KTMB:Nostalgia Naik Keretapi

>> Saturday, September 22, 2012






KTMB: NOSTALGIA NAIK KERETAPI




Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Nik Mat menaiki keretapi KTMB dari Stesen Wakaf Bharu, Tumpat menuju  ke Kuala Krai untuk menyempurnakan perasmian upacara  penutup Pesta Makanan dan Buah-Buahan Kelantan yang diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan [TMK@12].

Turut menemani Tok Guru menaiki keretapi hari itu ialah isteri beliau, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.


Mengimbau kembali kenangannya ketika menaiki keretapi KTMB kira-kira lima puluh tahun yang lalu dari Kuala Lumpur Ke Wakaf Bharu memakan masa selama dua puluh tiga jam. Semasa itu beliau seorang wakil rakyat.

Beliau juga membuat komen masa yang diambil itu lambat sangat untuk perjalanan yang seperti itu.


Tapi adakah hari ini keretapi KTMB Pantai Timur telah jauh berubah? Berubah itu memang berubah, tapi KTMB memerlukan perubahan yang lebih pesat lagi untuk perkhidmatnnya di wilayah Pantai Timur supaya tidak terus ketinggalan dan dapat menandingi penganggkutan-penganggkutan  awam yang lain di negara ini.


Keretapi mulai beroperasi sebagai penganggkutan awam di Tanah Melayu sejak tahun 1948 lagi yang pada asalnya digunakan untuk menganggkut biji timah. Pada mula-mulanya ia terletak di bawah Pentabiran Keretapi Tanah Melayu [PKTM] tapi pada tahun 1992 ia ditukar kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad [KTMB], yang sehingga kini masih lagi menjadi milik penuh Kerajaan Persekutuan.

Keretapi adalah salah satu daripada beberpa jenis penganggkutan awam di negara kita Melaysia. Ia dikuasai oleh kerajaan pusat, khasnya kerajaan Persekutuan, kerana itu dikenali dengan nama Keretapi Tanah Melayu Berhad atau ringkasnya KTMB. Namun kebanyakan orang menyebutnya KTM sahaja.


Kalau orang-orang Malaysia memanggilnya keretapi, tapi tidak berapa lama dahulu orang-orang Terengganu memanggilnya “kereta lipan”,  Perkatan “lipan” itu disebutnya dengan pelat Terengganu, kerana keadaannya panjang  bergerabak-gerabak dan ketika berjalan bergerak seperti seekor lipan.


Saya juga pernah mendengar  ada penumpang secara sendaan yang menyebut KTM itu ialah singkatan daripada perkataan "keenderaan terlambat Malaysia".


Memang benar begitu. Perkhidmatan KTMB di sebelah Pantai Timur memang lambat perjalanannya. Selama bertahun-tahun saya menaiki keretapi KTMB untuk perjalanan jauh dari Kelantan ke Kuala Lumpur, atau kadang-kadang ke Johor ataupun ke Pahang.


Saya hanya berhenti menaiki keretapi sejak dua tahun lebih yang lalu, bila isteri saya [Asiah Yaacob-semoga allah cucuri rahmat ke atasnya] yang sentiasa naik keretapi bersama saya meninggal dunia. Sejak itu anak-anak tidak lagi membenarkan saya naik keretapi seorang diri kerana mengambil masa yang begitu panjang dalam perjalanan dan kurang menyelesakan.


Dari Tumpat, atau Pasir Mas, di Kelantan untuk sampai ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih dari dua belas jam. Kalau dari Kuala Krai cepat sedikit. Namun mengikut pengalaman saya tidak pernah keretapi sampai tepat sebagaimana tercatat pada teketnya. Lewat satu jam adalah biasa, malah kadang-kadang lewat sampai dua tiga jam untuk sampai di Kl, kini KL Central.


Sebab itulah ada penumpang yang menggelarnya KTM sebagai Keenderaan Terlewat Malaysia.


Saya mempunyai beberapa pengalaman lagi ketika menjadi penumpang selama bertahun-tahun dengan KTMB untuk dikongsikan bersama.


Pada masa dahulu, teket keretapi dijual tidak ikut peratruan, kerana itu ketika orang ramai di hari-hari perayaan, penumpang penuh berasak-asak dalam gerabak, malah ada yang terpaksa berdiri berjam-jam sepanjang perjalanan yang jauh itu. Tapi setelah penjualan teket dikomputeraiskan, keadaan seperti itu tidak berlaku lagi.


Namun begitu untuk keretapi di Pantai Timur ini, bila teket  telah kehabisan dijual, biasanya penumpang-penumpang yang tidak berteket pun ikut sama naik keretapi. Mereka akan dikenakan tambang khusus dalam perjalanan nanti oleh pihak KTMB kerana naik keretapi tanpa membeli teket.


Penumpang-penumpang yang tidak berteket ini akan duduk berkumpul di celah-celah ruangan sempit antara gerabak-gerabak, di mana terletaknya tangga-tangga di kiri kanannya. Biasanya di kepala gerabak itulah terletaknya dua buah tandas sebelah menyebelah, satu untuk lelaki dan satu untuk wanita.


Biasanya keaadaan penumpang-penumpang yang ramai di celah ruang dekat  tandas itu, kebanyakanya lelaki muda, menjadi gangguan kepada kaum wanita untuk masuk tandas, kerana membuat mereka merasa segan silu, terutama wanita-wanita muda, walaupun kebanyakan kehadiran mereka tidak membuat gangguan secara langsung.


Biasa pula berlaku  dalam sesetengah tandas itu kehabisan bekalan air, terutama pada musim perayaan yang ramai penumpang. Oleh itu setiap kali masuk tandas, pastikan terlebih dahulu bekalan airnya ada atau tidak ada, barulah melepas. Kalau tidak ada, dan tidak boleh tahan, segeralah bertindak keluar mencari tandas-tandas di gerabak lain yang mungkin ada airnya.
Kadang-kadang kehadiran penumpang-penumpang tidak berteket di pintu kelas dua itu menyebabkan pintu automatiknya tidak berjalan, atau berjalan tapi tidak lancar, kerana tanpa disedari mereka berdiri dekat dengan pintu automatik menyebabkan ia sentiasa terbuka yang mengakibatkan gerabak berhawa dingin itu  panas, dan bising bunyi besi bergesel ketika keretapi berjalan.


Tidak jarang pula pintu automatik itu rosak, dan selalu terbuka tanpa tertutup atau tidak boleh ditutup. Kadang-kadang pula ia tertutup terlalu pentasnya. Pada suatu ketika, ketika saya sedang masuk gerabak, pintu itu tertutup dan mengepit tubuh saya. Nasib baik ada seorang penumpang lelaki tolong membuka  pintu itu dengan kekuatan tangannya.


Perkhidmatan keretapi Pantai Timur dari Kelantan ke KL memang disediakan sebuah bilik solat atau musalla yang muat beberapa orang untuk bersolat jemaah. Walau pun sedikit sahaja penumpang yang solat, tapi pada waktu Maghrib terpaksa juga beratur menunggu giliran untuk ambil wuduk dan solat.
Oleh itu lebih baik lewatkan sedikit pergi solat supaya keadaan lebih selesa dan tidak terpaksa berbaris menunggu giliran yang mungkin memenatkan orang-orang tua dan tidak begitu kuat.


Tapi biasanya di waktu tengah malam, mereka yang hendak pergi bersolat sering  merasa kecewa, kerana bilik solat telah digunakan orang, bukan untuk solat tapi untuk tidur, termasuk penumpang-penumpang wanita, dan kadang-kadang dengan bayinya sekali.


Mereka ini mungkin terdiri daripada penumpang-penumpang yang naik tanpa teket, kerana itu tidak ada tempat duduk, dan sebagai gantinya tempat solat itulah menjadi pilihan mereka untuk berihat sepanjang perjalanan itu.


Anda juga hendaklah berhati-hati dengan barang-barang  anda. Pastikan semuanya berada dalam keadaan selamat. Saya pernah melihat penumpang yang  handfonnya dicuri oleh penumpang, demikian juga dengan bagasi-bagasi barang yang tidak jarang juga kehilangan.


Saya sungguh kasihan dengan seorang wanita bersama seorang anaknya yang masih kecil, kehilangan kopornya yang berisi dengan pakaian dan susu botol anaknya, yang tiba-tiba didapati hilang. Saya pasti sekumpulan pemuda yang  turun di sebuah perhentian sebelum itu telah mengambilnya, mungkin tersilap ambil atau sengaja berbuat demikian.


Oleh itu berhati-hatilah, terutama ketika kekretapi berhenti di mana-mana stesen, kerana barang anda mungkin akan diangkut sama oleh mana-mana penumpang yang turun.


Saya pernah  diberitahu oleh seorang penumpang. Katanya kejadian berlaku ketika keretapi yang dinaikinya itu berhenti di sebuah stesen untuk menurun dan mengambil penumpang. Sebaik-baik sahaja keretapi api bergerak sejurus kemudian, bila dia memandang keluar menerusi tingkap, dia melihat seorang lelaki sedang membibit sebuah barang yang serupa dengan barang kepunyaannya. Tapi bila dia memeriksa barangnya, ianya sudah tidak lagi berada di tempatnya, rupa-rupanya barang yang dibawa oleh lelaki itu memang barang kepunyaan beliau, tapi apa nak buat, keretapi telah bergerak.


Tempat yang paling lama keretapi berhenti di laluan Pantai Timur ialah Setesen Gemas, negeri Sembilan pada waktu tengah malam. Itu pun berapa lama ia akan berhenti, tidak dapat dipastikan, tergantung di atas keperluannya.


Untuk menghilangkan kenbosanan, biasanya sebahagian daripada penumpang akan turun dari keretapi untuk ambil angin , membetul urat atau membeli makanan dari kanten keretapi Gemas, ataupun membeli nasi lemak yang dijual oleh seorang wanita tidak begitu jauh daripada kanten keretapi itu. Sebungkus nasi lemak biasa harganya hanya seringgit sahaja pada waktu itu.


Penumpang-penumpang yang turun itu biasanya arif  sendiri bila tiba masanya keretapi itu akan bertolak walaupun tidak pernah diberitahu oleh pihak keretapi. Lalu mereka pun bergegas semula naik ikut  gerabak masing-masing bila masanya hampir tiba.


Oleh itu adalah lebih wajar kiranya pihak keretapi sebelum berhenti di Gemas, memaklumkan kepada para penumpang berapa lama keretapi  dijangka akan berhenti untuk  keselesaan penumpang-penumpangnya. Walaupun mereka mungkin tidak digalakkan untuk turun.


Saya juga pernah ditanya oleh penumpang-penumpang  asing  Barat bila keretapi berhenti di sesuatu stesen di waktu malam, sebab mereka takut terlepas destinasi yang mereka tuju, kerana petugas-petugas KTMB terlupa untuk mengejut dan memberitahu mereka tempat yang mereka tuju telah pun sampai sebagaimana amalan lazim yang mereka lakukan kepada penumpang-penumpang  keretapi malam.


Selama beberapa tahun saya menaiki keretapi KTMB itu dari Kelantan ke KL dan dari KL ke Kelantan, hanya beberapa kali  sahaja saya mendengar pengumuman yang dibuat oleh pengendali keretapi ketika mereka hendak bertolak dari Kuala Lumpur, mengucap selamat pada penumpang, memberitahu  siapa pengurus perjalanan keretapi malam itu, dan berapa lama masa yang akan diambil untuk sampai ke Tumpat, Kelantan.


Alangkah baiknya kalau amalan ini dikekalkan setiap kali keretapi hendak bertolak dari destinasi awalnya, dan dihujung ucapanya memohon supaya para penumpang masing-masing berdoa untuk keselamtan mereka semua semasa dalam perjalanan nanti.


Saya terkenang sebuah cerita seorang penggawa yang naik keretapi dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas pada tahun 1950an dahulu. Katanya di sbelah beliau dalam gerabak itu ada seorang pemuda yang baru balik belajar dari Seberang Laut. Beliau belajar jurusan pertanian dan amat membanggakan dirinya yang katanya serbatahu dalam ilmu pertanian. Beliau mencabar siapa sahaja yang ada di situ supaya mengemukakan sebarang pertanyaan mengenai pertanian untuk dia menjawabnya.


Setelah beberapa kali membuat cabaran, maka berkatalah Tok Penggawa itu.”Kalau begitu baiklah. Tapi dengan syarat, kita bertaruh. Siapa yang kalah, dia kena bayar seratus ringgit. Kalau awak boleh jawab dengan betul, saya bayar seratus ringgit, tapi kalau awak tidak boleh jawab dengan betul, awak kena bayar saya seratus ringgit’.

Cadangan itu dipersetujui oleh pemuda yang sombong itu. Tok Penggawa pun mereka-reka soalan yang pelik kdengarannya. Kalau tidak silap saya begini bunyinya, “Apakah sejensi pokok yang sama sahaja keadaannya. Daunnya sembilan [?], batangnya sembilan [?], rantingnya semnbilan [?], bunganya sembilan [?}. Pendeknya semuanya sembilan. Pokok apakh itu”.


Mendengar pertanyaan pelik tersebut ,pemuda itu menjadi bungkam. Berfikir punya berfikir, akhirnya dia mengaku dia tidak tahu pokok apakah itu? Dia mengaku kalah, lalu menyerahkan wang seratus ringgit kepada Tok Penggawa. Waktu itu wang seratus ringgit adalah satu jumlah yang lumayan juga.

Sebenarnya pokok apakh itu? Kata Tok Penggawa, dia sendiri pun tidak tahu, soalan itu sengaja direka-rekanya untuk mengajar pemuda yang sombong itu. Beliau   tidak tahan  dengan perangai pemuda itu yang suka membangga-banggakan dirinya. Katanya kepada saya sambil ketawa.


Kadang-kadang tercetus juga keinginan saya untuk menaiki keretapi bersama-sama cucu-cucu yang belum pernah naik keretapi terutama untuk perjalanan yang singkat, seperti dari Pasir Mas ke Kuala Krai, atau dari  Wakaf Bharu ke Tanah Merah, atau paling jauh dari Kuala Krai ke Gua Musang?



END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.END



1 comments:

Anonymous,  November 12, 2012 at 9:51 AM  

ambo loni duk tengoh tunggu keretapi laju kerajaan negeri,bunyi kaba kalu dri WB-KL hanya memakan masa 1 jam..x sabar eh...nok naik keretapi terlaju dunia ni...

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP