Rahsia Cinta Sang Sufi
>> Tuesday, September 4, 2012
RAHSIA CINTA SANG SUFI
Setiap orang dari kita, khususnya di zaman mutakhir ini mesti terlibat dalam percintaan, khususnya dalam usia muda .
Seseorang mungkin pernah bercinta dalam hidupnya.
Seseorang mungkin pernah mencintai seseorang dalam hidupnya.
Seseorang mungkin pernah dicintai oleh seseorang dalam hidupnya.
Seseorang mungkin pernah dilamun cinta, atau kecewa dalam percintaan, iaitu cinta antara seorang lelaki dengan seorang perempuan.
Mungkinkah ada orang yang tidak pernah terlibat dalam sebarang percintaan seperti ini di sepanjang hayatnya?
Cinta Sang Sufi
Di samping cinta yang berkait dengan seksual antara seorang lelaki dan seorang wanita seperti itu, ada lagi satu bentuk cinta yang hanya terdapat di kalangan ahli-ahli sufi.
Cinta-cinta di kalangan ahli-ahli sufi ini amat tinggi dan mulia, yang tidak ternilai harganya, iaitu cinta seorang sufi terhadap Tuhannya.
Ahli-ahli sufi yang sedang dilamun cinta kepada Ilahi ini, segala fikiran, perasaan, hati dan jiwanya diliputi dengan perasaan cinta yang unggul itu yang kemanisan dan keharumannya dapat mereka nikmati.
Kepadanya hanya Allah yang menjadi ingatan dan pujaannya yang menjadi Kekasihnya yang abadi.
Tidak ada apa-apa lagi yang tergambar di mata hatinya selain daripada objek yang menjadi kecintaan dan pujaannya itu-Kekasihnya.
Justeru itu, bila sang sufi melihat sesuatu, ia tidak lagi melihat sesuatu itu dari segi bentuk kejadian kasarnya, tapi apa yang terpandangnya ialah Kekasihnya, Allah.
Pusara ahli sufi terkenal, Bayazid Bastami di Iran
Bila sang sufi melihat, pokok maka yang dilihatnya bukan dahan-dahan dan daun-daunnya belaka, tapi dia melihat Allah Maha Pencipta.
Bila sang sufi melihat bukit-bukau dan gunung-ganang, maka yang dilihatnya bukan sahaja batu-batu pejal dan hutan belantara, tapi dia melihat Kekekasih pujaannnya, iaitu Allah.
Bila sang sufi melihat lautan, maka yang dilihatnya bukan sahaja air dan ombak yang menderu melanda pantai, tapi dia melihat Kekasih pujaannya- Allah.
Bila sang sufi melihat langit, maka yang dilihatnya bukannya warna biru yang luas dan terbentang dan awan mega yang berarak-arak di angkasa, tapi dia melihat Kekasihnya, Allah.
Bila sang sufi melihat mata hari, bulan dan bintang-bintang, dia bukan sahaja melihat sinarnya yang memancar, atau kerlap-kerlipnya bintang-bintang yang bertabur di dada di langit tapi dia melihat Kekasihnya, Allah.
Di sebalik semuanya itu adanya Allah, Maha Pencipta. Tidak ada sesuatu yang terjadi dengan sendirinya- baik bukit-bukau, gunung-ganang, langit dan bulan bintang dan segala-galanya adalah hasil ciptaan Allah, Kekasih sang sufi.
Dan Yang Maha Pencipta inilah yang dilihat oleh sang sufi, yang dicari oleh sang sufi, yang dirindui oleh sang sufi.
Sang sufi ini sebenarnya bukan mencari rumah untuk dihuni, tapi dia mencari Tuan rumah untuk didekatinya.
Ibnu Arabi
Beginilah ceritanya.
Pada suatu hari seorang sufi yang rabun matanya kerana usianya telah lanjut datang menemui seorang pakar mata untuk menjalani pemeriksaan mata. Dia ditemani oleh seorang muridnya.
Seperti biasa cermin penguji mata dipasangkan ke matanya, dan dia ditunjukkan dengan huruf-huruf dalam saiz-saiz tertentu untuk pengenalannya.
Maka bertanyalah pakar mata itu, “Tuan nampakkah itu?”.
“Nampak”, jawab sang sufi.
“Apa yang Tuan nampak?”, tanya pakar mata itu.
Sang sufi hanya diam. Tidak menjawab.
Pakar mata bertanya lagi, “Tuan nampakkah tulisan di hadapan sana tu?”.
“Nampak”, jawab sang sufi.
“Tuan nampak apa? Cuba baca”. Kata pakar mata itu.
Tidak ada jawapan.
Pakar mata mengulangi pertanyaan yang sama. Dan akhirnya dengan suara yang perlahan, tapi tegas berktalah sang sufi “Saya nampak..... Saya nampak Allah”.
Di masa yang lain pula seorang sufi sedang mandi-manda di laut bersama-sama dengan sekumpulan murid-muridnya.
Pada masa itu sang sufi berada agak ke tengah, jauh sedikit daripada murid-muridnya yang sedang mandi di belakangnya.
Tiba-tiba murid-muridnya melihat seekor ikan lumba-lumba yang muncul di belakang gurunya dan terbang tinggi ke udara.
Maka murid-muridnya itu pun secara beramai-pramai segera melaung-laungkan kepadanya tentang kemunculan ikan lumba-lumba itu di belakangnya. Tapi tidak ada apa-apa reaksi daripada sang sufi. Macam tidak mendengarnya.
Setelah mereka semua mengulang-ngulangnya memberitahu perkara yang sama berapa kali, maka barulah sang sufi berpaling ke belakang dan melaung balik, “Apa sebenarnya yang anda nampak? Ikan atau awak nampak Allah?”.
Mendengar jawapan gurunya itu, semua murid-muridnya diam. Demikianlah hebatnya cinta sang sufi.
Demikian pula jika seorang sufi ditanya, “Dari mana anda datang?”.
Sang sufi akan menjawab, “Saya datang dari Kekasih”.
Jika sang sufi ditanya. “Ke mana anda hendak pergi”.
Sang sufi akan menjawab, “Saya hendak pergi menemui Kekasih saya”.
Jika sang sufi ditanya, “Apa yang sedang anda fikirkan?”.
Sang sufi akan menjawab, “Saya sedang memikirkan Kekasih saya”.
Jika sang sufi ditanya, “Siapa kekasih anda?”.
Sang sufi akan menjawab, “Kekasih saya hanya satu Sang Yang Tunggal”.
Jika sang sufi ditanya, “Apa yang anda cari?”.
Sang sufi akan menjawab, “Saya mencari Kekasih untuk bertemu dengan-Nya”.
Jika sang sufi ditanya, “Dengan apa anda berpakaian?”.
Sang sufi akan menjawab, “Saya memakai pakaian dari selimut Kekasih saya”.
Jika sang sufi ditanya, “Kenapa wajah anda pucat lesi”.
Sang sufi sakan menjawab, “Kerana saya rindukan kekasih saya”.
Jika sang sufi ditanya, “Kenapa sedikit benar anda makan?”.
Sang sufi akan menjawab, “Kerana saya takut dimarahi oleh Kekasih saya”.
Jika sang sufi ditanya, "Adakah anda tidak lapar?".
Sang sufi akan menjawab, "Saya telah diberi makan oleh Kekasih saya".
Jika sang sufi ditanya, "Apa yang anda makan?".
Sang sufi akan menjawab, "Reda dan keampunan dan cinta serta kasih-Nya".
Bila ada orang yang bosan dengan jawapan “Kekasih, Kekasih dan Kekasih” berulang kali seperti itu dan bertanya, “Berapa lama anda akan menyebut’ Kekasih dan kekasih?”.
Sang sufi akan menjawab,” Saya akan menyebutnya sehingga saya dapat melihat wajah Kekasih saya itu!”.
Demikianlah cintanya sang sufi kepada Kekasihnya, Dia-lah segala-galanya, Dia-lah buah rindunya, Dia-lah buah ingatannya, Dia-lah buah kenangannya, Dialah kerinduannya, Dia-lah tidur bangunnya, dan Dia-lah makan minumnya.
Inilah rahsia cinta orang-orang sufi untuk mendekati Allah, mencari makrifah-Nya.
Bolehkah anda bercinta sebegitu rupa?
Demikianlah rahsia cinta sang sufi.
ENDPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd
0 comments:
Post a Comment