Gunung Reng Menimbus Kampung Dan Penduduknya
>> Wednesday, September 19, 2012
GUNUNG RENG MENIMBUS KAMPUNG DAN PENDUDUKNYA
Andainya kita menempuh Lebuh Raya Timur-Barat untuk sampai ke Kedah dan Perak dari Kota Bharu, kita akan melepasi Tanah Merah, dan Jeli sebelum sampai ke Grik.
Bila sampai ke Jeli, dari Kota Bharu, atau Pasir Mas, dan selepas melepasi Bukit Bunga mata kita akan tertumbuk dengan pokok-pokok, hutan belantara dan bukit bukau dan ngarai yang menghijau di kiri kanan jalan.
Selepas Bukit Bunga, di sebelah kanan Lebuh Raya, di Batu Melintang kita akan ternampak sebuah batu tinggi, seperti busut besar, yang dikenali dengan panggilan Gunung Reng.
Demikianlah sebahagian daripada pandangan saya ketika kembara ke Pulau Mutiara bersama keluarga baru-baru ini. Terpandang sahaja Gunung Reng itu, saya terus terkenang, beberapa tahun yang lalu, saya telah beberapa kali berkunjung ke Batu Melintang, khususnya ke Gunung Reng.
Tujuan kami, iaitu saya dan isteri, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] waktu itu
ialah untuk meninjau dan mengkaji sejarah Batu Melintang, khususnya Gunung Reng itu.
Keluarga isteri saya pernah tinggal di Batu Melintang dan membuka kebun getah berhampiran dengan Gunung Reng itu. Di samping itu keluarga beliau masih lagi ada di situ.
Beliau menceritakan, pada suatu masa Allahyarham ayahandanya bersama-sama dengan beberapa orang kawan-kawannya pernah mendaki puncak Gunung Reng itu. Mereka telah menemui kesan-kesan peninggalan lama. Ayah beliau telah mengambil beberapa benda di puncak gunung itu, salah satu daripadanya gelang besi yang telah patah dua dan tinggal separuh.
Gelang besi separuh itu, berwarna kehitaman pernah ada dalam simpanan saya, tapi entah bagaimana ia hilang dan masih belum dapat dikesan hingga ke hari ini. Gelang besi ini, jika diikat dengan tali, hujung sebelah laginya jika dipegang dalam keadaan tergantung, entah kenapa ia akan bergerak atau bergoyang-goyang, mula-mulanya perlahan kemudiannya laju.
Menurut isteri saya lagi, setelah ayah dan rombongannya puas berada di puncak gunung itu dan ingin turun, tapi anehnya mereka tidak menemui jalan untuk turun, semuanya yang kelihatan ialah jurang yang menakutkan. Sehinggalah salah seorang daripada mereka, berdoa dan bernazar kepada Allah, dia akan menyembelih seekor kambing jika mereka dapat turun dari gunung itu dengan selamat.
Seorang sahabat saya pula memberitahu bahawa dia dan sahabat-sahabatnya pernah pergi ke gunung itu untuk “mencari sesuatu”, dan katanya dia memang memperolehi sesuatu yang dicarinya itu, setelah mengadakan upacara berzikir beramai-ramai di salah satu tempat di atas gunung itu.
Saya telah lupa bagaimana dia memperolehi“sesuatu” itu dan apakah benda
“sesuatu” yang telah diperolehinya itu.
Gunung Reng ini menyimpan kisah yang bukan sahaja menarik, tapi juga mengharukan, kerana hampir seluruh penduduk sebuah kampung telah tertimbus di bawahnya dalam proses pembentukkan gunung itu.
Sejarah Gunung Reng ini pernah diabadikan oleh seorang penulis yang dikenali sebagai Mohammad Daud Jamil [Serendah] dalam buku kecilnya berjodol “Tawarikh Gunung Reng” yang diterbitkan pada tahun 1959.
Legenda Gunung Reng
Mengikut legendanya, Gunung Reng itu terletak di atas sebuah kampung, iaitu Kampung Tala yang
dibuka oleh seorang bernama Tok Tadoh kira-kira 1400 tahun lebih yang lalu. Pada masa itu Kampung Tala mempunyai penduduk yang ramai.
Pada suatu hari, ketua Kampung Tala telah berbekwah atau mengadakan majlis khenduri secara besar-besaran selama tujuh hari tujuh malam kerana bersunat anak beliau. Semua jenis permainan yang ada pada masa itu telah dipertontonkan kepada orang ramai.
Pada hari ketujuhnya sebagai acara penutup mereka telah bersetuju untuk mengadakan acara luar biasa, iaitu pelaga anjing dan kucing.
Tempat perlagaannya pula bukan di gelanggang, tapi di atas bumbung rumah Tok Ketua Kampung Tala itu sendiri untuk membolehkan orang ramai menontonnya. Acara kemuncak itu telah diadakan pada waktu zohor.
Ketika kedua-dua hewan yang merupakan musuh tradisi sejak turun temurun bertempur, maka
dengan tiba-tiba langit yang terang benderang bertukar menjadi gelap pekat, ribut dan taufan melanda dengan hujan lebat yang turun mencurah-curah dari langit.
Seorang perempuan tua yang berada di majlis itu tiba-tiba teringatkan padi yang dijemurnya di Kampung Gantung yang letaknya tidak jauh dari situ, beliau pun segera bergeggas meninggalkan majlis itu bersama-sama dengan seorang cucunya untuk menganggkat padi yang dijemurnya itu.
Setelah selesai menjunjung bakul padi di atas kepalanya, mereka pun menuju semula ke Kampung Tala, dan pada masa itu ribut taufan dan hujan lebat telah pun berhenti dengan tiba-tiba. Bila mereka sampai semula ke Kampung Tala, alangkah terkejutnya mereka, kerana kampung yang tadinya riuh rendah dan hiruk-pikuk dengan berbagai-bagi hiburan itu sudah tidak ada lagi.
Apa yang mereka lihat ialah sebuah gunung terpacak di atas Kampung Tala, menutupi seluruh kampung itu bersama-sama dengan tempat-tempat kediaman dan penduduk-penduduknya sekali, lenyek dan rata di bawahnya.
Maka meratap dan menagislah kedua-dua mereka, kerana kehilangan sanak keluarga, rumah tangga dan kampung halaman yang disayangi. Dan yang tinggal hanya mereka berdua, sebakul padi dan pakaian di badan.
Menurut Mohammad Daud Jamil beliau memperolehi cerita-cerita mengenai Gunung Reng itu daripada wanita tersebut yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi hingga sampai kepada beliau.
[Alangkah bertuahnya, andainya kami dapat menemui keluarga Mohammad Daud Jamil yang saya percaya masih ada lagi sampai sekarang].
Batu yang berlabuh di atas Kampung Tala berasal dari kemuncak Gunug Reng, kira-kira sepuluh batu jauhnya dari Batu Melintang. Daripada kemuncang Gunung Reng itulah batu yang terpacak di Kampung Tala itu dinamakan Gunung Reng juga, sebuah nama yang terus berkekalan hingga sekarang.
Gunung Reng ini memiliki banyak gua-gua yang berbentu bilik-bilik yang mempunyai nama yang tersendiri, seperti Gua Bedak, Gua Payong, Gua Kaca, Gua Rimau dan Gua Batak
Gua Payung merupakan pintu besar Gunung Reng. Menerusi gua ini pengunjung-pengunjug boleh masuk menerusi lorong-lorong dalam gua itu ke bilik-bilik serta anjung sehingga sampai ke puncak Gunung Reng itu.
Lokasi
Mengenai lokasi Gunung Reng dan suasana sekitarnya, izinkanlah saya petik apa yang digambarkan oleh Mohammad Daud Jamil [Serendah] dalam bukunya itu:
“Gunung Reng ini terletak di dalam Kampung Tala, iaitu sebatu setengah jauhnya lagi dari Batu Melintang.
“Di sebelah Selatan kaki gunung itu mengalirlah Sungai Pergau dan di batu hampar yang putih jernih di tepi sungai itu terdapatlah “Tapian” Puteri Saadong kononnya! Di seberang sana sungai itu ada sebuah dusun bernama “Dusun Kenerak”. Di dusun inilah dikuburkan Tok Tadoh dan di sebelah utara Gunung Reng itu ada sebuah jalan besar yang dilalui bilakala penggembara-penggembara melawat ke Batu Melintang.
“Apabila para penggembara lalu melintasi Gunung Reng tadi akan ternampaklah pula sebuah bukit di hadapan sebelah kanan bernama Bukit Betong. Di bukit inilah didapati Puteri Saadong dari buluh betung tiga serumpun. Bukit itu sekarang pun Bukit Betung juga disebut orang.
“Apabila para penggembara sampai di jambatan besi Sungai Tadoh di lereng Bukit Betong tadi juga, maka di seberang sana Sungai Tadoh itu terpampanglah pula sebuah bukit, itulah Bukit Kota namanya. Di atas bukit inilah terdirinya Kota Tok Tadoh. Pada masa ini pun disebut Bukit Kota.
“Arah selatan tidak berapa jauh daripada Bukit Kota itu mengalirlah sebuah sungai bernama Sungai Pergauran dan di tengah-tengah sungai ini ada sebuah batu terhampar bernama Batu Tera. Luasnya Batu Tera ini sekadar tengah dua depa. Di sinilah tempat sembahayang Tok Tadoh kali yang akhir”.
Demikianlah diskripasi Mohammad Daud Jamil [Serendah] tentang Gunung Reng .
Kita harap pihak berkuasa dapat mempertingkatkan lagi Gunung Reng dan sekitarnya itu untuk dijadikan salah sebuah tempat destinasi pelancungan yang populer di Kelantan yang akan menambahkan penghasilan bukan sahaja kepada penduduk-penduduk tempatan dalam menjana rezeki yang lebih baik, tapi juga kepada negeri Kelantan amnya.
1 comments:
Salam tuan.. cerita yang menarik.. syabas!
Post a Comment