Peritnya Berpisah Mati

>> Sunday, May 1, 2011


Peritnya Berpisah Mati

Ketika berada di salah sebuah toko buku di Kubang Kerian Kota Bharu, saya terlihat majalah MIDI keluaran terbaru tersusun bersama-sama dengan berpuluh-puluh buah majallah yang terletak di atas sebuah meja untuk pameran jualan. Sudah lama saya tidak membeli Middi, iaitu selepas isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] meninggal sejak kira-kira setahun setengah yang lalu.


Ingatan saya melayang kepada Allahyarahmah isteri yang dicintai. Saya lalu mengambil majalah MIDI, keluaran 1 Mei 2011 dan secara rambang membalek-balek meninjau kandungannya. Ada satu dua tajuk rencana yang merangsang saya untuk membacanya. Saya pun membelinya bersama dengan sebuah buku karya seorang penulis yang terkenal di nunsantara.


Salah satu jodol rencana di dalamnya yang menjuluk hati saya untuk membaca dan membelinya ialah “Bercerai mati lebih pedih daripada bercerai hidup”, oleh Ruzian Mohd Jan, hasil wawancaranya dengan seorang wanita bernama Salmah


Dalam rencana tersebut, wanita itu, Salmah Abu Bakar melahirkan rasa duka di hatinya yang tak mungkin akan sembuh kerana kematian suaminya yang tercinta, Hanley Abdullah.


Menurut beliau bercerai mati lebih memarahkan jiwanya daripada bercerai hidup sebagaimana yang pernah dialaminya sebelum daripada itu. Suaminya Hanley Abdullah telah kembali Ke rahmatullah secara mengejut sejak lebih dari dua tahun yag lalu.


-Saya tidak mempunyai pengalaman dalam bercerai hidup, dan saya hanya berpisah mati dengan isteri saya, Asiah Yaacob. Namun saya dapat memahami bila Salmah mengatakan bercerai hidup tidak separah bercerai mati, kerana bercerai hidup mungkin berlaku kerana sebab-sebab tertentu yang menjadi punca kepada perasaan kita itu, tapi bercerai mati, kita tidak ada pilihan, kerana ia adalah ketetatapan dan penentuan dan takdir Allah semata-mata, sejak azali lagi, samada kita suka atau tidak suka. Perpisahan kerana kematian merupakan suatu ketetapan yang akan berlaku bila tiba masanya, tidak dapat dilanjut ataupun dipendekkan lagi walaupun sesaat. Kita tidak mempunyai plihan tentang kematian.


Katanya, suaminya selalu berpesan kepadanya supaya tetap tabah, dan kuat semangat jika sesutu menimpa ke atas dirinya.


“Hanely selalu berpesan agar saya kuat semangat jika dia sudah tiada. Apabila saya fikir-fikirkan, rasa macam Hanely sudah tahu yang dia akan meninggalkan kami lebih awal dan mempersiapakan kami untuk menghadapi saat itu. Mungkin ia satu kebetulan tapi memang banyak yang disebutkan menjurus ke arah itu”, kata Salmah.


-Demikianlah apa yang berlaku terhadap saya. Semasa hayatnya, isteri saya selalu memberitahu saya, anak-anak dan adik beradiknya, bahawa menjadi harapan beliau untuk pergi terlebih dari saya, kerana katanya dia tidak mampu untuk hidup sendirian tanpa saya, dan tidak tahu untuk menghadapi dunia ini tanpa saya, serta dia bimbang tidak akan ada orang yang akan mendoakannya sekiranya dia pergi terkemudian dari saya.


Beliau juga pernah mengingat-ingatkan, sekiranya dia pergi dahulu, dia meminta saya selalu pergi ke pusarannya, bawa anak-anak dan cucu-cucu. Pada masa itu “papa berdiri di tepi kubur Yah dan doakanlah untuk Yah” katanya.


Tahun-tahun akhir hayatnya, beliau sering menegur saya kerana sering tidak dapat mencari baju dan seluar saya yang disimpannya dalam rak. “Kalau orang tak ada siapa nak cari baju dan seluar papa ni? Belajarlah cari baju sendiri, kalau tidak nanti susah”, katanya. Sambil ketawa saya menjawab, “Bagaimana nak jumpa, orang lain yang simpan, orang lain yang cari”. Namun begitu, dia terus juga menyiapkan pakaian saya, termasuk membasuh, melipat dan mengion dan menyimpanya dalam rak, dan mengambilnya kembali setiap kali saya memerlukannya


Menurut Salmah kata-kata suami itu seolah-olah membayangkan suaminya itu akan pergi lebih dahulu daripada mereka, dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi saat genting itu.


-Demikianlah yang saya rasakan selepas pemerginnya yang tidak akan kembali lagi itu. Pergi buat selama-lamamnya, menemui Tuhannya. Semoga Allah mengampuni dan mencucuri rahmat ke atasnya.


Kata Salmah pemergian suaminya menyebabkan beliau dan anak-anaknya seperti anak ayam kehilangn ibu. Beliau merasa pemergian suaminya itu telah meragut semua kebahagian dan kecerian yang dibawanya ketika lelaki itu mula-mula muncul dalam kehidupan mereka sekeluarga.


-Demikianlah perasaan kami, terutama diri saya selepas pemergian isteri saya yang dicintai itu. Saya merasa satu kelompongan besar telah terkopak dalam kehidupan kami yang selama ini dalam kebahagian. Dan kelompongan itu tidak mungkin dapat ditutup lagi buat selama-lamanya. Kata anak perempuan saya, “Papa ni selepas Mama ta ada macam tak ada sebelah tangan”.


Menurut Salmah Allahyarham suaminya itu seorang yang sangat penyayang, memahami dan bertanggungjawab, dan merupakan yang terbaik dikurniakan Allah kepada mereka.


-Isteri saya itu, walaupun kadang-kadang ada panas barannya, tapi hatinya sangat baik, pengasih dan penyayang, lembut hatinya dan mudah dipujuk, dan mudah mengasahini orang. Beliau amat menyayangi dan mengambil berat tentang anak-anak dan semua cucu-cucunya. Saya selalu berdoa semoga mereka tidak akan melupakan Mama dan neneknya, yang mereka panggil “Wan” itu.


Dalam usahanya untuk mencari lebih ketenangan, Salmah dan keluarganya telah berpindah ke sebuah pangsapuri yang terletak berhampiran pusara di mana suaminya yang dicintai itu dikebumikan.


Katanya, “Syukur sejak berpindah ke sini saya dan anak-anak berasa lebih tenang dan hidup kami kembali teratur. Mungkin kerana kami merasakan bahawa Hanely kini lebih dekat dengan kami”.


-Kami juga telah berpindah rumah baru, tapi perpindahan ini merupakan sebahagian daripada rancangan kami bersama dengan isteri semasa hayat beliau masih ada lagi. Bila kami berpindah ke rumah baru ini, beliau pula berpindah ke alam baru yang lain yang diharap jauh lebih baik dari rumah kami ini dengan rahmah Tuhan yang melimpah-ruah.


Biasanya setiap minggu, terutama pada hari Jumaat, kami khususnya saya akan berlabuh di pusara beliau yang letaknya kira-kira lapan kilometer sahaja dari tempat kami tinggal ini. Ada suatu rasa yang tidak kena kiranya saya tidak menziarahi pusara beliau sekurang-kurangnya sekali seminggu. Lebih-lebih lagi di sebelahnya terdapat pusara ibu kami, Maimunah yang dikasihi. Namun, ada waktunya, iaitu ketika hujan turun tak henti-henti sepanjang hari akan menghalang kami untuk menziarahi pusara beliau dan ibu sebagaimana dirancangkan setiap minggu.


Walau bagaiamanpun, setiap senja Jumaat, dalam keadaan tertentu, saya terasa-rasa seolah-olah dia kembali ke rumah, dan memberi salam kepada kami bila tiba di pintu pagar rumah……Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah daku dan ampuni kami semua…..


Saya mohon maaf kepada Salmah kiranya, celahan-celahan saya ini membuat beliau merasa tidak senang. Tujuan saya hanya semata-mata untuk berkongsi pengalaman dengan peminat-peminat saya bagaimana rasanya bila seseorang kehilangan orang yang dikasihi dan tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Kejadian seperti ini akan menimpa setiap yang hidup, justeru bersedialah untuk menghadapinya, kerana usia di tangan Allah, tidak ada siapa yang mengetahui siapa yang akan berangkat terlebih dahulu dan siapa yang akan tertinggal di belakang dan menyusul kemudian menuju pengakalan abadi. Sentiasalah awas dan waspada.


Saya akhiri dengan doa semoga MIDI akan dikurniakan taufik dan hidayah dan terus maju dan jaya.


Lihat Juga:Seuntai Kenangan


Wallahu’aklam.


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP