Santai-Santai Di Rantau Panjang

>> Wednesday, September 12, 2012



SANTAI-SANTAI DI RANTAU PANJANG



Kira-kira seminggu lebih lepas hari raya Idilfitri yang lalu, saya ikut rombongan keluarga pergi ke Rantau Panjang, sebuah bandar yang letaknya bersempadan dengan negara jiran, negara Gajah Putih-Thailand.


Sudah bertahun-tahun lamanya saya tidak menjejak kaki di Rantau Panjang, malah tidak terlintas langsung untuk pergi ke sana, terutama selepas kematian isteri saya kira-kira tiga tahun yang lalu. Kami lebih gemar pergi ke Pengkalan Kubur, Tumpat daripada pergi ke Rantau Panjang. Pengakalan Kubur juga sebuah bandar yang terletak di sempadan dengan negara jiran, Thailand.


Tapi pada hari itu setelah anak-anak saya ingin ke Rantau Panjang untuk membeli sedikit barang-barang keperluan, terutama yang tinggal di Kuala Lumpur, teringin pula saya untuk mengikuti rombongan mereka yang di dalamnya termasuk beberapa orang cucu.


Rombongan kecil itu terdiri dari Ayah Long dan keluarga, Ayah Alang dan keluarga, Ayah Su sekeluarga dan Atok.


Kami bercadang untuk makan pagi di Rantau Panjang, kerana itu kami tidak makan pagi di rumah. Pada masa dahulu ada sejenis makanan yang kami gemari memakannya bila pergi ke Rantau Panjang, iaitu laksa Thailand yang rupanya halus-halus seperti behun dimakan dengan kuah lemak putih pekat yang dihidangkan dengan beberapa jenis ulam-ulaman, termasuk pucuk petai yang halus daunnya. Amboi seleranya.


Laksa ini dijual di dalam pasar Rantau Panjang bersama-sama dengan nasi berlauk dan sebagainya. Tapi sebaik-baik sahaja kami memasuki pasar tersebut dari arah sisinya untuk mencari tempat orang menjual makanan, selera kami telah patah, minat kami untuk mencari laksa halus telah hilang.


Bau busuk pasar lama itu telah memusnahkan niat kami untuk makan dalam pasar itu. Baunya amat teruk, dengan kebersihan pasar yang tidak terjaga, walaupun barang-barang jualan berlambak-lambak dan bergantungan pada setiap pintu kedai kecil dalam pasar itu.


Bau tikus, bau jebat tikus dan bau kencing tikus berbaur dengan bau-bau lain menyumbat hidung, menyebabkan kami segera keluar dari pasar dan mencari makanan di luar-makan roti canai dan magi goreng dan rebus [sup]. Ada beberapa jenis roti canai di kedai tersebut, antaranya roti canai kaya, roti canai telur, roti canai sardin, dan roti canai melo.


Selepas makan, anak-anak saya memaksa diri mereka terus masuk pasar semula untuk mencari sedikit bahan-bahan keperluan mereka, khususnya untuk dibawa balik ke KL. Saya tidak masuk lagi, tapi terus menyusuri bangunan-bangunan batu yang menjual berbagai-bagai barang keperluan yang terletak di sekeliling pasar tua itu.


Selepas keluar pasar, mereka membeli beberapa gelas aiskrem istimewa, aiskrem Malaysia yang hanya mungkin terdapat di Rantau Panjang yang diadun dengan berbagai-bagai bahanan makanan lain, antaranya roti yang dipotong kecil-kecil, pulut yang berwarna warni dan sebagainya.


Segelas kecil harganya seringgit, sementara segelas yang besar harganya dua ringgit. Ia dijual di atas motosikal yang diparkir ditepi jalan dekat dengan pasar. Cucu-cucu saya suka sangat memakannya.


Saya bertanya-tanya kenapa pasar itu terus dibiarkan dalam keadaannya yang bertambah teruk sebegitu rupa tanpa kawalan kebersihannya? Sepatutnya ia telah lama dipulihkan, diperindahkan, dibersihkan supaya menjadi lebih menarik, sesuai dengan sebuah bandar di sempadan negara yang menarik perhatian ramai.


Pelancung-pelancung asing yang berkunjung ke Thailand, khususnnya ke Golok mungkin teringin untuk menjenguk Rantau Panjang sebuah bandar di semapadan yang terletak di sebarang Sungai Golok yang boleh diseberangi dengan perahu kecil dengan tambang yang sedikit kalau tidak ingin menyeberangi sempadan seperti sewajarnya menerusi jambatan, melalui kawalan imigresen.


Memang pada hari itu kami nampak ada sebuah pasar baru yang baru siap dibina dan masih belum beroperasi, namun begitu, pasar lama Rantau Panjang itu sepatutnya tidak dibiarkan dalam keadaan merana seperti itu sekian lama, sehingga boleh menimbulkan kesan yang negatif kepda pengunjung-pengunjungya?


Memang Pekan Rantau Panjang banyak menawarkan barang-barang jualan menarik, termasuk berbagai-bagai barang cendera hati yang harganya amat berpatutan, tapi keadaan pasar besar Rantau Panjang dan keadaan sekitarnya kurang menggalakkan, mungkin merosakkan selera pengunjung-pngunjung, khususnya dari luar untuk datang lagi di masa-masa akan datang kalau keadaan tidak medesak.


Di samping itu, Rantau Panjang juga terkenal dengan zon Bebas Cukai. Rantau Panjang terletak dalam Jajahan Pasir Mas, mempunyai kawasan Parlimennya sendiri, terletak arah ke utara negeri Kelantan, dan hanya kira-kira 39 km dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu.


Seperti kawasan-kawasan sempadan yang lain juga, Rantau Panjang terkenal dengan banyak pengkalan-pengkalan haram yang digunakan oleh para penyeludup untuk menyeludup berbagai-bagai jenis barang dari kedua-dua negara- dari Kelantan ke Thailand dan dari Thailand ke Kelantan, bukan sahaja barang-barang halal penggunaannya, tapi mungkin juga barang-barang haram yang merbahaya dan mengancam keselamatan.


Perjalanan pulang kami ke KB sebelah tengah harinya memakan masa yang lama sedikit, tidak seperti masa yang diambil dalam perjalanan dari KB ke Rantau Panjang pada sebelah paginya, kerana keenderaan kian banyak bergerak di atas jalan. Halangan perjalanan pertama yang dihadapai, bila keenderaan terpaksa bergerak amat perlahan sebelum melewati pos pemeriksaan polis yang terletak tidak jauh dari bandar Rantau Panjang, kerana di hadapan ada sebuah keenderaan berat yang panjang yang bergerak perlahan tapi sukar untuk dipotong oleh keenderaan yang berada di belakanngnya, termasuklah kereta kami. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tak sampai pun sepuluh minit itu, telah menjadi hampir setengah jam.


Itu tidak menghairankan. Sepupu saya dari KL yang pergi ke Rantau Panjang pada Hari Raya Idilfitri kelima yang lalu terpakasa mengambil masa lebih dari empat jam untuk sampai ke rumahnya di Salor yang jaraknya tidak sampai 30 km pun dari Rantau Panjang.


Dalam perjalanan pulang itu, kami singggah di Masjid Beijing yang letaknya dekat dengan bandar Rantau Panjang. Tapi kerana keadaan tidak mengizinakan kami tidak sempat masuk ke dalamnya, dan hanya merakam gambar mesjid yang unik itu dari luarannya sahaja.


Kami harap kami dapat datang sekali lagi dan berhenti dan masuk ke dalam Masjid Beijing itu dan menikmati kesyahduan sebuah masjid.


Dalam perjalanan itu, kami kongsi bersama untuk ketawa kecil bila teringatkan sebuah dialog singkat di antara seorang pembeli dan seorang peniaga dalam pasar Rantau Panjang.


Pembelinya seorang lelaki muda yang berseloroh dengan penjualnya seorang wanita warga emas mengatakan dia sedang mencari seorang calon isteri.


Penjual wanita itu menjawab, “Di sini yang muda-muda tidak adalah, tapi yang pencen tu banyak. Tapi pencen-pencen pun masih baik. Tak nakkah?”.


Lelaki itu tidak menjawab apa-apa. Wanita itu menyambung lagi, “Apa salahnya yang pencen? Masih boleh dipakai”.


Memanglah di sekitar di tempat dia berniaga itu terdapat ramai wanita-wanita yang bukan lagi orang-orang muda, tapi masuk kategori pencen.


Saya teringat pula ketika di sebuah stesen minyak, di mana salah seorang daripada atendennya seorang wanita yang berusia tiga puluhan tahun.


Entah bagaimana seorang pelanggan berseluruh dengannya, “Tak naklah saya, nampaknya dah tua”.


Tapi dijawab pula oleh wanita itu, “Tua-tua pun dijamin masih baik. Belum diusik. Lebih baik daripada yang muda tapi telah rosak”.


Walau bagaimana pun kami pulang dengan membawa harapan Pekan Rantau Panjang akan segera menjalani pembangunan yang sewajarnya dalam semua bidang, termasuk dalam bidang kebersihan, sejajar dengan sebuah bandar di sempadan yang mempunyai begitu banyak potensi untuk lebih baju, dan sekali gus dapat membantu peningkatan ekonomi bukan sahaja penduduk-penduduk tempatan tapi juga seluruh negeri Kelantan khasnya, dan negara Malaysia amnya akan bersama-sama menikmati faedahnya.



Saya harap wakil-wakil rakyat peringkat negeri dan Parlimen meletakkan pembangunan bandar Rantau Panjang sebagai sebahagian daripada agenda utama pembangunan mereka dalam rangka pembangunan Jajahan Pasir Mas khasnya dan pembangunan seluruh negeri Kelantan amnya.


Dari KB ke Rantau Panjang,

Singgah sekejap di Bukit Tuku;

Kenapa suka lintas sempadan,

Kalau di sini sedia menunggu?


END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP