Inspirasi, Rahsia Dan Para Seniman

>> Friday, September 7, 2012


INSPIRASI, RAHSIA DAN PARA SENIMAN


Setiap ahli seni atau seniman memerlukan inspirasi untuk mencipta. Tanpa inspirasi seniman menJadi gersang dan tidak boleh mencipta.



Kepada sesetengah orang, hendak menulis sepucuk surat peibadi pun, surat cinta umpamanya, menunggu inspirasi sebelum boleh menurunkan penanya di atas kertas.



Justeru itulah, surat-surat cinta mereka ada yang telah menjadi hasil-hasil seni yang bernilai, kerana ia merupakan manifasti curahan persaan, hati dan rakaman yang bergelora dalam jiwa penulisnya yang sedang dilamun rindu.



Tapi warkah-warkah cinta hari ini tidak bernilai dari segi seni penulisannya kerana ia ditulis dengan fikiran yang diadunkan dengan nafsu seksual, dan emosi dan kasih yang kotor.



Ia digarap tanpa inspirasi yang tidak pernah diharap oleh penulisnya yang sedang bergelora dengan nafsu yang liar, brselindung di sebalik rasa cinta dan rindu.



Lagi pun anak-anak muda zaman sekarang, tidak lagi perlu menulis surat cinta, kerana telefon dan internet, facebook telah merampas segala-galanya dan merupakan satu gaya hidup yang canggih, dan kadang-kadang penggunaannya merupakan penipuan atas nama cinta, rindu dan kasih.



Para Seniman Dan Inspirasi



Berlainan dengan ahli seni, para seniman, walau pun dunia hari telah begitu canggih dalam talian perhubungannya, dalam pengeluahan perasaan dan hasrat, tetapi mereka masih lagi mencari inspirasi untuk mencipta sesebuah hasil karya.



Malah ahli seni atau seniman, perlu mendapat inspirasi atau ilham terlebih dahulu sebelum dapat mencipta, baik dia seorang sastrawan, ahli-ahli muzik, para penggubah lagu, penyair, pelukis, penulis drama dan sebagainya. Dan inspirasi inilah yang mereka tunggu-tunggu sebelum mereka mampu mencipta.



Mereka tidak dapat berbuat apa-apa tanpa inspirasi. Ujar sastrawan Indonesia yang terkenal, Aoh K. Hadimaja, [15 September 1911-3 Mac 1972] “Ilham tidak dapat dipaksa-paksa, akan tetapi ia harus timbul dengan sendirinya ibarat buah di dahan yang jatuh kerana ranumnya. Barang siapa yang memeras-meras otak dan perasaan untuk menghasilkan sesuatu karya, dianggaplah oleh seniman-seniman lain sudah melanggar kesucian seni seperti seseorang yang melakukan onani dengan membayang-bayangkan memperoleh syahwat tanpa melalui jalan alamiah”.



Di dalam hubungan ini, di dalam benak setiap seniman itu boleh diibaratkan mempunyai suatu alat penerima perutusan yang keadaannya amat sensitif yang sentiasa bersedia untuk menangkap sesuatu yang merupakan inspirasi atau ilham, walau pun merupakan sedesis bisikan yang jauh terbenam di lubuk hati. Dan para seniman ini tidak akan merasa tenteram, selagi inspirasi yang diterimanya itu tidak diterapkan dalam jurusan keikhtisasan masing-masing.



Kelahiran inspirasi adalah satu proses yang kompliketed dan sukar untuk dimengerti. Sebelum ia lahir, inspirasi itu terbenam sepi di dalam fikiran sedar seseorang ahi seni, dan oleh proses-proses yang tidak diketahui langsung dengan tiba-tiba inspirasi itu muncul secara mistrius kerana dirangsang oleh sesuatu.



Lumrahnya inspirasi itu tercetus bila seseorang ahli seni bergetar jiwanya kerana tersentuh oleh sesuatu yang hiba, pilu, geram, sesal, duka, gembira, kecewa, rindu, kenangan masa lampau dan sebagainya. Inspirasi ini bila dilahirkan dalam bentuk hasil-hasil kreatif, akan dapat mengharukan pula jiwa orang yang menikmatinya.



Dan biasa pula inspirasi itu muncul bila seseorang tidak dalam keadaan berfikir mengenai perkara-perkara itu. Dan kadang-kadang pula tidak pun disedari oleh penerimanya sendiri.



Sir Edwin Arnold



Perhatikanlah bagaimana penyair Inggeris, Sir Edwin Arnold [1832-1904] mendapat ilham untuk mencipta puisi-puisinya yang termasyur itu. Beliau adalah murid kepada pengarang Scotland yang terkenal, Samuel Smiles [1804-1912]. Beliau benci untuk menghabiskan masanya dengan sia-sia, walau pun sepuluh minit sahaja, sebab itu beliau menggunakan setiap waktunya untuk tujuan-tujuan yang berfaedah.



Justeru, sambil-sambil menunggu kereta api atau di dalam perjalanan ketika bertugas di Poona, India, beliau menggunakan masanya itu untuk mempelajari Bahasa Sanskrit hingga beliau berjaya menguasai bahasa tersebut.



Setelah beliau pulang ke England, sambil berjalan-jalan, muncul kata-kata yang merupakan puisi bebas mengenai Budha dalam benaknya. Puisi-puisi itu terus dicatatnya di atas sobek-sobekan kertas tanpa apa-apa tujuan. Dan pada suatu hari,beliau terkejut mendapati beliau telah berjaya menyiapkan sebuah puisi panjang dan lengkap mengenai Budha.



Hasil daripada pancaran inspirasi yang tidak menentu ketikanya itu telah dicetak dalam sebuah buku kecil berjodol “The Light of Asia”, iaitu sebuah antologi puisi bebas. Buku kecil ini pada suatu waktu mencapai enam puluh edisi di England dan lapan puluh edisi di Amerika, dan telah berjaya memberi kekayaan, keharuman nama dan penghormatan kepada pengarangnya.



Raja Thai telah menganugerahkan bintang “The Order of the White Elephant” kepada beliau kerana puisi tersebut.



Elmer Rice



Elmer Rice [8 Mac 1892-28 September 1967], seorang penggubah drama Amerika yang terkenal telah menceritakan satu pengalamannya yang “ajaib” bagaimana beliau mendapat inspirasi untuk mencipta drama “The Adding Machines” yang dianggap oleh kritikus-kritikus Amerika sebagai sebuah drama yang amat sukses. Drama ini menggambarkan jiwa abdi dalam masyarakat yang bersifat mekanis.


Pada suatu malam beliau duduk-duduk di serambi depan rumahnya memikirkan sebuah drama perkahwinan yang hendak digubahnya. Masa itu katanya, “Tiba-tiba, seperti sebuah swic telah dibuka dan tirai telah diangkat, sebuah drama baru telah terkilat dalam benak saya, sebuah drama yang tidak ada hubungan langsung dengan drama yang sedang saya fikirkan. Bila saya katakan terkilat dalam benak saya, maksud saya memang begitu, kerana dalam satu detik yang tiba-tiba saya melihat sebuah drama yang lengkap dengan watak, plot, insiden, malah jodol dan juga sebahagian daripada dialognya......Dan saya pun masuk ke kamar tulis saya dan terus menulis”.



“Saya menulis hingga fajar, kemudian setelah menghabiskan beberapa jam di atas ranjang tanpa tidur, saya sambung lagi menulis. Saya menulis setiap hari, kadang-kadang tergesa-gesa meninggalkan makanan yang sedang saya hadapi lalu menuju ke meja tulis. Keluarga saya berfikri saya telah gila”.



Dan masuk hari yang ketujuh belas drama itu pun selesai dicipta oleh Elmer Rice.



Kedatangan inspirasi itu tidak pula ditentukan saat dan ketikanya, kadang-kadang ketika berkenderaaan, ketika berbual-bual, ketika membanting tulang, ketika membaca, ketika menonton, malah mungkin juga ketika berada dalam bilik mandi atau tandas, inspirasi itu menjelma dengan rancaknya dalam benak para seniman.



Hartojo Andangdjaja



Salah seorang penyair Angkatan baru Indonesia, Hartojo Andangdjaja mendapat ilham di atas motobot untuk mencipta sebuah puisinya yang terkenal “Rakyat”. Masa itu beliau dalam perjalanan ke Padang.



Jurumudi yang kecemasan menghadapi ribut, berteriak-teriak, “Badai” dan lalu mengemudikan botnya ke sebuah pulau untuk mencari perlindungan. Semua penumpang telah selamat. Tetapi yang tetap hidup dalam ingatan Hartojo Andangdjaja ialah kata-kata, “Awan menyimpan topan”. Bila sampai ke Padang, dalam suasana rihat, inspirasi terus datang membuak-buak kepadanya hingga terukirlah puisi “Rakyat” yang popular itu. Baris-baris awal puisi itu berbunyi:



“Rakyat ialah kita



Jutaan tangan yang mengayun dalam kerja



Di bumi tanah tercinta



Jutaan tangan mengayun bersama



Membuka hutan-hutan lalang jadi ladang-ladang berbunga



Mengepulkan asap dari cerobong pabrik-pabrik di kota



Menaikkan layar menebar jala



Meraba kolam di tambang dan batubara



Rakyat ialah tangan yang bekerja”.



Dr.Jose Rizal



Putera dan pahlawan Filipina yang terkenal, Dr. Jose Rizal [19 Januari 1861-30 September 1896] telah mendapat ilham mencipta puisi pada malam beliau menunggu ketibaan maut di hujung senjata penjajah Sepanyol pada tahun 1896. Puisi itu tercipta dalam kurungan di waktu malam yang diterangi oleh pelita minyak. Baris pertama puisi yang agak panjang itu berbunyi:



“Selamat tinggal tanah kupuja



Daerah pilihan surya selatan



Alangkah nikmat tidur abadi



Dalam pangkuan dikau, oh tanah merawan hati”.



Masa-masa Tertentu



Setiap seniman mempunyai masa-masa yang tertentu di mana inspirasinya menjadi rancak. Suasana-suasana itulah sebenarnya membuat mereka berfikir dengan lebih mendalam.



Pujangga Scotland, Sir Campton Mackenzie [17 Januari 1883-30 November 1971] gemar menulis di waktu limun-limun pagi di dalam ruapan kopi panas yang pekat.



Nobelis Inggeris, Joseph Conrad [3 Disember 1857-3 Ogos 1924] gemar baring-baring dalam bak mandi sembari menyedut cerutu dan mengkhayalkan beliau sedang berada di laut-laut sebelah timur. Di sebalik asap cerutu yang berkepul-kepul itulah beliau melihat watak-watak nobelnya.



Pengarang Amerika, Mark Twain, nama pena kepada Samuel Longhouse Clements [30 November 1835- 21 April 1910] dapat mencipta dengan baik ketika berada di atas ranjang tidur.



Pengarang Amerika, Fennimore Cooper [15 September 1789-14 September 1851] mengarang sambil mengunyah sejenis coklat yang boleh melegakan kerongkong.



Pengarang Inggeris, Samuel Coleridge Taylor [15 Jun 1875-1 September 1912] mendapat inspirasi ketika beliau sedang berbual-bual. Masa sedang berbual-bual itu, beliau dengan tiba-tiba mematikan perbualan dan berkata, “Tunggu sekejap”. Dan beliau dengan tergesa-gesa menuju ke meja tulisnya untuk mencatat idea-idea yang telah diterimanya itu. Kemudian beliau akan kembali menyambung perbualannya. Beliau juga kadang-kadang mencipta sambil mendengar orang membaca nobel kepadanya.



Menunggu Inspirasi?



Walau pun inspirasi itu penting, tapi kalau inspirasi sahaja yang ditunggu-tungu, maka hasil yang keluar nanti hanya merupakan getaran perasaan yang cetek, seperti diibaratkan oleh kritikus terkenal di Indonesia, H.B. Jassin, [13 Julai 1917-11 Mac 2000] “Seperti kerut-kerut air di danau tenang ditiup angin”.


Tegas H.B. Jassin lagi, “Betapa pun besarnya kecekapan seniman-alam, dengan tiada usaha ia akan tetap membawa hasil yang keras, geni-geni seniman, baik dalam hal muzik, mahupun dalam hal seni lukis, seni sastra atau pun seni patung ialah orang-orang yang seluruh hidupnya terus menerus berusaha, hidup bangun dalam seninya”.



Dan kata beliau lagi, “Bagi seniman yang sesungguhnya segala yang ada dalam kesedarannya terolah jadi seni yang bisa di dengar [muzik], bisa dilihat dan diraba [seni lukis dan seni pahat] dengan satu nama disebut [seni rupa], dan bisa dibaca dan dinikmati [seni sastra]. Bagi seniman di samping bentuk, tidak kurang pentingnya isi, dan untuk mencapai kesempurnaan isi tidak cukup hanya duduk-duduk menanti ilham yang barang kali akan dibisikkan oleh “angin lalu”, gunung dan awan berarak”.



Kadang-kadang walau pun ditunggu, dikejar dan diusaha inspirasi itu tidak juga kunjung datang,”Bila jiwa diam, dan seolah-olah sebagai laut tidak beriak, tenang dapat bercermin, saat ini tidak satu pun yang dapat dilahirkan oleh seorang pujangga walaupun betapa jaguhnya pencipta itu, tidak sanggup dia menumpahkan rasa jiwanya.....”.Kata pula, Dada Meuraxa.



Demikianlah sedikit gambaran bagaimana para seniman memperolehi inspirasi atau ilham mereka untuk mencipta. Kita percaya masih ada berbagai-bagai pengalaman yang berbeza-beza antara seorang dengan seorang seniman untuk memperolehi inspirasi masing-masing untuk mencipta karya mereka dalam berbagai-bagai wadah yang menjadi minat dan pilihaan mereka masing-masing.



ENDPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEND


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP