Dengan itu Sayidina Hasan meletak jawatannya sebagainya khalifah dan menyerahkannya kepada Muawiyah dengan beberapa syarat, antaranya:


Muawiyah hendakalah memberi saguhati kepada adiknya Hussain sebanyak dua juta dirham setahun, tidak akan menghina dan mencela ayahanda Sayidina Ali di atas mimbar, tidak akan menuntut bela atau mengambil apa-apa tindakan terhadap penduduk Madinah, Hijaz dan Iraq berhubung dengan Perang Saffin, tidak akan mengambil tindakan terhadap pembunuhan Khalifah Osman, dan perlantikan khalifah selepas Muawiyah hendaklah dijalankan secara pemilihan yang dipersetujui oleh umat Islam.


Bila Sayidina Hasan melepaskan jawatannya, Muawiyah mengambil kesempatan merayu orang-orang Kufah memberikan taat setia kepadanya. Dan bila dia sampai di Kufah pada 25 Rabiusaani tahun 41 Hijriyah, orang-orang Kufah memberi taat setia kepadanya, termasuklah Sayiddina Hasan dan Hussin.


Tahun tersebut, iaitu tahun penyerahan kuasa Sayidina Hasan kepada Muawiyah itu dikenali dengan nama Tahun Penyatuan [‘Amul Jamaah].


Selepas itu Sayidina Hasan dan keluarganya balik ke Madinah dan terus menetap di Madinah hingga ke akhir hayatnya pada tahun 50 Hijriyah.


Ahli-ahli sejarah berpendapat perlantikan Muawiyah sebagai khalifah Islam itu tidak sah kerana berdsarkan tipu daya politik dan kepandaian lidahnya berbicara sebagai seorang diplomatik.


Siapakh Hussin?


Hussin adalah adik Hasan, anak kepada puteri Rasulullah Fatimah dan Ali bin Abi Talib. Menurut pendapat yang kuat mengatakan Hussin dilahirkan oleh ibunya pada bulan Syaaban tahun keempat Hijriyah.


Kedua-dua beradik mempunyai perangai yang terpuji dan mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda tentang mereka, “Hasan dan Hussin keduanya adalah pemimpin para pemuda ahli Syurga”. HR:Al-Bukhari.


Bila Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60 Hijriyah, anaknya Yazid bin Muawiyah [60-64H/680-684M] yang telah dilantik oleh ayahandanya sebagai putera mahkota telah menaiki takhta Khalifah. Tapi pengistiharan itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk Madinah yang diketuai oleh Hussin bin Ali, Abdullah bin Zubir dan Abdulah bin Umar, kerana ia bertentangan dengan perjanjian Muawiyah dengan Sayidina Hasan bin Ali dan tidak pernah dibuat di zaman Khalifa-Rasyidin.


Walaupun penduduk Madinah terpaksa memberi taat setia kepada Yazid bin Muawiyah, tapi Sayidina Hussin enggan berbuat demikian, lalu berpindah ke Mekah. Ketika berada di Mekah, Sayidina Hussin menerima surat dari pada pengikut-pengikutnya supaya datang ke Kufah untuk dilantik menjadi Khalifah.


Saydina Hussin yang merasa jemputan itu sebagai satu penghargaan lalu berangkat ke Kufah bersama dengan kelurganya dan seramai 80 orang pengikutnya, walaupun cerdik pandai Mekah melahirkan rasa bimbang mereka terhadap keselamatannya.


Yazid bin Muawiyah bila mengetahui hal itu lalu memecat Gabenor Kufah, Mukmin bin Basyir dan mencantumkan Kufah dengan Basrah yang diletak di bawah Gabenor Ubaidullah bin Zaid yang memerintah supaya semua pintu masuk ke Kufah dikawal ketat.


Bila Sayidina Hussin dan orang-orangnya sampai di Karbala pada 10 Muharam 61 Hijriyah mereka telah bertembung dengan tentera-tentera Ubaidullah. Meletuslah pertempuran yang berakhir dengan kekalahan di pehak Hussin, di mana Hussin sendiri telah terbunuh.


Mereka yang tidak terkorban ialah kaum wanita dan seorang anak lelaki Sayidina Hussin, Ali Zainal Abidin dihantar secara hormat ke Madinah.


Kepala Sayidina Hussin dan kelurganya telah dipenggal oleh tentera-tentera Ubaidulullah dan dikirimkan kepada Khalifah Yazid bin Muawiyah yang beristana di Damsyik.


Demikianlah Hussin bin Ali cucu Rasulullah s.a.w. dan anak kepada Khalifah Sayidina Ali, dan isterinya Fatimah puteri kesayangan Baginda s.a.w.mengakhiri hayatnya dalam keadaan yang begitu trajis.


Kubur Saidina Ali terletak di Najaf dan kubur Saidina Hussin pula terdapat di Karbala. Kedua-dua perkuburan ini menjadi tumpuan orang Syi'ah bukan sahaja untuk diziarai tapi juga dijadikan tempat bermunajat. Setiap tahun mereka pergi ke perkuburan itu menangis dan meraung-raung dan tersedu-sedu sambil memohonkan segala hajat mereka.


Tidakkah ini bercanggah dengan firman Allah:


“Serulah Aku, nescaya aku perkenankan seruanmu”.


Dan sabda Baginda Rasulullah s.a.w.


“Dan jika engkau hendak memohonkan pertolongan, mohonkanlah kepada Allah”.


Maka bertanyalah Buya HAMKA, “Mengapa tidak langsung saja memohon kepada Tuhan di mana saja, kerana Tuhan ada di mana saja, dengan tidak usah berpayah-payah pergi ke kubur seseorang, dan memohon kepada Allah dengan perantaraannya?”.


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP