Menjana Perkahwinan Yang Bahagia
>> Tuesday, May 10, 2011
Menjana Perkahwinan Yang Bahagia
Bernikah itu tidak payah. Ada wanita ada lelaki. Cari juru nikah, ada wali, ada mas kahwin dan ada saksi. Nikahkanlah mereka.
Selepas itu, jadilah mereka suami dan isteri. Tapi untuk menjaga perkahwinan itu supaya sentiasa aman dan bahagia, terus berkekalan sampai ke akhir hayat, tidaklah semudah itu. Banyak karang dan jerung menunggu di sepanjang pelayaran keluarga yang tidak dapat ditentu jangka hayatnya itu.
Kerana tidak mengetahui rahsia-rahsia untuk melayari rumahtangga hingga berjaya mendarat di pengakalan yang dituju, banyak perahu yang mereka layari telah terbalik dan karam dilannggar oleh umbak dan gelumbang, melanggar batu dan karang, lalu terdampar di pesisir, malah ada pula yang terus lemas dan tenggelam atau ditelan jerung ganas yang sentiasa menunggu suami isteri yang lalai dan lupa.
Jangan segan dan silu untuk mempelajari rahsia-rahsia untuk mendayung dan mengemudi perahu di lautan yang bergelora, bagaimana untuk membelah ombak yang melanda dan bagaimana untuk menepis ribut topan yang menerpa supaya anda kedua selamat sampai ke pelabuhan hidup yang dituju.
Ucapkan “I Love You Darling
Sebagai seorang suami, setiap hari, anda hendaklah mengucapkan kata keramat “I love you ‘ling” kepada isteri anda yang dikasihi. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Demikian juga isteri, setiap hari, anda hendaklah mengucapkan “I love you young”. Sekurang-kurangnya sekali sehari. Atau kata-kata lain yang membawa maksud yang sama.
Di waktu malam, ketika merebah diri di pembaringan ucapkan kata-kata tersebut dengan ikhlas dan sepenuh hati, dan sekali lagi di waktu pagi, di mana-mana masa yang sesuai, seperti ketika hendak meninggalkan rumah untuk pergi bekerja, meninggalkan isteri yang menjadi suri rumah.
Kalau dalam masa dilamun cinta dan sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri anda berdua selalu melafazkan kata-kata tersebut, kenapa anda tidak meneruskannya selepas anda menjadi suami isteri sedangkan ia mempunyai impak yang baik kepada anda kedua?
Memadu Kasih
Menjalin cinta dan memadu kasih tidaklah terhenti bila perkahwinan telah didirikan, malah kedua-dua watak, Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet masih hidup dan terus memainkan peranan utama mereka di pentas yang lebih luas.
Anda kedua hendaklah sentiasa menghangatkan cinta, menjalin kasih, selagi hayat dikandung badan. Ia merupakan mata air yang menyejukkan kehidupan rumahtangga anda- lahir dan batin dengan aliran airnya yang nyaman dan menyegarkan.
Cinta dalam rumahtangga ialah cinta yang tulen, suci dan bersih kerana telah dimateraikan dengan ikatan suci perkahwinan, menguggurkan segala hijab yang selama ini memisahkan anda sebagai teruna dan dara.
Tidak Ada Kesempurnaan
Sebagai suami atau sebagai isteri, anda tidak boleh mengharap pasangan anda itu sempurna segala-galanya, kerana tidak ada sesiapa pun manusia biasa di dunia ini yang sempurna tanpa cacat dan cela.
Itulah dikatakan tiada gading yang tidak retak, ertinya tidak ada manusia yang mutlak sempurnanya,
Sekiranya terdapat sebanyak 50 peratus sahaja daripada apa yang anda bercita-cita dan berharap-harapkan daripada pasangan anda, itupun sudah terlalu baik, dan anda patut bersyukur. Yang selebihnya hendaklah dibentuk dan dipupuk kemudan secara bersama supaya rumahtangga sentiasa menjadi lebih baik dan harmonis.
Kesediaan Memberi Maaf
Sebagai seorang manusia, lebih-lebih lagi sebagai suami dan sebagai seorang isteri anda hendaklah memiliki sifat pemaaf, iaitu sentiasa bersedia memberi kemaafan kepada isteri atau suami anda.
Kita harus insaf, manusia ini sentiasa terdedah kepada kesalahan dan kesilapan yang mungkin disengaja dan mungkin tidak disengajakan, iaitu tanpa dirancang atau berlaku tanpa disedari oleh isteri atau suami.
Hulurkan maaf kepada mereka. Sedangkan gigi dan lidah lagi kadang-kadang terketit atau tergiggit, inikan pula manusia yang bukan rambut sahaja tidak serupa, tapi hati juga berlainan warnanya.
Memberi kemaafan itu pula amat besar nilainya di sisi agama. Perbuatan yang mendapat pujian Allah.
Selepas maaf diberikan, kita hendaklah melupakanya, jangan terus menyimpan dendam keseumat yang akan menjadi api dalam sekam yang akan membakar pula suatu masa nanti. Jangan jadi, " luka dah hilang, parut ada lagi”, sebaliknya jadilah, “luka dah hilang, parut tak ada lagi”.
Iilah salah satu cara menjana rumahtangga yang bahagia.
Bermesra Selalu
Sikap kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri itu hendaklah sentiasa segar sepanjang masa selagi mereka diikat oleh tali perkahwinan, malah kian hari, kian subur juga walaupun telah beranak-pinak.
Justeru itu, jika anda bepergian ke mana-mana, seperti memebeli-belah, ataupun melancung dan berjalan berdua-duan, jangan lupa untuk berpimpin tangan seperti sepasang merpati yang sedang dilamun cinta.
Jangan berjalan seperti lelaki yang solo, tidak berteman, sebagaiama yang sering berlaku, walaupun tidak banyak, suami berjalan berlenggang di hadapan, sedangkan isteri mendukung anak di sebelah tangan kanan, dan memimpin anak seorang lagi di sebelah tangan kiri, tertinggal jauh di belakang, sedangkan anak mereka bersama. Apakah suami macam ini?
Namun begitu jangan mengada-ngada, jangan “over” kata orang sekarang, bersikap seada-adanya dan ikhlas, kerana tidak boleh menipu mata masyarakat. Jangan di hadapan khalayak tunjuk mesra, tapi balik ke rumah, macam anjing dengan kucing.
Tidur Dengan Aman
Sebelum masuk tidur, anda hendaklah mempastikan bahawa segala bara api kemarahan yang membakar dalam dada anda telah dipadamkan. Kalau anda tidur dengan api itu masih membara, ia akan membakar dalam tidur anda, membawa mimpi-mimpi yang buruk, kerana tidur tidak dapat memadamkan kemarahan anda, malah bila anda bangun pagi besok pun kemarahan itu akan menyala kembali. Justeru padamkanlah api itu terlebih dahulu sebelum masuk tidur.
Jika suami marahkan isterinya, janagn biarkan lama-lama, selesaikan perkara dan hulurkan kemaafan sebelum masuk tidur. Demikian juga, andainya isteri menaruh kemarahan terhadap suaminya kerana sebab-sebab-sebab tertentu, segeralah ajak suami berbicang dan selesaikan perkara, dan hulurkan kemaafan. Maka bermaaf-maafan antara keduanya, dan di atas kemaafan itu kehidupan rumahtangga diteruskan dalam suasana yang lebih aman dan harmonis.
Alangkah indahnya kehidupan rumahtangga, kalau seorang isteri yang berasa hati dengan suami kerana mengambil sikap yang tidak dapat diterimanya, bila malam tiba si isteri itupun mendatangi suaminya dengan penuh kerelaan dan penyerahan memohon kemaafan kepada suaminya, walaupun dia tahu suaminya itu tidak mengambil atau menyimpan apa-apa perasaan dengan sikap yang diambilnya itu.
Dengan itu padamlah segala bara api kemarahan yang akan membakar diri sendiri jika tidak segera dipadamkan.
Dengan Rela Hati
Anda sebagai suami atau isteri hendaklah melakukan sesuatu terhadap pasangan anda dengan ikhlas semata-mata demi kesenangan dan kepentingan orang yang menjadi pujaan hati anda itu.
Dengan bersikap demikian, anda tidak akan merasakannya sebagai satu pengorbanan yang terpakasa anda lakukan ataupun merasakannya sebagai satu beban tanggungjawab anda sebagai suami atau isteri. Jika anda merasa apa yang anda lakukan itu sebagai satu pengorbanan, maka sudah tentu anda akan menuntut pembalasan di kemudian hari.
Andai si suami selalu menutut haknya, kerana katanya dia telah berkorban begitu banyak, demikian juga andainya si isteri pula menuntut haknya, kerana katanya dia telah begitu banyak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri, maka tunggulah akan tibanya saat kehancuran sesebuah rumahtangga.
Lakukan sesuatu dengan rela hati untuk isteri atau suami anda yang tercinta, kerana anda tentu akan merasa berbahagia bila melihat anda telah berjaya membahagiakan orang yang anda kasihi.
Berseloroh
Sebagai seorang manusia, dan bukan sahaja sebagai seorang suami atau isteri, anda hendaklah merupakan seorang yang pandai berseloroh, berjenaka, malah juga bergelak ketawa dalam batas-batasnya yang wajar.
Dalam hidup ini, anda tidak boleh menjadi manusia yang kaku dan beku yang mulutnya sentiasa terkunci, muka yang sentiasa menegang dan mata yang meliar bengkeng. Senyumlah dan ketawalah seada-adanya, kerana senyum dan tawa yang wajar itu amat mahal harganya kepada seorang isteri dan juga kepada seorang suami yang menjadi penawar rindu di kala berjauhan dan kesenagnan hati di masa berdekatan.
Hobi
Sebagai seorang manusia baik lelaki atau perempuan, amatlah baik jika mereka masing-masing mempunyai minat, kegemaran atau hobi dari masa ke masa. Bila anda memperolehi hobi haru, galakkan pula pasangan anda mempertingkatkan hobi mereka ataupun memberagsangkan nya mencari hobi baru yang berfaedah.
Dalam mencari hobi ini, sebaik-baiknya carilah hobi yang dapat dikongsi bersama suami isteri, seperti berkebun, menanam bunga, mempelajari sesuatu ilmu yang berguna dan sebagainya.
Hobi yang tidak dapat dikongsi bersama suami isteri, seperti mendaki bukit bukau dan gunung ganang, dalam satu segi tidaklah menguntung, kerana tidak dapat menjadi benang sutera untuk mengikat keluarga dalam satu wadah yang akan membuahkan kebahagian rumahtangga.
Bekerjasama
Anda hendaklah merasa gembira jika dapat melakukan sesuatu yang baik secara bersama suami isteri. Malah anda hendaklah selalu membuka ruang kepada suami atau isteri anda untuk menyertai pogrem yang berguna kepada keluarga anda atau kepada masyarakat.
Jangan merasa cemburu kepada suami atau isteri anda, kiranya mereka dapat melakukan sesuatu usaha itu lebih maju dari anda, sebaliknya jangan pula memandang rendah kepada suami atau isteri anda, kiranya anda lebih kemajuannya dari mereka dalam sesuatu progrem yang dijalankan bersama.
Anggaplah ia merupakan satu perkongsian yang tidak diasakan atas bisnes, tapi demi kepentingan bersama. Bersama jatuh dan bersama bangun. Isteri anda adalah inspirasi anda, dan suami anda pula adalah inspirasi anda. Saling perlu memerlukan.
Sehati Dan Sejiwa
Untuk menjaga keharmonian rumahtangga, pasangan suami isteri mestilah mempunyai kesatuan hati dan kesatuan jiwa. Mereka sepatutnya mempunyai persamaan cita-cita. Satu semangat dan satu hati, satu keluarga dan satu bangsa.
Kehidupan adalah pelayaran di mana penumpang-penumpangnya berada dalam sebuah kapal di laut dalam yang mungkin berombak dan bergelombang, di mana untuk sampai ke pelabuhan para penumpang hendaklah mempunyai satu hala tuju, tidak boleh seorang ke hilir seorang ke hulu, nanti tersesat jalan dan terlingkup dalam perjalanan kerana terlanggar batu karang.
Pastikan cita-cita dan hala yang sama antara suami dan isteri, barulah langkah-langkah menjadi mantap dalam memburu cita-cita bersama.
Silaturahim
Anda, sebagai suami atau isteri mestilah mempunyai semangat silaturhim yang kuat, sentiasa menjalin persaudaran, menjaga tali persaudaran dan persahabatan.
Islam menyanjung tinggi mereka yang menjaga silaturahim dengan ganjaran-ganjaran yang tidak ternilai harganya, malah dikatakan silaturahim itu dapat melanjutkan usia seseorang.
Jagalah hubungan yang baik dengan ayah dan bonda, mertua, adik beradik, ipar tuai, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga, insya Allah hidup anda akan diberkati dan dirahmati.
Anda tidak mampu hidup sendiran. Anda tidak mampu hidup dengan suami dan isteri anda dan dengan anak pinak anda semata-mata. Kalau anda berbuat demikian, kehidupan anda akan menjadi kaku dan mati, seperti robot yang tidak berjiwa, sedangkan anda mempunyai perasaan, fikiran dan jiwa yang menentukan anda sebagai manusia.
Anda hidup di kalangan manusia, di kalangan masyarakat, di kalangan bangsa yang Allah jadikan untuk anda bermahabah dan bersilaturahim antara satu sama lain.
Berterima Kasih
Anda sebagai suami atau isteri, bukan sahaja mesti tahu berterima kasih, malah juga mesti pandai menyampaikan terima kasih itu.
Terima kasih tidak boleh disampaikan secara sembarangan. Mesti kena dengan tempat dan masanya, juga mesti kena dengan caranya. Kalau tidak terima kasih anda itu akan menjadi bahan lelecun, bahan ketawa dan ejekan orang, nanti memalukan.
Kadang-kadang orang yang marahkan kita pun, kita patut ucapkan terima kasih, kerana kemarahannya itu telah membukakan mata dan menyedarkan kita akan segala kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan.
Begitu juga kita suami isteri. Suami patut berterimakasih kepada isteri dan isteri patut berterima kasih kepada suami kerana bersedia menegur kesilapan dan kesalahan yang telah terlanjur mereka lakukan.
Memeriksa
Anda hendaklah sentiasa rajin memeriksa diri sendiri sebagai seorang manusia, sebagai seorang suami dan juga sebagai seorang isteri. Cari segala titik kelemahan diri anda, kerana sbagai manusia yang bergelar suami atau isteri, tidak mungkin sama sekali anda sentiasa berada dalam keadaan betul dan benar, kesilapan mungkin berlaku di mana-mana, secara sengaja dan juga secara tidak sengaja.
Periksalah, analisa, dan kajilah diri anda dan segeralah memperbaiki atau memperbetulkan jika terdapat kesilapan dan dosa yang telah anda lakukan kepada suami atau isteri anda. Tidak banyak orang yang bersedia mengaku salah, dan lebih tidak banyak orang yang bersedia memohon kemaafan, maka anda hendaklah menjadi orang yang tidak banyak itu untuk memohon maaf kepada suami atau isteri anda.
Berbuat demikian bererti anda menjana sebuah pekahwinan yang bahagia dalam sebuah rumah tangga yang harmonis dan diberkati.
Bertapakkan Iman
Perkahwinan dan rumahtangga anda pasti mempunyai dasar, dimana ia harus dibangunkan, tanpanya rumahtangga tidak dapat ditegakkan, dan kalau didirikan juga lambat laun ia akan rebah menyembam bumi.
Tapak itu ialah tapak keimanan dan takwa, sebuah tapak yang kukuh, lebih utuh dari wang dan ringgit, harta dan kekayaan yang akan menjamin kebahagian anda dunia dan akhirat.
Tapak ini mempunyai cahaya yang akan menyinari seluruh hidup anda, kerana ia berpaut dengan kalimah “La Ilaha Illallah” yang seharusnya anda junamkan jauh dan mendalam di lubuk jiwa anda yang akan memayungi seluruh keluarga anda.
Sebagai suami atau sebagai isteri anda hendaklah berteduhlah di kalimah “La Illaha Illallah”, nescaya anda dan keluarga anda akan selamat dunia dan akhirat.
Demikianlah sedikit langkah-langkah yang patut diambil oleh sumai dan juga isteri dalam menjana sebuah perkahwinan yang bahagia dari dunia sampai ke akhirat.
Lihat juga: Gila Talak Dan Cina Buta
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment