Bertemu HAMKA Dalam Sinaran [dikemasini pada 23 Mei 2011]

>> Friday, May 20, 2011


Bertemu HAMKA dalam SINARAN


Saya telah mulai mengenali Buya HAMKA kira-kira setengah abad yang lalu, ketika saya dalam sekolah Melayu darjah lima menerusi karya-karya beliau yang saya baca.



Salah sebuah tulisan beliau, saya masih ingat, telah menjadi pendorong kApada saya untuk belajar membaca dan menulis tulisan Jawi. Pada masa itu saya boleh dikatakan buta dengan Jawi. Tapi setelah membaca karya beliau itu ia telah menjadi pendorong yang kuat untuk saya mempelajari Jawi yang telah saya kenali menerusi kitab suci al-Quran yang dipelajari dari guru-guru al-Quran di kampung.



Di pekan kecil, di kampung saya, Kg.Salor ada sebuah kedai kopi Said Agil yang setiap hari membeli surat khabar Utusan Melayu. Sebilangan orang-orang tua yang pergi ke kedai itu akan membaca akhbar tersebut, terutama di waktu petang.



Saya yang masih kanak-kanak tentu tidak layak untuk berebut-rebut akhbar tersebut, apa lagi tidak ada kanak-kanak seperti saya yang membaca akhbar waktu itu, oleh sebab itu saya terpaksa menunggu giliran orang-orang tua habis membacanya barulah saya masuk kedai kopi itu untuk mengambil tempatnya.



Biasanya sehari dua kemudian akhbar itu akan digunakan sebagai pembungkus nasi belauk yang mereka jual. Dari kertas bungkusan nasi itu, saya akan cari berita-berita pendek, atau kalau tidak ada yan pendek, saya koyak dua tiga para berita yang panjang untuk disimpan, dan bila ada luang saya akan tiru tulisan-tulisan jawi itu untuk mempelajarinya.



Alhamdulillah akhirnya saya boleh membaca dan menulis Jawi, walaupun tidak elok, yang dikatakan “khat patah pinggang” oleh Allahyarham Dato’ Yusuf Zaky Yaacob.



Sejak itulah saya menjadi salah seorang peminat karya HAMKA dan mengkagumi karya-kayanya yang begitu bermutu dan sukar ditandingi sehingga ke hari ini yang dianggap sebagai “Seorang tokoh pendakwah yang disegani dan dihormati di rantau Nunsantara, juga seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusateran, penulisan kreatif dan prolifik. Beliau juga seorang pujangga ulung dan ahli fikir Islam tersohor”. Kata-kata di atas di petik daripada beberapa buah kulit buku HAMKA versi Malaysia yang dikeluarkan oleh Pustaka Dini sejak kebelakangan ini.


Sinaran

Alhamdullilah hari ini secara kebetulan saya terbaca sebuah laporan ucapan beliau yang telah disiarkan oleh sebuah majalah yang diterbitkan tahun 1950 yang saya petik untuk dikongsikan bersama dengan para pembaca, khususnya peminat-peminat beliau.



Beginilah bunyi ucapan itu yang saya percaya merupakan saringan daripada ucapan Buya HAMKA di suatu majlis yang disampaikan oleh beliau di hadapan kira-kira 1000 orang di Masjid Sultan, Singapura pada hari Jumaat 24.11. 1950.



Beliau dilaporkan berkata, “Selama saya beragama Islam, semua negeri Muslimin tanah air saya.



“Saya telah merasa bangga menjadi orang Singapura semasa saya berada di Singapura, sebagai orang Pakistan, semasa berada di Pakistan, sebagai orang Mesir semasa berada di Mesir, kerana semua negeri tersebut itu negeri umat Islam yang yang telah disatukan oleh dua kalimah syahadat dan yang telah dipersaudarakan oleh al-Quranul Qarim yang menyebut, “bahawa orang-orang Islam itu lelaki dan perempuan adalah besaudara.



“Orang-orang Islam yang telah bersatu pada mengEsakan Allah, bersatu dalam pengakuan ke Rasulan Muhammad, bersatu dalam mengerjakan dalam ibadat-ibadat yang lainnya itu, bererti timur dan barat, utara dan selatan, hitam putih dan kuning itu adalah satu umat raksaksa yang mempunyai hak persamaan yang tiada berbeza dan yang tidak boleh mengaku kemuliaan kecuali dengan berjasa kepada Allah SWT.



“Seorang orang Arab berada di Singapura ia berhak mengatakan Singapura ini tanah airnya. Seorang Pakistan berada di Mekah, ia berhak mengaku Mekah itu tanah airnya. Seorang orang Eropah Islam yang berada di negeri Turki berhak ia mengaku negeri Turki itu tanah airnya selama mereka dan negeri-negeri tersebut tadi berada di bawah perkataan”Islam”, dan wajib atasnya dan baginya apa-apa yang wajib atas dan dan bagi mereka penduduk-penduduk asli negeri-negeri itu.



“Inilah iman dan suntikannya [injeksennya], dengan pengakuan dan perasaan yang demikian, maka umat Islam ini tidak terkurung di dalam batasan ketanahairan yang sempit. Bahkan ia akan meluaskannya ke batasan yang belum pernah dimimpi-mimpikan oleh dunia sekalipun, ia telah berada di zaman bom atom dan hidrojen ini, dan dengan sebab ini jugalah makanya saya tidak merasa terasing dan gentar menyampaikan apa-apa perasaan dan kandungan hati saya kerana saya berada di kalangan saudara saya yang lebih rapat daripada saudara kandung atau saudara yang sedarah itu.



“Bahawa dengan keimanan yang tetap di dalam dada, seseorang itu tidak takut hidup dan tidak takut mati. Tidak takut hidup bererti bahawa seseorang Mukmin yang kaya raya tidak takut hidup kalau-kalau pada suatu masa kelak ia akan menjadi seorang yang papa. Seorang yang papa tidak merasa sedih dan hina kerana kepapaannya, kerana ia mengetahui bahawa semua yang tersebut percubaan Allah, sementara keimanan yang kuat yang telah meresap ke dalam daging darahnya inilah kebahagiaan dan keuntungan yang sebenar-benarnya.



“Dengan pengakuan ucapan dua syahadat itu seseorang orang Islam itu telah merdeka. Mereka telah merdeka daripada perasaan perhambaan manusia, tiada kepada siapa yang lain yang patut nengaku kehambaan kecuali kepada Allah sahaja dan perintah Allah adalah melebihi segala perintah manusia. Seorang Mukmin itu talah merdeka daripada hawa nafsunya yang jahat, merdeka daripada kecil besar, hina, mulia dan merdeka daipada apa-apa ketakutan selama kebenarann itu berada di sisinya. Maka dengan perasaan inilah Islam telah pernah menjadi “kuasa dunia” pada suatu masa dan saya cukup yakin dan percaya, bahawa Islam itu akan mengulangi tarikhnya”.



Ucapan di atas saya petik daripada majalah SINARAN, bilangan 23, keluaran 16 Januari 1950 susunan pengaragnya sendiri, beralamat Muslim Publishing House Ltd., Peti Surat Nombor 1197 Singapura 8. HAMKA diperkenalkanya sebagai “seorang wartawn Islam yang ulung”.



Tapi kulit SINARAN yang diterakan di sini ialah untuk bilangan 23 Januri, 1951 [bukannya 16 Januari 1950] yang kandungannya mungkin tidak ada dalam simpanan saya. Saya hanya mempunyai dua naskah SINARAN yang dihadiahkan oleh sahabat saya, Allahyarham Mohd Abdul Rahman bin Sulaiman.



Lihat juga: Mencari Ulama Akhirat?



Pengarang SINARAN Ditahan Di bawah ISA



SINARAN ialah sebuah majalah mingguan yang diterbitkan setiap hari Sabtu, mengguna tulisan Jawi, berharga 25 sen senaskah, setebal 22 muka surat tidak termasuk kulitnya.



Ia dicetak dan diterbitkan oleh M.Karimghani Publishing House Ltd., 123, Serangoon Raod, Singapore.



Dalam bilangan 19, tanggal 30 Disember 1950 ada berita dan ulasan tentang pengarang mengenai M.Karim Ghani telah ditahan oleh pehak berkuasa bersama lima orang lagi dan diasingkan di Pulau Sekijang. Namun begitu nama M.Karimghani masih tertera sebagai pengarang SINARAN bilangan tersebut.



Berita mengenai penangkapan M.Karim Ghani itu terdapat dalam bilangan tersebut dengan jodol, "TUNANGAN PEMIMPIN”.



Berita itu sepenuhnya berbunyi demikian:



“Sampai hari ini [Sabtu 30 Disember 50] genaplah 13 hari ketua sidang pengarang kita Tuan M. Karim Ghani meninggalkan kerusi pengarangnya dan sekarang bertempat di Pulau Sekijang+, suatu pulau yang di dalamnya ditempatkan orang-orang yang ditahan di bawah undang-undang Darurat hari ini. Penangkapan ke atas Tuan M. Karim Ghani dan 5 orang lagi rakannya, anggota-anggota Jawatankausa Perkara Natrah itu bukan lagi suatu perkara rahsia atau tersembunyi kepada umum, kerana selain dari surat-surat khabar yang telah mengambil peluang istimewa menyiarkan siaran khas kerana itu. Radio Malaya pada hari Isnin 18 Disember 50 pun telah menyiarkan berita itu kepada dunia.



“Pehak yang berkuasa membentangkan keterangan dan sebab-sebab penangkapan itu ialah Undang-undang Darurat No 20, sedangkan pehak umum ada pula yang berkata apakah ada kena mengenanya mereka yang enam orang itu dengan undang-undang tersebut? Mereka pehak umum mengetahui bahawa Tuan Karim Ghani dan rakan-rakannya itu ialah membela kebenaran dan keharmatan Islam, suatu agama yang telah diakui pengharmatannya oleh pemerintah negeri ini. Mereka itu menambah kata lagi iaitu sekiranya adalah penangkapan mereka kerana berkaitan dengan kerusuhan baru-baru ini di Singapura, maka bukankah mereka keenam-enamnya berikhtiar dengan bersusah bekerjasama dengan pehak yang berkuasa pada menjaga keamanan, dan menyeru-nyeru pemuda-pemuda Islam itu supaya menghentikan kerusuahn dan berdisiplin serta taat kepada apa-apa keputusan pemimpin mereka?



Beginilah soalan-soalan umum sesama mereka dan kepada kita, di antara pembaca-pembaca SINARAN sebahagian besar telah bertalu-talu mengemukakan pertanyaan terhadap pengeluran SINARAN kita dan juga soalan apakah langkah yang akan diambil oleh pemimpin-pemimpin Islam dan orang-orang yang terkemuka di negeri ini terhdap saudara-saudara kita yang enam itu?



Menjwab soalan yang pertama kita berkata, bahawa kita pun sama dengan saudara-saudara kita rakyat umum itu, iaitu tidak mengetahui apa sebabnya mereka keenam-enam orang itu ditahan, kerana pehak yang berkuasa tidak mengeluarkan kenyataan yang penuh atas tahanan itu selain daripada itu keterangan yang ringkas yang dikatakan undang-undang Darurat no 20 itu sahaja.



Berkenaan soalan yang kedua, iaitu pengeluaran SIARAN, kita jawab bahawa majalah kita yang dicintai ramai itu InsyaAllah akan tetap keluarnya dan berjalan terus mengunjungi sidang pembacanya. Kita, anggota sidang pengarang telah berazam akan melayarkan bahtera SINARAN selama hayat kita dan selama rintangan-rintangan tidak menimpa kita dan kita akan berdaya upaya menempuh jalan-jalan yang telah ditempuh oleh ketua sidang pengarang kita itu, dan segala tumbuh-tumbuhan yang telah ditanam oleh beliau moga-moga tetap kita akan membelanya.



SINARAN kita akan tetap berdiri di ata dasar yang telah ditetapkan oleh ketua pengarang kita, iaitu membela dan menzahirkan kebenaran Islam, sekalipun pada yang demikian itu mendapat bermacam-macam percubaan yang mengerunkan. Kita mengucap beriu-ribu syukur ke hadarat Allah Taala atas kurnianya yang limpah pada menambahkan bilangan SINARAN kita dari seminggu ke seminggu, terutama tambahan luar biasa dalam masa telah terjadi peristiwa penangkapan ke atas ketua pengarang kita itu”.



Demikian ditegaskan oleh SINARAN yang kita petik sepenuhnya sebagai sebahagian daripada lakaran sejarah tanah air masa lalu untuk renungan bersama.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP