Dalam Perkahwinan Ada Ubi Tiada Batas

>> Saturday, May 7, 2011


Dalam Perkahwinan Ada Ubi Tiada Batas

Tidak ada “ada ubi, ada batas”, jika “memberi, ada balas”, atau jika “memberi minta dibalas”, dalam sesebuah perkahwinan.


Sebenarnya yang ada dalam sesebuah perkahwinan ialah “ada ubi tiada batas”.


Tidaklah wajar sama sekali, jika seorang suami memberi sesuatu kepada isterinya dengan menaruh harapan isterinya itu akan membalasnya.


Lebih-lebih lagi kalau yang diberikan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ketua rumahtangga, seperti membeli pakaian untuk isteri, atau memberi belanja dapur kepada isteri.


Demikian juga isteri, ketika dia memberi sesuatu kepada suaminya, seperti hadiah hari lahir umpamanya, tidaklah wajar mengharap dia akan menerima ganjaran pula daripada suaminya itu.


Demikian juga dalam kehidupan kebatinan. Masing-masing suami isteri hendaklah berusaha memberi sesuatu yang istimewa kepada pasangan masing-masing tanpa mengharap untuk mendapat keuntungan yang lebih. Kalau masing-masing suami isteri telah berazam untuk memberi sesuatu yang istimewa kepada pasangan masing-masing, maka sudah tentu tidak timbul lagi harapan, “ada ubi ada batas, ada budi ada balas”. Kerana dengan kedua-duanya berazam seperti itu, maka tidak timbul lagi masalah untuk menagih balasan.


Untuk mencapai hakikat tersebut, maka perlulah ada sikap persefahaman, faham memahami antara satu sama lain, memahami erti tugas dan tanggungjawab masing-masing tanpa perlu diperingat atau dituntut oleh pihak yang merasakan dirinya dilupakan ataupun diremehkan.


Hubungan intim suami isteri hanya akan berkembang subur, andainya hubungan di antara keduanya dijalin oleh sutera kasih dan sayang, cinta dan menyintai, bantu membantu, tolong menolong dan saling puas memuaskan antara satu sama lain. Sifat-sifat ini hanya baru dapat diwujudkan kiranya perasaan tamak dan haloba, bongkak dan sombong dinyenyahkan jauh-jauh dari diri masing-masing.


Inilah fakta-fakta yang menjamin ketenangan dan keharmonian hidup suami isteri dalam semua rumahtangga yang bahagia. Mereka hidup dalam dunia pemberi bukan pemiutang, penerima pula bukan penghutang, kerana masing-masing dari mereka melakukannya dengan keikhlasan, di mana pemberi ikhlas dan penerimanya juga ikhlas.


Sebaliknya sesebuah keluarga akan bermasalah kiranya, suami dan isteri mengharap untuk mendapat balasan dari apa yang dilakukannya, suami mengharap dia dibalas, dan demikian juga dengan isterinya, mengharap dia dibalas.


Pepatah yang mengatakan buat baik dibalas baik itu, lebih ditujukan kepda penerima, sebagai iangatan, dan bukannya kepada pemberi yang melakukannya dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.


“Buat baik dibalas baik”, tapi di hujung ada tambahan, “buat jahat jangan sekali”.


Sikap tidak menuntut balasan ini biasanya dibaringi dengan sikap timbang rasa. Si suami yang menagih pemabalasan akan menjadi suami yang perakus dalam memburu kepuasaan diri sendiri, dia akan mementingkan dirinya sendiri dan akan melupakan isterinya yang berhak dilayan dengan adil dan saksama. Baginya kepuasaan dirinya sendiri lebih penting dari segala-segalanya, dan sanggup membiarkan isterinya hanyut dalam kehampaan dan kekecewaan yang dapat dilihat secara zahir ataupun tidak.


Itulah dikatakan, ilmu itu seperti benih dan amal itu seperti tumbuh-tumbuhan dan ikhlas itu seperti air yang dijiruskan ke atas tumbu-tumbuhan. Maka barulah ia hidup dan subur, berbunga dan berbuah.


Tanpanya akan mati dan kering.



Cinta itu pengorbanan. Orang yang dilambung ombak percintaan mesti sanggup berkorban, berkorban apa sahaja demi orang yang dicintainya.


Itulah didendangkan:


“Berkobran apa sahaja


Harta ataupun nyawa”.


Jika anda tidak sanggup berkorban untuk orang yang anda cintai, maka bererti cinta itu masih berada di awang-awangan, ke langit tak sampai, ke bumi tak tersentuh.


Itulah kerakusan yang dimanifestasikan dalam cinta, yang akan menjadi lebih merbahaya jika telah diperkuda-kudakan oleh nafsu syahwat.


Kalau suami asyik menagih haknya, tapi enggan menunaikan kewajipannya, liat membayar "hutang"; dan kalau isteri pula asyik menuntut haknya, tapi liat menunaikan tanggungjawabnya, malas membalas "hutang", itulah tandanya sebuah rumahtangga itu sedang menuju ke tanah perkuburan.


Melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada anak-anak adalah satu kewajipan, kerja yang tidak bergaji, justeru tidaklah wajar jika dalam membesar dan mendidik anak-anak dengan harapan anak-anak itu pada suatu masa nanti akan membalas tanggunjawab kita sebagai ibu bapa.


Demikian juga dengan anak-anak, sudah mereka besar, dewasa dan mampu berdiri sendiri dalam hidup ini, tidaklah wajar sama sekali kiraya dia berkhidmat kepada orang tuanya dengan harapan untuk mendapat balasan dari orang tua mereka yang begitu besar jasanya untuk membesar dan memberi pendidikan kepada mereka terlebih dahulu.


Memelihara dan menjaga ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab kepada anak-anak yang akan diberikan ganjaran pahala oleh SWT. Sebaliknyag membelakangkan ibu bapa bukan sahaja tidak bermoral, tapi juga menempah dosa.


Apa lagi jika seorang anak sanggup menghina, mencedera, menzalami ibu bapa mereka dari segi mental dan fizikalnya.


Walau bagaimanapun si penerima, baik suami atau isteri tidak pula wajar bersikap massa bodoh, khidmat orang mesti dihargai, pemberian mesti diterima dan wajar diberi balasan, barulah menjadi manusia yang sempurna.


Hulurkan pembalasan mengikut kemampuan, sejauh mana yang berdaya, jangan jadi oang yang tak mengenang budi, orang beri bunga, kita beri tahi, atau menjadi “beruk jika diberi bunga, lalu dikoyak-koyaknya”.


Pemberi tidak seperti penerima, perlu ikhlas dan tidak mengharap balasan, tapi penermia mesti ikhlas dan berazam untuk memulangkan yang lebih baik lagi jika dia mampu.


Kalau suami hulurkan secupak beras, buatlah azam untuk menghulur segantang beras. Itulah orang berbudi kita berbahasa, kita memberi orang merasa.


Sikap memberi tanpa mengharap balasan inilah merupakan anak kunci kebahagian rumahtangga. Rumahtangga yang harmoni tidak dibina atas peraturan timbalbalik, pertukaran antara pemberi dan penerima, bukan atas dasar bisness, perniagaan berdasarkan untung dan rugi, bukan pertukaran barangan, aku beri, aku terima.


Itulah dia mawaddah wa rahmah, iaitu memberi tanpa mengharap pembalasan. Kalau dibalas terima kasih, kalau tak dibalas syukur.


Setiap rumahtangga, setiap suami dan setiap isteri, mestilah berazam dan berusaha untuk mewujudkan sebuah rumah tangga yang diwarna warnikan oleh mawaddah wa rahmah. Memberi tanpa mengharap atau menuntut balasan.


Semoga perkahwinan kita semua diberkati dan berbahagia di dunia dan akhirat.


Amin.


xxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih,Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP