Wahai Bonda Engkaulah Hati Kami
>> Sunday, May 8, 2011
Wahai Bonda Engkaulah Hati Kami
Ayahanda saya, Saleh bin Hj.Mohammed [semoga Alah cucuri rahamat ke atasnya] meninggal dunia di tanah suci Makkah kira-kira tiga puluh tahun yang lalu ketika menunai ibadat haji.
Saya menyambut bertia itu dengan terharu dan sedih, kerana orang yang saya kasihi telah pergi, dan juga kerana dengan itu bererti saya telah kehilangan suatu ruang yang amat berharga untuk mendapat keredan Allah.
Kira-kira dua puluh tahun kemudian, saya kehilangan lagi seorang yang saya kasihi, bonda saya, Maimunah Ismail [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] secara mengejut sewaktu beliau berada dalam keadaan sihat.
Kematian beliau melemparkan ke hati saya lautan kesdihan dan keharuan yang tidak tergambar. Saya bukan sahaja kehilangan seorang yang saya kasihi, yang sentiasa dekat di hati, tapi juga saya telah terlupus satu-satunya wadah yang amat berharga kepada saya untuk mencari keredaan Allah SWT.
Dengan pemergian beliau itu bererti saya telah kepupusan ruang untuk mencari keredaan Allah dengan mencurah khidmat bakti kepada kedua ibu bapa.
Hati saya terasa bertambah sedih, kerana merasa selama hidupnya, saya tidak cukup mencurahkan bakti dan kasih sayang kepada beliau, walau pun beliau amat menyayangi saya seperti anak-anak yang lain juga.
Saya masih ingat pada suatu hari adik beliau, iaitu emak saudara saya, telah melahirkan rasa cemburu di hadapan kami, bila ibu menunjukkan rasa sayangnya terhadap saya.
Mereka semua sudah tidak ada lagi sekarang, dan didoakan semoga berada dalam rahmat Allah.
Kemudian, kira-kira dua tahun yang lalu pula, saya kehilangan lagi seorang yang saya kasihi yang selalu dekat di hati, isteri saya Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya].
Isteri saya semasa pemergiannya menghadap Ilahi adalah seorang ibu kepada empat orang anak, tiga putera dan seorang puteri. Putera-putera dan puteri ini diharap menjadi anak-anak yang saleh dan saleha yang akan menyambung warisan genearsi kami selagi dunia berkembang.
Anak-anak soleha inilah diharap akan sentiasa mendoakan kebahagian untuk kedua orang tuanya, terutama bondanya yang telah pergi terlebih dahulu itu.
Hati saya amat pedih dan terharu, bukan sahaja kerana saya kehilangan tempat bercinta dan bermanja-manja, tapi juga kerana anak-anak saya, Arham Zaini, Noor Baiti Zaini, Ahmad Faris Zaini dan Ahmad Syaibani Zaini bukan sahaja kehilangan tempat mereka untuk berkongsi suka dan duka, tempat mereka mencurahkan kasih, tapi juga bererti mereka telah terputus seutas tali sutera untuk mereka mencari keredaan Allah menerusi ibunya.
Pemergian bondanya itu meninggalkan satu lowongan kosong yang tidak dapat diisi. Apa yang dapat mereka lakukan ialah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah untuk bonda mereka, walaupun beliau sudah tidak ada lagi di sisi.
Khidmat kepada ibu bapa tidak ada batasnya selagi hayat dikandung badan.
“Syurga terletak di bawah kaki ibu”, sabda baginda Rasulullah SAW.
Sabdanya lagi, “Keredaan Allah adalah terletak pada keredaan kedua orang tua. KemurkaanNya juga terletak kepada kemurkaan mereka”.
Sebuah riwayat menyebut bahawa ada seorang lelaki datang menemui Nabi SAW. memberitahu bahawa dia hendak pergi berjihad tapi tidak dibenarkan oleh ibunya. Maka bersabda Nabi SAW. kepadanya, “Pergilah tinggal bersama ibumu. Saya bersumpah kepada Tuhan yang memilih saya sebagai Nabi, bahawa pahala yang engkau dapat untuk melayaninya misekipun hanya semalam, dan membahagiakannya dengan kehadiranmu, jauh lebih besar daripada pahala perang jihad selama satu tahun”.
Sejak kebelakangan ini setiap tahun kita menyambut hari ibu, hari kita memuliakan para wanita yang dipanggil ibu, bonda, emak, ummi, mami dan sebagainya, dan meletakkan mereka di tempat yang sewajarnya sebagai manusia yang mulia dan dihormati.
Marilah kita memperbaharui azam dan cita-cita untuk menghormati dan memuliakan ibu, tegasnya para wanita di kedudukannya yang mulia, baik mereka masih hidup ataupun telah mati mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh sayara’.
Janganlah kita isikan sambutan hari ini dengan progrem-progrem yang tidak memberi faedah, bodoh, memalukan apa lagi mélanggar kesucian agama, sebagaimana kita sering lakukan ketika membuat pesta, dan menghalalkan maksiat atas nama adat kebiasaan dan kebudayaan.
Kita memuliakan kedua orang tua kita, menghormati ibu kita, memohon maaf kepadanya, bukanlah semata-mata kerana kita telah berdosa terhadapnya atau kerana ingin mendapat pahala, tapi semata-mata kerana menunai perintah Allah kepada setiap hambaNya.
Sesungguhnya tanpa pahala sekalipun kita akan tetap menyanjung, memulia dan menghormati ibu.
Allah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia [taat] kepada ibu bapanya; ibunya telah kandugkan dia dalam keadaan lemah bertambah lemah; sedang putus susunya adalah dalam tahun, [Kami perintah] ; “Hendaklah engkau syukur kepadaKu dan ibu bapamu; kepadaKu lah tempat kembali”.Luqman:14.
Dan berdoa sebagai firman Allah dalam Surah Al_Israa’, “Wahai Tuhanku, berilah rahmat kepada keduanya sebagaimana mereka telah mengasuh aku sejak kecil”.S:Al-Israa’:24.
Wahai bonda
Wahai ibu
Wahai emak
Wahai ummi
Wahai mama
Wahai sayang
Engkaulah tajuk mahkota kami
Engakaulah ratu kami.
Engkaulah hati kami.
Semoga Allah mengrahmati semua para ibu kami yang masih hidup atau telah kembali ke rahmatullah
Amin.
Bisik Pondok Rahmat:
Paut Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment